Wednesday, October 17, 2007

Ironi Aidilfitri

assalamualaikum.


Hari ini, bersamaan 5 syawal 1428 Hijrah sekali lagi telah membuka mata saya tentang banyak perkara. Ia bermula sedari 1 syawal lagi sebenarnya namun baru hari ini saya berkesempatan untuk bercerita tentangnya.


Lagu yang saya sertakan bersama entry ini menceritakan bagaimana keadaan manusia yang ditimpa bencana. Suatu persoalan yang formulanya sukar ditemui walau oleh pakar sains paling hebat sekalipun. Teori pergerakan plat atau gegaran dari teras bumi tidak memberi jawapan yang konkrit. Namun, tidak sukar sebenarnya untuk menjawab persoalan itu. Persoalan yang jawapannya ada pada manusia sendiri. Manusia mahukan kehidupan yang mewah sehingga sanggup bermandi dosa. Mahukan kehidupan yang lebih seronok sehingga maksiat itu bagai senda gurau dianggapnya.

Ironi sungguh apabila mahu mengecapi kesenangan di bumi ciptaan Tuhan, namun pada masa yang sama meletakkan kebencian kepada setiap suruhan dan menyukai pula setiap laranganNya. Manusia seolah-olah seorang budak kecil yang mahukan ayah membelikannya suatu permainan namun pada masa yang sama dia sangat membenci ayahnya itu. Adakah akan terlaksana permintaannya?

Sedar atau tidak, kehidupan manusia penuh dengan ironi. Bacalah apa-apa berita sekalipun, anda pasti akan dapat menghidu bau ironisma(saya tidak pasti suku kata ini wujud atau tidak). Penyakit manusia sememangnya sukar untuk diubat. Dari sebesar-besar isu Junta di Myanmar sehinggalah ke sekecil-kecil isu sambutan hari raya di mana-mana sahaja pasti wujud ironi di mana-mana sudut sekalipun.

Untuk entry kali ini, mari kita merenung beberapa perkara yang ironi tetapi sudah biasa kita lakukan sehingga ia menjadi suatu tabiat pada manusia terutamanya pada umat islam.

  • 1. Seorang muslim akan melenting apabila terdengar sesiapa sahaja sangsi tentang kewujudan Allah. Namun, kebanyakan muslim dalam sedar atau tidak hidup seolah-olah dia sendiri tidak percaya akan Allah. Ditinggalkan suruhan, diamalkan larangan!
  • 2. Mudah sungguh untuk menuding jari pada orang lain dan mengatakan mereka salah. Kita sering mendengar orang berkata Bush kejam, Blair zalim, Sukarno korup, Osama Laden ekstrim. Namun, adakah anda boleh memimpin dengan lebih baik dari mereka seandainya hanya ada anda sebagai pengganti?
  • 3. Hari-hari kebesaran yang dikurniakan Allah adalah untuk kita raikan dengan mengingatiNya. Kedua-dua eid dikurniakan Allah setelah berlalunya zaman jahiliyyah arab untuk mereka memuji-muji Allah tanda syukur atas kemenangan yang dikecapi. Namun umat islam hari ini meraikan eid dengan parti sosial, konsert dan menonton wayang. Dimana ditinggalkan pujian mengingati kebesaran Allah?
  • 4. Kaum wanita dibebaskan oleh Islam dari perhambaan dan kezaliman yang dilakukan kaum lelaki. Pada Islam, wanita perlu dilindungi dan dipelihara oleh kaum lelaki dengan baik. Namun hari ini, ada segolongan wanita yang keras menolak lelaki sebagai pemelihara. Mereka kononnya mampu hidup sendiri. Mahukah mereka ini kembali diperhambakan? Tetapi kali ini oleh sistem barat pula.
  • 5. Manusia dicipta dengan dihias sifat malu. Lumrah manusia tidak suka dimalukan. Namun, manusia kini meletakkan malu bukan pada tempatnya. Tubuh badan tidak malu untuk didedahkan walau dalam iklim sesejuk New Zealand. Namun malu pula untuk menunaikan solat dan membaca al-Quran di hadapan kawan-kawan.
  • 6. Manusia benci benar andai keburukannya diceritakan oleh seseorang diluar pengetahuannya. Namun, manusia itu sendiri suka benar menceritakan keburukan orang pada kawan-kawan lain pula.
Ironi sungguh!!

Sahabat pembaca sekalian,
Itu hanya sedikit daripada suatu senarai panjang perbuatan manusia yang jelek. Apabila berlaku bencana alam di mana sahaja, tidakkah kita mengambil iktibar? Jangan berasa selamat hanya kerana malaysia terletak di luar lingkaran api Pasifik.Itu tidak menjamin anda akan selamat dari murka Tuhan. Renungkanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran: 154

." Katakanlah: "Sekiranya kamu berada di rumahmu, niscaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh."

Semoga menjadi renungan kita bersama. Sampai bilakah perlu kita tunggu untuk berubah, kembali kepada Allah dengan hati tulus suci. Perlukah tanah ini diterbalikkan, atau kita dihujani batu-batu, atau kita dibinasakan dengan suatu pekikan yang dahsyat atau kita ditenggelami banjir paling buruk? Tidak terlalu awal untuk kita kembali ke jalan yang lurus.

Semoga Allah menerima taubat dan munajat hamba-hambaNya yang mencari secebis kerlipan cahaya...

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB