Bersusah-susah dahulu
Banyak yang ingin saya tuliskan. Namun saya tidak pasti di mana harus saya mulakan. Selepas peperiksaan tamat, saya tertarik untuk membaca sebuah buku hasil tulisan Tun Mahathir yang bertajuk The Malay Dilemma. Walaupun buku ini mengundang pelbagai kontroversi, namun saya rasakan ada sesuatu yang boleh saya manfaatkan daripadanya.
The Malay Dilemma
Saya bukanlah pengikut setia perkembangan politik negara. Tetapi saya benar-benar berminat mengkaji tentang bangsa Melayu, bangsa saya. Saya tidak berhasrat menjadi seorang yang racist. Pada saya tiada bangsa lain yang dapat memperbaiki keadaan bangsa Melayu melainkan orang-orang Melayu sendiri. The Malay Dilemma menjadi titik permulaan pengembaraan saya mencari jawapan kepada pelbagai persoalan berkaitan kemunduran bangsa ini.
Sahabat Pembaca,
Setelah membaca buku ini, saya merasakan tulisan saya dalam entry bertajuk Hang Tuah Hilang Taming Sari sungguh tidak matang dan tidak realistik. Banyak perkara yang saya terlepas pandang dalam mengkritik perkembangan bangsa yang pernah terkenal ini (sekarang terkenal juga rasanya...). Maklumlah, ilmu masih cetek, pengalaman masih pendek. Oleh itu, maafkanlah saya.
Melayu Mesti Berubah
Perubahan, suka saya kaitkan dengan keupayaan seseorang untuk mengorbankan keinginan jangka masa pendek bagi menjamin perkembangan masa depan yang lebih baik. Itulah sebabnya bukan mudah untuk kita menyatukan hati sekumpulan manusia. Membawa perubahan kepada suatu bangsa apa tah lagi. Dan kini saya sedar betapa keadaan sekeliling dan sejarah silam seseorang itu benar-benar memainkan peranan dalam membentuk dia yang sekarang.
Kemunduran bangsa melayu bukan hanya berlaku baru-baru ini. Malahan ia sudah bermula semenjak bangsa lain mula menapakkan diri di atas tanah melayu lagi. Banyak faktor yang menyumbang kepada gagalnya orang melayu bersaing dengan bangsa lain terutamanya bangsa cina. Antaranya ialah faktor cuaca, pekerjaan mereka pada masa itu dan sifat malu-malu kucing melayu. Walaupun bunyinya sedikit aneh, namun memang itulah hakikatnya.
Setelah membaca buku ini juga saya sedar akan peri pentingnya kita terus menegakkan hak keistimewaan orang Melayu. Tetapi masalah sebenar kita bukanlah kerana mendapat hak keistimewaan itu. Masalah kita ialah taking it for granted dan tidak memahami tujuan diadakan segala macam bentuk hak keistimewaan ini.
Melayu dahulu, kerjanya menanam padi. Padi yang ditanam cukup untuk menampung makan seisi keluarga sepanjang tahun. Mereka hanya perlu bekerja berat 2 kali sahaja dalam masa setahun. Lebihan masa dihabiskan entah ke mana. Keadaan pada waktu itu mengizinkan mereka terus hidup permai walaupun demikian cara hidupnya.
Kita sekarang tidak lagi hidup di zaman serba mudah itu. Masa bergerak pantas. Dunia semakin kejam. Yang kuat terus menindas yang lemah. Sukar untuk kita cari si kuat yang suka membantu si lemah. Maka melayu sekarang tidak boleh terus berangan mengimpikan hidup yang semakin mudah pada hari esoknya.
Anda yang sedang bersekolah mungkin merasakan waktu di universiti lebih lepak. Anda yang sedang menuntut di universiti mungkin merasakan waktu bekerja lebih mudah. Anda yang bujang mungkin merasakan hidup berkeluarga kurang masalahnya. Seandainya kesenanganlah yang terus bermain dalam minda kita, maka kita akan terus tertinggal.
Jadi apa yang harus kita lakukan?
Marilah sahabat sekalian, terus berusaha dan bersusah-susah mencari makna kehidupan. Kita mundur kerana kita lupakan Pencipta. Kita mundur kerana kita lupa diri. Bahkan, mungkin bukan lupa tetapi tidak kenal pun diri sendiri. Benarkah anda mengenali diri anda? Kebanyakan kita tidak peduli pun tentang persoalan penting ini.
Masa yang lapang, gunakanlah untuk menuntut ilmu. Jangan bosan dengan ilmu. Ilmu membawa kita jauh daripada kejahilan dan azab neraka yang disebabkan kelemahan diri sendiri. Ilmu mendekatkan kita kepada rahmat yang tidak pernah putus daripada satu-satunya Ilah yang kita sembah dan kita pohonkan segala harapan.
wallahua'lam