Thursday, July 26, 2007

Pantun Nasihat

Assalamualaikum


Alhamdulillah, selamat bertemu kembali saya ucapkan kepada sahabat pembaca sekalian.


Menjadi seorang penulis blog, menyedarkan saya tentang pelbagai perkara. Antaranya ialah bagaimana menulis mengikut kehendak pembaca yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia. Namun saya pasti akan satu perkara, kebanyakan kita memilih untuk membaca entry yang tidak terlalu panjang namun mencapai maksud.


Bagi meneruskan penulisan, suka untuk saya membawa rakan-rakan kembali menghayati bait-bait indah pantun nasihat.


Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati


Pantun ini mengemukakan dua pengajaran penting untuk kita sama-sama renungkan.

  1. Sifat merendah diri
  2. Menjaga hubungan baik sesama manusia

Tampak mudah, namun sejauh manakah kita mengamalkannya? Merendah diri merupakan suatu sifat mulia yang sepatutnya setiap manusia miliki. Manusia merupakan salah satu daripada jutaan makhluk Tuhan. Makhluk Tuhan meliputi segala yang wujud di alam semesta ini, baik sebesar-besar galaksi, mahupun sekecil-kecil semut. Namun yang menghairankan, manusialah antara makhluk Tuhan yang paling angkuh.

Renungilah firman Allah dalam surah Luqman : 18


18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.



Seterusnya ialah kepentingan menjaga hubungan baik sesama manusia. Sukar untuk kita sama-sama bayangkan keadaan kita pabila dibiarkan keseorangan dalam suatu tempat yang tiada manusia lain tinggal di dalamnya. Sudah sunnahNya menentukan kita perlu hidup saling bantu-membantu. Jangan sesekali rasa bakhil untuk berkorban sedikit bagi kesenangan orang lain. Sebaik-baik bantuan untuk sahabat lain pula ialah dengan memberikan peringatan agar kita sama-sama hidup dalam keadaan terpandu. Bukan sekadar hidup untuk menghabiskan saki-baki usia yang dikurniakan kepada kita.


Sebagai penutup, renungi pula petikan pantun yang seterusnya:


Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga


Semoga sedikit peringatan ini untuk kita sama-sama amalkan.


Ke arah menjana pemikiran belia kritis, tindakan berkesan


0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB