Friday, December 26, 2008

Kahwin

Tahniah buat para sahabat yang telah dan bakal menamatkan zaman bujang masing-masing. Semoga Allah berkati hidup kalian. Bercerita tentang perkahwinan, kita sering dijolokkan dengan pelbagai cerita. Baik yang positif mahupun yang negatif. Antara isu yang paling hangat ialah berkenaan jumlah mas kahwin.

Ia boleh jadi serendah RM 10,000.

APA? SERENDAH RM10,000? Berpoluh sey..

Bila zaman makin maju, anak muda pula semakin berpelajaran serta peristiwa kemunduran ekonomi menyebabkan mas kahwin naik sejajar dengan naiknya harga beras di pasaran dan terus naik berlawanan dengan turunnya harga minyak di stesen-stesen Petronas berdekatan.<--boleh tahan panjang ayat ni.Hehe.

Isu ini dah selalu dikupas orang, tapi kita seolah-olah tidak akan pernah jumpa jalan penyelesaiannya. Kaum lelaki di luar sana yang masih bujang dan perihatin, tolonglah cari solution skali haa..

Itu baru masalah sebelum menjelang perkahwinan. Belum masuk masalah-masalah bila sudah diijab-kabulkan. Saya masih bujang, tetapi mendengar cerita-cerita orang menyebabkan saya takut nak menghadapinya. Tapi masih ada keinginan yang tinggi untuk menamatkan zaman bujang ni. Hehe. (syy, jangan beritahu ibu saya. Janji ok?)

Apa-apa pun, perkahwinan adalah satu proses di mana manusia akan memasuki satu alam yang baru. Alam yang menguji "kejantanan" seorang lelaki dalam menjadi ketua keluarga. Dan alam yang menguji naluri selaku seorang isteri dan ibu buat si perempuan.

Sebagai seorang bujang, saya melihat proses itu sebagai satu transisi dalam mematangkan manusia. Satu fitrah yang disusun cantik oleh Tuhan. Rugilah mereka yang gagal mendalami maksud perkahwinan.

Ramai manusia gagal menghayati makna perkahwinan dan cinta. Sampai bila agaknya kita ingin melihat perkahwinan dan cinta pada sudut nafsu. Cinta kerana pasangan cantik atau kacak. Berkahwin untuk mengelak maksiat. Ayuh manusia berakal, kita halusi maksud ikatan yang dihalalkan Islam ini dengan makna yang lebih besar. Iaitu dengan makna mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan yang akan mengembalikan setiap kita kepadaNya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." an-Nuur: 26

Wallahua'lam

p/s: ucapan tahniah saya buat rakan-rakan satu fikrah, satu sekolah, satu tadika dan satu taman yang bakal menamatkan zaman bujang masing-masing tidak lama lagi.

[ ... ]

Saturday, December 6, 2008

Kata-kata akhir

Jangan Diucap Selamat Tinggal - Shades

Assalamualaikum

InsyaAllah, saya akan pulang ke tanah air esok tepat jam 2:05 petang. Ini mungkin kali yang akhir saya melontarkan kalimah dari hati di bumi Auckland ini. Andai masih diberi kesempatan, saya akan terus menulis bila di Malaysia nanti.

Terlalu banyak kenangan. Terlalu banyak pengalaman. Saya bersyukur atas kesempatan yang Allah berikan. Saya redha atas ujian yang Dia timpakan. Namun, apakah saya bersedia untuk menempuh kehidupan baru bila pulang nanti? Saya takut. Saya tidak pasti.

Buat sahabat-sahabat di Auckland yang mengenali, saya harap anda maafkan segala kesalahan saya. Saya juga manusia. Manusia sentiasa melakukan kesalahan dan selalu tersilap langkah. Maka saya turut tidak terlepas dalam melakukan perkara yang sama. Setiap kata yang terlanjur, setiap perbuatan yang terlampau, setiap hasad yang terpancar, harap dimaafkan. Maafkanlah.. Maafkanlah..

Saya sangat menghargai persahabatan kita di sini. Bukan sahaja ketika kita seronok bersama, malah ketika konflik melanda. Pada ketika itu persahabatan kita diuji dan saya rasa lebih matang dalam menangani masalah bila berhadapan dengan keadaan sedemikian. Saya rasa diri diperbaiki.

Buat kawan-kawan yang telah berjaya menamatkan program Ijazah di Universiti of Auckland ini, saya berdoa agar Allah mudahkan urusan kita di alam pekerjaan nanti. Alam itu tidaklah mudah. Malah mungkin lebih payah daripada apa yang kita hadapi di sini. Jangan lupa, kita manusia belaka. Bukan mesin pencetak wang. Wang ringgit tidak pernah cukup seandainya kita terus mengejar. Kita hidup untuk berkasih. Berkasih dengan Tuhan, berkasih dengan keluarga, sesama manusia dan alam yang selalu membantu selalu memerhati.

Buat mereka yang masih belum tamat perjuangannya, teruskanlah sehingga kejayaan memanggil anda pergi.

Buat akhirnya, saya sertakan beberapa gambar yang memberi pelbagai kenangan.


1st year: lawatan bersama-sama rakan satu batch dan abg senior.

2nd year: Trip ke Cape Reinga

2nd year: Majlis Hari Jadi saya

Final year: Pasca Solat Raya Di Mt Street Prayer Room

Final Year: Majlis Perpisahan bersama "adik-adik"

Andai ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

[ ... ]

Saturday, November 8, 2008

Cikgu oh cikgu

Kami masih lagi berada dalam musim demam exam. Ada yang dah sembuh (sebab dah habis). Ada yang berehat sekejap (contohnya saya). Ada pula yang sedang bertungkus-lumus menghadamkan nota-nota yang disimpan semenjak mula semester 2 beberapa bulan lepas. Macam-macam perangai..

Apa-apa pun saya ingin mengucapkan sekalung tahniah buat sahabat saya yang sudah berjaya bergelar doktor. Doktor Azri Bin Fikry. Saya tumpang gembira dengan kejayaan anda. Kepada yang bakal menjadi jurutera, guru, akauntan, ahli ekonomi dan sebagainya, teruskanlah usaha anda. Garisan penamat sudah tidak jauh dari capaian kalian.

garden fence - coloursplash

Berat sungguh rasanya bila mahu menulis. Berhari-hari saya fikirkan, apa yang mahu saya tuliskan untuk entry blog yang terbaru ini. Bermacam-macam jenis buku dan blog saya baca, namun masih kebuntuan. Berita pun ada pelbagai. Kemenangan Barack Obama salah satu daripadanya. Cukuplah liputan ribuan jenis berita yang rata-ratanya menyatakan betapa bersejarahnya Pilihanraya US kali ini. Tak perlu saya tambah lagi rasanya.

Menuntut Ilmu lalu menyampaikan

Payahnya menulis kalau hendak dibandingkan dengan membaca. Menulis boleh jadi mudah seandainya hasil tulisan itu penuh kata-kata kosong yang tidak menjana pemikiran. Begitulah juga kisahnya dengan mereka yang cuba menyampaikan ilmu buat orang lain. Seandainya apa yang disampaikan itu tidak membawa apa-apa harga yang signifikan ke arah pembentukan diri dan mentaliti, maka elok sahaja si penyampai menilai kembali apa yang telah disampaikannya. Memang mudah berkata-kata kosong.

Ini membawa saya mengenang zaman persekolahan saya. Zaman remaja saya habiskan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (1998 - 2002). Banyak kenangan pahit dan masin yang saya lalui sepanjang lima tahun persekolahan. Yang manis pun ada, hehe. Suasana sekolah yang "unik", kawan-kawan yang "best" serta cikgu-cikgu yang "caring".

6545

Pembelajaran di kelas boleh jadi sangat menarik dan boleh pula jadi sangat me"mengantukkan". Memang lumrah remaja yang mudah bosan. Saya tidak berhasrat untuk mengutuk atau menghina mana-mana guru. Saya cuma mahu guru atau bakal guru yang membaca entry ini mengkaji kembali prestasi sistem pengajian sekolah-sekolah di Malaysia. Tulisan kali ini adalah hasil pemerhatian saya dalam kuliah-kuliah yang saya hadiri di sini lalu saya kaitkan dengan dunia persekolahan saya.

Ramai guru yang masuk ke kelas dan sekadar menulis nota di atas papan hitam sahaja. Murid yang rajin sudah pasti akan menyalin nota-nota ini sepenuhnya. Yang rajin separuh akan salin separuh. Yang malas pula tidak peduli untuk menyalin terus walau sebilah huruf. Guru-guru seperti ini pada pendapat saya hanya berminat menghabiskan syllabus sahaja. Pada mereka, objektif sudah tercapai sekiranya syllabus berjaya dimuntahkan kepada pelajar tanpa mengira sama ada mereka faham atau tidak. Saya harap saya tidak berkasar sekiranya guru-guru sebegini saya katakan tiada matlamat dalam mengajar.

Mukai_Hiro_057lr

Ada pula guru yang sangat prihatin dengan kecemerlangan prestasi akademik anak murid. Guru seperti ini lebih baik. Mereka ada rasa tanggungjawab terhadap anak didik mereka. Namun masih ada sedikit kekurangan. Kadang-kadang perihatinnya mereka adalah kerana mahu menaikkan nama baik sekolah atau mahu dilihat sebagai guru cemerlang agar di kemudian hari mudah untuk naik pangkat. Guru sebegini mempunyai matlamat dalam kerjaya mereka cuma matlamat itu kurang tepat pada pandangan peribadi saya.

Secara peribadi, saya kurang selesa dengan guru-guru yang suka membandingkan prestasi sekolah mereka dengan prestasi sekolah lain yang lebih cemerlang akademik mereka. Apakah hadirnya seseorang itu di sekolah semata-mata untuk menaikkan status sesebuah institusi persekolahan?

Guru yang terbaik pada pandangan saya ialah mereka yang benar-benar concern dengan perkembangan intelektual anak murid. Mereka mengajar untuk mematangkan fikiran remaja yang suka memberontak. Mengajar untuk menyediakan remaja bagi menghadapi dunia serba mencabar. Marah-memarah dan rotan-merotan tidak cukup untuk mengekang unsur jahat dalam diri seseorang untuk membisikkan ajakan-ajakan kemungkaran. Apa yang diperlukan ialah bimbingan daripada seorang guru yang ikhlas.

Mata pelajaran yang diajar sebenarnya tidak pernah menjadi penghalang.Guru-guru sains sudah pasti dapat menimbulkan pelbagai kesedaran kepada pelajarnya tentang hakikat-hakikat penciptaan alam yang menakjubkan. Guru Matematik pula boleh menggunakan kebolehan menganalisa secara kuantitatif dan kualititatif untuk menilai situasi anak murid dengan lebih baik. Guru Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris boleh menggunakan segala kepakaran memahami kisah hidup dan interaksi manusia sejagat untuk mengajar anak murid mereka realiti kehidupan dan persediaan untuk menghadapinya dengan baik.

Guru agama pula janganlah memandang peranan anda yang paling kurang penting di antara semua. Bahkan, guru agamalah yang bertanggung jawab memanusiakan manusia. Manusia ini tidak lebih daripada haiwan yang pandai berfikir sekiranya Tuhan tidak dikenali. Sepertimana firman Allah dalam al-Quran 7:179.

179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Manusia yang hidupnya tidak dipandu wahyu, akan dipandu oleh akal terbatas yang sentiasa diracun syaitan dan nafsu. Menjadi tanggung jawab guru agama untuk memastikan pelajar-pelajarnya dapat mengenal Tuhan (paling kurang).

Sahabat sekalian,

Janganlah diambil artikel ini sebagai satu hujah untuk menyalahkan guru dalam semua kegagalan remaja yang boleh kita lihat dewasa ini. Saya cuma mengimpikan suatu suasana pendidikan yang lebih baik daripada apa yang saya dapati dahulu dan sekarang.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga buat semua guru yang pernah mengajar saya sedari sekolah rendah sehinggalah di menara bergading ini. Anda semua punya sumbangan masing-masing ke arah menjadikan saya seorang insan, dan bukan pula seekor manusia tanpa jati diri.

[ ... ]

Sunday, October 26, 2008

Hari-hari Akhir

Saya seakan-akan sukar untuk percaya. Masa saya sudah hampir sampai ke penghujungnya. Hanya tinggal tiga paper exam menanti. Selepas daripada itu, saya akan kembali ke Malaysia dengan izinNya. Kembali untuk meneruskan satu lagi fasa dalam hidup. Fasa yang bakal memberi saya lebih banyak dugaan. Fasa yang bekal menjadikan saya seorang manusia berjasa atau bakal menghentam saya sehingga menjadi seorang yg tidak berguna.

Saya rasakan seperti baru semalam berpijak di bumi Auckland. Biar bumi ini tidak sehebat New York, namun tetap ia menjadi tempat saya pelajari ilmu yg tidak terbayar dengan nilai Dollar. Sungguh syahdu mengenangkan tempat ini. Saya tidak pasti apakah pemergian saya meninggalkan seribu satu jasa, atau pemergian saya mengurangkan satu lagi beban kepada bumi Auckland.

Saya tidak berhasrat berkata / menulis banyak. Saya hanya mahu kongsikan sebuah video yang pendek namun cukup bermanfaat buat mereka yang mahukan pengajaran.

p/s: Selamat menghadapi peperiksaan buat semua yang bakal menghadapinya.

[ ... ]

Monday, October 13, 2008

Lelaki Sejati

Lelaki sejati tidak tunduk pada sesuatu pun melainkan apa yang dikehendaki Tuhan.

Tidak gentar pada sebarang ciptaan.

Yang ditakuti hanya pada Yang Menciptakan.

Bukan mudah untuk hidup berdasarkan prinsip. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang saya dan anda semua alami setiap hari. Manis mulut kita berbicara, "Jangan diikut hawa nafsu bila bertindak, bila berbicara mahupun bila merasa." Namun, apakah itu yang kita lakukan setiap kali? Setiap hari?

Amaran sudah jelas diberikan Tuhan. Dalam surah as-Saff, Allah berbicara kepada hamba-hamba melalui Kalamnya yang bermaksud,

" Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

Tidak gentarkah hati kecil ini bila mendengar Tuhan berbicara yang demikian? Saya takut, tapi tidak selalunya begitu. Kadang-kadang dengan berani saya langgar! Benci kemungkaran namun diri sendiri tidak terlepas daripada melakukannya. Masih ada kekurangan yang jelas pada diri saya. Hati ini masih tidak cukup bersih.

Bilakah agaknya diri saya dapat benar-benar merasakan kehadiran Tuhan? Seolah-olah tiada yang mengawasi diri saya. Pandai berkata-kata, namun pada diri sendiri pun tidak 100% terlaksana. Seperti yang telah saya luahkan dalam entry lepas, banyak konflik yang jatuh menimpa saya. Saya rasakan sudah bertemu jawapannya. Tapi, masih tidak saya laksanakan sepenuhnya.

Prinsip Sesuci Salji, Sekental Besi

Itu yang saya inginkan. Hidup saya masih dipandu keinginan-keinginan yang mengarut. Karut yang mengaratkan seluruh ruh dan jasad. Prinsip bukan lalang yang boleh ditiup ke timur ke barat. Bukan juga air yang hanya mengalir ikut pada bekasnya. Namun ia bagaikan pasak besi yang teguh berdiri biar apa pun yang menimpa. Biar dilanggar dirempuh. Biar pecah, seribu terbelah. Biar karat bertukar sifat. Berdiri tetap berdiri. Walau tercondong sedikit, ia akan terus teguh di situ.

Itulah hidup pada prinsip. Arahan Tuhan adalah prinsip. Tiada yang lebih suci daripada prinsip yang disandarkan pada suruhan-suruhanNya. Islam bukan untuk diikut bila kita rasa mahu sahaja. Bukan untuk kita patuh pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat sahaja. Tetapi perlu kita tunduk selagi mana hayat terus terkandung di dalam jasad. Biar terperosok di tengah-tengah najis dan maksiat, tapi tetap jelas amaran-amaran Tuhan dalam ingatan.

"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." at-Taubah:41

Saya tidak mahu jadi pengecut. Saya tidak mahu jadi manusia yang tewas kepada iblis. Lupakah kita iblis pernah meremehkan manusia. Memandang rendah dan menghina diri kita. Mari kita buktikan kepada dia, bahawa tidak salah pilihan Allah. Meletak kita sebagai pemakmur bumi ini. Bukan perosak sepertimana iblis dan kawan-kawannya.

Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana...

wallahua'lam

[ ... ]

Friday, October 10, 2008

Revolusi, Reformasi, Evaluasi

Selamat Hari Raya saya ucapkan buat semua pengunjung setia blog yang serba kurang ini (ade ke pengunjung setia?perasan sungguh!hehe). Maaflah andai ada tulisan saya yang pernah menyinggung anda. Segala rasa tidak puas hati harap dapat diampunkan. Sungguh, saya ingin menemui Tuhan saya dalam keadaan "Dosa Free" dan dengan "Qalb" yang "salim".

Usai Ramadhan, banyak sungguh perkara "ajaib" yang berlaku. Saya sendiri merasakannya. Maaflah sekiranya entry kali ini lebih berbentuk luahan perasaan saya terhadap perkembangan diri sendiri. Semoga anda yang membaca mendapat lebih banyak manfaat daripada saya yang menulis.

Di kala Ramadhan

Di kala Ramadhan, saya rasakan sungguh dekat dengan Tuhan. Tidur yang berjumlah tidak lebih 4-5 jam sehari saya rasakan cukup untuk memandu diri saya bergiat cergas pada siang harinya. Malam saya habiskan di surau Mt street tercinta. Sungguh indah kala itu. Tapi bukanlah bermakna tiada kecacatan pada Ramadhan saya. Bahkan, saya rasakan kecacatan-kecacatan di kala Ramadhan lah yang menyebabkan ada sebahagian unsur diri saya dicacatkan pengaruh jahat syaitan dan nafsu sehingga kini.

[selingan..lagu Araftu, dendangan Muhammad al-Husayn dan Raihan]

Saksikanlah wahai pembaca sekalian, saya berikrar mahu mengadakan revolusi untuk diri sendiri.

REFORMASI. REFORMASI. REFORMASI.

Bukan untuk politik, tetapi reformasi sikap dan isi hati yang dah dikotori. Mari evaluasi diri.

Pasca Ramadhan

Saya rasa kurang sedap hati dengan diri sendiri. Pernah pada satu masa saya bermonolog,

"Alhamdulillah, pasni boleh tidur cukup. Ramadhan dah selesai. Makan pon lagi terjaga."

Satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar daripada hati seorang yang telah berikrar mahu beriltizam dengan Islam. Di mana silapnya saya? Saya tidak tahu. Menjelang akhir-akhir Ramadhan, saya dibebani dengan pelbagai konflik. Rata-ratanya konflik dengan 2 unsur dalam diri. Unsur Baik VS Unsur Jahat. Keputusan persaingan antara dua unsur ini adalah seperti berikut.

Unsur Baik Unsur Jahat
Kalah Menang
Menang tipis Kalah
Kalah pukulan knockout Menang besar
Kalah teruk Menang selesa
Seri Seri
Kalah lagi... Menang mudah

Aduh, ternyata Unsur Baik saya bukanlah lawan kepada Unsur Jahat yang jauh lebih gagah. Masakan Unsur Jahat ini tidak menang kerana ia bermain tipu. Pertarungan yang berbentuk handicap match antara Unsur Baik menentang Unsur Jahat yang dibantu nafsu serta kawan baiknya syaitan berpangkat Sarjan. Di kala Ramadhan, Unsur Jahat hanya keluar bertarung bersama nafsu kerana syaitan dipenjarakan buat sementara waktu. Tetapi, masih lagi Unsur Baik saya terus tewas. Aduh sekali lagi.

Kadang-kadang saya rasa marah. Kenapa yang baik terus kalah. Kemudian datang pula konflik dari luar. Maka bertambah-tambah teruklah kekalahan yang dialami. Ya Allah! Apakah ini hukuman buatku? Konflik luaran boleh berbentuk macam-macam. Perubahan sikap kawan-kawan rapat terhadap diri saya, dinginnya hubungan dengan adik-beradik seperjuangan + seakidah saya di sini, bertambahnya gejala sosial di kalangan mereka yang saya harapkan akan bersama-sama mendukung cita-cita saya membawa pembaikan di atas muka bumi serta maksiat yang semakin berleluasa adalah sebahagian daripada konflik-konflik luaran yang saya alami.

Mencari Punca

Air mata sudah makin sukar saya terbitkan daripada pasangan mata yang saya miliki. Hati semakin keras. Terdetik sekali dua dalam hati kecil ini mahu saja saya biarkan semua orang dengan hidup mereka, dan saya hidup dengan hidup saya. Mungkin saya nak ditelan ikan Nun sepertimana Nabi Yunus A.S agaknya.. Astaghfirullah

Di kala ini bantuan terhebat muncul. Bantuan Qalil saya dan anda semua. Allah is coming to the rescue.

Tapi...

Iman saya masih lagi setipis kulit bawang. Yakinnya saya akan bantuan Allah itu sejujurnya mungkin tidak lebih dari 10%. Pertaruhan saya masih pada apa yang saya dapat nampak dan rasa. YA!! Mungkin di situlah puncanya. Tipisnya iman kepada Allah. Iman yang diletakkan pada tangga nombor dua dalam senarai priority hidup.

Dan mungkin juga pada salah tujuannya segala tindakan saya. Kenapa saya inginkan kebaikan? Kenapa saya ingin mengembangkan islam? Agar orang boleh sanjung saya sepertimana rakyat Malaysia menyanjung DSAI atau Tun? Tidak yakinkah saya akan mahalnya nilai syurga? Ataupun mungkin keyakinan saya pada pembalasan di akhirat sekadar main-main? Sungguh, benarlah. Islam hanya akan disanjung mereka yang ikhlas serta suci akidahnya walhal akidah saya masih ada kotoran-kotoran degil yang perlu saya sental mulai saat ini.

Maka bermula daripada ketika ini, saya berikrar untuk pertama-pertamanya membersihkan akidah saya biar apa pun kepayahan yang terpaksa saya alami. Mujahadah dan semoga Tuhan tolong saya. Tolonglah saya wahai Rabbal 'Alamin. Kemudian, akan saya isytihar perang habis-habisan kepada Unsur Jahat bersama kawan-kawannya yang telah lama merosakkan hati dan nurani ini. Saya berharap ini akan menjadi langkah awal yang membersihkan diri saya sebelum bertemu dengan DIA yang ESA dan dengan manusia ulung yang saya rindui (Allah dan Rasulnya S.A.W)

Wallahua'lam

[ ... ]

Sunday, September 28, 2008

Kebenaran II

[Sambungan kisah daripada entry yang lepas]

Salman merupakan pelajar yang sangat tekun kepada ketua paderi di sham. Namun, paderi tersebut seorang yang jahat. Setiap kali satu-satu majlis diadakan di gereja, paderi itu akan meminta derma daripada orang ramai dan kononnya derma itu akan digunakan utk membantu orang yang memerlukan. Padahal, paderi tersebut menggunakan harta2 yg dikumpulkan utk kepentingan diri sendiri. Bila smpai masanya paderi ini menghembuskan nafas terakhir, Salman menceritakan tentang keburukan yang dimiliki paderi ini kepada orang lain. Penganut-penganut kristian tempatan berasa sangat marah lalu mensalib paderi ini dan melontar batu ke arahnya sehingga dia mati. Kemudian, paderi ini digantikan oleh seorang ketua paderi yang lain.

Ketua paderi yang baru ini seorang yang sangat disegani ramai. Menurut Salman, paderi ini adalah antara manusia terbaik yang pernah berdamping dengannya sebelum die bertemu dengan Rasulullah dan para sahabat. Salman gembira hidup bersama paderi ini dan beliau dididik dengan sangat cermat tentang makna kehidupan seperti dikehendaki Tuhan. Masa berlalu dan paderi ini meningkat usia dan semakin tua. Salman yang bimbangkan "tarbiyah" dirinya bertanya kepada paderi seandainya ada pengganti paderi ini supaya beliau boleh meneruskan menuntut ilmu kebenaran. Paderi ini tidak dapat carikan pengganti lain untuk Salman kerana menurutnya, hanya dia seorang sahaja yang masih mengamalkan ajaran kristian sepertimana asal. Tetapi, paderi tahu seorang paderi di Mousul yang masih berpegang kepada ajaran asal Kristian. Tanpa berlengah, Salman terus berhijrah ke Mousul pula.

Di Mousul, terbukti orang yang dikatakan ketua paderi tadi adalah benar. Paderi di Mousul ini juga mengamalkan ajaran Kristian sebenar dan Salman terus mendapat tarbiyah yang baik. Masa berlalu, dan paderi ini pun sebenarnya sudah sangat tua. Salman, bertanya kepada paderi ini pula, kepada siapa beliau boleh terus dididik dengan baik. Paderi ini meminta beliau berhijrah ke Nasibin.

Salman terus dididik dengan baik dan terus berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana di setiap tempat dia pergi, paderinya semua sudah sangat tua dan hanya menanti ajal. Dari Nasibin, beliau ke Ammuriah pula (di Turki). Di sini, Salman tinggal agak lama dan berpeluang membuka perniagaan kecil-kecilan. Keuntungan yang diperolehi akan dikumpulkan Salman untuk kegunaan masa depan. Masa berlalu dan paderi di Ammuriah itu juga berada di ambang kematian. Salman bertanya kepada siapa harus beliau pergi namun kali ini paderi di Ammuriah benar2 tidak dapat beri jawapan kerana memang sudah tiada walau seorang pun yang mengamalkan ajaran Kristian sebenar. Tetapi, paderi ini tahu akan seseorang yang dilantik oleh Allah menjadi Rasul terakhir di Jazirah Arab. Menurut paderi ini, Rasul itu akan berhijrah dari tempat asalnya ke suatu tempat di mana tumbuhnya banyak pokok kurma dan kawasan ini terletak di antara dua lembah berbatu. Rasul ini tidak akan makan barang yang diberikan padanya sebagai sedekah tetapi akan menerima barang yang diperolehinya sebagai hadiah. Di belakang badannya (di antara belakang badan dan bahu) terdapat satu tanda kenabian yang jelas.

Salman pun menurut kata paderi di Ammuriah itu lalu mencari2 pedagang arab yang singgah di Ammuriah agar dapat dia ikut untuk ke tanah Arab. Beliau berjumpa dengan sekumpulan pedagang arab dan memberikan semua harta yang dikumpulkan sebagai bayaran. Pedagang arab itu bersetuju. Malang sekali, pedagang arab itu berpaling tadah. Dia menjualkan Salman kepada seorang Yahudi semasa mereka singgah di Wadi Qura'.

Di Wadi Qura', Salman berkhidmat sebagai hamba kepada orang Yahudi ini sehinggalah pada suatu hari, tuannya didatangi sepupunya yang berasal dari Bani Qurayzhah. Yahudi Bani Qurayzhah ini berminat untuk membeli Salman lalu dibelinya dan dibawa pulang ke tempat di mana Bani Qurayzhah tinggal. Tidak lain lagi iaitu Madinah. Bila tiba di Madinah, Salman seolah-olah tahu yang di situlah tempatnya beliau akan bertemu dengan Rasul tersebut kerana sememangnya Madinah ialah kawasan di mana terdapat banyak pohon kurma dan ia diapit oleh 2 lembah berbatu.

Mencari-cari Rasulullah

Salman terus berkhidmat dengan orang Yahudi Bani Qurayzhah itu sehingga hampir terlupa tujuan asalnya mahu ke Madinah. Sehinggalah pada suatu hari, beliau terdengar satu berita tentang Muhammad yang mahu berhijrah ke Madinah dan sangat-sangat dinantikan oleh kaum Arab di Madinah itu. Mendengar berita itu, Salman bergegas mendapatkan orang yang menyampaikan cerita itu untuk memastikan apa yang didengarinya. Orang tersebut memberitahu beliau yang Muhammad berada di Quba', berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Tuan Salman berasa sangat marah ditumbuk dan dikurungnya Salman.

Salman tidak berputus asa. Pada malam harinya, beliau membungkus sedikit makanan dan dibawanya ke Quba secara sembunyi. Di Quba', die bertemu dengan Muhammad dan diberikan makanan yang dibawanya tadi sebagai sedekah. Muhammad mengambilnya lalu memberikan kepada para sahabat beginda. Salman gembira kerana itu merupakan antara tanda yang dikhabarkan paderi di Ammuriah kepada beliau.

Keesokan harinya, Salman membawakan makanan lagi kepada Muhammad namun kali ini diberikannya sebagai hadiah. Muhammad mengambilnya dan turut memanggil para sahabat lain untuk turut menjamu selera. Satu lagi tanda dikesan Salman.

Selang beberapa hari selepas itu, Muhammad sudah tiba di Madinah dan perlu menghadiri satu majlis pengebumian. Di majlis tersebut, Salman bertekad untuk mencari satu lagi tanda sepertimana yang dikhabarkan paderi kepadanya. Ketika Muhammad sedang duduk, Salman berlegar-legar di belakang baginda seolah-olah mencari sesuatu. Muhammad yang sedar akan hal ini seolah-olah faham apa yang dikehendaki Salman. Lalu, baginda longgarkan sedikit pakaian dan ditunjukkan tanda kenabian yang terdpat di belakang bahunya. Terbukti, insan bernama Muhammad ini benar-benar Rasulullah. Alangkah gembira Salman melihat tanda tersebut lalu memeluk Rasulullah sambil menangis. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian sujud pula kepada Rasulullah. Rasulullah melarangnya berbuat demikian dan menegaskan hanya Allah sahaja Tuhan yang berhak mendapat sujud manusia ciptaannya.

Semenjak hari itu, Salman menyerahkan segala jiwa dan raga untuk Allah dan rasulnya. Tiada yang lebih menggembirakan hidupnya melainkan peristiwa ini yang melengkapkan pencarian beliau kepada kebenaran hakiki. Bertemunya beliau dengan Islam bermakna bertemunya beliau dengan segala jawapan kepada persoalan yang ada padanya sebagai seorang manusia.

Wallahua'lam

[ ... ]

Saturday, September 13, 2008

Cari Kebenaran

Sebagai manusia, menjadi fitrah kita mempersoalkan segala yang terjadi di dunia dan apa yang akan berlaku selepasnya. Mereka yang bijak pandai lebih dalam lagi persoalannya tentang hal ini. Dalam erti kata lain, manusia yang waras akalnya akan sentiasa berusaha mencari KEBENARAN.

Sahabat sekalian,

Hanya mereka yang jelas matlamat hidupnya SAHAJA akan sentiasa berusaha mencari kebenaran. Kebenaran ada banyak jenis. Seorang saintis contohnya, akan berusaha membuktikan teori yang diciptanya benar melalui eksperimen. Seorang pengurus kewangan akan memastikan saluran duit keluar masuk syarikat sepertimana yang direkod di dalam akaun syarikat itu benar belaka.

Sebagai manusia, apakah kita juga punya matlamat yang mahukan suatu kebenaran? Mari kita ikuti kisah seorang sahabat yang sanggup menempuh segala jerih, perih, payah dan susah semata-mata mahukan apa yang benar untuk keseluruhan hidupnya.

Kisah Salman al-Farisi

Salman merupakan salah seorang sahabat yang tidak berasal dari Jazirah Arab. Beliau berasal dari Asfahan (Iran sekarang). Pada suatu hari, Ibn Abbas R.A datang berjumpa Salman R.A lalu bertanyakan tentang kisah hidupnya yang membawa beliau ke Madinah.

Salman R.A berasal dari sebuah kampung bernama Gee dan ayahnya merupakan antara ketua yang tersohor di situ. Beliau dan sekelian penduduk kampung menganut agama Majusi dan Tuhan mereka adalah api. Beliau terpaksa bersakit-sakit untuk dianugerahkan darjat yang tinggi dalam agama tersebut. Salman komited dengan pegangan ini sehingga beliau dilantik sebagai penjaga api. Tugasnya ialah mengelakkan daripada api itu padam.

Ayah Salman mempunyai satu perniagaan. Dia juga seorang bapa yang "terlebih" kasihkan anaknya Salman. Menurut Salman, ayahnya tidak akan benarkan beliau keluar dari rumah, menjaganya lebih rapi daripada mana-mana anak dara lain. Tetapi, pada suatu hari, ayah Salman terpaksa menyiapkan sebuah binaan dan terpaksa meminta Salman mewakilinya menyelesaikan urusan perniagaan di luar bandar. Sebelum berangkat, ayah Salman tidak lupa untuk berpesan supaya anaknya pulang segera sejurus selesai urusan perniagaan itu.

Dalam perjalanan menuju ke tempat berniaga, Salman melalui sebuah gereja. Dia yang sememangnya tidak pernah jemu untuk mengetahui hakikat sebenar kehidupan lalu masuk ke dalam gereja tersebut dan mendengar ajaran paderi tentang agama kristian. Beliau juga sempat berbincang lebih dalam dengan paderi itu dan bertanya dari mana asalnya agama ini supaya beliau boleh lebih mendalaminya. Agama kristian datangnya daripada Sham (kawasan sekitar Palestin, Syria,Lubnan dan Jordan sekarang).

Salman terus khayal dalam kekhusyukan terlupa untuk menguruskan perniagaan ayahnya sehinggalah matahari terbenam. Ayahnya bimbangkan Salman lalu menghantar seseorang untuk pergi mencarinya. Bila dibawa pulang, Salman mengkhabarkan perihal agama kristian pada ayahnya dan mengatakan bahawa ia lebih baik daripada agama majusi. Ayahnya pula terus mempertahankan bahawa agama nenek moyang mereka (majusi) adalah yang lebih benar. Salman tidak bersetuju dan ini menyebabkan ayah Salman sangat risaukan keadaan anaknya. Atas kerisauan ini, ayah Salman bertindak menggari kaki Salman dan dikurungkan di dalam bilik. Sebelum dikurungkan, Salman sempat berpesan kepada seseorang supaya memberitahunya jika ada pedagang dari Shams yang datang ke Asfahan.

Seperti yang dinanti-nantikan, satu hari terdapat sekumpulan pedagang dari Sham yang datang berdagang di Asfahan. Salman berjaya meloloskan diri dari kurungan lalu mengikut pedagang-pedagang tadi pulang ke Sham. Setibanya di Sham, Salman menuntut dengan ketua paderi di situ. Maka bermulalah kisah hidup baru Salman dalam pengembaraannya mencari kebenaran.

InsyaAllah, saya akan sambung kisah ini dalam entry yang akan datang...

[ ... ]

Saturday, September 6, 2008

Manusia dan unsur-unsurnya

Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya diberi peluang menikmati ramadhan kali ini. Setiap kali ramadhan, Allah mengurniakan pada saya suatu kurniaan yang mahal harganya. Allah curahkan buat hamba ini perasaan ingin merenung kembali hakikat hidup yang serba kompleks, serba celaru.

Hidup manusia yang semakin pantas disibukkan oleh urusan-urusan material membuatkan kita mengabaikan tanggungjawab pada ruh. Kita seakan-akan melupakan elemen kita yang satu itu. Sekadar peringatan buat semua, secara kasar manusia punyai 4 elemen yang membentuknya:

  1. Tubuh fizikal
  2. Ruh
  3. Akal
  4. Hati

Selama ini, hanya tubuh fizikal dan akal yang mendapat perhatian kita. Segala kudrat kita curahkan demi memastikan kedua-dua elemen ini sempurna perkembangannya. Tetapi, bagaimana pula dengan ruh dan hati? Sedangkan ruh dan hatilah yang memberi maksud kepada kehidupan manusia di dunia. Tanpa keduanya, manusia seolah-olah hidup tanpa tujuan, mati tiada penilaian. Maka terus-menerus manusia rakus mengejar apa yang ada di dunia kerna beranggapan bahawa hidup sekadar terbatas pada 60 - 70 tahun usia dan kemudiannya diakhiri noktah tanpa sambungan.

Sekiranya manusia gagal merenung akan perihal ini, saya bimbang semakin ramai yang akan menjauhi Tuhannya. Semakin ramai pula yang tertekan hidupnya. Maka tidak hairanlah, semakin tidak bahagia hayat ini jadinya. Hidup manusia hanya akan bahagia bila ia dijalani kena dengan tujuannya.

Secara umum, untuk yang muslim atau bukan sekalipun, hidup tanpa penghayatan ruhiyah boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam kekosongan yang berpanjangan. Mahatma Gandhi contohnya, pernah mengakui bahawa hampir-hampir sahaja beliau gila tatkala sibuk melengkapkan agenda memerdekakan India jika tiada agama yang menyokong unsur ruhiy miliknya.

Program Pengisian Rohani

Umat Islam, umat bertuah. Bukan sahaja menerima janji-janji Allah untuk kebahagian akhirat, malahan turut menerima kebahagiaan dunia. Islam sungguh mementingkan penyucian ruh sepertimana firman Allah dalam surah at-Taubah: 108

Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Program pengisian rohani disusun dengan cantik oleh Allah. Program sedemikian mengambil tempat secara harian, mingguan dan tahunan.

Harian, umat Islam difardhukan solat 5 waktu bagi membolehkan jiwa-jiwa manusia dibersihkan setelah mengharungi hidup yang terkandung pelbagai kekotoran.

Mingguan pula, Allah menghadiahkan solat Jumaat buat kita. Di dalamnya terhimpun pelbagai amalan fardhu dan sunat. Sekiranya manusia ikhlas menghayati satu demi satu amalan tersebut, sudah pasti ruhnya semakin mendekati Tuhan.

Tahunan pula, Allah mengurniakan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Segala kebaikan terkumpul di sini. Hadirnya bulan ini seumpama suatu peluang yang besar diberikan pada manusia. Secara ringkas, antara kebaikan yang telah Allah janjikan buat mereka yang ikhlas mengharungi Ramadhan ialah:

  1. Keampunan Allah untuk segala dosa yang lalu.
  2. Membebaskan manusia dari api neraka.
  3. Doa termakbul.
  4. Kurniaan berupa "surprise" yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.
  5. Malam lailatul-Qadr
  6. Mendapat keredhaan Allah.

Saya pasti, anda biasa dengan kelebihan2 ramadhan yang telah saya senaraikan. Tetapi sejauh mana kita mengambil serius akan kewujudannya? Mereka yang tidak yakin akan janji Allah seumpama mereka yang sangsi dengan kekuasaan Allah. Inilah penyakit utama umat Islam alaf baru, iaitu bila akidahnya sudah tidak sesuci yang Allah inginkan. Mari menuju salimul 'aqidah (kesejahteraan akidah) di ramadhan kali ini.

Wallahua'lam

[ ... ]

Sunday, August 17, 2008

Jangan Manja

Geli-geleman sebahagian kita bila mendengar ada mana-mana lelaki dewasa yang bersifat "manja". Salahkah bersikap manja? Sebahagian manusia merasakan sikap ini hanya rasional kepada kanak-kanak sahaja. Saya juga berpendapat demikian. Sebagai anak lelaki paling tua dalam keluarga, saya sendiri rasa kurang selesa dengan sikap ini. Namun, saya tidak nafikan, sifat ini turut membawa kesan positif kepada kita.

Ada yang mungkin mahu pertahankan bahawa sikap manja kadang-kadang perlu bagi mewujudkan rasa kasih dalam institusi keluarga. Benar, tetapi ada batasnya. Ada batasnya bagi seorang ibu yang memanjakan anaknya. Ada batasnya bagi seorang suami yang memanjakan isterinya. Lebih tinggi batasnya bagi individu yang memanjakan dirinya sendiri!

Jangan manjakan diri sendiri

Mereka yang cenderung untuk memanjakan diri sendiri adalah mereka yang lemah. Tiada pengecualian dalam hal ini. Bagaimana keadaannya seseorang itu memanjakan diri sendiri?

  1. Malas
  2. Takut kesusahan. Hanya inginkan kesenangan.
  3. Tidak mahu berubah ke arah lebih baik. Selesa dengan apa yang ada sekarang.
  4. Perlu sentiasa rasa cukup dan puas.
  5. Bila menilai, untuk kitalah bahagian yang lebih besar.

Perhatian! Pandanglah setiap satu perkara yang disenaraikan di atas melalui lensa akhirat, kecuali untuk perkara 4 dan 5. Kedua-dua perkara itu saya merujuk secara langsung kepada worldly possessions. InsyaAllah, saya akan perincikan perkara 4 secara ringkas dalam entry ini.

Perlu sentiasa rasa cukup dan puas (makan)

Menjadi fitrah, apabila makan kita mahu kenyang. Apabila minum, biar hingga hilang hausnya. Apabila tidur, biar cukup 8 jam sehari. Tiada yang haramnya dengan makan, minum dan tidur sehingga puas. Tetapi, akibat terlalu "mencukupkan" ini, menyebabkan kita menjadi lemah. Inilah salah satu sindrom manusia yang memanjakan diri sendiri.

Sejarah telah membuktikan, manusia yang cemerlang di atas muka bumi ini ialah mereka yang kurang makan, minum dan tidurnya. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah mengatakan bahawa

"Bejana (bekas) yang paling buruk pernah diisi oleh seorang anak adam ialah perutnya!" [at-Tirmidzi]

Siapakah anak adam? Kitalah tu!!

Di dalam kitab al-Muqaddimah, Ibn Khaldun telah mengelaskan dunia ini kepada 7 bahagian yang berbeza. Di antara ketujuh-tujuh bahagian itu, ada zon yang subur tanah serta keadaan sekelilingnya, ada zon yang kering dan panas secara ekstrim, dan ada pula yang sangat sejuk.

Menurut Ibn Khaldun, mereka yang tinggal di kawasan yang subur serta terdapat banyak sumber makanan, cenderung untuk menjadi orang yang gemuk dan kurang cerdas. Golongan ini juga agak malas kerana mereka tidak perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan. Oleh sebab tidak perlu banyak berusaha, mereka lebih banyak tidur dan suka dengan hidup yang selesa. Golongan ini lemah fizikal dan mental. Seandainya diuji oleh Allah dengan kemarau atau putus bekalan makanan, mereka dijangka hanya mampu berikhtiar utk terus hidup bagi suatu jangka masa yang pendek. Inilah mereka yang banyak memanjakan diri sendiri.

Mereka yang tinggal di kawasan yang kurang subur pula mempunyai sumber makanan yang terhad. Ada antara mereka yang hanya hidup dengan susu dan sayuran. Mereka juga biasa berada dalam keadaan kelaparan dan perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan yang sekadar cukup untuk hidup. Golongan ini dikatakan boleh bertahan dengan lebih lama sekiranya diuji dengan kelaparan. Ibn Khaldun menyatakan bahawa mereka ini lebih sihat tubuh dan lebih bijak akal fikiran. Inilah mereka yang TIDAK memanjakan diri.

Kesimpulannya, manusia yang tidak bertindak memanjakan diri pada sudut mencukupkan makanannya adalah lebih sihat dan bijak. Buat akhirnya, mari kita renungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab R.A

"Jalanlah berkaki ayam"

Kata-kata di atas bermaksud menyeru manusia supaya sekali-sekala kita perlu bersedia untuk hidup dalam keadaan yang tidak selesa. Semoga ada permata berharga yang dapat saya hadiahkan melalui hasil tulisan ini.

[ ... ]

Thursday, August 7, 2008

Antara Lidah dan Hati

Minggu ini merupakan minggu sambutan penghayatan islam untuk universiti-universiti di sekitar New Zealand. Banyak aktiviti yang dijalankan dan saya pasti semua yang disediakan sudah pasti menjanjikan manfaat buat semua. Lama sudah rasanya saya tidak menulis. Ampun dan maaf sekiranya entry kali ini tidak menepati kehendak pembaca.

Mutiara al-Quran

frames

Al-Quran merupakan suatu mukjizat yang terlalu berharga bagi seorang muslim. Acap kali ulama' menyatakan bahawa ia bukan sekadar buku teori yang menjadi bacaan dan hafalan mereka yang mahu kekal beriman. Tetapi itulah book of ethics and good conduct untuk seorang muslim. Malahan ia lebih dari itu. Dan lebih ajaib lagi, pengajaran di dalam al-Quran bukanlah untuk mereka yang mengambilnya secara sambil lewa. Hanya orang yang benar-benar bersungguh dan ikhlas dalam mencari mutiara nasihat akan menemuinya dalam al-Quran. Kita akan dapati dua manusia yang membaca satu ayat yang sama namun memperoleh dua hasil yang jauh berbeza.

Dewasa ini, pendidikan al-Quran tampak kurang mendapat perhatian golongan muda. Malang sungguh mereka. Inilah kelompok manusia yang sanggup membiarkan hati kosong, lompong dan berongga diisi angin nafsu dan bisikan syaitan. Alangkah sedih. Hati ini perlu dipelihara dari masa ke semasa bagi membolehkan ia terus taat pada Tuhannya.

Kisah Luqman al-Hakim

Di Auckland, saya ada seorang sahabat karib. Namanya Luqman Hakim. Namun saya tidak bermaksud bercerita mengenainya dalam entry ini. Luqman al-Hakim yang saya maksudkan dalam subtopik di atas ialah seorang hamba yang bijaksana dari Habsyah. Hamba yang bukan calang-calang hamba. Biarpun bibirnya tebal dan kulitnya hitam, hamba inilah yang dimuliakan oleh Allah dalam al-Quran dengan mendedikasikan satu surah di atas namanya (rujuk al-Quran, surah 31). SubhanAllah.

Ketika menyelak-nyelak tafsir ibnu-Kathir, saya terjumpa satu kisah yang cantik tentang Luqman bersama tuannya untuk saya kongsikan dengan semua.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, daripada Khalid AR-Raba'i berkata.

"Luqman merupakan seorang hamba dari Habsyah. Dia juga seorang tukang kayu. Pada suatu hari, tuan kepada Luqman menyuruhnya menyembelih seekor kambing. Kemudian, dia meminta Luqman bawakan untuknya 2 bahagian terbaik daripada sembelihan itu. Maka, Luqman pun bawakan kepadanya hati dan lidah. Hari berlalu dan sehinggalah tiba pada satu masa, tuan itu sekali lagi meminta Luqman menyembelih seekor kambing. Kali ini, tuan itu meminta Luqman bawakan padanya 2 bahagian terburuk daripada sembelihan itu. Maka Luqman pun bawakan kepadanya hati dan lidah. Tuan kepada Luqman berasa hairan lalu bertanya,"Bila dulu aku minta kau bawakan 2 bahagian terbaik, hati dan lidah kau serahkan kepadaku. Kini, bila aku minta kau berikan 2 bahagian terburuk, hati dan lidah juga yang kau hulurkan?" lalu jawab Luqman,"Tuan, tiadalah 2 bahagian yang lebih baik daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini baik. Dan, tiada pula 2 bahagian yang lebih buruk daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini buruk.""

Benarlah kata-kata Luqman. Hanya kerana baiknya hati dan lidahlah, sekumpulan manusia boleh disatukan dan dididik menjadi sehebat para sahabat. Tidak dilupakan, angkara hati dan lidah jugalah umat islam terus merasakan azab duniawi sama ada dalam keadaan sedar (seperti kesengsaraan yang dialami ummat di Palestin, Afghanistan, Pakistan, Algeria dan lain-lain) atau dalam tidak sedar (muslim yang terlalai dengan kesenangan dunia seperti di Malaysia, Arab Saudi, UAE dan lain-lain). Lebih berat lagi, hati dan lidah juga bakal bertanggung jawab membawa manusia ke syurga atau ke neraka. Kita diberi kelebihan memilih. Maka pilihlah yang sewajarnya. Pilihan berada di tangan anda..

[ ... ]

Sunday, July 20, 2008

Mati, menghidupkan hati

Memang benar, begitu sukarnya menempuhi cabaran mendidik hati. Suatu konklusi yang lahir atas usaha saya mencuba untuk terus menyucikan segala yang terkandung di dalam hati kecil lagi hina ini. Mengapa penting untuk saya memastikan hati ini suci?

Saranan ini lahir daripada hadis Rasulullah dan beberapa insiden yang telah berlaku sepanjang hidup saya di New Zealand.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda."Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati"

Jika para sahabat masih igt, saya pernah menulis mengenai hati sebelum ini. Sila klik di sini untuk ke artikel tersebut. Dalam entry kali ini, saya berhasrat membawa anda semua dalam suatu perjalanan sukar yang diikuti mereka yang membenarkan Allah sebagai pencipta dengan sungguh-sungguhnya.

Ingatlah Mati, Akan Tunduklah Hati

Saya pasti anda faham pernyataan di atas. Mati bukanlah suatu dongengan orang terdahulu. Setiap kita yakin akan hadirnya mati pada masa yang telah ditetapkan. Tiada satu pun kuasa di dunia yang dapat mengelak daripadanya.

Mengingati mati membolehkan kita insaf akan segala perbuatan kita di dunia. Janganlah kita angankan hidup yang masih panjang kerana esok atau lusa malaikat maut mungkin bakal singgah di hadapan pintu. Singgah menjemput anda kembali bersamanya menemui Allah.

Wahai jiwa-jiwa yang masih hidup, ingatlah mati! Yakinilah hakikat ini. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Seluruh dunia dan segala isinya tidak dapat mengembalikan manusia yang sudah ditakdirkan kembali. Seandainya getaran mula wujud dalam diri, itu merupakan petanda baik bahawa hati anda sudah bersedia untuk dididik agar dekat ia dengan Tuan Empunya diri kita.

Pernah pada satu ketika, para sahabat bertanya kepada Uthman.

"Wahai Utsman, mengapa bila diceritakan kepada kamu tentang hari akhirat, syurga atau neraka, seolah-olah tiada kesan kepada dirimu? Namun, bila kamu mendengar tentang perihal kubur dan siksaannya, kamu akan menangis kenisafan?"

Lalu Uthman R.A menjawab

"Alam kubur merupakan permulaan kepada hari akhirat. Jika baik alam kuburmu, maka apa yang menanti di akhirat akan menjadi lebih baik. Jika buruk alam kuburmu, maka apa yang menanti akhirat adalah jauh lebih buruk"

Mari kita tonton sebuah video yang menggambarkan perihal mati. Semoga kita sama-sama dapat menginsafi akan hakikat ini. (SAYA BENAR2 BERHARAP ANDA MENONTONNYA). Seandainya tontonan video ini diiringi oleh tangisan, maka itu lebih baik.

Sahabat sekalian,

Sekarang mungkin kita menangis menginsafi diri. Namun, selama mana hati-hati kita akan kekal insaf dan beriman? Mungkin ia bertahan selama satu kerdipan mata sahaja. Menjadi tanggung jawab kita kini memastikan ia terus segar dalam iman. Memastikan kita terus istiqamah.

Ingatlah mati sentiasa. Mengingatinya sahaja sudah cukup menjamin orang yang berakal terdorong untuk memperbaiki rupa paras dan ketinggian diri daripada perbuatan murahan a.k.a MAKSIAT. Keyakinan terhadap kematian merupakan hakikat yang pasti membawa manusia berputus asa daripada melakukan perkara jahat. Bahkan ia akan menolak hati manusia agar segera mencapai semua kebaikan selagi mampu.

wallahua'lam

[ ... ]

Wednesday, June 25, 2008

Bersusah-susah dahulu

Banyak yang ingin saya tuliskan. Namun saya tidak pasti di mana harus saya mulakan. Selepas peperiksaan tamat, saya tertarik untuk membaca sebuah buku hasil tulisan Tun Mahathir yang bertajuk The Malay Dilemma. Walaupun buku ini mengundang pelbagai kontroversi, namun saya rasakan ada sesuatu yang boleh saya manfaatkan daripadanya.

The Malay Dilemma

Saya bukanlah pengikut setia perkembangan politik negara. Tetapi saya benar-benar berminat mengkaji tentang bangsa Melayu, bangsa saya. Saya tidak berhasrat menjadi seorang yang racist. Pada saya tiada bangsa lain yang dapat memperbaiki keadaan bangsa Melayu melainkan orang-orang Melayu sendiri. The Malay Dilemma menjadi titik permulaan pengembaraan saya mencari jawapan kepada pelbagai persoalan berkaitan kemunduran bangsa ini.

Sahabat Pembaca,

Setelah membaca buku ini, saya merasakan tulisan saya dalam entry bertajuk Hang Tuah Hilang Taming Sari sungguh tidak matang dan tidak realistik. Banyak perkara yang saya terlepas pandang dalam mengkritik perkembangan bangsa yang pernah terkenal ini (sekarang terkenal juga rasanya...). Maklumlah, ilmu masih cetek, pengalaman masih pendek. Oleh itu, maafkanlah saya.

Melayu Mesti Berubah

Perubahan, suka saya kaitkan dengan keupayaan seseorang untuk mengorbankan keinginan jangka masa pendek bagi menjamin perkembangan masa depan yang lebih baik. Itulah sebabnya bukan mudah untuk kita menyatukan hati sekumpulan manusia. Membawa perubahan kepada suatu bangsa apa tah lagi. Dan kini saya sedar betapa keadaan sekeliling dan sejarah silam seseorang itu benar-benar memainkan peranan dalam membentuk dia yang sekarang.

Kemunduran bangsa melayu bukan hanya berlaku baru-baru ini. Malahan ia sudah bermula semenjak bangsa lain mula menapakkan diri di atas tanah melayu lagi. Banyak faktor yang menyumbang kepada gagalnya orang melayu bersaing dengan bangsa lain terutamanya bangsa cina. Antaranya ialah faktor cuaca, pekerjaan mereka pada masa itu dan sifat malu-malu kucing melayu. Walaupun bunyinya sedikit aneh, namun memang itulah hakikatnya.

Setelah membaca buku ini juga saya sedar akan peri pentingnya kita terus menegakkan hak keistimewaan orang Melayu. Tetapi masalah sebenar kita bukanlah kerana mendapat hak keistimewaan itu. Masalah kita ialah taking it for granted dan tidak memahami tujuan diadakan segala macam bentuk hak keistimewaan ini.

IMG_2639

Melayu dahulu, kerjanya menanam padi. Padi yang ditanam cukup untuk menampung makan seisi keluarga sepanjang tahun. Mereka hanya perlu bekerja berat 2 kali sahaja dalam masa setahun. Lebihan masa dihabiskan entah ke mana. Keadaan pada waktu itu mengizinkan mereka terus hidup permai walaupun demikian cara hidupnya.

Kita sekarang tidak lagi hidup di zaman serba mudah itu. Masa bergerak pantas. Dunia semakin kejam. Yang kuat terus menindas yang lemah. Sukar untuk kita cari si kuat yang suka membantu si lemah. Maka melayu sekarang tidak boleh terus berangan mengimpikan hidup yang semakin mudah pada hari esoknya.

Anda yang sedang bersekolah mungkin merasakan waktu di universiti lebih lepak. Anda yang sedang menuntut di universiti mungkin merasakan waktu bekerja lebih mudah. Anda yang bujang mungkin merasakan hidup berkeluarga kurang masalahnya. Seandainya kesenanganlah yang terus bermain dalam minda kita, maka kita akan terus tertinggal.

Jadi apa yang harus kita lakukan?

Marilah sahabat sekalian, terus berusaha dan bersusah-susah mencari makna kehidupan. Kita mundur kerana kita lupakan Pencipta. Kita mundur kerana kita lupa diri. Bahkan, mungkin bukan lupa tetapi tidak kenal pun diri sendiri. Benarkah anda mengenali diri anda? Kebanyakan kita tidak peduli pun tentang persoalan penting ini.

Masa yang lapang, gunakanlah untuk menuntut ilmu. Jangan bosan dengan ilmu. Ilmu membawa kita jauh daripada kejahilan dan azab neraka yang disebabkan kelemahan diri sendiri. Ilmu mendekatkan kita kepada rahmat yang tidak pernah putus daripada satu-satunya Ilah yang kita sembah dan kita pohonkan segala harapan.

wallahua'lam

[ ... ]

Friday, June 13, 2008

Perjuangan di Kala Peperiksaan

Tidak banyak yang dapat saya ungkapkan untuk entry kali ini. Dan saya pasti tidak banyak pula masa anda untuk membaca apa yang akan saya bebelkan ini. InsyaAllah, akan saya cuba ungkapkan seluruh idea untuk tajuk entry kali ini seringkas mungkin.

Semua orang sedang berada di dalam mode peperiksaan. Masa sungguh penting. Saya pernah ungkapkan perihal ini dalam entry saya yang lepas. (panjang sikit la tapi...)

Sahabat sekalian,

Janganlah kita ambil mudah setiap peperiksaan yang bakal dihadapi. Walau semudah mana, kejayaan anda dalam peperiksaan masih bergantung kepada usaha. Namun begitu, janganlah kita terlalu dibuai arus peperiksaan sehingga terlalai melunaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim pertamanya, dan sebagai manusia umumnya.

Hal ini perlu saya sebutkan kerana bila masuk waktu peperiksaan, semua orang cenderung untuk menjadi "robot-robot penjawab soalan periksa" tanpa perasaan. Rasa simpati terhadap manusia lain paling sedikit dipunyai oleh kita pada waktu ini. Mengapa agaknya ya?

Saya fikir, anda boleh menjawab soalan berbunyi sinisme itu dengan sangat mudah. Ini kerana semua orang sibuk bersiap untuk peperiksaan. Cukupkah itu sebagai justifikasi kepada perilaku sedemikian. Perilaku tidak mempedulikan hal orang lain?

Sahabat sekalian,

Janganlah kita lupa, dunia ini kita kongsi bersama. Tiada kesusahan yang diturunkan Allah untuk kita seorang sahaja tanggungkan melainkan Allah turunkan juga manusia lain sebagai pembantu.Ini membawa saya kepada suatu mesej perjuangan untuk mereka yang mahu terus beriltizam dengan islam.

Manusia yang mahu bergelar mu'min akan meletakkan prioriti dalam urusan hidup pada tempat yang betul. Oleh itu, berjuang untuk terus membaiki hidup manusia melalui islam tidak sepatutnya lepa dari pemikiran mereka ini. Anda masing-masing boleh mencari ratusan dalil naqli menceritakan hal tersebut.

Memang sungguh asing. Bayangkanlah seorang yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan namun terus teguh menyebarkan mesej islam. Pelik bukan? Saya cuba untuk menjadi manusia sedemikian. Ya Allah, bantulah aku!

Islam sungguh asing lebih-lebih lagi pada zaman IT ini. Ke"asing"an ini dihuraikan oleh rasulullah dalam satu hadis mahsyur dan telah dilagukan dalam video yang saya sertakan di bawah.

Tiada perjuangan buat mereka yang tidak mahu renggang dari kerusi malas. Tiada perjuangan buat mereka yang kerap kali bertanya, "apa faedahnya untuk aku??". Perjuangan hanya dibenarkan mereka yang sanggup membuang kepentingan diri sendiri.

Kata-kata Syed Qutb,

"Sesungguhnya kata-kata yang kami ucapkan akan terus tidak bernyawa, mandul, tiada ruh sehinggalah kami syahid kerana kata-kata tadi. Yang mana kata-kata ini kemudiannya tiba-tiba bangkit segar bernyawa dan menghidupkan hati-hati manusia yang telah mati."

Tiada jihad tanpa berjuang.

Teruslah berjuang untuk berjaya dalam peperiksaan. Jangan lupa untuk berjuang demi menyempurnakan hidup manusia di dunia melalui Islam.

>>Ya Allah, Thabbit qulubana 'ala dinik.. wa 'ala tho'atik<<

[ ... ]

Friday, June 6, 2008

Hang Tuah Hilang Taming Sari

School of Engineering

Tidak lama lagi, peperiksaan akan bermula bagi universiti di sekitar Auckland. Berusahalah! Kerna itulah kunci pembuka pintu kejayaan. Jangan malas kerana itulah pemusnah kepada segala cita-cita. Sedang kami di sini melalui hari-hari sibuk melakukan persediaan untuk peperiksaan, saya temui satu berita yang telah menghangatkan suasana di Malaysia. Menyebabkan saya rasa terpanggil berkata sesuatu mengenainya.

__________________________________________________________________________________________________________

Malay students affected

PETALING JAYA: Increasing the quota for non-bumiputras for Public Service Department (PSD) scholarships without increasing the actual number of scholarships has drastically affected the bumiputras, the Umno Youth Education Bureau said.

__________________________________________________________________________________________________________

Kita Hilang Hak?

Itulah yang saya dengar daripada ibu saya semasa menelefonnya tempoh hari. Ini membuatkan saya duduk sebentar dan berfikir sejenak. Benarkah dengan berubahnya kuota biasiswa ini, kita bangsa Melayu akan ditindas bangsa lain suatu ketika nanti? Jika ini berpotensi untuk berlaku, apakah tindakan kita?

Takkan Melayu Hilang Di Dunia!

Saya tidak pasti bila, tetapi Hang Tuah pernah berkata demikian. Bangsa Melayu hanya akan kekal ulung jika mampu menunjukkan daya saing yang tinggi. Sekarang, Melayu tidak ulung! Melayu semakin layu. Ditelan masa, zaman, sifat malas, suka mengharap pada orang lain, tiada rasa tanggung jawab, suka komplen dan sebagainya.

Berkurangnya kuota orang Melayu dalam mendapat biasiswa memang suatu langkah yang memberikan kesan negatif pada kita. Namun, tidak bolehkah kita mengambil langkah proaktif terhadap perkara ini? Mungkin ada antara anda yang mula berasa jengkel dengan saya sekarang.

"Ko bolehla, dah dapat biasiswa! Orang lain yang belum dapat ni macam mana!"

Saya tidak nafikan, memang saya berasa bimbang dengan keadaan ini. Dan apa yang cuba saya sampaikan sekarang ialah supaya kita berfikir lebih jauh ke hadapan. Bukan angan-angan, tapi merancang untuk masa depan. Apakah bila berkurangnya kuota ini bermakna kita orang melayu tidak mendapat hak untuk belajar lebih tinggi lagi? Kita seolah-olah telah kalah jika benar-benar percaya yang demikian. Bagaikan Hang Tuah yang hilang Taming Sarinya.

Taming Sari hanyalah sebilah keris. Tiada kehebatan padanya jika si pengguna merupakan seorang yang buta silat. Begitu juga kesnya dengan biasiswa. Kalau jumlah biasiswa semakin banyak, tetapi mahasiswa melayu tidak tahu menggunakan ia sewajarnya, apa faedahnya?

KERIS PUSAKA BANGSA-pcbajet.blogspot.com

Sudah lama saya perhatikan. Jika seorang pelajar Melayu baru mendapat biasiswa, macam-macamlah yang akan dibelinya. Telefon bimbit ditukar seperti bersalin pakaian. Motosikal baru pun dibelinya. Mungkin ada faedahnya untuk membantu pembinaan diri..hm, saya tidak tahu.

Mari Ambil Langkah Seterusnya

Berhentilah menyalahkan kerajaan atau sesiapa sahaja di luar sana. Tenung dalam-dalam diri anda dan mulakanlah perubahan dari situ. Lebih baik Si Tuah menajamkan langkah silatnya daripada terus bermurung dengan kehilangan Taming Sarinya. Berusaha mendesak kerajaan untuk melakukan sesuatu bukanlah langkah yang diambil seorang rakyat berjiwa proaktif.

Bersedialah Sedari Sekarang

Itulah yang boleh saya katakan. Persiapkan diri kita untuk menjadi seorang yang lebih kompetetif. Malasnya orang Melayu tiada kaitan dengan DNA. Mundurnya orang Melayu tiada kaitannya dengan warna kulit. Kita bukan berada di zaman penjajahan lagi. Kita tidak lagi ditindas seperti datuk dan nenek kita dahulu. Tetapi kita seolah-olah lebih teruk ditindas. Kali ini dijajah sifat selesa. Keselesaan yang mengundang kecelakaan.

Jadilah kita semua bagaikan Rajawali. Mari terbang tinggi mencapai awan. Katakan yang kita mahu berubah dan kita mahu berjaya kerna hasil usaha kita. Andai benar kita berusaha, ia tidak akan disia-siakan Allah. Berjaya setelah keras berusaha memberikan kemanisan yang hanya anda sahaja dapat rasai.

Tiada makhluk di atas muka bumi ini yang berjaya kerana nasib. Takdir yang berlaku adalah hasil daripada tindakan kita. Jika benar kuota orang Melayu dikurangkan dalam peluang ditaja JPA atau mana-mana agensi kerajaan lain untuk melanjutkan pelajaran, kita boleh melakukan yang berikut:

  1. Memberi penekanan kepada pendidikan. Kurangkanlah melakukan perkara tidak berfaedah.
  2. Kurangkan berbelanja untuk hiburan. Menabunglah untuk masa depan pendidikan sendiri atau mungkin anak-anak (kepada pembaca yang sudah ada anak-anak). Duit bonus boleh belanja untuk pergi kursus pembinaan intelektual. Bukan untuk ganti TV Plasma di rumah!
  3. Mengubah gaya pemikiran kepada penyelesai masalah, bukan penambah masalah. Jangan hanya komplen. Fikirkan penyelesaian yang kita sendiri boleh ambil tindakan. Jangan tunggu kerajaan. Jangan tunggu jiran. Jangan tunggu Pensyarah. Jangan tunggu kawan. Sendiri selesaikan selagi boleh.

Wallahua'lam. Ini sekadar pandangan saya. Ia mungkin kurang realistik, tetapi ambillah yang mana yang boleh diambil. Sesungguhnya, saya masih mentah dan masih banyak yang perlu saya belajar. Namun percayalah, cita-cita saya untuk melihat umat ini bangkit tidak akan pudar.

Ya Allah, Engkau tetapkanlah hati ini untuk terus teguh berjuang demi Engkau dan Agamamu.

[ ... ]

Sunday, June 1, 2008

Matlamat Study yang luar biasa.

Assalamualaikum

Antara Ijazah dan Kehidupan

Wakil MSD, Pn. Rose datang melawat pelajar-pelajar Malaysia di Auckland semalam. Banyak yang dapat saya garap tetapi tidak banyak yang boleh saya kongsikan di sini. Namun, satu perkara yang paling menarik perhatian saya ialah bila Pn.rose berkata, "Study tu bukan segala-galanya!"

Saya Setuju

Saya benar-benar setuju dengan kata-kata Pn.Rose itu. Ia sejajar dengan persoalan yang saya tinggalkan pada anda dalam entry yang lepas. Study bukan segala-galanya. Tetapi, tanpa study saya dan anda tiada kedudukan di sisi masyarakat. Namun bukan tingginya kedudukan yang harus kita kejarkan. Study sekadar jalan atau landasan yang membantu kita menuju destinasi abadi. Study dengan matlamat untuk hidup dan mati dengan baik. Bukan study untuk miliki banglo 3 tingkat tanpa memberikan apa-apa sumbangan pada masyarakat. Dalam tafsir fi zilal surah al-Muzammil, Syed Qutb mengherdik hamba Allah yang hidupnya hanya untuk diri sendiri. Orang seperti itu, hidupnya kerdil matinya juga kerdil, kata Syed Qutb.

Matlamat Study yang Ideal

Apakat matlamat study yang ideal? Study kerana akhirat? Dunia ini sekadar tempat persinggahan. Saya pasti anda tahu akan hakikat ini. Cuma, kebanyakan kita selesa membiarkan diri ditipu nilai dunia yang tidak seberapa.

Kembali kepada persoalan yang saya utarakan dalam entry lepas, apakah matlamat akhir study kita sebenarnya?

Persoalan itu merupakan sesuatu yang sangat subjektif untuk diperjelaskan. Setiap orang mempunyai pandangan masing-masing tentang perkara ini. Bagi saya, sekiranya kita meletakkan matlamat study kita untuk membina diri yang lebih baik pada sudut mental agar akhirnya kita dapat membantu agama Allah, itu sudah cukup baik.

Mari sama-sama cuba memahami analogi yang saya bawakan di bawah ini.

Bayangkan anda baru lepas membeli sebiji buah durian. Apakah yang akan anda lakukan dengan buah durian itu?

  1. Makan isinya, dan buang kulit serta bijinya
  2. Buang isi, biji dan kulitnya
  3. Makan isinya, dan simpan bijinya untuk ditanam

Kebanyakan kita akan memilih jawapan pertama kerana malas nak tanam-tanam nie. Inilah yang dibayangkan dengan pelajar yang studynya untuk dunia sahaja. Sekadar mahu kenyang. Matlamat jangka masa sangat pendek.

Manakala, tidak salah kiranya saya katakan ramai juga manusia yang akan memilih jawapan kedua. Dalam erti kata lain, jika kita cenderung membuang matlamat study untuk kejayaan dunia, maka kita juga cenderung untuk tidak study langsung.

Sebahagian kecil di kalangan manusia pula cenderung untuk memilih jawapan ketiga. Mereka meletakkan objektif study untuk mendapatkan manfaatnya di dunia dan akhirat. Makan isinya membuatkan anda kenyang dan bertenaga. Tanam bijinya membolehkan anda mendapat nikmat pokok durian yang akan sentiasa berbuah sesuai dengan musimnya setiap tahun.

Tetapi, bukan mudah untuk menanam biji durian yang menghasilkan pokok. Ini kerana anda perlu mengetahui selok-belok pertanian. Anda juga perlu melaburkan sedikit masa dan tenaga untuk menanam dan menyelenggara biji yang ditanam itu.

Anda tahu, tanam biji boleh menghasilkan pokok. Tetapi anda tidak nampak hasil kepada usaha itu dalam masa yang singkat. Begitulah juga kehidupan akhirat. Anda dan saya tahu kita akan meninggalkan dunia, namun hanya sebilangan kecil di kalangan kita menaruh harapan dan usaha untuk menanam biji "study kerana Allah" yang akhirnya menghasilkan pohon syurga.

syurga

Wallahua'lam. Ini sekadar pendapat peribadi saya. Sebarang kritikan membina amat dialukan. Sekiranya anda mahu menyuarakan pendapat secara peribadi, sila emelkan kepada azmirnadzar@gmail.com.

p/s: selamat berjaya diucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah, sedang dan akan menduduki peperiksaan

[ ... ]

Saturday, May 24, 2008

Untuk Apa Study kita?

Assalamualaikum

Saya ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk meluahkan segala kebingungan yang menguasai diri pada masa sekarang. Saya merasakan seolah-olah hidup tidak menentu. Masa bagaikan tiada kenal erti kasihan pada hamba Allah yang lemah dari segala sudut ini.

Sahabat sekalian,

jamAkhir-akhir ini saya rasakan benar-benar terbeban dengan tanggungjawab akademik yang terpaksa dilaksanakan. Semua projek dan assignment seperti mendesak-desak supaya disiapkan secepat dan sebaik mungkin. Namun saya rasa tidak mampu. Siapalah saya. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk saya terus hanyut dalam dunia akademik penuh pancaroba ini.

Mungkinkah ini suatu percaturan yang dirancang dengan cukup cantik oleh Allah? ProgramNya bagi menyediakan saya sebelum melalui pelbagai onak yang durinya jauh lebih tajam pada masa akan datang? Saya tidak tahu? mungkin juga.. Wallahua'lam. Mungkin artikel hasil tulisan seorang ustaz yang disegani ini dapat memberi anda lebih pemahaman tentang hakikat hidup penuh ujian. Klik di sini.

Dalam kesibukan ini, saya luangkan juga masa untuk muhasabah segala aktiviti sepanjang minggu. Ternyata, apa yang saya jalani minggu ini sedikit tersasar daripada garisan lurus itu. Garisan lurus yang bernama Islam. Orang boleh kata, study juga sebahagian daripada Islam. Tetapi saya melihat pernyataan itu dari suatu sudut yang berbeza.

glasses

Bagaimana study untuk Islam? Mudah sahaja untuk kita mengetahui apakah benar study, hobi atau apa sahaja yang kita lakukan kini kita niatkan kerana Allah. Jawab soalan berikut untuk menilai apa matlamat sebenar study kita. Ambillah sedikit masa untuk merenung jawapan yang datangnya jujur dari diri anda.

Apakah harapan anda setelah tamat belajar?

Jawapan yang biasa diterima untuk soalan tersebut ialah mahu mendapat pekerjaan yang berprestij supaya akhirnya boleh membalas jasa ibu dan ayah. Mereka yang mahu menambah saham akhirat pula turut meletakkan janji untuk menyedekahkan sebahagian harta kepada manusia-manusia faqir dan memerlukan.

Apakah itu semua cukup membuktikan bahawa study kita adalah kerana Allah? Masih jauh wahai sahabat, masih jauh. Pada pandangan saya, jawapan tadi tidak lebih daripada hanya meletakkan pembelajaran kerana Allah dan Islam sebagai matlamat kedua atau mungkin lebih rendah daripada itu.

Jadi, bagaimana sebenarnya matlamat study kerana Allah?

Saya tinggalkan persoalan itu untuk anda fikirkan dahulu.

Wallahua'lam

[ ... ]

Wednesday, May 14, 2008

Air yang Terapung

Air tidak syak lagi merupakan suatu sumber yang amat diperlukan manusia setiap hari. Namun setakat mana kita mensyukuri nikmat itu?

___________________________________________________________________________

Saudaraku! Jadilah orang yang memerhatikan awan
bagaimana pada waktu petang ia berterbangan

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat
adakah kau bersyukur kepada Tuhan akan nikmat

DSCN0871Lalu matahari menguasai laut
untuk dibangkitkan wap air daripadanya

Diangkat airnya ke atas
melepasi bukit bukau yang tinggi

Dan diliputinya udara sejuk
bagi memberhentikan kenaikannya ke langit

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas
maka kita tidak mendapat walau setitis hujan

Dia menghalau tiupan angin dalam keadaan bertaburan
hujan turun selepas awan diperah

kai1scn-6Tidak ada bukit bukau yang dapat menghalang
jika Dia mahu, hujan pasti akan turun walau dimana

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya
dengan takdirNya,ia terus bergerak

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus
menusia pasti akan ditimpa kebinasaan

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan
apakah yang mampu manusia lakukan andai air batu sebesar bukit dijatuhkan?

rangiscn03Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita dalam bentuk titisan
sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah
supaya tidak menjadi penghalang segala makhluk

Tetapi bukan terlalu dalam ia diserap
memadai disimpan dalam bekas besar pada suatu lapisan

Di dalam bekas daripada batu-batuan
ia disimpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran
pentadbiran orang yang tidak mempunyai fikiran?
daripada berhala tuli atau tabiat semulajadi yang taatkan Tuhan?

Atau sebenarnya tiada keraguan, semuanya menjadi saksi
bahawa penjaganya adalah Allah, Tuhan yang Ahad

Berapa kalikah orang Islam ditimpa kemarau
lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

doakuMereka meminta daripada Tuhan jalan penyelesaian
lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka menemui jalan

Adakah kudrat alam atau berhala yang memakbulkan?
atau Yang Maha Mendengar, pelepas segala bala seksaan



-Hasil Pena Abdul Rahman Qadhi-

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB