Wednesday, March 26, 2008

Pemuda-pemudi Tunjang Kebangkitan Islam 2

Assalamualaikum..

Seperti yang dijanjikan pada minggu lepas, saya sertakan bersama-sama entry kali ini sambungan artikel yang ditulis oleh salah seorang sahabat saya. Semoga bermanfaat buat semua.
____________________________________________________________________


Dasawarsa ini, kita menyaksikan generasi pasca merdeka begitu mudah terpengaruh dengan budaya Barat yang sarat dengan elemen-elemen tidak bermoral, dan dalam konteks ini, pemuda-pemudi tentunya menjadi sasaran utama. Masyarakat moden yang rata-ratanya dipengaruhi doktrin sekular telah memasang angan-angan, mengimpikan masyarakat Utopia (yang terlalu sempurna), atau sekurang-kurangnya, golongan sekular yang datang dari golongan Borjuis. Mereka seolah-olah alpa atau sengaja akan peranan mereka diciptakan. Para belia dan beliawanis berdepan cabaran besar kerana pada usia mereka, berlaku proses transformasi dari alam kanak-kanak dan remaja ke alam dewasa, dan tentunya didorong oleh perasaan ingin tahu. Berilah perhatian kepada muda-mudi Islam. Mereka bagaikan jelak dan bersikap tidak endah akan tuntutan rohani dan menganggapnya sebagai perkara remeh-temeh. Soal Islam hanya pada nama sudah muak didiskusikan, dan golongan ini seolah-olah kian terpenjara dengan nikmat dunia. Gaya hidup masyarakat hedonistik mereka tiru semuanya, menyebakan mereka tidak lagi cenderung mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan. Lupus sudah nilai-nilai murni sebagai seorang Muslim, makin banyak pula onar yang dilakukan. Islam tidak lagi diletakkan sebagai falsafah kehidupan paling ideal, kerana mereka hanya berpegang teguh kepada amalan formaliti Islam sahaja, tetapi tidak memberi penekanan terhadap pengisian rohnya, maka ia kosong, tiada apa-apa. Konsekuensinya, ruang kosong ini membolehkan falsafah kebendaan, individualisme, dan hedonisme Barat meresapi jiwa dan naluri hidup mereka. Budaya ilmu dan pelajaran diketepikan, matlamat dan tujuan hidup tidak diambilcakna, akhirnya berterusanlah kelalaian mereka.


Dalam Surah Al-Qiamah ayat 20 dan 21 Allah SWT menjelaskan:

“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai (sebenarnya kamu tidak mengetahui akan kesudahan kamu), bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan) untuk akhirat (yang kekal kehidupannya)”.


Akal yang dikurniakan Allah cukup sempurna bagi manusia. Bahkan nikmat itulah yang meletakkan manusia sebagai makhluk paling layak memikul bebanan tugas dan amanah sebagai khalifah di muka bumi. Potensi dan daya fakir manusia yang berlandaskan kebaikan dan berpandukan kebenaran mampu mencitrakan kesejahteraan dan menjadi katalis kepada kesentosaan. Kejayaan umat Islam terdahulu juga bergantung kepada kekuatan daya fikir mereka. Maka tepatlah dicanangkan jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada tahap pemikiran dan mobiliti bangsa itu sendiri, sebagaimana yang telah diuar-uarkan oleh Mahatma Gandhi. Dalam konteks ini, menjadi harapan dan matlamat agar generasi muda-mudi Islam kini tampil sebagai cendekiawan dan intelegensia terbilang. Sesungguhnya, memiliki pemikiran yang mapan wajar dijadikan prioriti paling utama dalam menunjangi kebangkitan umat, bukannya faktor-faktor material yang bersifat artifisial dan dekoratif semata-mata. Terdapat beberapa contoh yang boleh dikemukakan. Melalui Revolusi Bolshevik pada tahun 1917, dengan fikrah (pemikiran) Dialetika Materialisnya, Lenin berjaya membawa pengikutnya merobohkan penguasaan bangsa Tsar di Rusia. Dunia Arab pula bangkit pada abad ke-7 dengan fikrah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sehingga kesejahteraan bukan sahaja di jazirah Arab, malahan ke suluruh wilayah pemerintahan Islam.


Kini, dalam mendepani arus supremasi sains dekad ini, pemuda-pemudi Islam perlu yakin terhadap kebolehan diri masing-masing yang secara jelasnya boleh dioptimumkan. Dengan asas yang kukuh dan pegangan yang teguh dan sebati dalam rohani, generasi ini diyakini mampu mewujudkan dan memimpin umat bestari yang berlandaskan Islam tentunya dan maju dari aspek ekonomi, agama, sosial, serta segala-galanya. Generasi ini juga perlu dilengkapi ilmu bagi memastikan perjuangan kita tidak terpesong daripada nur Illahi, paling tidak berupaya menjadi umat yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa Barat dan Yahudi. Kita juga diperlukan bagi memerangi golongan sekular dan jahiliyyah moden iaitu mereka yang berilmu tetapi buta akan kebenaran Islam. Kitalah yang bakal meneruskan tanggungjawab fisabilillah, meneruskan perjuangan ulama’ salaf dan khalaf menegakkan kalimah Allah, mendaulatkan dinul Islam dan menjunjung hukum-Nya di muka bumi ini. Sesungguhnya, kita masyarakat Islam tidak akan kalah walaupun berada di bawah, namun kita kalah jika tidak bangun mengatur langkah, mencipta kejayaan, dan merintis kecemerlangan yang berterusan. Pemuda-pemudi yang gagah berani dan sanggup memikul beban dakwah, serta sedia berkorban apa sahaja akan mendapat kebaikan dan keampunan daripada Allah SWT.


Mereka itulah yang distreotaipkan sebagai golongan muflih (beruntung), sebagaimana telah diterangkan dalam Surah At-Taubah ayat 83:

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh pelbagai kebaikan dan keuntungan”.

Berdasarkan dalil-dalil yang mapan, Islam diyakini mampu bangkit dan kembali menguasai dunia. Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 33 yang bermaksud:

“Dialah yang mengutuskan Rasulnya (dengan membawa) petunjuk yang benar dan agama yang hak untuk dimenangkan-Nya ke atas seluruh agama walaupun orang-orang musyrik membencinya”.

Seterusnya, hadith riwayat Muslim pula mejelaskan:

“Sesungguhnya Allah telah memberikan bagiku dunia ini, baik ufuk timur mahupun barat. Dan kekuasaan umatku akan sampai kepada apa yang telah diberikan kepadaku dari dunia ini”.


Hadith riwayat Ibnu Hibban juga memperkuat dakwaan Islam akan kembali menguasai dunia:

“Perkara ini (agama Islam) akan tersebar ke segenap penjuru yang ditembusi malam dan siang. Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun baik gedung mahupun gubuk melainkan Islam akan memasukinya sehingga dapat memuliakan agama yang mulia dan menghina agama yang hina. Yang dimuliakan adalah Islam dan yang dihina adalah kekufuran”.


Selain itu, terdapat juga bukti-bukti yang jelas menunjukkan bahawa kaum Muslim akan bangkit menentang kolonialisme Barat. Janji-janji Allah SWT tentang hal ini disampaikan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Al Bazzar dan Abu Daud iaitu: “Sesungguhnya permulaan (sejarah) agama kalian adalah kenabian dan rahmat, yang berlangsung sesuai dengan kehendak Allah. Kemudian Allah yang maha mulia mencabut kenabian itu, lalu akan muncul pemerintahan yang zalim, pemerintahan ini akan berlanjutan selama Allah mahukannya. Kemudian Allah lenyapkannya. Kemudian akan muncul (kembali) khalifah yang mengikut cara Nabi, memerintah manusia berdasarkan sunnah Nabi, sehingga Islam tersebar luas di muka bumi, penghuni langit dan bumi pun meredhainya, sehingga tidak ada lagi air hujan yang tersisa di langit kerana semuanya diturunkan baginya, dan tidak terbazir lagi sumber di bumi kerana semuanya dikeluarkan untuknya”.


Individu Muslim yang benar-benar beriman kepada wahyu-wahyu Allah perlu memiliki sikap optimis terhadap kebangkitan Islam. Oleh itu, pelbagai pihak tidak kira golongan korporat, borjuis, mahupun marhaen harus berittifaq, berganding bahu menggembleng tenaga merealisasikan niat murni ini. Asas-asas dan dasar-dasar Islam perlu diperteguh di kalangan anak-anak muda, lantas menjadi obligasi ke atas kita untuk mendasari kebangkitan Islam.


Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan (sebab-sebab kemunduran) pada diri mereka”.


Semoga kita semakin yakin untuk terlibat dalam perjuangan mengagungkan Islam. Dalam membangunkan warga sarwajagat yang wijaya, krisis dan kebobrokan budaya hidup wajar diberantas, dan sewajarnya fundamental dan mekanisme paling efektif perlu dinuntasi seterusnya menjadi prioriti dan benteng paling ampuh. Antaranya ialah meningkatkan kesedaran dan mengambil cakna nasib kaum Muslim seantero dunia, mendalami Islam secara intensif dengan mengutamakan rujukan salaf, mempelajari sejarah perjuangan para nabi dan sejarah pemerintahan Islam serta melibatkan diri dengan jemaah yang menjadikan Islam sebagai metodologi berpandukan thariqat dan matlamat yang jelas. Namun yang paling penting ialah memperbanyak program pembangunan akidah Islamiyyah di kalangan muda-mudi Islam seterusnya mampu melahirkan bai’at ketaatan mereka terhadap daulah Islam (khilafah). Tiada lagi masa untuk bersuka-suka, canaikan idea, luaskan minda, tumpukan konsentrasi kepada pembangunan dan pembinaan ummah paling ideal, agar segala macam dekadensi tidak lagi bisa mencelarukan hidup kaum Muslim. Hayatilah konsep rabbaniyyah dan uluhiyyah, lalu jelmakanlah ke dalam akhlakul karim. Iman yang mapan menjana peribadi Muslim sejati, menjadi katalis kejayaan diri, dan sekaligus mampu membendung segala provokasi. Tidakkah begitu?


Itlaqnya, kegersangan umat Islam akan pemimpin-pemimpin ala Khulafa’ al-rasyidin harus disiram dengan lahirnya generasi muda-mudi Islam yang boleh dinobatkan sebagai generasi beriman pendukung alaf baru. Oleh sebab itu, kita tidak harus berpeluk tubuh, memandang remeh atau tidak cakna akan agenda yang maha besar ini. Ayuh, bangkitlah mujahidin! Semaikanlah kembali harapan yang pernah padam! Tiupkan, nyalakan, bakarkan semangat dalam jiwa dai’mu bahawa jika kini jahiliyyah berleluasa, maka kegemilangan Islam akan menyusul! Buktikan bahawa kita diciptakan untuk amal ma’ruf nahi mungkar! Moga-moga, Islam akan bertapak dengan lebih gemilang, melebarkan nur-Nya ke segenap pelusuk alam! Insya-Allah…

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB