Sunday, August 17, 2008

Jangan Manja

Geli-geleman sebahagian kita bila mendengar ada mana-mana lelaki dewasa yang bersifat "manja". Salahkah bersikap manja? Sebahagian manusia merasakan sikap ini hanya rasional kepada kanak-kanak sahaja. Saya juga berpendapat demikian. Sebagai anak lelaki paling tua dalam keluarga, saya sendiri rasa kurang selesa dengan sikap ini. Namun, saya tidak nafikan, sifat ini turut membawa kesan positif kepada kita.

Ada yang mungkin mahu pertahankan bahawa sikap manja kadang-kadang perlu bagi mewujudkan rasa kasih dalam institusi keluarga. Benar, tetapi ada batasnya. Ada batasnya bagi seorang ibu yang memanjakan anaknya. Ada batasnya bagi seorang suami yang memanjakan isterinya. Lebih tinggi batasnya bagi individu yang memanjakan dirinya sendiri!

Jangan manjakan diri sendiri

Mereka yang cenderung untuk memanjakan diri sendiri adalah mereka yang lemah. Tiada pengecualian dalam hal ini. Bagaimana keadaannya seseorang itu memanjakan diri sendiri?

  1. Malas
  2. Takut kesusahan. Hanya inginkan kesenangan.
  3. Tidak mahu berubah ke arah lebih baik. Selesa dengan apa yang ada sekarang.
  4. Perlu sentiasa rasa cukup dan puas.
  5. Bila menilai, untuk kitalah bahagian yang lebih besar.

Perhatian! Pandanglah setiap satu perkara yang disenaraikan di atas melalui lensa akhirat, kecuali untuk perkara 4 dan 5. Kedua-dua perkara itu saya merujuk secara langsung kepada worldly possessions. InsyaAllah, saya akan perincikan perkara 4 secara ringkas dalam entry ini.

Perlu sentiasa rasa cukup dan puas (makan)

Menjadi fitrah, apabila makan kita mahu kenyang. Apabila minum, biar hingga hilang hausnya. Apabila tidur, biar cukup 8 jam sehari. Tiada yang haramnya dengan makan, minum dan tidur sehingga puas. Tetapi, akibat terlalu "mencukupkan" ini, menyebabkan kita menjadi lemah. Inilah salah satu sindrom manusia yang memanjakan diri sendiri.

Sejarah telah membuktikan, manusia yang cemerlang di atas muka bumi ini ialah mereka yang kurang makan, minum dan tidurnya. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah mengatakan bahawa

"Bejana (bekas) yang paling buruk pernah diisi oleh seorang anak adam ialah perutnya!" [at-Tirmidzi]

Siapakah anak adam? Kitalah tu!!

Di dalam kitab al-Muqaddimah, Ibn Khaldun telah mengelaskan dunia ini kepada 7 bahagian yang berbeza. Di antara ketujuh-tujuh bahagian itu, ada zon yang subur tanah serta keadaan sekelilingnya, ada zon yang kering dan panas secara ekstrim, dan ada pula yang sangat sejuk.

Menurut Ibn Khaldun, mereka yang tinggal di kawasan yang subur serta terdapat banyak sumber makanan, cenderung untuk menjadi orang yang gemuk dan kurang cerdas. Golongan ini juga agak malas kerana mereka tidak perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan. Oleh sebab tidak perlu banyak berusaha, mereka lebih banyak tidur dan suka dengan hidup yang selesa. Golongan ini lemah fizikal dan mental. Seandainya diuji oleh Allah dengan kemarau atau putus bekalan makanan, mereka dijangka hanya mampu berikhtiar utk terus hidup bagi suatu jangka masa yang pendek. Inilah mereka yang banyak memanjakan diri sendiri.

Mereka yang tinggal di kawasan yang kurang subur pula mempunyai sumber makanan yang terhad. Ada antara mereka yang hanya hidup dengan susu dan sayuran. Mereka juga biasa berada dalam keadaan kelaparan dan perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan yang sekadar cukup untuk hidup. Golongan ini dikatakan boleh bertahan dengan lebih lama sekiranya diuji dengan kelaparan. Ibn Khaldun menyatakan bahawa mereka ini lebih sihat tubuh dan lebih bijak akal fikiran. Inilah mereka yang TIDAK memanjakan diri.

Kesimpulannya, manusia yang tidak bertindak memanjakan diri pada sudut mencukupkan makanannya adalah lebih sihat dan bijak. Buat akhirnya, mari kita renungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab R.A

"Jalanlah berkaki ayam"

Kata-kata di atas bermaksud menyeru manusia supaya sekali-sekala kita perlu bersedia untuk hidup dalam keadaan yang tidak selesa. Semoga ada permata berharga yang dapat saya hadiahkan melalui hasil tulisan ini.

4 comments:

Imran Razali said...

Jom2 jadi mcm orang kiwi jom , gi uni kaki ayam :p

azmir.nadzar said...

tp kat NZ jgn kaki ayam..
nnt terpijak kaca botol2 arak..hehe

KerriKlein said...

betul tu, xleh manja2 kan diri sgt. sekarang kesenangan dah menjadi latarbelakang hidup melayu disini.
tq for the reminder.

azmir.nadzar said...

bukan melayu kat sini je yang manja. dekat malaysia pun sama je rasanye..

sama-sama bro.. tggjwb kita utk saling mengingati

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB