Syukur padaNya kerana diberikan kudrat pada saya untuk kembali menulis dengan lebih giat. Namun, terdapat banyak perkara yang membuatkan saya terhenti menulis buat sekian lama semasa cuti musim panas yang lepas.
Sahabat pembaca, Mungkin segelintir di kalangan anda mula perasan bahawa saya bukanlah seorang penulis yang gemar mengulas tentang isu semasa yang berlaku baik di Malaysia, New Zealand atau di mana sahaja sekalipun. Saya masih mengikuti setiap perkembangan namun semakin jauh saya hanyut dalam isu semasa, semakin saya tenggelam dalam kepalsuan hidup manusia.
Kini, pasti perkara yang paling hangat sedang dibincangkan ialah berkenaan pilihan raya. Saya sudah berusia 23 tahun mulai hari ini dan sudah layak mengundi sedari dua tahun lepas lagi. Namun mungkin bukan rezki saya untuk melakukannya pada tahun ini kerana masih tidak tamat-tamat lagi pengajian di Auckland sehinggalah hari ini.
Pemilihan kepimpinan perlu dilakukan melalui pemerhatian terperinci dan menyeluruh. Dan pemerhatian sedemikian bukan semua mampu lakukan, lebih-lebih lagi apabila maklumat yang kita garap penuh kepalsuan dan sentiasa berat kepada satu belah pihak sahaja. Media yang pro-kerajaan akan terus-menerus menghentam pembangkang manakala yang sebaliknya juga berlaku kepada media yang pro-pembangkang. SAYA PERLUKAN SESUATU YANG TULUS! TETAPI DI MANA BOLEH SAYA CARI?? Ini menyebabkan saya kurang yakin akan keberkesanan sistem demokrasi di Malaysia. Namun, dalam jangkamasa terdekat ini, sistem demokrasi itu sahaja yang terbukti keberkesanannya.
Cukup di situ berkenaan pilihan raya. Ingin saya kembali membawa pembaca kepada objektif pembikinan blog ini iaitu membawa mesej umum kepada masyarakat tentang hakikat kehidupan yang sebenar. Saya juga salah seorang daripada mereka yang masih mencari-cari hakikatnya. Kita sama-sama tahu dunia ini palsu, sementara, dicipta sebagai ujian dan seterusnya. Namun tahu tidak sama maksudnya dengan faham. Sangat mudah untuk TAHU, tapi sangat sukar untuk FAHAM.
Ini mengingatkan saya kepada suatu buku karangan Syeikh Ali al-Tantawi bertajuk "Hakikat Islam yang Semestinya Difahami". Satu fenomena menarik yang dikupas oleh beliau ialah, manusia pada hakikatnya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku pada kehidupan yang berikutnya (akhirat sudah pasti). Bayangkan bayi yang berada di dalam kandungan, sudah pasti hanya dapat membayangkan kehidupannya berdasarkan apa yang dapat dicapai pancainderanya pada masa itu sahaja.
Jika ditakdirkan Allah mengurniakan akal kepada bayi tersebut, dia pasti membayangkan dirinya apabila lahir ke dunia nanti akan menjalani kehidupan sepertimana dirinya di dalam janin. Begitu jugalah kita di dunia ini. Kita hanya dapat membayangkan akhirat relatif kepada apa yang kita lalui di dunia sedangkan keduanya tidak menyamai sama sekali.
Cukup sekadar itu dahulu buat renungan kita bersama. Ingatlah wahai sahabat sekalian, "Dunia ini, tak seindah pandangan mu. Namun cukup, untuk kau jadikan bekal membawa kepada kebahagiaan di sana nanti"
Selamat kembali ke sekolah khas buat kawan-kawan di Auckland.
Saya sekadar ingin mengucapkan selamat kembali kepada sahabat2 yang sudah semakin ramai pulang ke auckland. Saya turut bersyukur kerana diizinkan Allah sampai dengan selamat ke sini. Terlalu banyak yang ingin dibicarakan namun terlalu sedikit peluang yang saya ada untuk menyuarakan segalanya. Maaf seandainya tulisan saya kali ini tidak membawa kepada apa-apa objektif kerana saya masih sibuk dengan pelbagai urusan sebelum kembali ke universiti.
Para pembaca, Doakanlah yang terbaik untuk semua. Saya akan kembali menulis secepat mungkin.
Sekadar pemberitahuan, insyaAllah saya akan pulang bercuti ke Malaysia pada hari ini sehingga ke penghujung bulan februari. Tidak sabar melihat apa yang telah berlaku pada tanah air. Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada negara minggu ini dan minggu lepas membuat saya tertanya-tanya apakah sudah ada langkah perubahan ke arah yang lebih baik dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
Saya pulang dengan 1001 harapan. Mahu melihat keadaan yang lebih baik. Jika masih di takuk lama atau masih tiada apa-apa perubahan signifikan yang berlaku, maka saya sendiri perlu sedar bahawasanya ada suatu tugas yang besar perlu dilaksanakan segera oleh saya dan anda semua.
Kepada sahabat-sahabat yang berada di Malaysia, semoga kita bertemu di sana.
Kepada sahabat-sahabat yang masih tinggal di NZ, jagalah diri anda baik-baik. Doakanlah untuk kejayaan kita bersama.
Perdengarkan sebuah ceramah ringkas yang disampaikan oleh seorang imam yang mahsyur di US. Semoga anda semua dapat mengambil sesuatu daripadanya..
Aku yg masih diperjalanan hidup ini Begitu lama berlegar dipersimpangan dunia Menempuh jarak dan titian,rimba dan lautan Mencari sesuatu yg abadi
Aku yg masih diperhentian hidup ini Begitu jauh mengembara ke serata dunia Mengejar siang dan malam,surut dan pasang Mencari sesuatu kebebasan Mencari sesuatu kedamaian
Dimana berakhirnya perjalanan ku ini Esok dan lusa bukan milikku oh tuhanku Lindungilah hamba mu yg hina ini Aku setia hanya padamu oh tuhanku
Aku setia hanya padamu Aku setia hanya padamu
_______________________________
Di kala musim peperiksaan ini, saya tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan selamat berjuang dan semoga berjaya buat rakan-rakan di seluruh pelusuk dunia yang sedang mendudukinya di pusat pengajian masing-masing. Di Auckland, bahangnya mula dirasakan semenjak semalam lagi.
Memasuki tempoh peperiksaan membuat saya rasa seolah-olah sedang memasuki suatu dimensi atau alam yang sungguh asing daripada biasa. Tidak seperti hari-hari lain, semua orang seolah-olah menjadikan buku dan nota kawan paling akrab mereka. Akan dibawa kemana-mana, walau ke tandas sekalipun. Masa yang digunakan, kalau tidak untuk menelaah, maka setiap saat yang berlalu dianggap sia-sia belaka. Tetapi, saya berharap kepada kalian yang sudah membaca sehingga ke perenggan ini, untuk meluangkan barang 10-20 minit masa anda membaca apa yang cuba saya sampaikan. Semoga bermanfaat buat semua
Para pembaca budiman,
Peperiksaan merupakan suatu lumrah. Suatu sistem yang diperkenalkan bagi menilai dan mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut tahap kemampuan masing-masing. Ia dilihat sebagai sistem terbaik untuk mencari bakat, intelektual, dan kebolehan manusia yang terpendam. Namun, kelemahannya yang jelas ialah peperiksaan menilai manusia pada keputusan akhir. Keputusan yang dipengaruhi 1001 faktor. Tidak kira berapa keras sekalipun anda berusaha, keputusan peperiksaan anda pasti terganggu jika berlaku perkara-perkara berikut:
Tidak sihat pada hari peperiksaan.
Tertidur kerana terlalu mengantuk dan penat mengulang kaji.
Semua pen anda kehabisan dakwat.
Bunyi-bunyi bising di luar dewan peperiksaan yang tidak dapat dielakkan.
Tertinggal kalkulator dan pengawas peperiksaan anda pula tiada "kalkulator kecemasan".
dan sebagainya
Dan jelas, faktor-faktor tadi tidak boleh menjadi alasan untuk anda kemukakan pada pemeriksa bahawa anda dapat melakukan lebih baik sekiranya tidak terjadi perkara-perkara yang tidak diingini. Usaha anda tidak sedikitpun diambil kira. Tiada siapa yang menilai berapa lama seseorang itu membaca buku lalu memberikan markah tambahan bagi setiap jam yang diluangkan.
Sahabat pembaca,
Bukan saya bermaksud mengeluarkan hujah-hujah untuk cuba memansuhkan sistem peperiksaan ini. Namun ia membawa saya kepada analisa tentang kehidupan kita pula. Mungkin ada antara anda yang mual membaca saya menulis tentang kehidupan. Tidak puaskah saya bercerita tentangnya? Apa lagi yang tidak cukup dengan hidup ini? Kehidupan saya sudah sangat idealkah sehingga mahu menasihati orang lain?
Jawapan untuk segala persoalan tadi ialah tidak sama sekali. Saya bercerita tentang kehidupan kerana saya sayangkan anda semua. Saya mahu kita sama-sama berjaya. Kehidupan adalah suatu hikmah yang perlu kita terokai. Ia tidak direka untuk manusia hidup dengan gaya stereotaip. Kehidupan itu sendiri suatu ujian. Suatu peperiksaan yang mahu atau tidak, setiap kita harus menempuhinya. Namun siapakah yang menguji kita? Apakah keputusan yang perlu anda dan saya perolehi untuk menjamin kita berjaya with flying colours? Tiada formula khas yang dapat dikeluarkan manusia untuk menentukan seseorang berjaya dalam hidup. Apa yang saya maksudkan ialah, tiada siapa dapat menjamin kehidupan anda cukup indah bila...
Anda menjadi orang terkaya di dunia
Anda punyai isteri paling cantik atau suami paling kacak di dunia
Anda merupakan selebriti terkemuka masa kini
Anda punyai anak-anak yang cantik dan sayangkan anda
dan banyak lagi
Itulah yang menjadi perhatian sosial bila menyebut tentang berjayanya si fulan atau si fulan dalam hidup masing-masing. Berani saya katakan di sini, mana-mana jiwa yang telah perolehi setiap perkara yang saya senaraikan di atas ini, masih tidak menemui kejayaan hakiki suatu ujian bernama kehidupan. Kejayaan dalam kehidupan hanya ditentukan oleh penciptaNya sahaja. Sama seperti dalam peperiksaan, tiada siapa yang layak mengeluarkan skema jawapan dan memberi autoriti kepada pemeriksa-pemeriksa memberi markah kepada skrip-skrip jawapan yang telah dihasilkan oleh pelajar melainkan pensyarah atau guru atau badan yang mengeluarkan soalan peperiksaan tersebut. Mereka yang menghadapi peperiksaan sudah tentu lebih tidak layak lagi.
Begitu jugalah dengan kehidupan. Manusia tidak layak menentukan kejayaan sesama manusia. Tidak layak manusia memberi penilaian kepada kehidupan manusia lain. Hanya Tuhan selayaknya memberi penilaian. Untuk lulus dengan cemerlang, maka perlu anda patuhi apa yang perlu diperbuat dalam kehidupan. Dan ini membawa saya kepada satu lagi persoalan, berkenaan bagaimana kita perlakukan dengan kehidupan kita.
Sepertimana dalam lagu yang saya sertakan dalam entry ini, kehidupan itu suatu yang perlu dicari. Cara manusia menempuhnya berlainan antara satu sama lain. Kita sering mendengar ungkapan "melihat dunia dari mata burung atau dari dalam tempurung". Hasil daripada pembacaan yang terbatas, beberapa penulis terkenal seperti 'Aaidh ibn Abdullah al Qarni, Stephen R Covey dan Dr. Phil menegaskan bahawa kebanyakan insan hidup di dunia atas dasar tindak balas. Kehidupan yang mana suatu tindakan hanya diambil apabila terjadinya sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita akan mengulangkaji hanya bila tahu adanya peperiksaan. Kita ke hospital, hanya bila sudah jatuh sakit. Itu hanya elemen-elemen kecil yang membentuk suatu kehidupan yang luas. Bahkan, tidak keterlaluan andai saya mengatakan, kita seolah-olah tidak hidup sekiranya tiada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyebabkan kita bertindak. Kehidupan inilah yang kita kenali sebagai hidup tanpa arah tuju. Hidup hanya untuk makan, minum dan tidur sahaja. Hidup tanpa ada tujuan untuk hidup. Tiada misi, tiada visi. Nasib baik masih ada visa, pasport atau kad pengenalan.
Sahabat sekalian, Andai kita masih terus seperti itu, maka tidak ke manalah kehidupan kita dapat ditujukan. Jadilah anda pelajar sebijak mana pun, jadilah anda ahli sukan sehandal mana pun, jadilah anda pemimpin sekaliber mana pun, jadilah anda pengurus seterurus mana pun atau jadilah anda sesiapa sahaja sekalipun... Seandainya hidup anda hanyalah hasil daripada tindak balas anda terhadap rantaian perisitiwa yang berlaku dalam hidup, maka anda masih memandang dunia dari dalam tempurung. Mungkin masih boleh mengecapi kekayaan, masih boleh kecapi kemahsyuran tetapi adakah itu layak kita kenali sebagai kejayaan?
Maka, kita sepatutnya keluar daripada kepompong kehidupan yang sempit ini kepada suatu pengertian yang lebih luas. Kehidupan yang anda rancangkan untuk diri sendiri. Kehidupan bermisi, bervisi, berwawasan dan bermatlamat. Namun,perlu diingat misi yang kita letak dalam hidup juga penting dalam menentukannya berguna atau tidak.
Design your life forward from your very inside. Do not just have a life that reacts upon circumstances.
Letakkan misi anda untuk berjaya sepertimana yang telah ditetapkan oleh Tuhan pemilik kehidupan ini. Hanya Dia yang akan menentukan sama ada daripada kehidupan kita, mendapat A+ yang membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurgaNya atau sekadar mengakhiri kehidupan dengan keputusan D-, yang hanya melayakkan kita ke nerakaNya. Istimewanya Allah ialah, kejayaan kita dalam peperiksaan hidup ditentukan pada usaha dan niat. Bukan pada hasilnya dalam kehidupan itu sendiri. Bukan senang untuk hidup. Tetapi janganlah sampai kita tertipu dengan kehidupan.
Menjadi seorang muslim, hidup anda tidak cukup sekadar atas tikar sejadah sahaja. Tidak lengkap kehidupan anda hanya setelah melunaskan kelima-lima tuntutan rukun Islam. Tidak menjamin anda syurga andai hidup anda hanya untuk dihabiskan di masjid. Seorang muslim perlu punyai matlamat yang lebih besar daripada itu semua.
Sebelum mengakhiri, ingin saya kembali mengajak sahabat-sahabat pembaca merenung kembali 19,20, 25 atau 30 tahun kehidupan kita. Mari sama-sama keluar daripada perangkap kehidupan atas dasar tindak balas. Mari mulakan kehidupan baru. Memulakan suatu yang lebih bermakna. Ini memerlukan usaha dan tawakal kerana tidak semudah itu mengecapi nilai hidup yang sebenar.
Tulisan saya ini tidak cukup untuk memandu anda semua ke arah mencapai erti hidup sebenar. Oleh itu, saya mencadangkan anda memperbanyakkan membaca al-Quran dan membaca 2 buah buku yang alhamdulillah, dapat mengubah paradigma saya sendiri pada kehidupan. Buku-buku tersebut adalah:
Don't Be Sad oleh 'Aaidh ibn Abdullah al-Qarni
7 habits of highly effective people oleh Stephen R Covey.
Impian saya, moga akan lahir suatu hari nanti satu generasi sehebat generasi para sahabat. Generasi yang sentiasa menasihati kearah kebaikan dan melarang kejahatan. Generasi yang punyai wawasan lebih jauh daripada jaraknya bumi ke matahari. Saya yakin, kita boleh. Namun, pada Pemilik jiwa ini jugalah terletak segala keputusan, segala ketentuan.
Wallahua'lam
"Ke arah melahirkan pemuda-pemudi sehebat generasi para sahabat"
Hari ini, bersamaan 5 syawal 1428 Hijrah sekali lagi telah membuka mata saya tentang banyak perkara. Ia bermula sedari 1 syawal lagi sebenarnya namun baru hari ini saya berkesempatan untuk bercerita tentangnya.
Lagu yang saya sertakan bersama entry ini menceritakan bagaimana keadaan manusia yang ditimpa bencana. Suatu persoalan yang formulanya sukar ditemui walau oleh pakar sains paling hebat sekalipun. Teori pergerakan plat atau gegaran dari teras bumi tidak memberi jawapan yang konkrit. Namun, tidak sukar sebenarnya untuk menjawab persoalan itu. Persoalan yang jawapannya ada pada manusia sendiri. Manusia mahukan kehidupan yang mewah sehingga sanggup bermandi dosa. Mahukan kehidupan yang lebih seronok sehingga maksiat itu bagai senda gurau dianggapnya.
Ironi sungguh apabila mahu mengecapi kesenangan di bumi ciptaan Tuhan, namun pada masa yang sama meletakkan kebencian kepada setiap suruhan dan menyukai pula setiap laranganNya. Manusia seolah-olah seorang budak kecil yang mahukan ayah membelikannya suatu permainan namun pada masa yang sama dia sangat membenci ayahnya itu. Adakah akan terlaksana permintaannya?
Sedar atau tidak, kehidupan manusia penuh dengan ironi. Bacalah apa-apa berita sekalipun, anda pasti akan dapat menghidu bau ironisma(saya tidak pasti suku kata ini wujud atau tidak). Penyakit manusia sememangnya sukar untuk diubat. Dari sebesar-besar isu Junta di Myanmar sehinggalah ke sekecil-kecil isu sambutan hari raya di mana-mana sahaja pasti wujud ironi di mana-mana sudut sekalipun.
Untuk entry kali ini, mari kita merenung beberapa perkara yang ironi tetapi sudah biasa kita lakukan sehingga ia menjadi suatu tabiat pada manusia terutamanya pada umat islam.
1.Seorang muslim akan melenting apabila terdengar sesiapa sahaja sangsi tentang kewujudan Allah. Namun, kebanyakan muslim dalam sedar atau tidak hidup seolah-olah dia sendiri tidak percaya akan Allah. Ditinggalkan suruhan, diamalkan larangan!
2.Mudah sungguh untuk menuding jari pada orang lain dan mengatakan mereka salah. Kita sering mendengar orang berkata Bush kejam, Blair zalim, Sukarno korup, Osama Laden ekstrim. Namun, adakah anda boleh memimpin dengan lebih baik dari mereka seandainya hanya ada anda sebagai pengganti?
3.Hari-hari kebesaran yang dikurniakan Allah adalah untuk kita raikan dengan mengingatiNya. Kedua-dua eid dikurniakan Allah setelah berlalunya zaman jahiliyyah arab untuk mereka memuji-muji Allah tanda syukur atas kemenangan yang dikecapi. Namun umat islam hari ini meraikan eid dengan parti sosial, konsert dan menonton wayang. Dimana ditinggalkan pujian mengingati kebesaran Allah?
4.Kaum wanita dibebaskan oleh Islam dari perhambaan dan kezaliman yang dilakukan kaum lelaki. Pada Islam, wanita perlu dilindungi dan dipelihara oleh kaum lelaki dengan baik. Namun hari ini, ada segolongan wanita yang keras menolak lelaki sebagai pemelihara. Mereka kononnya mampu hidup sendiri. Mahukah mereka ini kembali diperhambakan? Tetapi kali ini oleh sistem barat pula.
5.Manusia dicipta dengan dihias sifat malu. Lumrah manusia tidak suka dimalukan. Namun, manusia kini meletakkan malu bukan pada tempatnya. Tubuh badan tidak malu untuk didedahkan walau dalam iklim sesejuk New Zealand. Namun malu pula untuk menunaikan solat dan membaca al-Quran di hadapan kawan-kawan.
6.Manusia benci benar andai keburukannya diceritakan oleh seseorang diluar pengetahuannya. Namun, manusia itu sendiri suka benar menceritakan keburukan orang pada kawan-kawan lain pula.
Ironi sungguh!!
Sahabat pembaca sekalian, Itu hanya sedikit daripada suatu senarai panjang perbuatan manusia yang jelek. Apabila berlaku bencana alam di mana sahaja, tidakkah kita mengambil iktibar? Jangan berasa selamat hanya kerana malaysia terletak di luar lingkaran api Pasifik.Itu tidak menjamin anda akan selamat dari murka Tuhan. Renungkanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran: 154
." Katakanlah: "Sekiranya kamu berada di rumahmu, niscaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh."
Semoga menjadi renungan kita bersama. Sampai bilakah perlu kita tunggu untuk berubah, kembali kepada Allah dengan hati tulus suci. Perlukah tanah ini diterbalikkan, atau kita dihujani batu-batu, atau kita dibinasakan dengan suatu pekikan yang dahsyat atau kita ditenggelami banjir paling buruk? Tidak terlalu awal untuk kita kembali ke jalan yang lurus.
Semoga Allah menerima taubat dan munajat hamba-hambaNya yang mencari secebis kerlipan cahaya...
Ramadhan sudah mula mengucapkan selamat tinggal buat sekian kalinya. Ini juga menunjukkan betapa usia kita berlalu begitu pantas sepantas ramadhan meninggalkan kita. Ada yang berjaya memanfaatkannya namun ramai antara kita yang gagal berbuat demikian. Ini terbukti dengan hadis nabi yang bermaksud:
"Berapa ramai yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasa tersebut melainkan lapar dan dahaga."
Ucapan syukur tidak terhingga saya ucapkan kerana masih diberi peluang melalui ramadhan tahun ini. Berjaya atau tidak, saya serahkan segalanya pada Allah untuk menentukan.
Kebelakangan ini, saya sering diingatkan tentang perkara-perkara indah yang berlaku sewaktu melalui zaman-zaman "muda" dahulu. Ada masanya saya berasa sedih, gembira, sayu, bangga, hina dan pelbagai perasaan yang sukar untuk digambarkan. Namun, terdapat buruk dan baiknya mengenang perkara yang sudah berlalu ini. Apa yang penting ialah apa yang sedang kita semua lalui kini. Untuk itu, post kali ini saya tujukan khas buat ibu dan ayah, sanak saudara serta semua teman yang sama-sama mengharungi susah dan senang hidup sedari sekolah rendah (S K Kampung Gelam, S K Kubang Ikan dan S K Kuala Pilah), sekolah menengah (Sek Men Agama Persekutuan, Labu), kolej persediaan (KMB) dan kini di menara gading (University of Auckland).
Buat ayah dan ibu, di kesempatan ini abang (nama panggilan di rumah..hehehe) ingin menyusun 10 jari memohon maaf seikhlas hati atas segala salah dan silap. Halalkanlah makan minum anak mu yang jauh di perantaun ini. Perasaan sedih itu sentiasa ada namun abg sembunyikan dengan kegirangan yang ditunjukkan kawan-kawan lain bila menyambut hari raya. Jasa ibu dan ayah tidak pernah akan abg terbayar. Hanya pada Allah abg doakan kesudahan yang baik. Kadang-kadang rasa terkilan bila tak dapat berada di sisi ibu dan ayah ketika sedang menghadapi krisis hidup. Rasa tak adil pada diri abg yang membiarkan ibu, ayah dan adik-adik susah di rumah tapi abg di sini bersenang-lenang. Maafkan abang ibu. Maafkan abang ayah.
Buat abah(nama panggilan utk datuk saya), nenek, mak lang, pak lang, acik,pakcik, pakndak, makndak, uda, pak uda, ucu, mak usu, ateh,pak teh, pak long, mak long dan adik-adik sepupu, abang merindukan saat-saat beraya di Port Dickson (keluarga sebelah ibu saya). Abang rindukan suasana pagi raya bila bersalaman dan masing menitiskan air mata ikhlas tanda memohon kemaafan jauh dari dalam lubuk hati. Rindukan suasana hari "membantai". Rindukan sentuhan sambal kuah kacang nenek, dan rebusan ketupat abah. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan yang selama ni terlanjur abang lakukan. Halalkan makan dan minum selama mana abang hidup ni.
Buat mak ngah dan pak ngah sekeluarga, pak long dan mak long sekeluarga serta pak lang dan mak lang sekeluarga (keluarga sebelah ayah), azmir minta maaf andai ada salah dan silap. Doakanlah kejayaan saya di sini.
Buat sahabat-sahabat budiman, maafkan segala salah dan silap. Andai terkasar kata, terlanjur bicara. Tak pernah bermaksud di hati melukai sesiapa.Kepada teman-teman sebaya, perjalanan ini sudah jauh kita tempuh. Sudah tiba masa memungut mutiara berharga menghiasi iman dan peribadi kita. Biar kita kecil pada pandangan manusia tapi, besar kedudukan disisiNya. Kepada adik2, dunia yang anda lihat, tak selalunya indah. Pengalaman yang pahit hadir utk anda pelajari sesuatu. Jangan diperdaya nafsu, jangan ditipu akal dan jangan biar hatimu lemah.
Hidupnya insan menabur bakti, matinya insan meninggalkan kesan di segenap penjuru bumi.
Buat akhirnya, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wahai kawan, Entah kenapa Hari-hari kurasakan ada sahaja yang tak kena Hari-hari kurasakan diri makin lemah Hilang tanpa tujuan, Ku perlu tunjuk arah
Mengapa bila diriku susah Tiada siapa yang datang menyelamat Walau diriku kian sesat?
Wahai sahabat budiman, Janganlah kau berasa lemah Sedang insan di sekelilingmu memerlukan kekuatan itu
Janganlah diharap pada keluargamu di hujung sana Kerana mereka juga selalu resah
Jangan kerap mengharap walau pada rakan-rakan sebaya Mereka juga insan biasa
Tetapi berharaplah pada dirimu sendiri Kerana sesungguhnya Dalam diri kerdil ini, terdapat suatu potensi Yang mampu mengubah seluruh kebejatan yg kau benci
Namun perlu kau yakin dan tahu Bahawa bukan mudah untuk mencapai semua itu
Dirimu sendiri perlu sentiasa kau perbaiki Dan pohonlah bantuan Illahi Kerana hanya Dia yang mengerti Diri mu dan segala maksud hati
Masanya sudah tiba Allah tidak akan mengubah dirimu Dirimu perlu kau ubah sendiri
Berubahlah wahai kawan Kerna pada dirimu sendiri Ada jalan penyelesaian...