Saturday, November 8, 2008

Cikgu oh cikgu

Kami masih lagi berada dalam musim demam exam. Ada yang dah sembuh (sebab dah habis). Ada yang berehat sekejap (contohnya saya). Ada pula yang sedang bertungkus-lumus menghadamkan nota-nota yang disimpan semenjak mula semester 2 beberapa bulan lepas. Macam-macam perangai..

Apa-apa pun saya ingin mengucapkan sekalung tahniah buat sahabat saya yang sudah berjaya bergelar doktor. Doktor Azri Bin Fikry. Saya tumpang gembira dengan kejayaan anda. Kepada yang bakal menjadi jurutera, guru, akauntan, ahli ekonomi dan sebagainya, teruskanlah usaha anda. Garisan penamat sudah tidak jauh dari capaian kalian.

garden fence - coloursplash

Berat sungguh rasanya bila mahu menulis. Berhari-hari saya fikirkan, apa yang mahu saya tuliskan untuk entry blog yang terbaru ini. Bermacam-macam jenis buku dan blog saya baca, namun masih kebuntuan. Berita pun ada pelbagai. Kemenangan Barack Obama salah satu daripadanya. Cukuplah liputan ribuan jenis berita yang rata-ratanya menyatakan betapa bersejarahnya Pilihanraya US kali ini. Tak perlu saya tambah lagi rasanya.

Menuntut Ilmu lalu menyampaikan

Payahnya menulis kalau hendak dibandingkan dengan membaca. Menulis boleh jadi mudah seandainya hasil tulisan itu penuh kata-kata kosong yang tidak menjana pemikiran. Begitulah juga kisahnya dengan mereka yang cuba menyampaikan ilmu buat orang lain. Seandainya apa yang disampaikan itu tidak membawa apa-apa harga yang signifikan ke arah pembentukan diri dan mentaliti, maka elok sahaja si penyampai menilai kembali apa yang telah disampaikannya. Memang mudah berkata-kata kosong.

Ini membawa saya mengenang zaman persekolahan saya. Zaman remaja saya habiskan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (1998 - 2002). Banyak kenangan pahit dan masin yang saya lalui sepanjang lima tahun persekolahan. Yang manis pun ada, hehe. Suasana sekolah yang "unik", kawan-kawan yang "best" serta cikgu-cikgu yang "caring".

6545

Pembelajaran di kelas boleh jadi sangat menarik dan boleh pula jadi sangat me"mengantukkan". Memang lumrah remaja yang mudah bosan. Saya tidak berhasrat untuk mengutuk atau menghina mana-mana guru. Saya cuma mahu guru atau bakal guru yang membaca entry ini mengkaji kembali prestasi sistem pengajian sekolah-sekolah di Malaysia. Tulisan kali ini adalah hasil pemerhatian saya dalam kuliah-kuliah yang saya hadiri di sini lalu saya kaitkan dengan dunia persekolahan saya.

Ramai guru yang masuk ke kelas dan sekadar menulis nota di atas papan hitam sahaja. Murid yang rajin sudah pasti akan menyalin nota-nota ini sepenuhnya. Yang rajin separuh akan salin separuh. Yang malas pula tidak peduli untuk menyalin terus walau sebilah huruf. Guru-guru seperti ini pada pendapat saya hanya berminat menghabiskan syllabus sahaja. Pada mereka, objektif sudah tercapai sekiranya syllabus berjaya dimuntahkan kepada pelajar tanpa mengira sama ada mereka faham atau tidak. Saya harap saya tidak berkasar sekiranya guru-guru sebegini saya katakan tiada matlamat dalam mengajar.

Mukai_Hiro_057lr

Ada pula guru yang sangat prihatin dengan kecemerlangan prestasi akademik anak murid. Guru seperti ini lebih baik. Mereka ada rasa tanggungjawab terhadap anak didik mereka. Namun masih ada sedikit kekurangan. Kadang-kadang perihatinnya mereka adalah kerana mahu menaikkan nama baik sekolah atau mahu dilihat sebagai guru cemerlang agar di kemudian hari mudah untuk naik pangkat. Guru sebegini mempunyai matlamat dalam kerjaya mereka cuma matlamat itu kurang tepat pada pandangan peribadi saya.

Secara peribadi, saya kurang selesa dengan guru-guru yang suka membandingkan prestasi sekolah mereka dengan prestasi sekolah lain yang lebih cemerlang akademik mereka. Apakah hadirnya seseorang itu di sekolah semata-mata untuk menaikkan status sesebuah institusi persekolahan?

Guru yang terbaik pada pandangan saya ialah mereka yang benar-benar concern dengan perkembangan intelektual anak murid. Mereka mengajar untuk mematangkan fikiran remaja yang suka memberontak. Mengajar untuk menyediakan remaja bagi menghadapi dunia serba mencabar. Marah-memarah dan rotan-merotan tidak cukup untuk mengekang unsur jahat dalam diri seseorang untuk membisikkan ajakan-ajakan kemungkaran. Apa yang diperlukan ialah bimbingan daripada seorang guru yang ikhlas.

Mata pelajaran yang diajar sebenarnya tidak pernah menjadi penghalang.Guru-guru sains sudah pasti dapat menimbulkan pelbagai kesedaran kepada pelajarnya tentang hakikat-hakikat penciptaan alam yang menakjubkan. Guru Matematik pula boleh menggunakan kebolehan menganalisa secara kuantitatif dan kualititatif untuk menilai situasi anak murid dengan lebih baik. Guru Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris boleh menggunakan segala kepakaran memahami kisah hidup dan interaksi manusia sejagat untuk mengajar anak murid mereka realiti kehidupan dan persediaan untuk menghadapinya dengan baik.

Guru agama pula janganlah memandang peranan anda yang paling kurang penting di antara semua. Bahkan, guru agamalah yang bertanggung jawab memanusiakan manusia. Manusia ini tidak lebih daripada haiwan yang pandai berfikir sekiranya Tuhan tidak dikenali. Sepertimana firman Allah dalam al-Quran 7:179.

179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Manusia yang hidupnya tidak dipandu wahyu, akan dipandu oleh akal terbatas yang sentiasa diracun syaitan dan nafsu. Menjadi tanggung jawab guru agama untuk memastikan pelajar-pelajarnya dapat mengenal Tuhan (paling kurang).

Sahabat sekalian,

Janganlah diambil artikel ini sebagai satu hujah untuk menyalahkan guru dalam semua kegagalan remaja yang boleh kita lihat dewasa ini. Saya cuma mengimpikan suatu suasana pendidikan yang lebih baik daripada apa yang saya dapati dahulu dan sekarang.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga buat semua guru yang pernah mengajar saya sedari sekolah rendah sehinggalah di menara bergading ini. Anda semua punya sumbangan masing-masing ke arah menjadikan saya seorang insan, dan bukan pula seekor manusia tanpa jati diri.

2 comments:

Afidah said...

Cikgu tetap cikgu sampai ke tua. Tak kiralah samada anak muridnya jadi PM, doktor, peguam, dan apa2 sajalah pekerjaan yang gah2 tapi cikgu tetap di situ tempatnya. Tak ramai orang nak jadi cikgu especially kat Malaysia sebab gaji ciput berbanding dengan cikgu kat luar negara ni. Beban tugas pun jauh berbeza, manalah larat nak cater satu kelas dengan 30-40 orang tapi kat sini ada tu satu kelas cuma 5 @ 6 orang jer. Sebenarnya banyak constrain dalam meningkatkan pengajaran kat Malaysia tapi alhamdulillah rasanya masih bagus lagi berbanding di NZ ni. Ooo banyak nak cerita kalau sentuh bab pendidikan ni....seronok kalau bercakap hal ini bila boleh berkomunikasi 2 hala dan bukannya satu hala.

azmir.nadzar said...

saya setuju..

apa khabar kak?hehe

terima kasih untuk komen tu. apa2 sekalipon, saya yakin perubahan tu kita boleh buat. cuma kadang2 kita takut nak mencuba. memang itulah penyakit org dewasa termasuk saya. kadang2 ada baiknya kalau kita berfikir macam budak2 balik. takde yg membataskan kemahuan diorg kecuali imaginasi.

kalau semua bersedia untuk berubah ke arah lebih baik, tak mustahil segalanya boleh dibaiki

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB