Sunday, July 8, 2007

Dari mana hendak ke mana?

Assalamualaikum

Setelah sekian lama pemilik blog ini menyepi, kini muncul kembali bagi meneruskan tugas menyampaikan peringatan untuk diri sendiri dan kepada khalayak pembaca yang lain. Kita telah melalui perbincangan dalam pelbagai aspek di dalam blog ini. Saya sentiasa berdoa agar matlamat saya untuk bersama-sama sahabat pembaca yang lain ke arah pembentukan diri yang lebih baik tercapai dengan izinNya.

Dari mana hendak ke mana? Saya amat berharap sahabat pembaca mendapat sedikit input daripada hasil tulisan saya yang tidak seberapa berkenaan menginsafi kejadian kita dalam 2 entry sebelum ini. Input itu kini, perlu kita cernakan dalam amalan hidup seharian. Bercerita tentang hidup seharian, saya selalu terfikir mengapa kebanyakan manusia (termasuk saya sendiri) tidak dapat menggunakan masa 24 jam yang kita ada dengan sebaiknya. Sedangkan, hayat kita sebenarnya sangatlah pendek. Kita tidak tahu pun sebenarnya sampai bila hayat masih diberi izin dikandung badan. Oleh itu, bukankah lebih baik andai kita dapat menggunakan hari-hari yang kita lalui dengan penuh manfaat?

Teringat saya pada suatu kisah berkenaan para sahabat yang telah mendahului kita dengan kehidupan yang penuh jaya. Pada suatu hari, seorang sahabat Rasulullah pergi berjumpa dengan Saidina Umar bagi mendengar perihal bagaimana beliau menjalani kehidupan setiap hari. Maka berkata Umar,

"Apabila aku hidup di pagi hari, aku tidak mengharap akan hidup sampai ke petang".

Seterusnya sahabat tersebut berlalu dan menuju ke arah Saidina Abu Bakar pula bagi menanyakan perihal yang sama yang ditanyakan pada Saidina Umar. Berkata Abu Bakar,

"Apabila aku menghela satu nafas, aku tidak berharap untuk menghela nafas yang seterusnya".

Kita pula bagaimana? Bukan sahaja yakin akan hidup seharian, malah meletakkan angan-angan yang panjangnya menjangkau puluhan tahun pula. Tidak salah meletakkan angan-angan, namun biarlah kene pada tempatnya. Kalaulah angan-angan kita sekadar mahukan kereta dan rumah yang lebih besar, maka akan sia-sialah kehidupan kita. Ada orang kata, angan-angan adalah permulaan kepada setiap cita-cita. Tetapi, masalah kita sekarang, angan-angan itu tidak membawa kita kemana-mana pun. Marilah kita sama-sama mengambil mutiara Rasulullah dan para sahabat.

Kehidupan yang berjaya hanya berlaku bila kita meletakkan matlamat jangka masa panjang yang melibatkan pembangunan manusia walaupun setelah kita tiada lagi. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat sehingga tersebarnya islam ke serata pelosok dunia. Taburkanlah usaha ke arah membawa pembaikan kepada kehidupan manusia sejagat. Walau kesan yang kita tinggalkan tidaklah seberapa, namun itulah bekalan kita pada hari di mana semua umat manusia akan mengetahui pengakhiran masing-masing.


Sahabat pembaca, sejarah telah membuktikan bahawa manusia sentiasa mencari suatu sistem yang membawa kepada pembangunan manusia dan ketamadunan. Namun, hampir semua sistem yang dicipta manusia akan hanya membawa keuntungan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Yang lain pula, akan dibinasakan, dihenyak, ditindas dan dirosakkan! Lahir islam, menunjukkan yang sebaliknya. Islam mampu membawa ketamadunan manusia di samping memberi keadilan kepada setiap makhluk yang hidup melata di atas muka bumi. Maka dengan itu, jelaslah bahawa lahirnya kita dari Allah. Allah pula telah menetapkan islam sebagai cara hidup. Dan berpandukan islam, maka kepada Allah jugalah kita akan kembali dengan jayanya.

Sebentar tadi, kita telah sama-sama perhatikan bagaimana para sahabat tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk hidup lama. Implikasi kepada hal yang demikian ialah mereka akan berusaha mencapai matlamat pembinaan sahsiah diri dan pembentukan kehidupan dan ketamadunan manusia dengan habis upaya pada hari yang mereka sedang lalui. Sudah tentu, usaha yang dicurahkan adalah sangat besar memandangkan masing-masing mahu menyediakan diri sebelum bertemu dengan Pemilik Hari Pembalasan kelak.

Sebelum mengakhiri entry kali ini, marilah sama-sama kita hayati kata-kata Saidina Ali,

"Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya."

Wallahua'lam

Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan.






0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB