Tuesday, March 4, 2008

Tidak akan sama..

assalamualaikum.




Syukur padaNya kerana diberikan kudrat pada saya untuk kembali menulis dengan lebih giat. Namun, terdapat banyak perkara yang membuatkan saya terhenti menulis buat sekian lama semasa cuti musim panas yang lepas.

Sahabat pembaca,
Mungkin segelintir di kalangan anda mula perasan bahawa saya bukanlah seorang penulis yang gemar mengulas tentang isu semasa yang berlaku baik di Malaysia, New Zealand atau di mana sahaja sekalipun. Saya masih mengikuti setiap perkembangan namun semakin jauh saya hanyut dalam isu semasa, semakin saya tenggelam dalam kepalsuan hidup manusia.

Kini, pasti perkara yang paling hangat sedang dibincangkan ialah berkenaan pilihan raya. Saya sudah berusia 23 tahun mulai hari ini dan sudah layak mengundi sedari dua tahun lepas lagi. Namun mungkin bukan rezki saya untuk melakukannya pada tahun ini kerana masih tidak tamat-tamat lagi pengajian di Auckland sehinggalah hari ini.

Pemilihan kepimpinan perlu dilakukan melalui pemerhatian terperinci dan menyeluruh. Dan pemerhatian sedemikian bukan semua mampu lakukan, lebih-lebih lagi apabila maklumat yang kita garap penuh kepalsuan dan sentiasa berat kepada satu belah pihak sahaja. Media yang pro-kerajaan akan terus-menerus menghentam pembangkang manakala yang sebaliknya juga berlaku kepada media yang pro-pembangkang. SAYA PERLUKAN SESUATU YANG TULUS! TETAPI DI MANA BOLEH SAYA CARI?? Ini menyebabkan saya kurang yakin akan keberkesanan sistem demokrasi di Malaysia. Namun, dalam jangkamasa terdekat ini, sistem demokrasi itu sahaja yang terbukti keberkesanannya.

Cukup di situ berkenaan pilihan raya. Ingin saya kembali membawa pembaca kepada objektif pembikinan blog ini iaitu membawa mesej umum kepada masyarakat tentang hakikat kehidupan yang sebenar. Saya juga salah seorang daripada mereka yang masih mencari-cari hakikatnya. Kita sama-sama tahu dunia ini palsu, sementara, dicipta sebagai ujian dan seterusnya. Namun tahu tidak sama maksudnya dengan faham. Sangat mudah untuk TAHU, tapi sangat sukar untuk FAHAM.

Ini mengingatkan saya kepada suatu buku karangan Syeikh Ali al-Tantawi bertajuk "Hakikat Islam yang Semestinya Difahami". Satu fenomena menarik yang dikupas oleh beliau ialah, manusia pada hakikatnya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku pada kehidupan yang berikutnya (akhirat sudah pasti). Bayangkan bayi yang berada di dalam kandungan, sudah pasti hanya dapat membayangkan kehidupannya berdasarkan apa yang dapat dicapai pancainderanya pada masa itu sahaja.

Jika ditakdirkan Allah mengurniakan akal kepada bayi tersebut, dia pasti membayangkan dirinya apabila lahir ke dunia nanti akan menjalani kehidupan sepertimana dirinya di dalam janin. Begitu jugalah kita di dunia ini. Kita hanya dapat membayangkan akhirat relatif kepada apa yang kita lalui di dunia sedangkan keduanya tidak menyamai sama sekali.

Cukup sekadar itu dahulu buat renungan kita bersama. Ingatlah wahai sahabat sekalian, "Dunia ini, tak seindah pandangan mu. Namun cukup, untuk kau jadikan bekal membawa kepada kebahagiaan di sana nanti"

Selamat kembali ke sekolah khas buat kawan-kawan di Auckland.

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB