Thursday, March 6, 2008

KOMPLEKS

assalamualaikum

Sahabat pembaca sekalian,
Kebiasaannya, manusia hanya akan meyakini sesuatu setelah "sesuatu" itu menjadi kebiasaan bagi dirinya. Bagaimana pula untuk sesuatu yang tidak pernah dilihat, dirasai atau didengarinya? Sebagai contoh, anda mungkin boleh membayangkan warna merah atau kuning sebagai sesuatu yang panas kerana matahari atau api melambangkan kepanasan dengan warna masing2 yang merah kekuning-kuningan. Tetapi, bolehkan anda bayangkan bunyi yang hijau? Atau warna yang merdu? Tidak masuk akal bukan? Namun percayakah anda sekiranya saya katakan bunyi yang hijau atau warna yang merdu itu boleh berlaku?

Sebenarnya, sebagai manusia kita punyai deria yang sangat terbatas. Saya suka untuk merujuk kepada tulisan sheikh Ali al-Tantawi yang menyatakan bahawa deria manusia sgt terbatas sehinggakan apa yang kita lihat, dengar, rasa, hidu dan sentuh merupakan sebahagian kecil sahaja daripada elemen dunia yang serba kaya.

Namun, kebijaksanaan manusia "mencipta" atau lebih tepat "memanipulasi hukum alam" membolehkan mereka menggarap sesuatu yang sedikit lebih jauh daripada apa yang dicapai oleh deria sahaja. Sebagai contoh, Penciptaan telefon membolehkan deria pendengaran dan suara kita merentas benua. Penciptaan itu masih jauh daripada membolehkan manusia untuk berinteraksi sepenuhnya dengan alam ini. Kita masih tidak boleh berhubung dengan tumbuhan. Walaupun manusia kini berupaya mengeluarkan arahan pada haiwan yang sudah dilatih sedari kecil, namun kita masih belum mampu menyelami apa yang bermain di otak haiwan tersebut. Malahan, manusia sukar memahami apa yang difikirkan oleh manusia lain pun, lebih-lebih lagi orang yang tidak pernah kita tegur dan kita sapa. Apabila bercakap mengenai fikiran dan emosi manusia, satu perkataan cukup untuk menggambarkannya iaitu KOMPLEKS.

KOMPLEKS juga merupakan perkataan paling tepat untuk menggambarkan apa yang telah, akan dan sedang berlaku dalam pilihan raya. Ia tidak semudah kita, ke tempat mengundi kemudian memangkah calon yang sudah kita pilih. Keseluruhan proses pilihan raya sangat kompleks sehingga boleh menyebabkan kesatuan atau perpecahan, kesetiaan atau pengkhianatan, pujian atau makian dan lain-lain lagi.

Apa yang menyebabkan saya kurang selesa dengan suasana kempen pilihan raya ialah bila pemimpin yang sama-sama warganegara Malaysia, malahan sama-sama muslim menyelar satu sama lain. Menimbulkan bibit permusuhan lalu menyuarakan bahawa mereka mampu membawa keamanan sejati. Sarkastik sungguh bukan?

Idealnya, seorang pemimpin yang membawa mesej keharmonian sejagat, sepatutnya mengamalkan mesej itu walaupun dengan pesaing di medan pilihan raya. Atau mungkin apa yang saya cadangkan ini tidak masuk akal kerana saya hanya mampu menganalisa kes2 kompleks lalu mengeluarkan penyelesaian yang simplistik sahaja? Ya, saya mungkin tidak memahami dengan mendalam apa yang berlaku. Namun, segala yang baik itu adalah jelas. Yang jahat juga jelas. Apa yang kabur, saya hanya perlu tinggalkan sahaja. Hadis Rasulullah menyebut:

"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, perkara yang haram juga terang jelas..."


All in all, pemuda seharusnya mula mengambil inisiatif untuk manjadi seorang yang lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Terlalu banyak masalah namun percayalah, tiada masalah terlalu besar sehingga kita tidak dapat mencari penyelesaiannya. Umat Islam seharusnya tahu, di mana boleh dicarikan jalan penyelesaian itu.

Saya tinggalkan anda di sini dahulu untuk merenungkan semua yang telah saya lontarkan.

wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB