Saturday, December 12, 2009

Besarnya Ujian

Semoga Allah tabahkan hatimu..


Tiada apa yang dapat saya sumbangkan untuk membantu Teh Afifah selain sekalung doa buat beliau dan arwah suami. Belajar di dalam Universiti yang sama membuat saya turut merasa hebat tamparan ujian yang dialami Teh. Berat mata memandang, berkali ganda lebih terbeban bahu yang memikul.

Saya sempat mengenali Teh ketika beliau memasuki tahun 1 pengajian di UoA manakala saya sudah memasuki tahun ke-3 ketika itu. Walau hanya pernah sekali atau dua bersua muka, dan hampir tidak pernah bertukar tutur kata, saya yakin beliau seorang yang sangat solehah. Seorang yang dekat dengan agamaNya. Ini mungkin satu cara Allah mahu hambaNya ini mendekati Rab yang telah mentakdirkan segalanya.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksi saya jika berada di tempatnya.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" -2:286
Mungkin ini juga caranya Tuhan mengampunkan segala kesalahanmu dan menganugerahkan pahala seluas langit dan bumi buat mu.

Maka benarlah, ajal dan maut itu boleh datang pada bila-bila masa. Benarlah kita akan mati juga akhirnya. Semoga Allah turut membenarkan janjiNya untuk menempatkan mereka yang mati dalam keadaan soleh atau solehah di dalam Syurga yang Maha indah.

Saya berharap peristiwa ini bakal menjadi pedoman buat kita semua.

Marilah berdoa semoga ruh Mohd Ariff dicucuri rahmat Illahi. Buat Teh, tabahkanlah hati, kuatkanlah semangat. Kita yang hidup ini juga bakal kembali akhirnya. Cuma mungkin masanya belum tiba.

Wallahul musta'an.
[ ... ]

Saturday, November 7, 2009

Konsisten

Dalam menjalani hidup kita hari demi hari, banyak perkara yang kita lakukan secara berulang-ulang. Kita mandi 2 kali sehari pada waktu-waktu yang hampir sama setiap hari, makan sarapan, tengah hari dan malam, periksa email, bertukar-tukar pakaian dan sebagainya. Kerapnya kita lakukan perkara-perkara demikian menyebabkan setiap kali melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut, kita dapat melakukannya dalam keadaan separa sedar.

Namun, ada sesetengah perkara memerlukan kita untuk melakukannya secara berulang-ulang tetapi gagal berbuat demikian kerana keazaman seorang manusia yang tidak cukup kuat. Perkara yang tergolong di dalam kriteria ini akan membuahkan hasil yang sangat lumayan buat manusia yang cukup teguh mengambil langkah mengamalkannya secara konsisten.

Meningkatkan nilai diri memerlukan manusia konsisten melakukan perubahan positif dalam dirinya. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang sudah tertanam bermacam-macam nilai negatif semenjak kecil.
  • Tidak suka membaca kepada suka membaca
  • Malas kepada rajin
  • Khianat kepada amanah
  • Tamak kepada bersederhana
  • Sering lewat kepada menepati waktu.
  • dan banyak lagi
Saya sendiri sedang mengalami peperangan dahsyat dengan nafsu dan syaitan untuk meningkatkan nilai dalam diri. Saya percaya, nilai diri saya akan hanya jadi lebih mahal seandainya saya konsisten melakukan perubahan positif dalam diri. Saya mungkin boleh tambah satu lagi perkara dalam senarai.
  • Jarang-jarang kepada konsisten menulis entry baru dalam blog.
hehe

[ ... ]

Tuesday, October 13, 2009

Kembara Hikmah 4


No man can sincerely try to help another,

Without helping himself.

-Ralph Waldo Emerson-

[ ... ]

Tuesday, September 29, 2009

Selamat Hari Raya

Tidak terlambat sekiranya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua.

Gembira rasanya bila dapat beraya buat pertama kalinya di Malaysia setelah 4 tahun mengembara di tanah asing. Chewah.. Seronoknya saya sehingga sebulan meninggalkan blog ini begitu sahaja. hehe.

Apa pun, hari raya kali ini memberi makna yg mendalam buat saya. Saya semakin faham akan erti kemenangan di hari raya walaupun belum dapat mengecapinya.

Saya juga sedar betapa jauh sudah saya tinggalkan zaman kanak-kanak saya. Zaman di kala saya sendiri yg mengepalai adik-adik lain mengumpul duit raya daripada sanak-saudara dan jiran tetangga. Kini, saya pula menjadi mangsa adik-adik dan sepupu-sepapat.
Huhu...
Oh, itu bukan rungutan malahan ucapan syukur kerna diberi peluang bersedekah di hari yang mulia. [ikhlaslah wahai Azmir :D]

Satu fenomena yang menarik ketika beraya di kampung ialah bila melihat betapa berbeza cara membuat persiapan hari raya 10 tahun dahulu berbanding sekarang (applicable untuk kanak-kanak sahaja).

Seingat saya, dulu saya lebih suka bermain di luar. Lebih seronok lagi bila abah (kami adik beradik panggil datuk kami, abah) sengaja membeli daun ketupat dengan banyak. Dia tahu, saya dan adik saya suka belajar menganyam ketupat. Beli banyak sebab abah tahu memang banyak juga yang kami rosakkan.. Tangan bengkok..hehe

Saya juga gemar belajar bagaimana ketupat, rendang, kuah kacang dan dodol dimasak. Cumanya, sampai sekarang ibu dan makcik-makcik saya hanya berani minta saya untuk rebus ketupat sahaja. Bimbang agaknya kalau rendang itu jadi popcorn bila dikerjakan oleh saya. Tapi, saya ni bukanlah jahil sangat bila masuk bab-bab memasak ni. Masa di New Zealand dulu, sebut sahaja masakan apa yang tidak boleh saya masak. Semuanya possible lebih-lebih lagi dengan bantuan Baba's, Adabi dan Ajinomoto. Hehe

Kini, hari raya cukup berbeza. Adik-adik dan sepupu-sepupu saya yang masih kecil tiada seorang pun yang berminat untuk main di luar. Apa tah lagi bila disuruh menganyam ketupat. Semuanya sibuk mengadap laptop, PS2, PSP dan Rubik's Cube. Mungkin lain kali, aktiviti anyaman ketupat ini dapat kita lakukan dalam bentuk penyelesaian puzzle sepertimana menyelesaikan Rubik's Cube. Ada sesiapa yang ingin menyumbang idea?

Buat akhirnya, Hari Raya kali ini sangat bermakna kerana dalam hari raya pertama sahaja, kunjungan saya ke tandas adalah lebih kerap daripada jumlah rumah yang kami sekeluarga ziarahi. Terkejut agaknya perut ni bile terkena rendang yang podeh-podeh belako (translation: pedas-pedas belaka).

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan daripada semua yang mengenali diri saya. Semoga kita menjadi manusia yang lebih baik setiap tahun.

Kullu 'aam wa antum bikhair


[ ... ]

Friday, September 4, 2009

Kembara Hikmah 3


The only things that stand between a person and what they want in life are,
The will to try it,
&
The faith to believe it's possible.

-Rich Devos-
[ ... ]

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan yang ke Sekian Kali

Alhamdulillah, dipertemukan kita dengan Ramadhan lagi.

Bulan ini menyajikan terlalu banyak peluang untuk kita menjadi lebih baik. Berbekalkan cita-cita dan pelan tindakan yang strategik, insyaAllah itu boleh dicapai.

Tahun ini, saya berazam untuk menempuh 30 hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan. Pabila berakhirnya bulan penuh barakah ini, saya berharap dapat mencapai 3 perkara.
  1. Iman ameeq (iman yang mendalam)
  2. Takwin dakik (pembentukan yang teliti)
  3. Amal mutawasil (amalan berterusan)
Berbekalkan 3 perkara ini jugalah, saya berharap Allah akan mengeluarkan saya daripada kekeliruan hidup yang saya sedang hadapi sekarang.
[ ... ]

Wednesday, August 12, 2009

Kembara Hikmah 2


Even if you are on the right track,
You'll get run over if you just sit there.
- Will Rogers -


[ ... ]

Saturday, August 8, 2009

Fitrah yang payah


Raihan - Kita Hamba - Raihan

Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri. (ar-Ra'd:11)


No man can sincerely try to help another without helping himself (Ralph Waldo Emerson)


Menghadapi perubahan fasa hidup merupakan sesuatu yang agak menyakitkan. Semasa kanak-kanak, kita tidak perlu fikir dan mungkin tidak faham pun apa itu tanggung jawab. Bahkan kita terbebas dari sebarang dosa. Namun didikan yang kita terima pada waktu itu sangat penting untuk menentukan keadaan kita bila telah dewasa.


Bila masuk sahaja usia akil baligh, maka kita tidak boleh bersikap sepertimana seorang kanak-kanak yang innocent lagi. Pada waktu ini, kita akan terdedah kepada 1001 macam pilihan yang sama ada akan membawa kita ke daerah penuh kebahagiaan atau ke lembah penuh kemusnahan.


Sekiranya betul cara kita dididik semasa kecil, maka mudahlah kita mencari jalan bahagia. Namun mudah juga untuk tergelincir daripadanya. Sebaliknya pula yang berlaku kepada mereka yang menerima didikan salah atau sesat semasa kecil. Jalan bahagia yang saya maksudkan ialah jalan fitrah Tauhid kepada Allah.


APA YANG PAYAH?

Bila menyebut fitrah, kita membayangkan sesuatu yang mudah kita terima. Sebagai contoh, fitrah manusia adalah perlu makan dan minum untuk terus hidup. Maka, manusia tidak perlu buat kajian hingga ke tahap PHD untuk membuktikan hal ini. Sejak lahir lagi kita sudah tahu. Contoh lain, bila berinteraksi, kita suka bila berhadapan dengan seorang yang manis wajahnya, murah dengan senyuman dan sopan tutur katanya. Itu fitrah manusia yang suka pada kelembutan. Biarlah dia seorang general perang sekalipun.


Namun ada satu fitrah yang sukar kita faham dan sukar kita ikut. Di alam pekerjaan, pekerja baru atau orang-orang bawahan hormat pada bos masing-masing kerana pangkatnya yang lebih tinggi. Hormat juga kerana pengetahuan dan keperibadian mereka yang lebih baik. Ini juga fitrah manusia. Dia akan patuh kepada kuasa yang berada di atasnya selagi mana kuasa itu masih layak dihormati dan diberi taat setia.


Di kala manusia berebut-rebut menunjukkan taat setia kepada raja, perdana menteri, CEO, ketua-ketua jabatan, pengurus-pengurus ataupun para penyelia, mereka terlupa untuk tunduk setia secara total kepada Tuhan mereka.


Tuntutan tunduk patuh kepada Allah adalah satu fitrah, namun pada saya ia sangat sukar dicapai. Mereka yang tidak percaya terus akan kewujudan Tuhan sudah tentu menolak mentah-mentah idea ini. Mereka sanggup menghamba diri kepada nafsu, manusia serta sains daripada meletakkan daya usaha ke arah mencari kebenaran Pencipta. Oleh itu, saya suka untuk kita kecilkan skop perbincangan kepada fenomena yang berlaku di kalangan umat Islam sahaja. (Payah sikit nak bincang dari sudut orang atheist atau agnostic ni. Ego depa tinggi sangat!)


Umat Islam percaya akan kewujudan Allah. Namun keyakinan dan pemahaman mereka terhadap konsep ketuhanan ini tidak cukup konkrit. Ramai orang Islam yang hanya bersangka-sangka sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk syurga kerana sudah percaya kepada Allah. Mereka sangka dosa-dosa pula akan terampun sejurus melakukan solat biar tidak beserta khusyuk pun. Kepercayaan yang tidak kuat inilah yang sedikit-sedikit menarik kita daripada ketaatan dan mendekatkan kita dengan maksiat.


TUNDUK PATUH SEPENUHNYA

Memang sukar untuk mencapai tahap ini dalam keadaan kita yang tidak mampu melihat Allah dan tidak duduk bersama-sama Rasulullah. Beriman atas perasaan dan ikut-ikut oranglah yang membuat umat Islam losers dari zaman kejatuhan Islam sampai sekarang. Kita perlu menghambakan diri sepenuhnya hanya kepada Allah untuk mencapai fitrah yang payah namun paling penting ini.


Sukar untuk kita menghambakan diri selagi kita tidak merasa diri kita kecil. Susah untuk tunduk selagi kita tidak sedar yang kita lemah. Susah untuk patuh selagi kita tidak tahu yang kita memerlukan. Semua kesedaran ini hanya akan wujud bila kita ada ilmu. Ilmu yang kita boleh perolehi tanpa perlu ke university. Ilmu yang boleh diperoleh bila merenung alam, membaca al-Quran dan al-Sunnah (dalam keadaan beriman penuh kepada kebenaranNya), bersama mereka yang soleh, membaca hasil tulisan mereka yang terbukti imannya dan lain-lain.


Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang mencipta manusia dari segumpal darah (al-'Alaq: 1-2)


Namun bila benar-benar sudah menerima fitrah keTauhidan Allah ini, maka segala masalah kita akan selesai dengan mudah. Sukar. Memang sangat sukar untuk mencapainya.


Saya masih berusaha ke arahnya. Anda bila lagi?

[ ... ]

Wednesday, August 5, 2009

Kembara Hikmah 1


If you don't stand for something,
You'll fall for anything..


[ ... ]

Saturday, August 1, 2009

Fikir-fikir

Berfikir Mambuahkan Hasil. Betul ke?

Kalau tidak mambuahkan hasil sekalipun, ia memberi jalan kepada penghasilan. Bergantung kepada kerajinan kita pula untuk memulakan langkah.

Setiap hari, boleh jadi 100 orang melakukan aktiviti yang sama namun menghasilkan output yang berbeza-beza. Ada yang lebih berjaya daripada yang lain.

Setiap seorang manusia di atas muka bumi ini pula melakukan aktiviti yang lebih kurang sama setiap hari, namun menghasilkan output yang berbeza-beza hari demi hari. Ada yang esoknya semakin berjaya. Ada yang semakin kecundang. Ada yang terus teguh di takuk yang sama.

Apakah yang mewujudkan perbezaan di sebalik persamaan-persamaan ini?

Pada saya, salah satu daripadanya ialah sejauh mana seseorang itu memasukkan nilai-nilai intelektual ke dalam sesuatu perbuatan sebelum melakukannya. (Aduhai, susah betul nak faham statement ni?!?)

Sebahagian manusia selesa melakukan sesuatu kerana mengikut orang lain (Yang ni tak baik) . Sebahagian lain pula buat ikut suka hati dan nafsu serakah (Yang ni lagi la tak baik). Pada saya, yang terbaik ialah mereka yang berfikir akan hasil serta kesudahan untuk suatu tindakan sebelum mereka lakukan apa pun jua (Thumbs up!).

Mengikut secara membuta-tuli sesuai untuk kanak-kanak sahaja. Mereka memang tidak cukup matang untuk duduk dan fikir panjang-panjang. Sebagai contoh, kanak-kanak tahu untuk ke seberang jalan, mereka perlu berjalan terus melintasi sebatang jalan raya. Mereka tahu ini akan berjaya kerana biasa nampak ramai orang melakukannya di sekolah, di rumah, dalam tv dan di tempat-tempat lain. Oleh itu, bila mereka perlu menyeberangi jalan, mereka tidak kisah pun untuk toleh ke kiri dan ke kanan sebelum melintas jalan. Mereka tidak terfikir lasngsung apa yang akan berlaku sekiranya mereka dilanggar kenderaan. Apa yang mereka tahu, jalan terus dan mereka akan sampai ke seberang.

Buat ikut suka pula hanya dilakukan mereka yang pendek akalnya. Tidak mahu berfikir dan merasa yang mereka akan mengalami sesuatu yang sangat pahit bila tiba masanya. Sebagai contoh, orang yang merokok tahu akan kesan jangka masa panjang rokok. Tetapi kerana mahukan rasa "sedap" pada waktu itu, mereka tidak kisah walau penyakit kanser paru-paru yang menanti di hadapan.

Golongan akhir ialah mereka yang sanggup bersusah-susah berfikir, merenung, merujuk dan meminta nasihat orang yang lebih baik sebelum melakukan sesuatu. Manusia adalah makhluk yang kaya dengan pilihan. Apabila berhadapan degan sesuatu, anda bebas memilih apa tindakan yang sesuai. Jika anda bijak, anda tidak akan terburu-buru mengikut orang lain atau perasaan semata-mata.

Oleh yang demikian, fikirlah sebelum keputusan diambil. Peruntukkan masa untuk itu. Kurangkan masa berfoya-foya.

p/s: Pesanan ini ikhlas untuk diri saya sendiri.
[ ... ]

Saturday, July 4, 2009

Light the light

"It is better to light the candle than to curse the darkness" Eleanor Roosevelt

Kita perlu lakukan sesuatu. Tidak cukup sekadar mengutuk, membenci atau berbincang tentang sejuta satu bentuk kemusnahan yang berlaku atas muka bumi ini. Biar pun tindakan itu kecil, saya pasti impaknya lebih signifikan daripada kita terus sekadar membicarakannya sahaja.

Cakap memang la senang!! Cuba buat, tengok!!

Palestin. Isu ini tidak pernah selesai. Tetapi, saya yakin ia ada penghujungnya. Mana tidaknya, apa sahaja yang ada di dunia ini bersifat finite atau terbatas.

Yang hidup pasti kan mati.

Yang muda pasti kan tua.

Yang sihat pasti kan sakit dan kemudian sihat semula.

Yang lapang pasti kan sibuk dan kemudian lapang semula.

Yang kaya takkan dapat gunakan hartanya selepas mati pun.

Itu hukum alam. Yang tidak percaya pada Tuhan pun berpegang pada hukum-hukum tadi. Kita yang mengaku beriman kepada Allah, perlu lebih akur lagi.

Berbalik kepada isu Palestin, saya juga mahu menyumbang. Sumbangan ini tidaklah besar. Tidak cukup untuk menakutkan walau seekor lalat pada jentera-jentera pemusnah Zionis pun. Tetapi, ini mungkin dapat membantu orang lain yang lebih berpengaruh untuk sedar lalu melakukan sesuatu yang lebih bermakna.

Mari MENCUCI MATA dan klik sambil berbakti! Saya berharap dengan melihat gambar-gambar yang saya sajikan di bawah serta terus melayari laman web seperti dalam link di bawah dapat mendatangkan sedikit semangat untuk turut menyumbang sepertimana pereka-pereka gambar dan blogger-blogger itu. Ada di kalangan mereka yang bukan beragama Islam namun punyai sensitiviti yang jauh lebih tinggi daripada kita. Malu rasanya.. Sungguh!!

http://www.gazaresist.com/index.htm

http://latuff2.deviantart.com/gallery/

http://nomoreign.files.wordpress.com/2009/05/s0041.jpg

http://artintifada.wordpress.com/

Akhir sekali, saya ingin berkongsi satu talk yang agak panjang, disampaikan oleh Norman Finkelstein tentang perjuangan saudara kita di Gaza. Talk ini sarat dengan pengajaran dan menarik kerana Norman cuba mengambil pengajaran daripada hidup Mahatma Gandhi untuk diaplikasikan perjuangannya dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Tontonlah andai anda punya kesedaran dan masa (Macam lah sibuk sangat! Spend 2jam setengah tengok Transformers boleh pulak. Isy x 10). Sebelum itu, izinkan saya kongsi satu lagi kata-kata hikmat.

"A people that values its privileges above its principles soon loses both" Dwight Eisenhower

Siapa yang makan cili, dia terasa pedas. Rasanya, ramai yang makan cili hari ni. Termasuk la saya sekali. Hehe

[ ... ]

Saturday, June 20, 2009

Ingat senang ke nak senang

Bukan susah kalau nak susah.
Duduk je, tak payah susah-susah.

Bukan senang nak senang.
Kalau duduk je, memang takkan senang.

Kisah Ibrahim Adham

Ibrahim Adham merupakan seorang raja di zaman kemuncak pemerintahan Islam. Baginda hidup mewah di istananya.

Pada suatu hari, sedang baginda enak lena di atas katilnya yang empuk, beginda terdengar bunyi bising di atas siling istananya. Lalu baginda bertanya dengan berang,
"Siapa gerangan kamu yang membuat bising di atas siling istanaku?"
Lalu jawab manusia di atas siling itu,
"Aku seorang pengembala kambing. Aku sedang mencari kambingku yang hilang di atas istana mu ini,"
Ibrahim Adham berasa sungguh pelik dan dengan wajah yang semakin bengis, baginda berkata,
"Pelik sungguh, bagaimana boleh kamu cari kambing mu di atas siling istanaku? Langsung tidak masuk akal!"
Maka jawab si pegembala kambing,
"Begitulah juga dirimu wahai Ibrahim. Bagaimana kamu boleh menemui keredhaan Allah dengan hanya duduk bersenang-lenang di istanamu?Langsung tidak masuk akal!"
Ibrahim Adham lalu tersentak dan baginda sedar perbualannya tadi adalah suatu mimpi yang memberi suatu makna cukup mendalam.

Memang takkan pernah terjadi, orang mendapat kesenangan tanpa perlu bersusah payah pada awalnya. Sedang kehidupan duniawi memerlukan kita memerah segala usaha dan tenaga untuk mencapai keselesaan hidup. Takkan lah harga syurga lebih murah dari itu?

p/s: Ini adalah pesanan untuk diri saya sendiri
[ ... ]

Wednesday, June 10, 2009

Sikiiit je

Saya ada dua persoalan yang saling berkait untuk para pembaca.

1. Berapa ramai di kalangan kita yang mahu menjadi manusia lebih baik atau yang terbaik?

2. Dalam ramai-ramai itu pula, berapa orang yang berjaya mencapainya?

Secara peribadi, saya sendiri mahu menjadi manusia yang lebih baik. Jujurnya saya juga masih belum berjaya mencapainya. Mungkin pernah saya jadi lebih baik, tapi ia tidak kekal lama.

Mungkin ada pembaca yang masih ingat janji saya untuk perturunkan mimpi-mimpi yang terbaik untuk saya jadikan arah tuju dan capai. Saya rasa, menjadi yang terbaik adalah kuncinya. Menjadi muslim terbaik, anak terbaik, pekerja terbaik, melayu terbaik dan segalanya yang baik-baik. Itu gambaran kasar sahaja. Wajah konkrit mimpi ini, belum dapat saya bayangkan lagi.

Setiap mimpi ini, dari jauh nampaknya sangat sukar dicapai. Tapi semuanya adalah
"capai-able" seandainya bertepatan dengan ikhtiar kita. Kalau usaha kita main-main, hasilnya mimpi kita akan jadi permainan semata. Andai serius dan sistematik perancangan kita, maka sudah pasti Allah akan menyebelahi kita dalam menzahirkan mimpi itu. Setuju?

Jadi bagi memulakan jalan "menuju puncak" ini, mari kita praktikkan satu perkara iaitu...
Beristiqamahlah meningkatkan diri dengan kadar yang sedikit
Walau sebesar mana pun suatu kerja itu, pasti akan jadi lebih mudah seandainya dipecahkan kepada komponen yang kecil. Buktinya:

a. KLCC dibina secara berdikit-dikit hingga akhirnya tegak tinggi berdiri.

b. Dato' Lee Chong Wei tidak jadi hebat dalam badminton secara tiba-tiba. Malah, dia berusaha setiap hari untuk jadi hebat.

c. PETRONAS tidak terus bermula besar. Ia malah pernah diperkecilkan oleh gergasi minyak lain. Hari ini, gergasi-gergasi minyak itu pula yang semakin takut dengan kelibat
jaguh lincah ini.

d. Muhammad al-Fatih dilatih menjadi raja terhebat semenjak berusia sangat kecil. Baginda asalnya seorang anak yang sangat nakal dan pernah disebat oleh guru baginda. Sultan ini dilentur sedikit demi sedikit agar berjaya dibentuk mengikut acuan sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai "Raja yang terbaik dan mempunyai tentera terbaik untuk membebaskan kota Contsantinople".

Kesimpulannya,
MIMPI BIAR BESAR, USAHA BIAR SEDIKIT TETAPI BERTERUSAN.

ISTIQAMAHLAH...

p/s: Ini adalah pesanan untuk diri saya sendiri.



[ ... ]

Tuesday, June 2, 2009

Optimis

Seorang yang optimis sering juga dikenali sebagai manusia yang kuat bermimpi. Sifat relistik lah yang menjadi musuh ketat si optimis ini. Namun, saya tidak bermaksud menyebelahi mana-mana. Malahan kedua sifat ini tidak sempurna jika hanya wujud sendirian.

Sifat optimis yang keterlaluan akan menyebabkan seseorang kuat berangan-angan. Ini akhirnya tidak membawa kepada apa-apa hasil kerana dia sendiri tahu bahawa semua yang diimpikannya sekadar duduk in his dreams.

Sifat realistik yang keterlaluan juga menjadi punca kepada pelbagai masalah. Orang seumpama ini tidak menaruh harapan pada kejayaan dan hanya nampak titik kelemahan sahaja atas sesuatu perkara. Hasilnya, dia akan terus bersifat rendah diri dan redha menjadi manusia yang tewas sampai bila-bila!

Jadi, bagaimana untuk mengimbangkan kedua-dua sifat ini? Perlu kepada pecahan 50% optimistik dan selebihnya realistik kah?

Secara peribadi, saya berpendapat peratusan keperluan kedua-dua sifat ini akan berubah mengikut keadaan dan masa. Sementara masih muda ini, biarlah sifat optimistik yang menjadi majoriti. Bukan apa, pada usia mudalah kita punya cukup tenaga untuk meraih impian-impian yang tinggi menggunung tetapi achievable mengikut keupayaan masing-masing.

Kalau ditanya pada saya, saya sendiri sukar menentukan apakah bentuk impian yang boleh dicapai oleh tulang 4 kerat ini. Sehingga ke hari ini saya masih mencari-cari, apakah agaknya mimpi yang selayaknya saya ada? Teori-teori banyak tertulis dalam buku-buku motivasi. Tetapi bila masuk bab mengaplikasikan teori, saya sendiri tumbang tewas.

Bila sudah dapat formulanya nanti, akan saya kongsikan dengan semua insyaAllah.

[ ... ]

Thursday, May 28, 2009

Bagaimana kalau

Bagaimana kalau semua manusia hanya takutkan Ilahi?
Mungkin tiada manusia yang diperhamba dunia dan sesama sendiri.

Bagaimana kalau dunia ini dipenuhi manusia yang saling mengasihi?
Mungkin tiada kesempatan untuk saling iri, dengki dan membenci.

Bagaimana kalau semua lelaki menjaga pandangan?
Mungkin para wanita tiada teringin pakai baju yang mendedah-dedahkan...

Bagaimana kalau semua wanita berpakaian sopan?
Mungkin akan berkuranglah kadar rogol, zina dan bayi-bayi dipembuangan.

Bagaimana kalau semua anak muda datang memenuhi masjid?
Mungkin tiada timbul masalah mat peet dan mat rempit.

Bagaimana kalau semua anak muda datang solat berjemaah?
Mungkin masa depan agama, negara dan bangsa kita kian mencerah.

Bagaimana kalau semua anak muda mengimpikan syurga?
Mungkin generasi seterusnya juga bakal punya cita-cita yang sama.

Mustahilkah semua yang disebut tadi terjadi?
Saya yakin dengan izinNya, semua itu pasti.
Namun itulah mimpi.
Mimpi seorang pemimpi yang impiannya menggunung tinggi.
Yang akan hanya terhapus oleh sifat putus asa dirinya sendiri.
[ ... ]

Sunday, May 17, 2009

Ke mana menghilang?

Di mana perginya hasil tulisan saya? Blog ini seakan-akan sudah keruh dimamah masa dek kerana penulisnya yang sangat malas menabur luahan buah fikiran dan hati. Saya seakan-akan hilang segala ilham untuk menulis. Doakan agar timbul kembali kesedaran dalam diri saya untuk kembali menabur jasa melalui medium ini.

Oh ya, saya ingin mengucapkan ribuan jika tidak jutaan terima kasih buat semua sahabat yang meraikan kedatangan saya ke New Zealand sempena menghadiri majlis konvokasi. Saya amat gembira kerana diberi peluang bertemu muka-muka baru yang menyemarakkan semangat kaum muda di sana. Kaum muda yang saya yakin bakal menjadi paksi kepada kebenaran yang tegas menolak segala kebathilan.
[ ... ]

Sunday, April 5, 2009

Berapa Nilai Kita?

Kalaulah manusia hanya dinilai pada jasadnya sahaja, maka kita mungkin boleh dibeli dengan beberapa ratus ringgit sahaja. Apa tidaknya, kita masing-masing terdiri daripada unsur-unsur biasa yang terdapat di atas bumi. Kita bukan diciptakan daripada berlian mahupun emas. Malah, sebahagian besar tubuh kita ini hanya terdiri daripada unsur air sahaja.


Maka, apa yang menyebabkan kita ini lebih berharga daripada emas dan permata adalah kemampuan kita melakukan sesuatu. Lebih besar jasa kita kepada manusia dan alam sejagat, maka lebih mahallah harga kita.


Harta yang paling bernilai adalah harta yang hanya mampu dimiliki oleh segolongan manusia yang benar-benar berada sahaja. Sebaliknya, barangan yang murahan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dan kalau dibuang-buang pun tiada siapa yang peduli.


Manusia yang bernilai adalah mereka yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa dengan apa-apa sekalipun. Contoh sudah jelas ditunjukkan pada kita melalui teladan hidup Rasulullah dan para sahabat.


Mereka yang dengan mudah dibeli oleh wang, wanita (atau lelaki) mahupun pangkat seumpama barangan murah yang dijual dengan diskaun 70% pula. Barangan ini dibeli sekadar untuk menghabiskan wang syiling yang memberatkan poket.


Apakah anda manusia bak permata berharga lebih mahal daripada bumi dan segala isinya atau semurah pakaian di kedai bundle yang boleh dijual pada harga 3 helai untuk RM10?


Pilihlah kerana keputusan berada di tangan anda



[ ... ]

Monday, March 9, 2009

Singa atau Kambing?

Sahabat pembaca,

Suka untuk saya berkongsi sebuah kisah pendek daripada novel yang baru saya selesaikan pagi tadi. Sebuah kisah yang moga-moga dapat menaikkan semangat dan memimpin rohani kita untuk menjadi manusia lebih cemerlang.


Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor singa betina yang bakal melahirkan anaknya di sebuah kawasan lapang, di dalam hutan. Selepas melahirkan anak, singa betina itu jatuh sakit dan langsung mati. Maka terbiarlah anak singa yang baru lahir itu sendirian.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa ekor kambing ke kawasan lapang itu. Kasihan melihat anak singa itu, mereka berbincang dan membuat keputusan yang luar biasa. Mereka sepakat membawa anak singa itu pulang untuk hidup bersama mereka.


Banyak kambing yang terkejut dangan kehadiran anak singa itu. Namun, hari berganti hari dan mereka semakin selesa hidup dengan anak singa tersebut. Maka hari-hari anak singa itu dihabiskan dengan gaya hidup keluarga barunya, iaitu komuniti kambing.


Anak singa kini sudah dewasa. Singa itu melakukan apa yang kambing-kambing lain lakukan dan makan apa yang kambing lain makan. Sehinggakan, suara singa itu juga sudah seakan-akan seekor kambing. Ia tidak bisa meng'aum' lagi bahkan hanya mampu meng'embeek'. Sifat dan jatidiri seekor kambing sudah sebati dalam dirinya. Ia bukan singa lagi.


Mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, seekor serigala datang menyerang kawanan kambing itu. Semua kambing lari mencari pelindungan. Mereka meletakkan semua harapan kepada anak singa yang telah dewasa itu untuk melindungi mereka. Namun, anak singa itu pula yang lebih hebat takutnya. Dia bahkan lari berlindung di belakang kambing induk yang menjadi ketua kawanan itu.


Kambing induk itu seraya berkata, "Bukankah kau seekor singa? Engkaulah yang sepatutnya melindungi kami daripada serigala itu". Anak singa itu tidak faham dan menegaskan bahawa dia juga seekor kambing sepertimana sahabat-sahabat yang lain.


Serigala semakin mengganas. Seekor demi seekor kambing yang menjadi mangsanya. Kambing induk menjadi terlalu berang lalu cuba menyelamatkan kambing-kambing yang diserang. Malangnya, kambing induk juga tidak cukup upaya menentang serigala yang sungguh licik dan ganas itu.


Anak singa itu rasa sungguh marah apabila kambing induk yang sudah ia anggap bagai ibu sendiri itu diperlakukan sehingga tiada upaya untuk berdiri. Ia terus maju bagi mempertahankan kambing induk. Alangkah terkejutnya sang serigala melihat bagaimana boleh wujud seekor singa di tengah-tengah kawanan kambing.


Apabila siap menyerang maka singa itu pun menyergah.. "Embeek.. Embeek.." Sekali lagi serigala itu terkejut besar. Ia yang pada mulanya berasa sangat takut, kini faham. Singa itu bukanlah seekor singa lagi. Ia sudah mengalami transformasi menjadi seekor kambing yang pengecut. Kini anak singa itu pula yang menjadi habuan serigala.


Sedang asyik mengganyang si anak singa, tiba-tiba kedengaran suatu suara yang menggenturkan jiwa. "AÙUMMM.." seekor singa yang sebenar pula datang. Niat asalnya juga mahu mencari mangsa di kalangan kawanan kambing itu. Tetapi ia dikejutkan dengan kehadiran seekor singa lain yang sedang dikerjakan teruk oleh sang serigala. Serigala tersebut kini benar-benar takut lalu lari jauh ke dalam hutan.


Anak singa itu takut melihat singa yang baru hadir itu lalu lari bersama-sama kambing yang lain. Singa itu tidak jadi mengejar kambing tetapi terus cuba mengejar untuk mendapatkan anak singa yang sudahpun dewasa itu.


Anak singa itu kepenatan dan berjaya ditangkap singa yang mengejarnya. Berkata anak singa, "ampunkan aku wahai singa. Kau jangan makan aku". Singa itu menjawab. "aku tak akan makan kau. Kau juga singa seperti aku." Anak singa itu kehairanan. Dia berkata, "tapi, aku seekor kambing. Bukan singa macam engkau!"

Singa itu lalu membawa anak singa ke sebuah sungai. Di sana dia menunjukkan bahawa mereka berdua sama-sama singa. Anak singa itu sungguh takjub melihat keadaannya yang sebenar. Maka berkatalah sang singa, "kau sudah terlalu lama duduk dalam kawanan kambing menyebabkan peribadimu sebagai seekor singa sirna. Mulai hari ini, akan aku kembalikan diri mu yang sebenar. Kau akan ku kembalikan menjadi raja rimba yang digeruni oleh semua haiwan lain."


Anak singa pada awalnya sukar menerima hakikat itu. Namun, kebenaran tetap kebenaran. Ia harus menempuh suatu proses transformasi yang sangat menyakitkan sebelum ia boleh kembali ke rimba sebagai sang raja yang dihormati serta digeruni sesiapa sahaja yang melihat.


Pengajaran kepada kisah ini, anda sendirilah yang tentukan. Saya mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi hasil dapatan masing-masing.

[ ... ]

Wednesday, March 4, 2009

Bonda di kejauhan

Semenjak masuk kerja ni, saya selalu menghitung-hitung hari. Bila agaknya boleh saya luangkan masa untuk pulang ke kampung. Maklumlah, rumah jauh di Seremban. Kenderaan sendiri pun belum ada. Tapi itu semua xpatut jadi alasan untuk tidak menjenguk ibu yang selalu bertanya, "Abang bila nak balik rumah ni? Balik sekejap pon takpe la."

Rasa segan pun selalu menjenguk. Hampir setiap hari ibu akan telefon saya bertanyakan khabar dan hal-hal kerja. Biarpun dengan hanya menggunakan celcom prepaid yang ibu saya beli beberapa bulan lepas. Walhal, saya pakai celcom postpaid. Dalam erti kata lain, lebih elok kalau saya sahaja yang telefon ibu. Mungkin ini menunjukkan betapa kasih ibu itu jauh lebih dalam daripada kasih anak kepadanya.

Untuk seorang jurutera, kasih sayang itu sesuatu yg agak objektif. Anda beri 1 maka 1 lah yang anda akan dapat kembali. Tapi itu bukan kesnya dengan kasih seorang ibu. Biarpun hanya 0.5 yang saya berikan, namun itu sudah cukup untuk ibu saya memberikan 50 bahagian daripada kasih sayangnya.

Ibu yang dahulu sering meleteri saya atas kenakalan di zaman kanak-kanak, kini lebih selesa menjadikan saya tempat meluah perasaan. Cuma saya.. saya rasa saya belum cukup pandai menghargai ibu. Kadang-kadang timbul rasa jengkel bila ibu sering menceritakan masalah yang saya tidak faham dan tidak dapat menyumbang apa-apa ke arah menyelesaikannya. Tapi saya yakin, ibu tidak expect saya untuk berikan padanya apa2 penyelesaian. Ibu cuma mahu saya dengar. Oh, mulia sungguh hati seorang ibu.

Saya masih ingat ayat yang pernah ibu lontarkan pada saya satu ketika dulu dan cukup membuat saya tersentuh sehingga sekarang,
"Biar macam mana teruk, bodoh pun korang.. Korang masih lagi anak-anak ibu. Takde siapa yang boleh jauhkan ibu daripada seorang pun anak-anak yang ada"
Biar jauh di mata, ibu terus dekat di telinga (sebab senang telefon) dan di hati.


[ ... ]

Tuesday, February 24, 2009

Alam pekerjaan

Assalamualaikum

Akhirnya, tergerak juga hati saya untuk kembali mengisi ruang maya ini. Maafkan kelalaian saya yang membiarkan ruang ini tidak dikemas kini lebih sebulan lamanya.

Hari ini, mari baca serba sedikit pengalaman saya yang baru masuk hari ketiga ke alam pekerjaan.

Saya bekerja dengan salah sebuah syarikat petroliam. Sebelum memulakan pekerjaan, semua pekerja baru dikehendaki menghadiri kursus induksi selama dua minggu. Seperti biasa, mmg terlalu byk yang saya perolehi. Baik dan juga buruk. Mari kita cerita tentang yang baik-baik sahaja. Yang buruk-buruk, biarlah saya simpan sebagai sempadan.

Sahabat pembaca,
Di sepanjang kursus, para peserta diterapkan dengan pelbagai nilai yang digariskan oleh syarikat bagi membolehkan ia membina para pemimpin yang bakal memacu cita-citanya menjadi syarikat petroliam terbaik di dunia. Antaranya ialah, hidup ini perlu kepada perubahan. Kita tidak akan ke mana-mana seandainya kita tidak berani mencabar diri sendiri untuk menggapai sesuatu yg lebih tinggi. Berani mengambil risiko juga penting dalam meningkatkan potensi diri sendiri. Seandainya kita terus berasa selesa dengan keadaan kita sekarang, percayalah, kita sememangnya berada dalam keadaan yg sangat rugi.

Harapnya, perkongsian pendek tadi menjadi langkah mula untuk saya kembali memberi perkongsian-perkongsian dhaif kepada anda semua.

p/s: mari terus mendoakan kesejahteraan Ummat Muhammad di seantero dunia.
[ ... ]

Thursday, January 8, 2009

Aduh, sakit sekali

Hari ini, sudah lebih seminggu saudara-saudara kita di Palestin dibedil dan dianiaya seteruk-teruknya. Sikap pemimpin dan tentera Zionis yang sungguh bongkak dan menjengkelkan meyebabkan penduduk dunia menjadi kian marah, kian menyampah. Sungguh, mereka ini manusia tidak sedar diri. Manusia yang tidak kenal dek untung. Manusia "selfish" yang hanya Allah lah selayaknya menjadi penghukum mereka.

Benar, tiada sistem keadilan di dunia yang mampu menghukum iblis-iblis sombong dan pengecut ini. Biar neraka Allah yang menghitung setiap zarah kezaliman mereka yang menyakiti saudara-saudara saya setiap saat sedari tahun 1948 lagi.

Ingin saya kongsikan fakta yg disampaikan oleh Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang menganggotai Palestine Center of Excellence (PACE).

Fakta 1: Gaza sudah berada dalam serangan dan sekatan Israel semenjak 18 bulan yang lepas.

Fakta 2: Tiada makanan, ubat-ubatan dan bermacam keperluan lain yang dibenarkan masuk ke Gaza. Penduduk-penduduk Gaza kini kelaparan dan hak-hak kemanusiaan mereka sering dinafikan.

Fakta 3: Kerajaan Hamas bersetuju untuk patuh kepada gencatan senjata selama 6 bulan dengan Israel yang berakhir pada 19 Disember lepas.

Fakta 4: Gencatan senjata tersebut telah dibatalkan Israel dengan alasan pejuang Hamas telah menembak roket buatan mereka ke dalam Israel. Inilah hasil penipuan yang dibuat oleh Israel melalui kuasa media yang berada di tangan mereka.

Fakta 5: Kebenarannya, pejuang Hamas menembak roket sebagai balasan kepada beberapa pencerobohan yang dilakukan oleh tentera penakluk Israel (IOF) ke dalam wilayah Gaza yang telah menyebabkan kematian beberapa pegawai keselamatan Palestin dan anak-anak kecil.

Fakta 6: Kenyataan Israel yang mengatakan serangan mereka berbentuk pertahanan adalah penipuan semata-mata. Israel telah merancang serangan ini semenjak bulan June 2008. Mereka dengan liciknya mengembil kesempatan pada waktu-waktu tenang gencatan senjata untuk merancang serangan ini.

Wallahua'lam. Sememangnya kita mengharapkan Allah akan membantu mereka. Namun, melalui siapa? Adakah kita bakal menjadi sebahagian daripada sistem pertolongan yang akan diturunkan Allah itu?

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB