Monday, July 30, 2007

Akan amankah?


Apa Yang Kupinta ~ Fadwa Touqan ( Sasterawan Palestin)

Tiada lain yg kupinta
selain mati di negaraku
hancur menjadi tanah
menyuburkan rumpai
memberi nyawa
kepada sekuntum bunga
yang akan dipetik
seorang kanak-kanak negaraku


apa yang kupinta
adalah untuk terus
bersama negaraku
sebagai tanah
rumpai
sekuntum bunga….


Assalamualaikum.

Palestin, sebuah negara yang tidak perlu saya perkenalkan lagi kepada semua. Entry ini saya tujukan kepada semua sahabat yang berbangga dengan islam yg anda anuti dan iman yang anda pertahan. Isu ini hanya relevan untuk mereka yang boleh merasakan ikatan atau paling kurang ketahui kita punya tanggung jawab terhadap saudara-saudara kita yang sama-sama berpegang pada ikatan akidah yang satu di Palestin.

Sejarah Palestin ini bermula sejak ratusan tahun dahulu. Namun saya bukanlah org terbaik untuk mengungkap satu-persatu sejarah negara yang dianggap tanah suci namun pada masa yang sama penuh dengan konflik ini.

Saya hidangkan para pembaca dengan suatu klip pendek berkenaan perjuangan saudara saya dan anda juga di Palestin. Saya tidak pernah rasa jemu menonton klip ini malahan setiap kali menontonnya, semangat saya semakin berkobar-kobar, memberontak supaya diri ini melakukan sesuatu. Tidak senang dan tenang rasanya diri ini bersenang-lenang manakala ada saudara saya nun di sana disembelih, dihina, diperkosa dan dianiaya tanpa sedikit perasaan belas pihak penzalim.


Saya harap klip pendek itu dapat memberi gambaran kasar kepada anda jerih-perih dibuang daripada negara sendiri. Jumaat lepas saya berpeluang mengikuti talk yang disampaikan oleh George Galloway. Bagi yang tidak mengenalinya, sila klik di sini. Mendengar "ceramah" yang disampaikan membuatkan saya rasa malu dengan diri sendiri dan malu dengan umat islam di serata dunia. Bagaimana boleh terjadi seorang MP dari British ini lebih mengetahui dan lebih perihatin tentang apa yang sedang berlaku di Palestin. Lebih ironi apabila dia dengan yakin mengatakan isu Palestin ini sentiasa berada dalam hati dan bermain-main di bibir umat Islam semuanya. Andai benar apa yang dikatakan, sudah pasti tiada umat Islam yang sekadar islam pada nama.


Sedarkah kita semua bahawa konflik di Palestin ini hanya akan berakhir apabila umat islam di Palestin khususnya dan di serata dunia amnya mengambil hanya islam sebagai cara hidup. Seorang rabi yahudi pernah berkata,


"Janganlah umat Islam bermimpi untuk mengalahkan Yahudi sehingga bilangan mereka yang solat subuh berjemaah di masjid bersamaan bilangan umat Islam ketika solat Jumaat."

Moche Dayan (bekas menteri pertahanan Israel) berkata:

"terdapat 3 kelemahan umat islam kini yang ketara. Pertama, tidak mengkaji sejarah umat Islam dahulu. Kedua, tidak punyai perancangan yang baik. Ketiga, MALAS..."

Saya fikir, dua keterangan yang saya quote daripada 2 tokoh yahudi itu cukup mencelikkan mata anda semua bahawa secara tidak langsung, konflik di Palestin berpunca dari kelemahan kita juga yang sama-sama membawa islam ke mana-mana. Baik di Malaysia, New Zealand, Australia, United Kingdom, Ireland, Amerika mahupun dimana sahaja tempat anda berada.


Tidakkah kita rasa malu bila ada pihak2 fundamentalis, ekstremis yahudi mengetahui bahawa ramai umat Islam yang malas solat subuh?? Kalau solat pun di rumah. Itu pun subuh gajah. Ntah-ntah subuh dinosaur.


Tidakkah kita rasa malu bila puak-puak yahudi itu tahu yang umat Islam tidak mengkaji sejarah sendiri?? Sebaliknya sibuk dengan perkembangan bintang bola sepak, pelakon dan penyanyi yang tidak pernah hirau pun mengenai diri kita. Sejarah membawa kita mengenali peribadi seterusnya mendidik kita mengenai ketamadunan. Mengajar kita erti kehidupan. Apa pula yang di ajar oleh Beckham yang baru berpindah ke Amerika, Liverpool yang disarati pemain berkaliber, Mawi yang putus tunang dan bintang AF lelaki terbaru kene sampuk???!!??


Tidakkah kita rasa malu bila pengganas zionis tahu yang umat Islam hidupnya tidak tersusun. Segalanya dibuat dengan sambil lewa. Tidak pernah merancang sesuatu aktiviti dengan baik. Bila lebuh raya lambat dibina, semua orang akan menuding jari pada pihak pengurusan yang tidak tersusun dan korup. Orang yang menuding jari itu pula bagaimana? Stokin pun kadang-kadang lupa di mana letaknya...


Tidakkah kita rasa malu bila puak yang menganiaya saudara-saudara kita di Palestin itu mengatakan umat Islam MALAS?!? Bila diminta sertai program2 pembinaan sahsiah dan jatidiri, pada ketika itu datang sakit perut. Badan yang sakit, tiba-tiba jatuh demam. Assigment pula hanya dibuat 1 jam sebelum due. Kalau tak tahu buat, tiru member sudeeh..


Sahabat sekalian, masanya sudah tiba untuk mengambil tindakan dan bukan sekadar menyalahkan orang lain sahaja. Sampai bila borak-borak kosong kita yang menyalahkan pergaduhan HAMAS-Fatah boleh menyumbang ke arah keamanan? Sampai bila kita mahu menyalahkan orang-orang Arab yang tidak mahu membantu Palestin? Sembang-sembang itu tidak akan membawa faedah kepada mana-mana pihak sekalipun.


Kini, kita perlu mengatur langkah yang lebih bijak dalam menangani masalah ini. Sama-sama menyemai kesedaran dan menyanggah segala yang buruk dikatakan oleh Moche Dayan dan rabi yahudi tadi. Bermulalah dengan membaiki diri sendiri. Mulalah mengkaji sejarah islam. Susunlah segala urusan agar lebih teratur. Tanamkan sikap bersungguh-sungguh dan rajin. Paling praktikal sekali, marilah kita bersama-sama menyemai cinta kepada berjemaah dalam solat. Mungkin anda tidak nampak kesan kepada perubahan yang anda lakukan ini secara langsung terhadap keamanan Palestin. Namun cuba bayangkan sekiranya umat Islam di seluruh dunia bersama-sama berubah seiring dengan perubahan kita. Saya pasti, tiada siapa yang berani memijak kepala kita lagi. Pada saat itulah, kemenangan akan kembali berpihak kepada Islam di mana sahaja. Baik di Palestin, Iraq, Chechnya, Indonesia,Pakistan dan sebagainya.


Sebelum mengakhiri mari sama-sama hayati serangkap puisi karangan S. Othman Kelantan bertajuk Epilog Suatu Perjuangan.


Terlewatkah?
Menerka bahaya
yang datang menggila
menyepikan episod duka
epilog perjuangan
prolognya perpaduan
serumpun manusia yang aman.


Ke arah menjana pemikiran belia kritis, pelaksanaan berkesan.

[ ... ]

Thursday, July 26, 2007

Pantun Nasihat

Assalamualaikum


Alhamdulillah, selamat bertemu kembali saya ucapkan kepada sahabat pembaca sekalian.


Menjadi seorang penulis blog, menyedarkan saya tentang pelbagai perkara. Antaranya ialah bagaimana menulis mengikut kehendak pembaca yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia. Namun saya pasti akan satu perkara, kebanyakan kita memilih untuk membaca entry yang tidak terlalu panjang namun mencapai maksud.


Bagi meneruskan penulisan, suka untuk saya membawa rakan-rakan kembali menghayati bait-bait indah pantun nasihat.


Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati


Pantun ini mengemukakan dua pengajaran penting untuk kita sama-sama renungkan.

  1. Sifat merendah diri
  2. Menjaga hubungan baik sesama manusia

Tampak mudah, namun sejauh manakah kita mengamalkannya? Merendah diri merupakan suatu sifat mulia yang sepatutnya setiap manusia miliki. Manusia merupakan salah satu daripada jutaan makhluk Tuhan. Makhluk Tuhan meliputi segala yang wujud di alam semesta ini, baik sebesar-besar galaksi, mahupun sekecil-kecil semut. Namun yang menghairankan, manusialah antara makhluk Tuhan yang paling angkuh.

Renungilah firman Allah dalam surah Luqman : 18


18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.



Seterusnya ialah kepentingan menjaga hubungan baik sesama manusia. Sukar untuk kita sama-sama bayangkan keadaan kita pabila dibiarkan keseorangan dalam suatu tempat yang tiada manusia lain tinggal di dalamnya. Sudah sunnahNya menentukan kita perlu hidup saling bantu-membantu. Jangan sesekali rasa bakhil untuk berkorban sedikit bagi kesenangan orang lain. Sebaik-baik bantuan untuk sahabat lain pula ialah dengan memberikan peringatan agar kita sama-sama hidup dalam keadaan terpandu. Bukan sekadar hidup untuk menghabiskan saki-baki usia yang dikurniakan kepada kita.


Sebagai penutup, renungi pula petikan pantun yang seterusnya:


Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga


Semoga sedikit peringatan ini untuk kita sama-sama amalkan.


Ke arah menjana pemikiran belia kritis, tindakan berkesan


[ ... ]

Thursday, July 12, 2007

Aktiviti kami

Bismillah..
Assalamualaikum wbt..

Hari ini, saya tidak bermaksud menulis apa-apa untuk kita sama-sama renungkan. Entry kali ini sekadar ingin berkongsi sebuah video yang memberi gambaran kasar universiti-universiti sekitar New Zealand serta kehidupan pelajar Malaysia yang belajar di University of Auckland dan Auckland University of Technology.

Video ini sebagai suatu tanda penghargaan saya buat rakan-rakan yang telah sama-sama mengharungi susah senang sepanjang tempoh pembelajaran di negara orang ini. Ucapan terima kasih buat sahabat yang tidak jemu-jemu memberikan bantuan, nasihat, dorongan, sokongan dan sebagainya. Semoga ikatan ukhuwwah yang sudah kita jalinkan menjadi semakin teguh hari demi hari. Bersama-sama kita mendoakan yang terbaik buat semua

Semoga anda mendapat sesuatu daripadanya.






Rast, Maafkan Diriku

Suatu ketika kita bersama
Melukis mimpi indah
Setia bersama tempuhi segala
Mewarna suka duka
Masa berlalu menguji kita
Keegoanku menyala sengketa

Maafkanlah diriku oh teman
Kerna melukakanmu
Di manakah dirimu oh teman
Ku rasakan kehilanganmu
Sekian lama mencari
Namun kau tak ku temui

Jalanan ini
Ku rasakan sepi
Tanpa kau di sisi
Satu persatu
Langkahku membatu
Kenangan lalu membeku

Saat kau pergi penuh kecewa
Angkuh diriku menurut rasa

Saban hari ku berdoa
Pada yang Kuasa
Kita kan bersua
Untukku menebus segala

Kau terus ku jejaki
Namun kau tak ku temui

  • Untuk download, sila klik di sini
  • Video ini juga boleh didapati dalam laman Google Video. Sila klik di sini
[ ... ]

Sunday, July 8, 2007

Dari mana hendak ke mana?

Assalamualaikum

Setelah sekian lama pemilik blog ini menyepi, kini muncul kembali bagi meneruskan tugas menyampaikan peringatan untuk diri sendiri dan kepada khalayak pembaca yang lain. Kita telah melalui perbincangan dalam pelbagai aspek di dalam blog ini. Saya sentiasa berdoa agar matlamat saya untuk bersama-sama sahabat pembaca yang lain ke arah pembentukan diri yang lebih baik tercapai dengan izinNya.

Dari mana hendak ke mana? Saya amat berharap sahabat pembaca mendapat sedikit input daripada hasil tulisan saya yang tidak seberapa berkenaan menginsafi kejadian kita dalam 2 entry sebelum ini. Input itu kini, perlu kita cernakan dalam amalan hidup seharian. Bercerita tentang hidup seharian, saya selalu terfikir mengapa kebanyakan manusia (termasuk saya sendiri) tidak dapat menggunakan masa 24 jam yang kita ada dengan sebaiknya. Sedangkan, hayat kita sebenarnya sangatlah pendek. Kita tidak tahu pun sebenarnya sampai bila hayat masih diberi izin dikandung badan. Oleh itu, bukankah lebih baik andai kita dapat menggunakan hari-hari yang kita lalui dengan penuh manfaat?

Teringat saya pada suatu kisah berkenaan para sahabat yang telah mendahului kita dengan kehidupan yang penuh jaya. Pada suatu hari, seorang sahabat Rasulullah pergi berjumpa dengan Saidina Umar bagi mendengar perihal bagaimana beliau menjalani kehidupan setiap hari. Maka berkata Umar,

"Apabila aku hidup di pagi hari, aku tidak mengharap akan hidup sampai ke petang".

Seterusnya sahabat tersebut berlalu dan menuju ke arah Saidina Abu Bakar pula bagi menanyakan perihal yang sama yang ditanyakan pada Saidina Umar. Berkata Abu Bakar,

"Apabila aku menghela satu nafas, aku tidak berharap untuk menghela nafas yang seterusnya".

Kita pula bagaimana? Bukan sahaja yakin akan hidup seharian, malah meletakkan angan-angan yang panjangnya menjangkau puluhan tahun pula. Tidak salah meletakkan angan-angan, namun biarlah kene pada tempatnya. Kalaulah angan-angan kita sekadar mahukan kereta dan rumah yang lebih besar, maka akan sia-sialah kehidupan kita. Ada orang kata, angan-angan adalah permulaan kepada setiap cita-cita. Tetapi, masalah kita sekarang, angan-angan itu tidak membawa kita kemana-mana pun. Marilah kita sama-sama mengambil mutiara Rasulullah dan para sahabat.

Kehidupan yang berjaya hanya berlaku bila kita meletakkan matlamat jangka masa panjang yang melibatkan pembangunan manusia walaupun setelah kita tiada lagi. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat sehingga tersebarnya islam ke serata pelosok dunia. Taburkanlah usaha ke arah membawa pembaikan kepada kehidupan manusia sejagat. Walau kesan yang kita tinggalkan tidaklah seberapa, namun itulah bekalan kita pada hari di mana semua umat manusia akan mengetahui pengakhiran masing-masing.


Sahabat pembaca, sejarah telah membuktikan bahawa manusia sentiasa mencari suatu sistem yang membawa kepada pembangunan manusia dan ketamadunan. Namun, hampir semua sistem yang dicipta manusia akan hanya membawa keuntungan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Yang lain pula, akan dibinasakan, dihenyak, ditindas dan dirosakkan! Lahir islam, menunjukkan yang sebaliknya. Islam mampu membawa ketamadunan manusia di samping memberi keadilan kepada setiap makhluk yang hidup melata di atas muka bumi. Maka dengan itu, jelaslah bahawa lahirnya kita dari Allah. Allah pula telah menetapkan islam sebagai cara hidup. Dan berpandukan islam, maka kepada Allah jugalah kita akan kembali dengan jayanya.

Sebentar tadi, kita telah sama-sama perhatikan bagaimana para sahabat tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk hidup lama. Implikasi kepada hal yang demikian ialah mereka akan berusaha mencapai matlamat pembinaan sahsiah diri dan pembentukan kehidupan dan ketamadunan manusia dengan habis upaya pada hari yang mereka sedang lalui. Sudah tentu, usaha yang dicurahkan adalah sangat besar memandangkan masing-masing mahu menyediakan diri sebelum bertemu dengan Pemilik Hari Pembalasan kelak.

Sebelum mengakhiri entry kali ini, marilah sama-sama kita hayati kata-kata Saidina Ali,

"Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya."

Wallahua'lam

Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan.






[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB