Saturday, August 8, 2009

Fitrah yang payah


Raihan - Kita Hamba - Raihan

Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri. (ar-Ra'd:11)


No man can sincerely try to help another without helping himself (Ralph Waldo Emerson)


Menghadapi perubahan fasa hidup merupakan sesuatu yang agak menyakitkan. Semasa kanak-kanak, kita tidak perlu fikir dan mungkin tidak faham pun apa itu tanggung jawab. Bahkan kita terbebas dari sebarang dosa. Namun didikan yang kita terima pada waktu itu sangat penting untuk menentukan keadaan kita bila telah dewasa.


Bila masuk sahaja usia akil baligh, maka kita tidak boleh bersikap sepertimana seorang kanak-kanak yang innocent lagi. Pada waktu ini, kita akan terdedah kepada 1001 macam pilihan yang sama ada akan membawa kita ke daerah penuh kebahagiaan atau ke lembah penuh kemusnahan.


Sekiranya betul cara kita dididik semasa kecil, maka mudahlah kita mencari jalan bahagia. Namun mudah juga untuk tergelincir daripadanya. Sebaliknya pula yang berlaku kepada mereka yang menerima didikan salah atau sesat semasa kecil. Jalan bahagia yang saya maksudkan ialah jalan fitrah Tauhid kepada Allah.


APA YANG PAYAH?

Bila menyebut fitrah, kita membayangkan sesuatu yang mudah kita terima. Sebagai contoh, fitrah manusia adalah perlu makan dan minum untuk terus hidup. Maka, manusia tidak perlu buat kajian hingga ke tahap PHD untuk membuktikan hal ini. Sejak lahir lagi kita sudah tahu. Contoh lain, bila berinteraksi, kita suka bila berhadapan dengan seorang yang manis wajahnya, murah dengan senyuman dan sopan tutur katanya. Itu fitrah manusia yang suka pada kelembutan. Biarlah dia seorang general perang sekalipun.


Namun ada satu fitrah yang sukar kita faham dan sukar kita ikut. Di alam pekerjaan, pekerja baru atau orang-orang bawahan hormat pada bos masing-masing kerana pangkatnya yang lebih tinggi. Hormat juga kerana pengetahuan dan keperibadian mereka yang lebih baik. Ini juga fitrah manusia. Dia akan patuh kepada kuasa yang berada di atasnya selagi mana kuasa itu masih layak dihormati dan diberi taat setia.


Di kala manusia berebut-rebut menunjukkan taat setia kepada raja, perdana menteri, CEO, ketua-ketua jabatan, pengurus-pengurus ataupun para penyelia, mereka terlupa untuk tunduk setia secara total kepada Tuhan mereka.


Tuntutan tunduk patuh kepada Allah adalah satu fitrah, namun pada saya ia sangat sukar dicapai. Mereka yang tidak percaya terus akan kewujudan Tuhan sudah tentu menolak mentah-mentah idea ini. Mereka sanggup menghamba diri kepada nafsu, manusia serta sains daripada meletakkan daya usaha ke arah mencari kebenaran Pencipta. Oleh itu, saya suka untuk kita kecilkan skop perbincangan kepada fenomena yang berlaku di kalangan umat Islam sahaja. (Payah sikit nak bincang dari sudut orang atheist atau agnostic ni. Ego depa tinggi sangat!)


Umat Islam percaya akan kewujudan Allah. Namun keyakinan dan pemahaman mereka terhadap konsep ketuhanan ini tidak cukup konkrit. Ramai orang Islam yang hanya bersangka-sangka sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk syurga kerana sudah percaya kepada Allah. Mereka sangka dosa-dosa pula akan terampun sejurus melakukan solat biar tidak beserta khusyuk pun. Kepercayaan yang tidak kuat inilah yang sedikit-sedikit menarik kita daripada ketaatan dan mendekatkan kita dengan maksiat.


TUNDUK PATUH SEPENUHNYA

Memang sukar untuk mencapai tahap ini dalam keadaan kita yang tidak mampu melihat Allah dan tidak duduk bersama-sama Rasulullah. Beriman atas perasaan dan ikut-ikut oranglah yang membuat umat Islam losers dari zaman kejatuhan Islam sampai sekarang. Kita perlu menghambakan diri sepenuhnya hanya kepada Allah untuk mencapai fitrah yang payah namun paling penting ini.


Sukar untuk kita menghambakan diri selagi kita tidak merasa diri kita kecil. Susah untuk tunduk selagi kita tidak sedar yang kita lemah. Susah untuk patuh selagi kita tidak tahu yang kita memerlukan. Semua kesedaran ini hanya akan wujud bila kita ada ilmu. Ilmu yang kita boleh perolehi tanpa perlu ke university. Ilmu yang boleh diperoleh bila merenung alam, membaca al-Quran dan al-Sunnah (dalam keadaan beriman penuh kepada kebenaranNya), bersama mereka yang soleh, membaca hasil tulisan mereka yang terbukti imannya dan lain-lain.


Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang mencipta manusia dari segumpal darah (al-'Alaq: 1-2)


Namun bila benar-benar sudah menerima fitrah keTauhidan Allah ini, maka segala masalah kita akan selesai dengan mudah. Sukar. Memang sangat sukar untuk mencapainya.


Saya masih berusaha ke arahnya. Anda bila lagi?

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB