Friday, June 13, 2008

Perjuangan di Kala Peperiksaan

Tidak banyak yang dapat saya ungkapkan untuk entry kali ini. Dan saya pasti tidak banyak pula masa anda untuk membaca apa yang akan saya bebelkan ini. InsyaAllah, akan saya cuba ungkapkan seluruh idea untuk tajuk entry kali ini seringkas mungkin.

Semua orang sedang berada di dalam mode peperiksaan. Masa sungguh penting. Saya pernah ungkapkan perihal ini dalam entry saya yang lepas. (panjang sikit la tapi...)

Sahabat sekalian,

Janganlah kita ambil mudah setiap peperiksaan yang bakal dihadapi. Walau semudah mana, kejayaan anda dalam peperiksaan masih bergantung kepada usaha. Namun begitu, janganlah kita terlalu dibuai arus peperiksaan sehingga terlalai melunaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim pertamanya, dan sebagai manusia umumnya.

Hal ini perlu saya sebutkan kerana bila masuk waktu peperiksaan, semua orang cenderung untuk menjadi "robot-robot penjawab soalan periksa" tanpa perasaan. Rasa simpati terhadap manusia lain paling sedikit dipunyai oleh kita pada waktu ini. Mengapa agaknya ya?

Saya fikir, anda boleh menjawab soalan berbunyi sinisme itu dengan sangat mudah. Ini kerana semua orang sibuk bersiap untuk peperiksaan. Cukupkah itu sebagai justifikasi kepada perilaku sedemikian. Perilaku tidak mempedulikan hal orang lain?

Sahabat sekalian,

Janganlah kita lupa, dunia ini kita kongsi bersama. Tiada kesusahan yang diturunkan Allah untuk kita seorang sahaja tanggungkan melainkan Allah turunkan juga manusia lain sebagai pembantu.Ini membawa saya kepada suatu mesej perjuangan untuk mereka yang mahu terus beriltizam dengan islam.

Manusia yang mahu bergelar mu'min akan meletakkan prioriti dalam urusan hidup pada tempat yang betul. Oleh itu, berjuang untuk terus membaiki hidup manusia melalui islam tidak sepatutnya lepa dari pemikiran mereka ini. Anda masing-masing boleh mencari ratusan dalil naqli menceritakan hal tersebut.

Memang sungguh asing. Bayangkanlah seorang yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan namun terus teguh menyebarkan mesej islam. Pelik bukan? Saya cuba untuk menjadi manusia sedemikian. Ya Allah, bantulah aku!

Islam sungguh asing lebih-lebih lagi pada zaman IT ini. Ke"asing"an ini dihuraikan oleh rasulullah dalam satu hadis mahsyur dan telah dilagukan dalam video yang saya sertakan di bawah.

Tiada perjuangan buat mereka yang tidak mahu renggang dari kerusi malas. Tiada perjuangan buat mereka yang kerap kali bertanya, "apa faedahnya untuk aku??". Perjuangan hanya dibenarkan mereka yang sanggup membuang kepentingan diri sendiri.

Kata-kata Syed Qutb,

"Sesungguhnya kata-kata yang kami ucapkan akan terus tidak bernyawa, mandul, tiada ruh sehinggalah kami syahid kerana kata-kata tadi. Yang mana kata-kata ini kemudiannya tiba-tiba bangkit segar bernyawa dan menghidupkan hati-hati manusia yang telah mati."

Tiada jihad tanpa berjuang.

Teruslah berjuang untuk berjaya dalam peperiksaan. Jangan lupa untuk berjuang demi menyempurnakan hidup manusia di dunia melalui Islam.

>>Ya Allah, Thabbit qulubana 'ala dinik.. wa 'ala tho'atik<<

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB