Tuesday, February 24, 2009

Alam pekerjaan

Assalamualaikum

Akhirnya, tergerak juga hati saya untuk kembali mengisi ruang maya ini. Maafkan kelalaian saya yang membiarkan ruang ini tidak dikemas kini lebih sebulan lamanya.

Hari ini, mari baca serba sedikit pengalaman saya yang baru masuk hari ketiga ke alam pekerjaan.

Saya bekerja dengan salah sebuah syarikat petroliam. Sebelum memulakan pekerjaan, semua pekerja baru dikehendaki menghadiri kursus induksi selama dua minggu. Seperti biasa, mmg terlalu byk yang saya perolehi. Baik dan juga buruk. Mari kita cerita tentang yang baik-baik sahaja. Yang buruk-buruk, biarlah saya simpan sebagai sempadan.

Sahabat pembaca,
Di sepanjang kursus, para peserta diterapkan dengan pelbagai nilai yang digariskan oleh syarikat bagi membolehkan ia membina para pemimpin yang bakal memacu cita-citanya menjadi syarikat petroliam terbaik di dunia. Antaranya ialah, hidup ini perlu kepada perubahan. Kita tidak akan ke mana-mana seandainya kita tidak berani mencabar diri sendiri untuk menggapai sesuatu yg lebih tinggi. Berani mengambil risiko juga penting dalam meningkatkan potensi diri sendiri. Seandainya kita terus berasa selesa dengan keadaan kita sekarang, percayalah, kita sememangnya berada dalam keadaan yg sangat rugi.

Harapnya, perkongsian pendek tadi menjadi langkah mula untuk saya kembali memberi perkongsian-perkongsian dhaif kepada anda semua.

p/s: mari terus mendoakan kesejahteraan Ummat Muhammad di seantero dunia.
[ ... ]

Thursday, January 8, 2009

Aduh, sakit sekali

Hari ini, sudah lebih seminggu saudara-saudara kita di Palestin dibedil dan dianiaya seteruk-teruknya. Sikap pemimpin dan tentera Zionis yang sungguh bongkak dan menjengkelkan meyebabkan penduduk dunia menjadi kian marah, kian menyampah. Sungguh, mereka ini manusia tidak sedar diri. Manusia yang tidak kenal dek untung. Manusia "selfish" yang hanya Allah lah selayaknya menjadi penghukum mereka.

Benar, tiada sistem keadilan di dunia yang mampu menghukum iblis-iblis sombong dan pengecut ini. Biar neraka Allah yang menghitung setiap zarah kezaliman mereka yang menyakiti saudara-saudara saya setiap saat sedari tahun 1948 lagi.

Ingin saya kongsikan fakta yg disampaikan oleh Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang menganggotai Palestine Center of Excellence (PACE).

Fakta 1: Gaza sudah berada dalam serangan dan sekatan Israel semenjak 18 bulan yang lepas.

Fakta 2: Tiada makanan, ubat-ubatan dan bermacam keperluan lain yang dibenarkan masuk ke Gaza. Penduduk-penduduk Gaza kini kelaparan dan hak-hak kemanusiaan mereka sering dinafikan.

Fakta 3: Kerajaan Hamas bersetuju untuk patuh kepada gencatan senjata selama 6 bulan dengan Israel yang berakhir pada 19 Disember lepas.

Fakta 4: Gencatan senjata tersebut telah dibatalkan Israel dengan alasan pejuang Hamas telah menembak roket buatan mereka ke dalam Israel. Inilah hasil penipuan yang dibuat oleh Israel melalui kuasa media yang berada di tangan mereka.

Fakta 5: Kebenarannya, pejuang Hamas menembak roket sebagai balasan kepada beberapa pencerobohan yang dilakukan oleh tentera penakluk Israel (IOF) ke dalam wilayah Gaza yang telah menyebabkan kematian beberapa pegawai keselamatan Palestin dan anak-anak kecil.

Fakta 6: Kenyataan Israel yang mengatakan serangan mereka berbentuk pertahanan adalah penipuan semata-mata. Israel telah merancang serangan ini semenjak bulan June 2008. Mereka dengan liciknya mengembil kesempatan pada waktu-waktu tenang gencatan senjata untuk merancang serangan ini.

Wallahua'lam. Sememangnya kita mengharapkan Allah akan membantu mereka. Namun, melalui siapa? Adakah kita bakal menjadi sebahagian daripada sistem pertolongan yang akan diturunkan Allah itu?

[ ... ]

Friday, December 26, 2008

Kahwin

Tahniah buat para sahabat yang telah dan bakal menamatkan zaman bujang masing-masing. Semoga Allah berkati hidup kalian. Bercerita tentang perkahwinan, kita sering dijolokkan dengan pelbagai cerita. Baik yang positif mahupun yang negatif. Antara isu yang paling hangat ialah berkenaan jumlah mas kahwin.

Ia boleh jadi serendah RM 10,000.

APA? SERENDAH RM10,000? Berpoluh sey..

Bila zaman makin maju, anak muda pula semakin berpelajaran serta peristiwa kemunduran ekonomi menyebabkan mas kahwin naik sejajar dengan naiknya harga beras di pasaran dan terus naik berlawanan dengan turunnya harga minyak di stesen-stesen Petronas berdekatan.<--boleh tahan panjang ayat ni.Hehe.

Isu ini dah selalu dikupas orang, tapi kita seolah-olah tidak akan pernah jumpa jalan penyelesaiannya. Kaum lelaki di luar sana yang masih bujang dan perihatin, tolonglah cari solution skali haa..

Itu baru masalah sebelum menjelang perkahwinan. Belum masuk masalah-masalah bila sudah diijab-kabulkan. Saya masih bujang, tetapi mendengar cerita-cerita orang menyebabkan saya takut nak menghadapinya. Tapi masih ada keinginan yang tinggi untuk menamatkan zaman bujang ni. Hehe. (syy, jangan beritahu ibu saya. Janji ok?)

Apa-apa pun, perkahwinan adalah satu proses di mana manusia akan memasuki satu alam yang baru. Alam yang menguji "kejantanan" seorang lelaki dalam menjadi ketua keluarga. Dan alam yang menguji naluri selaku seorang isteri dan ibu buat si perempuan.

Sebagai seorang bujang, saya melihat proses itu sebagai satu transisi dalam mematangkan manusia. Satu fitrah yang disusun cantik oleh Tuhan. Rugilah mereka yang gagal mendalami maksud perkahwinan.

Ramai manusia gagal menghayati makna perkahwinan dan cinta. Sampai bila agaknya kita ingin melihat perkahwinan dan cinta pada sudut nafsu. Cinta kerana pasangan cantik atau kacak. Berkahwin untuk mengelak maksiat. Ayuh manusia berakal, kita halusi maksud ikatan yang dihalalkan Islam ini dengan makna yang lebih besar. Iaitu dengan makna mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan yang akan mengembalikan setiap kita kepadaNya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." an-Nuur: 26

Wallahua'lam

p/s: ucapan tahniah saya buat rakan-rakan satu fikrah, satu sekolah, satu tadika dan satu taman yang bakal menamatkan zaman bujang masing-masing tidak lama lagi.

[ ... ]

Saturday, December 6, 2008

Kata-kata akhir

Jangan Diucap Selamat Tinggal - Shades

Assalamualaikum

InsyaAllah, saya akan pulang ke tanah air esok tepat jam 2:05 petang. Ini mungkin kali yang akhir saya melontarkan kalimah dari hati di bumi Auckland ini. Andai masih diberi kesempatan, saya akan terus menulis bila di Malaysia nanti.

Terlalu banyak kenangan. Terlalu banyak pengalaman. Saya bersyukur atas kesempatan yang Allah berikan. Saya redha atas ujian yang Dia timpakan. Namun, apakah saya bersedia untuk menempuh kehidupan baru bila pulang nanti? Saya takut. Saya tidak pasti.

Buat sahabat-sahabat di Auckland yang mengenali, saya harap anda maafkan segala kesalahan saya. Saya juga manusia. Manusia sentiasa melakukan kesalahan dan selalu tersilap langkah. Maka saya turut tidak terlepas dalam melakukan perkara yang sama. Setiap kata yang terlanjur, setiap perbuatan yang terlampau, setiap hasad yang terpancar, harap dimaafkan. Maafkanlah.. Maafkanlah..

Saya sangat menghargai persahabatan kita di sini. Bukan sahaja ketika kita seronok bersama, malah ketika konflik melanda. Pada ketika itu persahabatan kita diuji dan saya rasa lebih matang dalam menangani masalah bila berhadapan dengan keadaan sedemikian. Saya rasa diri diperbaiki.

Buat kawan-kawan yang telah berjaya menamatkan program Ijazah di Universiti of Auckland ini, saya berdoa agar Allah mudahkan urusan kita di alam pekerjaan nanti. Alam itu tidaklah mudah. Malah mungkin lebih payah daripada apa yang kita hadapi di sini. Jangan lupa, kita manusia belaka. Bukan mesin pencetak wang. Wang ringgit tidak pernah cukup seandainya kita terus mengejar. Kita hidup untuk berkasih. Berkasih dengan Tuhan, berkasih dengan keluarga, sesama manusia dan alam yang selalu membantu selalu memerhati.

Buat mereka yang masih belum tamat perjuangannya, teruskanlah sehingga kejayaan memanggil anda pergi.

Buat akhirnya, saya sertakan beberapa gambar yang memberi pelbagai kenangan.


1st year: lawatan bersama-sama rakan satu batch dan abg senior.

2nd year: Trip ke Cape Reinga

2nd year: Majlis Hari Jadi saya

Final year: Pasca Solat Raya Di Mt Street Prayer Room

Final Year: Majlis Perpisahan bersama "adik-adik"

Andai ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

[ ... ]

Saturday, November 8, 2008

Cikgu oh cikgu

Kami masih lagi berada dalam musim demam exam. Ada yang dah sembuh (sebab dah habis). Ada yang berehat sekejap (contohnya saya). Ada pula yang sedang bertungkus-lumus menghadamkan nota-nota yang disimpan semenjak mula semester 2 beberapa bulan lepas. Macam-macam perangai..

Apa-apa pun saya ingin mengucapkan sekalung tahniah buat sahabat saya yang sudah berjaya bergelar doktor. Doktor Azri Bin Fikry. Saya tumpang gembira dengan kejayaan anda. Kepada yang bakal menjadi jurutera, guru, akauntan, ahli ekonomi dan sebagainya, teruskanlah usaha anda. Garisan penamat sudah tidak jauh dari capaian kalian.

garden fence - coloursplash

Berat sungguh rasanya bila mahu menulis. Berhari-hari saya fikirkan, apa yang mahu saya tuliskan untuk entry blog yang terbaru ini. Bermacam-macam jenis buku dan blog saya baca, namun masih kebuntuan. Berita pun ada pelbagai. Kemenangan Barack Obama salah satu daripadanya. Cukuplah liputan ribuan jenis berita yang rata-ratanya menyatakan betapa bersejarahnya Pilihanraya US kali ini. Tak perlu saya tambah lagi rasanya.

Menuntut Ilmu lalu menyampaikan

Payahnya menulis kalau hendak dibandingkan dengan membaca. Menulis boleh jadi mudah seandainya hasil tulisan itu penuh kata-kata kosong yang tidak menjana pemikiran. Begitulah juga kisahnya dengan mereka yang cuba menyampaikan ilmu buat orang lain. Seandainya apa yang disampaikan itu tidak membawa apa-apa harga yang signifikan ke arah pembentukan diri dan mentaliti, maka elok sahaja si penyampai menilai kembali apa yang telah disampaikannya. Memang mudah berkata-kata kosong.

Ini membawa saya mengenang zaman persekolahan saya. Zaman remaja saya habiskan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (1998 - 2002). Banyak kenangan pahit dan masin yang saya lalui sepanjang lima tahun persekolahan. Yang manis pun ada, hehe. Suasana sekolah yang "unik", kawan-kawan yang "best" serta cikgu-cikgu yang "caring".

6545

Pembelajaran di kelas boleh jadi sangat menarik dan boleh pula jadi sangat me"mengantukkan". Memang lumrah remaja yang mudah bosan. Saya tidak berhasrat untuk mengutuk atau menghina mana-mana guru. Saya cuma mahu guru atau bakal guru yang membaca entry ini mengkaji kembali prestasi sistem pengajian sekolah-sekolah di Malaysia. Tulisan kali ini adalah hasil pemerhatian saya dalam kuliah-kuliah yang saya hadiri di sini lalu saya kaitkan dengan dunia persekolahan saya.

Ramai guru yang masuk ke kelas dan sekadar menulis nota di atas papan hitam sahaja. Murid yang rajin sudah pasti akan menyalin nota-nota ini sepenuhnya. Yang rajin separuh akan salin separuh. Yang malas pula tidak peduli untuk menyalin terus walau sebilah huruf. Guru-guru seperti ini pada pendapat saya hanya berminat menghabiskan syllabus sahaja. Pada mereka, objektif sudah tercapai sekiranya syllabus berjaya dimuntahkan kepada pelajar tanpa mengira sama ada mereka faham atau tidak. Saya harap saya tidak berkasar sekiranya guru-guru sebegini saya katakan tiada matlamat dalam mengajar.

Mukai_Hiro_057lr

Ada pula guru yang sangat prihatin dengan kecemerlangan prestasi akademik anak murid. Guru seperti ini lebih baik. Mereka ada rasa tanggungjawab terhadap anak didik mereka. Namun masih ada sedikit kekurangan. Kadang-kadang perihatinnya mereka adalah kerana mahu menaikkan nama baik sekolah atau mahu dilihat sebagai guru cemerlang agar di kemudian hari mudah untuk naik pangkat. Guru sebegini mempunyai matlamat dalam kerjaya mereka cuma matlamat itu kurang tepat pada pandangan peribadi saya.

Secara peribadi, saya kurang selesa dengan guru-guru yang suka membandingkan prestasi sekolah mereka dengan prestasi sekolah lain yang lebih cemerlang akademik mereka. Apakah hadirnya seseorang itu di sekolah semata-mata untuk menaikkan status sesebuah institusi persekolahan?

Guru yang terbaik pada pandangan saya ialah mereka yang benar-benar concern dengan perkembangan intelektual anak murid. Mereka mengajar untuk mematangkan fikiran remaja yang suka memberontak. Mengajar untuk menyediakan remaja bagi menghadapi dunia serba mencabar. Marah-memarah dan rotan-merotan tidak cukup untuk mengekang unsur jahat dalam diri seseorang untuk membisikkan ajakan-ajakan kemungkaran. Apa yang diperlukan ialah bimbingan daripada seorang guru yang ikhlas.

Mata pelajaran yang diajar sebenarnya tidak pernah menjadi penghalang.Guru-guru sains sudah pasti dapat menimbulkan pelbagai kesedaran kepada pelajarnya tentang hakikat-hakikat penciptaan alam yang menakjubkan. Guru Matematik pula boleh menggunakan kebolehan menganalisa secara kuantitatif dan kualititatif untuk menilai situasi anak murid dengan lebih baik. Guru Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris boleh menggunakan segala kepakaran memahami kisah hidup dan interaksi manusia sejagat untuk mengajar anak murid mereka realiti kehidupan dan persediaan untuk menghadapinya dengan baik.

Guru agama pula janganlah memandang peranan anda yang paling kurang penting di antara semua. Bahkan, guru agamalah yang bertanggung jawab memanusiakan manusia. Manusia ini tidak lebih daripada haiwan yang pandai berfikir sekiranya Tuhan tidak dikenali. Sepertimana firman Allah dalam al-Quran 7:179.

179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Manusia yang hidupnya tidak dipandu wahyu, akan dipandu oleh akal terbatas yang sentiasa diracun syaitan dan nafsu. Menjadi tanggung jawab guru agama untuk memastikan pelajar-pelajarnya dapat mengenal Tuhan (paling kurang).

Sahabat sekalian,

Janganlah diambil artikel ini sebagai satu hujah untuk menyalahkan guru dalam semua kegagalan remaja yang boleh kita lihat dewasa ini. Saya cuma mengimpikan suatu suasana pendidikan yang lebih baik daripada apa yang saya dapati dahulu dan sekarang.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga buat semua guru yang pernah mengajar saya sedari sekolah rendah sehinggalah di menara bergading ini. Anda semua punya sumbangan masing-masing ke arah menjadikan saya seorang insan, dan bukan pula seekor manusia tanpa jati diri.

[ ... ]

Sunday, October 26, 2008

Hari-hari Akhir

Saya seakan-akan sukar untuk percaya. Masa saya sudah hampir sampai ke penghujungnya. Hanya tinggal tiga paper exam menanti. Selepas daripada itu, saya akan kembali ke Malaysia dengan izinNya. Kembali untuk meneruskan satu lagi fasa dalam hidup. Fasa yang bakal memberi saya lebih banyak dugaan. Fasa yang bekal menjadikan saya seorang manusia berjasa atau bakal menghentam saya sehingga menjadi seorang yg tidak berguna.

Saya rasakan seperti baru semalam berpijak di bumi Auckland. Biar bumi ini tidak sehebat New York, namun tetap ia menjadi tempat saya pelajari ilmu yg tidak terbayar dengan nilai Dollar. Sungguh syahdu mengenangkan tempat ini. Saya tidak pasti apakah pemergian saya meninggalkan seribu satu jasa, atau pemergian saya mengurangkan satu lagi beban kepada bumi Auckland.

Saya tidak berhasrat berkata / menulis banyak. Saya hanya mahu kongsikan sebuah video yang pendek namun cukup bermanfaat buat mereka yang mahukan pengajaran.

p/s: Selamat menghadapi peperiksaan buat semua yang bakal menghadapinya.

[ ... ]

Monday, October 13, 2008

Lelaki Sejati

Lelaki sejati tidak tunduk pada sesuatu pun melainkan apa yang dikehendaki Tuhan.

Tidak gentar pada sebarang ciptaan.

Yang ditakuti hanya pada Yang Menciptakan.

Bukan mudah untuk hidup berdasarkan prinsip. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang saya dan anda semua alami setiap hari. Manis mulut kita berbicara, "Jangan diikut hawa nafsu bila bertindak, bila berbicara mahupun bila merasa." Namun, apakah itu yang kita lakukan setiap kali? Setiap hari?

Amaran sudah jelas diberikan Tuhan. Dalam surah as-Saff, Allah berbicara kepada hamba-hamba melalui Kalamnya yang bermaksud,

" Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

Tidak gentarkah hati kecil ini bila mendengar Tuhan berbicara yang demikian? Saya takut, tapi tidak selalunya begitu. Kadang-kadang dengan berani saya langgar! Benci kemungkaran namun diri sendiri tidak terlepas daripada melakukannya. Masih ada kekurangan yang jelas pada diri saya. Hati ini masih tidak cukup bersih.

Bilakah agaknya diri saya dapat benar-benar merasakan kehadiran Tuhan? Seolah-olah tiada yang mengawasi diri saya. Pandai berkata-kata, namun pada diri sendiri pun tidak 100% terlaksana. Seperti yang telah saya luahkan dalam entry lepas, banyak konflik yang jatuh menimpa saya. Saya rasakan sudah bertemu jawapannya. Tapi, masih tidak saya laksanakan sepenuhnya.

Prinsip Sesuci Salji, Sekental Besi

Itu yang saya inginkan. Hidup saya masih dipandu keinginan-keinginan yang mengarut. Karut yang mengaratkan seluruh ruh dan jasad. Prinsip bukan lalang yang boleh ditiup ke timur ke barat. Bukan juga air yang hanya mengalir ikut pada bekasnya. Namun ia bagaikan pasak besi yang teguh berdiri biar apa pun yang menimpa. Biar dilanggar dirempuh. Biar pecah, seribu terbelah. Biar karat bertukar sifat. Berdiri tetap berdiri. Walau tercondong sedikit, ia akan terus teguh di situ.

Itulah hidup pada prinsip. Arahan Tuhan adalah prinsip. Tiada yang lebih suci daripada prinsip yang disandarkan pada suruhan-suruhanNya. Islam bukan untuk diikut bila kita rasa mahu sahaja. Bukan untuk kita patuh pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat sahaja. Tetapi perlu kita tunduk selagi mana hayat terus terkandung di dalam jasad. Biar terperosok di tengah-tengah najis dan maksiat, tapi tetap jelas amaran-amaran Tuhan dalam ingatan.

"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." at-Taubah:41

Saya tidak mahu jadi pengecut. Saya tidak mahu jadi manusia yang tewas kepada iblis. Lupakah kita iblis pernah meremehkan manusia. Memandang rendah dan menghina diri kita. Mari kita buktikan kepada dia, bahawa tidak salah pilihan Allah. Meletak kita sebagai pemakmur bumi ini. Bukan perosak sepertimana iblis dan kawan-kawannya.

Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana...

wallahua'lam

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB