Sunday, March 30, 2008

Demi Matahari

Assalamualaikum.

Memang tidak boleh disangkal, al-Quran merupakan suatu mukjizat yang sangat istimewa. Ia diturunkan sebagai petunjuk jalan kepada manusia yang sememangnya tidak akan pernah mengerti apakah tujuan hidup mereka di dunia ini tanpaNya. Namun, sejauh manakah kita menghayati dan mengikuti ajaran al-Quran? Sebagai umat Islam berbangsa melayu, adakah bahasa menjadi penghalang untuk kita mendekati al-Quran. Saya harap tidak...

Saya sertakan bacaan al-Quran daripada surah as-Shams dan kemudian diikuti sebuah video nasyid yang menterjemahkan surah ini. Semoga sahabat pembaca dapat menghayati.







Hanya Dialah yang selayaknya memberikan petunjuk pada makhluk ciptaanNya.

Wallahua'lam
[ ... ]

Friday, March 28, 2008

Semalam..

Assalamualaikum.

Sebuah karya seni membawa kita kembali mencari jalan yang sebenar. Yang berlalu, tetap akan berlalu namun amatlah rugi seandainya tiada yang kita pelajari daripadanya.

Semalam... marilah kita muhasabah diri untuk memperbaiki segala kesilapan semalam buat panduan untuk hari ini yang lebih sempurna.



SEMALAM

ku ukir peristiwa silam
kenangan tak bisa terpadam
ku terkenang
oh semalam...

sedetik...
kusingkapi tirai memori
saat duga tiba menguji
oh semalam...telah pergi

Tuhan,ampunkan segala dosa dosa
oh sesalku
moga,hari esokku lebih sempurna
semalam...

ku meniti jalanan suram
oooo...hatiku hanyut dan tenggelam
kutinggalkan oh semalam
kutinggalkan semalam...
Tuhan,ampunkan segala dosa dosa
uuuuuuu...
ohhh,moga hari esokku kan lebih sempurna
semalam...

ku mentiti jalanan suram
hatiku hanyut dan tenggelam
ku tinggalkan oh semalam
ku tinggalkan..semalam...
kian menjauh dan semalam terus menjauh...

takkan kuberpaling lagi kerana semalam
pergii…..


[ ... ]

Wednesday, March 26, 2008

Pemuda-pemudi Tunjang Kebangkitan Islam 2

Assalamualaikum..

Seperti yang dijanjikan pada minggu lepas, saya sertakan bersama-sama entry kali ini sambungan artikel yang ditulis oleh salah seorang sahabat saya. Semoga bermanfaat buat semua.
____________________________________________________________________


Dasawarsa ini, kita menyaksikan generasi pasca merdeka begitu mudah terpengaruh dengan budaya Barat yang sarat dengan elemen-elemen tidak bermoral, dan dalam konteks ini, pemuda-pemudi tentunya menjadi sasaran utama. Masyarakat moden yang rata-ratanya dipengaruhi doktrin sekular telah memasang angan-angan, mengimpikan masyarakat Utopia (yang terlalu sempurna), atau sekurang-kurangnya, golongan sekular yang datang dari golongan Borjuis. Mereka seolah-olah alpa atau sengaja akan peranan mereka diciptakan. Para belia dan beliawanis berdepan cabaran besar kerana pada usia mereka, berlaku proses transformasi dari alam kanak-kanak dan remaja ke alam dewasa, dan tentunya didorong oleh perasaan ingin tahu. Berilah perhatian kepada muda-mudi Islam. Mereka bagaikan jelak dan bersikap tidak endah akan tuntutan rohani dan menganggapnya sebagai perkara remeh-temeh. Soal Islam hanya pada nama sudah muak didiskusikan, dan golongan ini seolah-olah kian terpenjara dengan nikmat dunia. Gaya hidup masyarakat hedonistik mereka tiru semuanya, menyebakan mereka tidak lagi cenderung mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan. Lupus sudah nilai-nilai murni sebagai seorang Muslim, makin banyak pula onar yang dilakukan. Islam tidak lagi diletakkan sebagai falsafah kehidupan paling ideal, kerana mereka hanya berpegang teguh kepada amalan formaliti Islam sahaja, tetapi tidak memberi penekanan terhadap pengisian rohnya, maka ia kosong, tiada apa-apa. Konsekuensinya, ruang kosong ini membolehkan falsafah kebendaan, individualisme, dan hedonisme Barat meresapi jiwa dan naluri hidup mereka. Budaya ilmu dan pelajaran diketepikan, matlamat dan tujuan hidup tidak diambilcakna, akhirnya berterusanlah kelalaian mereka.


Dalam Surah Al-Qiamah ayat 20 dan 21 Allah SWT menjelaskan:

“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai (sebenarnya kamu tidak mengetahui akan kesudahan kamu), bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan) untuk akhirat (yang kekal kehidupannya)”.


Akal yang dikurniakan Allah cukup sempurna bagi manusia. Bahkan nikmat itulah yang meletakkan manusia sebagai makhluk paling layak memikul bebanan tugas dan amanah sebagai khalifah di muka bumi. Potensi dan daya fakir manusia yang berlandaskan kebaikan dan berpandukan kebenaran mampu mencitrakan kesejahteraan dan menjadi katalis kepada kesentosaan. Kejayaan umat Islam terdahulu juga bergantung kepada kekuatan daya fikir mereka. Maka tepatlah dicanangkan jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada tahap pemikiran dan mobiliti bangsa itu sendiri, sebagaimana yang telah diuar-uarkan oleh Mahatma Gandhi. Dalam konteks ini, menjadi harapan dan matlamat agar generasi muda-mudi Islam kini tampil sebagai cendekiawan dan intelegensia terbilang. Sesungguhnya, memiliki pemikiran yang mapan wajar dijadikan prioriti paling utama dalam menunjangi kebangkitan umat, bukannya faktor-faktor material yang bersifat artifisial dan dekoratif semata-mata. Terdapat beberapa contoh yang boleh dikemukakan. Melalui Revolusi Bolshevik pada tahun 1917, dengan fikrah (pemikiran) Dialetika Materialisnya, Lenin berjaya membawa pengikutnya merobohkan penguasaan bangsa Tsar di Rusia. Dunia Arab pula bangkit pada abad ke-7 dengan fikrah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sehingga kesejahteraan bukan sahaja di jazirah Arab, malahan ke suluruh wilayah pemerintahan Islam.


Kini, dalam mendepani arus supremasi sains dekad ini, pemuda-pemudi Islam perlu yakin terhadap kebolehan diri masing-masing yang secara jelasnya boleh dioptimumkan. Dengan asas yang kukuh dan pegangan yang teguh dan sebati dalam rohani, generasi ini diyakini mampu mewujudkan dan memimpin umat bestari yang berlandaskan Islam tentunya dan maju dari aspek ekonomi, agama, sosial, serta segala-galanya. Generasi ini juga perlu dilengkapi ilmu bagi memastikan perjuangan kita tidak terpesong daripada nur Illahi, paling tidak berupaya menjadi umat yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa Barat dan Yahudi. Kita juga diperlukan bagi memerangi golongan sekular dan jahiliyyah moden iaitu mereka yang berilmu tetapi buta akan kebenaran Islam. Kitalah yang bakal meneruskan tanggungjawab fisabilillah, meneruskan perjuangan ulama’ salaf dan khalaf menegakkan kalimah Allah, mendaulatkan dinul Islam dan menjunjung hukum-Nya di muka bumi ini. Sesungguhnya, kita masyarakat Islam tidak akan kalah walaupun berada di bawah, namun kita kalah jika tidak bangun mengatur langkah, mencipta kejayaan, dan merintis kecemerlangan yang berterusan. Pemuda-pemudi yang gagah berani dan sanggup memikul beban dakwah, serta sedia berkorban apa sahaja akan mendapat kebaikan dan keampunan daripada Allah SWT.


Mereka itulah yang distreotaipkan sebagai golongan muflih (beruntung), sebagaimana telah diterangkan dalam Surah At-Taubah ayat 83:

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh pelbagai kebaikan dan keuntungan”.

Berdasarkan dalil-dalil yang mapan, Islam diyakini mampu bangkit dan kembali menguasai dunia. Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 33 yang bermaksud:

“Dialah yang mengutuskan Rasulnya (dengan membawa) petunjuk yang benar dan agama yang hak untuk dimenangkan-Nya ke atas seluruh agama walaupun orang-orang musyrik membencinya”.

Seterusnya, hadith riwayat Muslim pula mejelaskan:

“Sesungguhnya Allah telah memberikan bagiku dunia ini, baik ufuk timur mahupun barat. Dan kekuasaan umatku akan sampai kepada apa yang telah diberikan kepadaku dari dunia ini”.


Hadith riwayat Ibnu Hibban juga memperkuat dakwaan Islam akan kembali menguasai dunia:

“Perkara ini (agama Islam) akan tersebar ke segenap penjuru yang ditembusi malam dan siang. Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun baik gedung mahupun gubuk melainkan Islam akan memasukinya sehingga dapat memuliakan agama yang mulia dan menghina agama yang hina. Yang dimuliakan adalah Islam dan yang dihina adalah kekufuran”.


Selain itu, terdapat juga bukti-bukti yang jelas menunjukkan bahawa kaum Muslim akan bangkit menentang kolonialisme Barat. Janji-janji Allah SWT tentang hal ini disampaikan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Al Bazzar dan Abu Daud iaitu: “Sesungguhnya permulaan (sejarah) agama kalian adalah kenabian dan rahmat, yang berlangsung sesuai dengan kehendak Allah. Kemudian Allah yang maha mulia mencabut kenabian itu, lalu akan muncul pemerintahan yang zalim, pemerintahan ini akan berlanjutan selama Allah mahukannya. Kemudian Allah lenyapkannya. Kemudian akan muncul (kembali) khalifah yang mengikut cara Nabi, memerintah manusia berdasarkan sunnah Nabi, sehingga Islam tersebar luas di muka bumi, penghuni langit dan bumi pun meredhainya, sehingga tidak ada lagi air hujan yang tersisa di langit kerana semuanya diturunkan baginya, dan tidak terbazir lagi sumber di bumi kerana semuanya dikeluarkan untuknya”.


Individu Muslim yang benar-benar beriman kepada wahyu-wahyu Allah perlu memiliki sikap optimis terhadap kebangkitan Islam. Oleh itu, pelbagai pihak tidak kira golongan korporat, borjuis, mahupun marhaen harus berittifaq, berganding bahu menggembleng tenaga merealisasikan niat murni ini. Asas-asas dan dasar-dasar Islam perlu diperteguh di kalangan anak-anak muda, lantas menjadi obligasi ke atas kita untuk mendasari kebangkitan Islam.


Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan (sebab-sebab kemunduran) pada diri mereka”.


Semoga kita semakin yakin untuk terlibat dalam perjuangan mengagungkan Islam. Dalam membangunkan warga sarwajagat yang wijaya, krisis dan kebobrokan budaya hidup wajar diberantas, dan sewajarnya fundamental dan mekanisme paling efektif perlu dinuntasi seterusnya menjadi prioriti dan benteng paling ampuh. Antaranya ialah meningkatkan kesedaran dan mengambil cakna nasib kaum Muslim seantero dunia, mendalami Islam secara intensif dengan mengutamakan rujukan salaf, mempelajari sejarah perjuangan para nabi dan sejarah pemerintahan Islam serta melibatkan diri dengan jemaah yang menjadikan Islam sebagai metodologi berpandukan thariqat dan matlamat yang jelas. Namun yang paling penting ialah memperbanyak program pembangunan akidah Islamiyyah di kalangan muda-mudi Islam seterusnya mampu melahirkan bai’at ketaatan mereka terhadap daulah Islam (khilafah). Tiada lagi masa untuk bersuka-suka, canaikan idea, luaskan minda, tumpukan konsentrasi kepada pembangunan dan pembinaan ummah paling ideal, agar segala macam dekadensi tidak lagi bisa mencelarukan hidup kaum Muslim. Hayatilah konsep rabbaniyyah dan uluhiyyah, lalu jelmakanlah ke dalam akhlakul karim. Iman yang mapan menjana peribadi Muslim sejati, menjadi katalis kejayaan diri, dan sekaligus mampu membendung segala provokasi. Tidakkah begitu?


Itlaqnya, kegersangan umat Islam akan pemimpin-pemimpin ala Khulafa’ al-rasyidin harus disiram dengan lahirnya generasi muda-mudi Islam yang boleh dinobatkan sebagai generasi beriman pendukung alaf baru. Oleh sebab itu, kita tidak harus berpeluk tubuh, memandang remeh atau tidak cakna akan agenda yang maha besar ini. Ayuh, bangkitlah mujahidin! Semaikanlah kembali harapan yang pernah padam! Tiupkan, nyalakan, bakarkan semangat dalam jiwa dai’mu bahawa jika kini jahiliyyah berleluasa, maka kegemilangan Islam akan menyusul! Buktikan bahawa kita diciptakan untuk amal ma’ruf nahi mungkar! Moga-moga, Islam akan bertapak dengan lebih gemilang, melebarkan nur-Nya ke segenap pelusuk alam! Insya-Allah…

[ ... ]

Friday, March 21, 2008

Pemuda-pemudi Tunjang Kebangkitan Islam 1


Assalamualaikum wbt.



Tidak terlewat sekiranya ingin saya ucapkan syukur kerana buat sekian kalinya masih diberi peluang oleh Allah hidup di bumi penuh ujian ini. Sempena sambutan maulidur rasul ini, tidak salah kiranya saya ingin keluar dengan tema dan misi untuk diri saya sendiri. Tajuk entry kali inilah tema maulidur rasul saya. Pemuda-pemudi Tunjang Kebangkitan Islam.

Semangat saya benar-benar berkobar apabila membaca sebuah artikel karangan seorang pelajar jurusan kimia tahun 2 University of Auckland. Maka, saya tidak mahu mengambil terlalu banyak ruang tulisan kali ini untuk memberi laluan kepada tulisan saudara kita ini. Semoga hadirat pembaca dapat mengambil pedoman untuk terus dijadikan amalan.



PEMUDA - PEMUDI TUNJANG KEBANGKITAN ISLAM


Menyelusuri kehidupan dunia liberal hari ini, kita menyaksikan betapa Barat begitu obses dalam menakluki dunia seanteronya. Kita juga didedahkan dengan pelbagai revolusi yang telah mula wujud sejak abad ke-18 lagi, dan kini mahu atau tidak, kita perlu menerima hakikat eksistensi globalisasi, satu lagi gerbang dunia yang berupaya melupuskan sempadan jarak dan masa. Segala-galanya mengalami desakan perubahan yang hebat, sehingga mewujudkan keruwetan moral di kalangan masyarakat dunia, kecelaruan institusi sosial, mehnah dan tribulasi dalam beragama, serta kontaminasi budaya. Seperti yang telah dinyatakan, kemajuan media dan kepesatan teknologi maklumat membolehkan Barat dengan mudahnya mengindoktrinasikan ideologi-idelogi mereka, malah itulah tujuan dan sasaran mereka bagi misi globalisasi yang telah dicitrakan itu. Antara lainnya, Barat kian menggandakan usaha melumpuhkan starta dan stratifikasi komuniti Islam. Malangnya, masyarakat Islam kini semakin alpa, dan dalam kealpaan itulah, Barat terus memperkasa doktrin mereka, mengkolonial pemikiran kita kononnya itulah gagasan idea kolonialisme yang perlu dijadikan panduan hidup, seterusnya mengakibatkan ilmu tidak lagi dimuliakan dan kontemplasi serta tafakur secara rohaniah jua disisihkan.


Tatkala Barat penuh bersemangat menyongsong millenium baru dengan memacu teknologi-teknologi terbaru, memperkasa misi dan propaganda, serta merangka strategi ekonomi liberal melalui pelbagai konsensus, majoriti masyarakat Islam hanya menjadi penonton yang tidak memahami jalan ceritanya. Lebih menyedihkan, bangsa Muslim dianiaya secara fizikal dan mental. Kita menyaksikan ratusan ribu Muslim Kosovo diusir oleh bangsa Serbia, kaum Muslimin Iraq yang dihimpit musibah berganda, derita serangan bersenjata oleh Amerika, dan diprojeksikan pula bahawa menjelang akhir tahun ini, dua per tiga penduduk Indonesia (anggaran 150 juta Muslim) akan hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa. Terdetiknya persoalan, sampai bilakah harus begini?


Berbicara soal kebangkitan, tidak dinafikan sejumlah besar Muslim, akan memberi tanggapan sinis mahupun pandangan yang skeptis. Rentetan pertanyaan tentang apakah itu kebangkitan umat Islam dan bagaimanakah mewujudkannya, menjadi seruan yang tidak berbalas. Bak bertepuk sebelah tangan, baik da’i mahupun umat saling bertanya dan menunding jari, lalu apakah yang harus dilakukan bagi menjamin masa depan Islam yang gemilang?


Kronologi sejarah tamadun dunia membuktikan betapa pemuda-pemudi benar-benar memainkan peranan penting dalam perjuangan menggapai cita-cita. Sekadar beberapa contoh, Revolusi Perancis yang menumbangkan kekuasaan monarki, perjuangan demokrasi di Burma, dan medan Tianmen di Beijing, China menjadi saksi keberanian muda-mudi mendepani desingan peluru demi cita-cita demokrasi yang didambakan mereka. Malah, kegemilangan Islam masa lalu juga banyak ditunjangi belia dan beliawanis Islam secara kaffah, lurus akidahnya, serta penuh ketaatan terhadap syariat. Mereka berilmu, beramal, bertakwa, merangkumi takrif keimanan dan bersifat mahmudah serta sentiasa berusaha menuju tahap itqam (kesempurnaan), namun tidaklah mencapai tahap Utopia. Golongan ini bijak menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi, menetapi gelaran umat terdahulu yang mengamalkan wasatiah dalam kehidupan tanpa mengamalkan diskriminasi. Mereka sedar akan hakikat diri, tujuan Allah menciptakan dan menurunkan mereka ke muka bumi ini. Mereka akan terus meneroka dan berusaha mengembangkan potensi diri yang ada pada mereka, dan seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Introspeksi diri menjadi makanan rohani, dan malam-malam mereka sentiasa ditemani airmata keinsafan, dihiasi kuntum-kuntum ibadah yang sentiasa mekar disiram rindu pada Rasulullah SAW dan Illahi. Keluhuran budi dan tegas dalam kelembutan jadi perhiasan diri, menyerlahkan ketokohan dan kepemimpinan serta boleh menjadi qudwah yang boleh diikuti.


Mereka berdaya kerana mereka yakin dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang berbunyi: “Kamu (pengikut Muhammad) sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (dicontohi) manusia…”


Mereka inilah yang diidentifikasikan sebagai pemuda-pemudi beriman yang sudah tentu berkeupayaan mendukung cabaran dan onak duri dalam perjuangan memartabatkan Islam di persada dunia. Beberapa orang tokoh wajar dijadikan contoh. Antaranya Imam Syafi’e yang telah menghafaz Al-Quran sejak berusia 9 tahun, yang kemudiannya telah muncul sebagai mujtahid dan imam mazhab yang terkemuka. Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin ketika berumur 23 tahun. Usamah bin Zaid pula ketika berusia 18 tahun telah memimpin pasukan perang, manakala Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwan telah mula menyertai perjuangan sejak berumur 8 tahun. Begitu juga dengan Saad bin Abi Waqqash yang telah dilantik sebagai panglima perang Al-Qadhisiah pada usia 17 tahun ketika melawan kuasa besar Persia. Siti khadijah binti Khuwailid, Siti Aishah binti Abu Bakar, dan Sumayyah binti Khayyat pula antara mujahidah yang telah bermujahadah demi memperjuang dinul Islam. Dan masih terdapat puluhan ribu pemuda-pemudi Islam yang telah melibatkan diri secara aktif dalam mendaulatkan panji-panji Islam Al-Rayyan pada zaman Rasulullah SAW. Namun kini, dengan situasi yang jelas berbeza, mampukah pemuda-pemudi Islam hari ini meneruskan kontinuiti (kesinambungan) kecemerlangan dakwah Islam?


- Saya tinggalkan anda di situ dahulu untuk menjawab setiap persoalan yang diajukan penulis.


- Artikel ini masih belum tamat.Oleh kerana ia agak panjang, maka saya membuat keputusan untuk memasukkan hanya sebahagian daripada artikel asal dalam entry kali ini.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui...

Saya akan kembali dengan sambungan artikel ini di lain hari.
[ ... ]

Saturday, March 15, 2008

_ _ _ _

Assalamualaikum

Kadang-kadang saya rasa terleka dengan apa yang saya lalui seharian. Apa yang kita hadapi setiap hari sepatutnya mendekatkan kita kepada suatu kejayaan hakiki. Namun pada hakikatnya, saya sendiri masih mencari-cari di manakah kejayaan hakiki itu dapat saya temui. Segalanya kabur, berterabur dan tidak dapat saya susun untuk menjadi sesuatu yang konkrit. Manusia memerlukan

Sahabat sekalian,

Suka untuk saya bercerita tentang salah satu organ manusia, yang kompleks penciptaannya, istimewa fungsinya dan penting peranannya untuk kita. Tidak disangkal kepentingannya hingga disebut dalam salah satu hadis Rasulullah yang berbunyi:

"Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ia adalah _ _ _ _"


Saya pasti anda tahu apakah huruf-huruf yang perlu diisikan dalam setiap tempat kosong itu. _ _ _ _ pada saya bukan sekadar seketul daging. Antara lain, organ inilah yang bertanggung jawab membawa manusia terus kepada hidayah Allah atau menyeret manusia ke lembah kehinaan. Berbeza dengan mulut, _ _ _ _ dapat mempengaruhi seluruh anggota lain untuk bertindak mengikut prinsip yang telah ditanam, atau sekadar "follow the flow".

Pada zahirnya, manusia semuanya kelihatan sama. Setiap insan yang cukup sifatnya (ada 2 kaki, 2 mata, 1 hidung,1 mulut, 2 tangan dan seterusnya) boleh mempunyai perwatakan berbeza-beza kerana apa yang tertanam di dalam _ _ _ _.

Seandainya perbuatan kita sehari-hari dipandu oleh _ _ _ _ yang dikelolai nafsu, maka hasilnya ialah perwatakan dan perlakuan yang kurang manis. Andainya pula _ _ _ _ dikelolai iman yang terhasil daripada tunduknya akal kepada wahyu, maka akan terhasil suatu peribadi terpuji daripada manusia tersebut. Umat islam secara umumnya, tidak boleh membiarkan diri ditakluk _ _ _ _ yang bergelumang nafsu kerana sudah jelas wahyu disampaikan oleh Allah melalui pesuruhNya dan kini sudah pula dimashafkan untuk menjadi pengajaran dan pedoman hidup. Sudah terang amaran yang diberikan oleh Allah.

"dan yang menyampaikan wahyu. Untuk menolak alasan atau memberi peringatan. Sungguh, apa yang dijanjikan kepadamu pasti terjadi." al-Mursalat:5-7
Sahabat sekalian,
Ada manusia yang hidup selesa, senang-lenang. Ada pula yang terpaksa mengharungi pelbagai penderitaan. Tiada lain yang boleh disalahkan melainkan manusia-manusia yang pada _ _ _ _ nya menghidap pelbagai "penyakit". Penyakit hasad, dengki, mementingkan diri sendiri, ego, hipokrit dan sebagainya.

Organ yang cuba maksudkan itu ialah H A T I ..

Sungguh, hanya Dialah yang mengetahui.

Sebelum mengakhiri, ingin saya berkongsi suatu video. Semoga ia bermanfaat untuk semua.



InsyaAllah, saya akan kembali bercerita tentang _ _ _ _ seandainya masih diizinkan.

[ ... ]

Thursday, March 6, 2008

KOMPLEKS

assalamualaikum

Sahabat pembaca sekalian,
Kebiasaannya, manusia hanya akan meyakini sesuatu setelah "sesuatu" itu menjadi kebiasaan bagi dirinya. Bagaimana pula untuk sesuatu yang tidak pernah dilihat, dirasai atau didengarinya? Sebagai contoh, anda mungkin boleh membayangkan warna merah atau kuning sebagai sesuatu yang panas kerana matahari atau api melambangkan kepanasan dengan warna masing2 yang merah kekuning-kuningan. Tetapi, bolehkan anda bayangkan bunyi yang hijau? Atau warna yang merdu? Tidak masuk akal bukan? Namun percayakah anda sekiranya saya katakan bunyi yang hijau atau warna yang merdu itu boleh berlaku?

Sebenarnya, sebagai manusia kita punyai deria yang sangat terbatas. Saya suka untuk merujuk kepada tulisan sheikh Ali al-Tantawi yang menyatakan bahawa deria manusia sgt terbatas sehinggakan apa yang kita lihat, dengar, rasa, hidu dan sentuh merupakan sebahagian kecil sahaja daripada elemen dunia yang serba kaya.

Namun, kebijaksanaan manusia "mencipta" atau lebih tepat "memanipulasi hukum alam" membolehkan mereka menggarap sesuatu yang sedikit lebih jauh daripada apa yang dicapai oleh deria sahaja. Sebagai contoh, Penciptaan telefon membolehkan deria pendengaran dan suara kita merentas benua. Penciptaan itu masih jauh daripada membolehkan manusia untuk berinteraksi sepenuhnya dengan alam ini. Kita masih tidak boleh berhubung dengan tumbuhan. Walaupun manusia kini berupaya mengeluarkan arahan pada haiwan yang sudah dilatih sedari kecil, namun kita masih belum mampu menyelami apa yang bermain di otak haiwan tersebut. Malahan, manusia sukar memahami apa yang difikirkan oleh manusia lain pun, lebih-lebih lagi orang yang tidak pernah kita tegur dan kita sapa. Apabila bercakap mengenai fikiran dan emosi manusia, satu perkataan cukup untuk menggambarkannya iaitu KOMPLEKS.

KOMPLEKS juga merupakan perkataan paling tepat untuk menggambarkan apa yang telah, akan dan sedang berlaku dalam pilihan raya. Ia tidak semudah kita, ke tempat mengundi kemudian memangkah calon yang sudah kita pilih. Keseluruhan proses pilihan raya sangat kompleks sehingga boleh menyebabkan kesatuan atau perpecahan, kesetiaan atau pengkhianatan, pujian atau makian dan lain-lain lagi.

Apa yang menyebabkan saya kurang selesa dengan suasana kempen pilihan raya ialah bila pemimpin yang sama-sama warganegara Malaysia, malahan sama-sama muslim menyelar satu sama lain. Menimbulkan bibit permusuhan lalu menyuarakan bahawa mereka mampu membawa keamanan sejati. Sarkastik sungguh bukan?

Idealnya, seorang pemimpin yang membawa mesej keharmonian sejagat, sepatutnya mengamalkan mesej itu walaupun dengan pesaing di medan pilihan raya. Atau mungkin apa yang saya cadangkan ini tidak masuk akal kerana saya hanya mampu menganalisa kes2 kompleks lalu mengeluarkan penyelesaian yang simplistik sahaja? Ya, saya mungkin tidak memahami dengan mendalam apa yang berlaku. Namun, segala yang baik itu adalah jelas. Yang jahat juga jelas. Apa yang kabur, saya hanya perlu tinggalkan sahaja. Hadis Rasulullah menyebut:

"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, perkara yang haram juga terang jelas..."


All in all, pemuda seharusnya mula mengambil inisiatif untuk manjadi seorang yang lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Terlalu banyak masalah namun percayalah, tiada masalah terlalu besar sehingga kita tidak dapat mencari penyelesaiannya. Umat Islam seharusnya tahu, di mana boleh dicarikan jalan penyelesaian itu.

Saya tinggalkan anda di sini dahulu untuk merenungkan semua yang telah saya lontarkan.

wallahua'lam

[ ... ]

Tuesday, March 4, 2008

Tidak akan sama..

assalamualaikum.




Syukur padaNya kerana diberikan kudrat pada saya untuk kembali menulis dengan lebih giat. Namun, terdapat banyak perkara yang membuatkan saya terhenti menulis buat sekian lama semasa cuti musim panas yang lepas.

Sahabat pembaca,
Mungkin segelintir di kalangan anda mula perasan bahawa saya bukanlah seorang penulis yang gemar mengulas tentang isu semasa yang berlaku baik di Malaysia, New Zealand atau di mana sahaja sekalipun. Saya masih mengikuti setiap perkembangan namun semakin jauh saya hanyut dalam isu semasa, semakin saya tenggelam dalam kepalsuan hidup manusia.

Kini, pasti perkara yang paling hangat sedang dibincangkan ialah berkenaan pilihan raya. Saya sudah berusia 23 tahun mulai hari ini dan sudah layak mengundi sedari dua tahun lepas lagi. Namun mungkin bukan rezki saya untuk melakukannya pada tahun ini kerana masih tidak tamat-tamat lagi pengajian di Auckland sehinggalah hari ini.

Pemilihan kepimpinan perlu dilakukan melalui pemerhatian terperinci dan menyeluruh. Dan pemerhatian sedemikian bukan semua mampu lakukan, lebih-lebih lagi apabila maklumat yang kita garap penuh kepalsuan dan sentiasa berat kepada satu belah pihak sahaja. Media yang pro-kerajaan akan terus-menerus menghentam pembangkang manakala yang sebaliknya juga berlaku kepada media yang pro-pembangkang. SAYA PERLUKAN SESUATU YANG TULUS! TETAPI DI MANA BOLEH SAYA CARI?? Ini menyebabkan saya kurang yakin akan keberkesanan sistem demokrasi di Malaysia. Namun, dalam jangkamasa terdekat ini, sistem demokrasi itu sahaja yang terbukti keberkesanannya.

Cukup di situ berkenaan pilihan raya. Ingin saya kembali membawa pembaca kepada objektif pembikinan blog ini iaitu membawa mesej umum kepada masyarakat tentang hakikat kehidupan yang sebenar. Saya juga salah seorang daripada mereka yang masih mencari-cari hakikatnya. Kita sama-sama tahu dunia ini palsu, sementara, dicipta sebagai ujian dan seterusnya. Namun tahu tidak sama maksudnya dengan faham. Sangat mudah untuk TAHU, tapi sangat sukar untuk FAHAM.

Ini mengingatkan saya kepada suatu buku karangan Syeikh Ali al-Tantawi bertajuk "Hakikat Islam yang Semestinya Difahami". Satu fenomena menarik yang dikupas oleh beliau ialah, manusia pada hakikatnya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku pada kehidupan yang berikutnya (akhirat sudah pasti). Bayangkan bayi yang berada di dalam kandungan, sudah pasti hanya dapat membayangkan kehidupannya berdasarkan apa yang dapat dicapai pancainderanya pada masa itu sahaja.

Jika ditakdirkan Allah mengurniakan akal kepada bayi tersebut, dia pasti membayangkan dirinya apabila lahir ke dunia nanti akan menjalani kehidupan sepertimana dirinya di dalam janin. Begitu jugalah kita di dunia ini. Kita hanya dapat membayangkan akhirat relatif kepada apa yang kita lalui di dunia sedangkan keduanya tidak menyamai sama sekali.

Cukup sekadar itu dahulu buat renungan kita bersama. Ingatlah wahai sahabat sekalian, "Dunia ini, tak seindah pandangan mu. Namun cukup, untuk kau jadikan bekal membawa kepada kebahagiaan di sana nanti"

Selamat kembali ke sekolah khas buat kawan-kawan di Auckland.
[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB