Sunday, October 26, 2008

Hari-hari Akhir

Saya seakan-akan sukar untuk percaya. Masa saya sudah hampir sampai ke penghujungnya. Hanya tinggal tiga paper exam menanti. Selepas daripada itu, saya akan kembali ke Malaysia dengan izinNya. Kembali untuk meneruskan satu lagi fasa dalam hidup. Fasa yang bakal memberi saya lebih banyak dugaan. Fasa yang bekal menjadikan saya seorang manusia berjasa atau bakal menghentam saya sehingga menjadi seorang yg tidak berguna.

Saya rasakan seperti baru semalam berpijak di bumi Auckland. Biar bumi ini tidak sehebat New York, namun tetap ia menjadi tempat saya pelajari ilmu yg tidak terbayar dengan nilai Dollar. Sungguh syahdu mengenangkan tempat ini. Saya tidak pasti apakah pemergian saya meninggalkan seribu satu jasa, atau pemergian saya mengurangkan satu lagi beban kepada bumi Auckland.

Saya tidak berhasrat berkata / menulis banyak. Saya hanya mahu kongsikan sebuah video yang pendek namun cukup bermanfaat buat mereka yang mahukan pengajaran.

p/s: Selamat menghadapi peperiksaan buat semua yang bakal menghadapinya.

[ ... ]

Monday, October 13, 2008

Lelaki Sejati

Lelaki sejati tidak tunduk pada sesuatu pun melainkan apa yang dikehendaki Tuhan.

Tidak gentar pada sebarang ciptaan.

Yang ditakuti hanya pada Yang Menciptakan.

Bukan mudah untuk hidup berdasarkan prinsip. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang saya dan anda semua alami setiap hari. Manis mulut kita berbicara, "Jangan diikut hawa nafsu bila bertindak, bila berbicara mahupun bila merasa." Namun, apakah itu yang kita lakukan setiap kali? Setiap hari?

Amaran sudah jelas diberikan Tuhan. Dalam surah as-Saff, Allah berbicara kepada hamba-hamba melalui Kalamnya yang bermaksud,

" Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

Tidak gentarkah hati kecil ini bila mendengar Tuhan berbicara yang demikian? Saya takut, tapi tidak selalunya begitu. Kadang-kadang dengan berani saya langgar! Benci kemungkaran namun diri sendiri tidak terlepas daripada melakukannya. Masih ada kekurangan yang jelas pada diri saya. Hati ini masih tidak cukup bersih.

Bilakah agaknya diri saya dapat benar-benar merasakan kehadiran Tuhan? Seolah-olah tiada yang mengawasi diri saya. Pandai berkata-kata, namun pada diri sendiri pun tidak 100% terlaksana. Seperti yang telah saya luahkan dalam entry lepas, banyak konflik yang jatuh menimpa saya. Saya rasakan sudah bertemu jawapannya. Tapi, masih tidak saya laksanakan sepenuhnya.

Prinsip Sesuci Salji, Sekental Besi

Itu yang saya inginkan. Hidup saya masih dipandu keinginan-keinginan yang mengarut. Karut yang mengaratkan seluruh ruh dan jasad. Prinsip bukan lalang yang boleh ditiup ke timur ke barat. Bukan juga air yang hanya mengalir ikut pada bekasnya. Namun ia bagaikan pasak besi yang teguh berdiri biar apa pun yang menimpa. Biar dilanggar dirempuh. Biar pecah, seribu terbelah. Biar karat bertukar sifat. Berdiri tetap berdiri. Walau tercondong sedikit, ia akan terus teguh di situ.

Itulah hidup pada prinsip. Arahan Tuhan adalah prinsip. Tiada yang lebih suci daripada prinsip yang disandarkan pada suruhan-suruhanNya. Islam bukan untuk diikut bila kita rasa mahu sahaja. Bukan untuk kita patuh pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat sahaja. Tetapi perlu kita tunduk selagi mana hayat terus terkandung di dalam jasad. Biar terperosok di tengah-tengah najis dan maksiat, tapi tetap jelas amaran-amaran Tuhan dalam ingatan.

"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." at-Taubah:41

Saya tidak mahu jadi pengecut. Saya tidak mahu jadi manusia yang tewas kepada iblis. Lupakah kita iblis pernah meremehkan manusia. Memandang rendah dan menghina diri kita. Mari kita buktikan kepada dia, bahawa tidak salah pilihan Allah. Meletak kita sebagai pemakmur bumi ini. Bukan perosak sepertimana iblis dan kawan-kawannya.

Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana...

wallahua'lam

[ ... ]

Friday, October 10, 2008

Revolusi, Reformasi, Evaluasi

Selamat Hari Raya saya ucapkan buat semua pengunjung setia blog yang serba kurang ini (ade ke pengunjung setia?perasan sungguh!hehe). Maaflah andai ada tulisan saya yang pernah menyinggung anda. Segala rasa tidak puas hati harap dapat diampunkan. Sungguh, saya ingin menemui Tuhan saya dalam keadaan "Dosa Free" dan dengan "Qalb" yang "salim".

Usai Ramadhan, banyak sungguh perkara "ajaib" yang berlaku. Saya sendiri merasakannya. Maaflah sekiranya entry kali ini lebih berbentuk luahan perasaan saya terhadap perkembangan diri sendiri. Semoga anda yang membaca mendapat lebih banyak manfaat daripada saya yang menulis.

Di kala Ramadhan

Di kala Ramadhan, saya rasakan sungguh dekat dengan Tuhan. Tidur yang berjumlah tidak lebih 4-5 jam sehari saya rasakan cukup untuk memandu diri saya bergiat cergas pada siang harinya. Malam saya habiskan di surau Mt street tercinta. Sungguh indah kala itu. Tapi bukanlah bermakna tiada kecacatan pada Ramadhan saya. Bahkan, saya rasakan kecacatan-kecacatan di kala Ramadhan lah yang menyebabkan ada sebahagian unsur diri saya dicacatkan pengaruh jahat syaitan dan nafsu sehingga kini.

[selingan..lagu Araftu, dendangan Muhammad al-Husayn dan Raihan]

Saksikanlah wahai pembaca sekalian, saya berikrar mahu mengadakan revolusi untuk diri sendiri.

REFORMASI. REFORMASI. REFORMASI.

Bukan untuk politik, tetapi reformasi sikap dan isi hati yang dah dikotori. Mari evaluasi diri.

Pasca Ramadhan

Saya rasa kurang sedap hati dengan diri sendiri. Pernah pada satu masa saya bermonolog,

"Alhamdulillah, pasni boleh tidur cukup. Ramadhan dah selesai. Makan pon lagi terjaga."

Satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar daripada hati seorang yang telah berikrar mahu beriltizam dengan Islam. Di mana silapnya saya? Saya tidak tahu. Menjelang akhir-akhir Ramadhan, saya dibebani dengan pelbagai konflik. Rata-ratanya konflik dengan 2 unsur dalam diri. Unsur Baik VS Unsur Jahat. Keputusan persaingan antara dua unsur ini adalah seperti berikut.

Unsur Baik Unsur Jahat
Kalah Menang
Menang tipis Kalah
Kalah pukulan knockout Menang besar
Kalah teruk Menang selesa
Seri Seri
Kalah lagi... Menang mudah

Aduh, ternyata Unsur Baik saya bukanlah lawan kepada Unsur Jahat yang jauh lebih gagah. Masakan Unsur Jahat ini tidak menang kerana ia bermain tipu. Pertarungan yang berbentuk handicap match antara Unsur Baik menentang Unsur Jahat yang dibantu nafsu serta kawan baiknya syaitan berpangkat Sarjan. Di kala Ramadhan, Unsur Jahat hanya keluar bertarung bersama nafsu kerana syaitan dipenjarakan buat sementara waktu. Tetapi, masih lagi Unsur Baik saya terus tewas. Aduh sekali lagi.

Kadang-kadang saya rasa marah. Kenapa yang baik terus kalah. Kemudian datang pula konflik dari luar. Maka bertambah-tambah teruklah kekalahan yang dialami. Ya Allah! Apakah ini hukuman buatku? Konflik luaran boleh berbentuk macam-macam. Perubahan sikap kawan-kawan rapat terhadap diri saya, dinginnya hubungan dengan adik-beradik seperjuangan + seakidah saya di sini, bertambahnya gejala sosial di kalangan mereka yang saya harapkan akan bersama-sama mendukung cita-cita saya membawa pembaikan di atas muka bumi serta maksiat yang semakin berleluasa adalah sebahagian daripada konflik-konflik luaran yang saya alami.

Mencari Punca

Air mata sudah makin sukar saya terbitkan daripada pasangan mata yang saya miliki. Hati semakin keras. Terdetik sekali dua dalam hati kecil ini mahu saja saya biarkan semua orang dengan hidup mereka, dan saya hidup dengan hidup saya. Mungkin saya nak ditelan ikan Nun sepertimana Nabi Yunus A.S agaknya.. Astaghfirullah

Di kala ini bantuan terhebat muncul. Bantuan Qalil saya dan anda semua. Allah is coming to the rescue.

Tapi...

Iman saya masih lagi setipis kulit bawang. Yakinnya saya akan bantuan Allah itu sejujurnya mungkin tidak lebih dari 10%. Pertaruhan saya masih pada apa yang saya dapat nampak dan rasa. YA!! Mungkin di situlah puncanya. Tipisnya iman kepada Allah. Iman yang diletakkan pada tangga nombor dua dalam senarai priority hidup.

Dan mungkin juga pada salah tujuannya segala tindakan saya. Kenapa saya inginkan kebaikan? Kenapa saya ingin mengembangkan islam? Agar orang boleh sanjung saya sepertimana rakyat Malaysia menyanjung DSAI atau Tun? Tidak yakinkah saya akan mahalnya nilai syurga? Ataupun mungkin keyakinan saya pada pembalasan di akhirat sekadar main-main? Sungguh, benarlah. Islam hanya akan disanjung mereka yang ikhlas serta suci akidahnya walhal akidah saya masih ada kotoran-kotoran degil yang perlu saya sental mulai saat ini.

Maka bermula daripada ketika ini, saya berikrar untuk pertama-pertamanya membersihkan akidah saya biar apa pun kepayahan yang terpaksa saya alami. Mujahadah dan semoga Tuhan tolong saya. Tolonglah saya wahai Rabbal 'Alamin. Kemudian, akan saya isytihar perang habis-habisan kepada Unsur Jahat bersama kawan-kawannya yang telah lama merosakkan hati dan nurani ini. Saya berharap ini akan menjadi langkah awal yang membersihkan diri saya sebelum bertemu dengan DIA yang ESA dan dengan manusia ulung yang saya rindui (Allah dan Rasulnya S.A.W)

Wallahua'lam

[ ... ]

Sunday, September 28, 2008

Kebenaran II

[Sambungan kisah daripada entry yang lepas]

Salman merupakan pelajar yang sangat tekun kepada ketua paderi di sham. Namun, paderi tersebut seorang yang jahat. Setiap kali satu-satu majlis diadakan di gereja, paderi itu akan meminta derma daripada orang ramai dan kononnya derma itu akan digunakan utk membantu orang yang memerlukan. Padahal, paderi tersebut menggunakan harta2 yg dikumpulkan utk kepentingan diri sendiri. Bila smpai masanya paderi ini menghembuskan nafas terakhir, Salman menceritakan tentang keburukan yang dimiliki paderi ini kepada orang lain. Penganut-penganut kristian tempatan berasa sangat marah lalu mensalib paderi ini dan melontar batu ke arahnya sehingga dia mati. Kemudian, paderi ini digantikan oleh seorang ketua paderi yang lain.

Ketua paderi yang baru ini seorang yang sangat disegani ramai. Menurut Salman, paderi ini adalah antara manusia terbaik yang pernah berdamping dengannya sebelum die bertemu dengan Rasulullah dan para sahabat. Salman gembira hidup bersama paderi ini dan beliau dididik dengan sangat cermat tentang makna kehidupan seperti dikehendaki Tuhan. Masa berlalu dan paderi ini meningkat usia dan semakin tua. Salman yang bimbangkan "tarbiyah" dirinya bertanya kepada paderi seandainya ada pengganti paderi ini supaya beliau boleh meneruskan menuntut ilmu kebenaran. Paderi ini tidak dapat carikan pengganti lain untuk Salman kerana menurutnya, hanya dia seorang sahaja yang masih mengamalkan ajaran kristian sepertimana asal. Tetapi, paderi tahu seorang paderi di Mousul yang masih berpegang kepada ajaran asal Kristian. Tanpa berlengah, Salman terus berhijrah ke Mousul pula.

Di Mousul, terbukti orang yang dikatakan ketua paderi tadi adalah benar. Paderi di Mousul ini juga mengamalkan ajaran Kristian sebenar dan Salman terus mendapat tarbiyah yang baik. Masa berlalu, dan paderi ini pun sebenarnya sudah sangat tua. Salman, bertanya kepada paderi ini pula, kepada siapa beliau boleh terus dididik dengan baik. Paderi ini meminta beliau berhijrah ke Nasibin.

Salman terus dididik dengan baik dan terus berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana di setiap tempat dia pergi, paderinya semua sudah sangat tua dan hanya menanti ajal. Dari Nasibin, beliau ke Ammuriah pula (di Turki). Di sini, Salman tinggal agak lama dan berpeluang membuka perniagaan kecil-kecilan. Keuntungan yang diperolehi akan dikumpulkan Salman untuk kegunaan masa depan. Masa berlalu dan paderi di Ammuriah itu juga berada di ambang kematian. Salman bertanya kepada siapa harus beliau pergi namun kali ini paderi di Ammuriah benar2 tidak dapat beri jawapan kerana memang sudah tiada walau seorang pun yang mengamalkan ajaran Kristian sebenar. Tetapi, paderi ini tahu akan seseorang yang dilantik oleh Allah menjadi Rasul terakhir di Jazirah Arab. Menurut paderi ini, Rasul itu akan berhijrah dari tempat asalnya ke suatu tempat di mana tumbuhnya banyak pokok kurma dan kawasan ini terletak di antara dua lembah berbatu. Rasul ini tidak akan makan barang yang diberikan padanya sebagai sedekah tetapi akan menerima barang yang diperolehinya sebagai hadiah. Di belakang badannya (di antara belakang badan dan bahu) terdapat satu tanda kenabian yang jelas.

Salman pun menurut kata paderi di Ammuriah itu lalu mencari2 pedagang arab yang singgah di Ammuriah agar dapat dia ikut untuk ke tanah Arab. Beliau berjumpa dengan sekumpulan pedagang arab dan memberikan semua harta yang dikumpulkan sebagai bayaran. Pedagang arab itu bersetuju. Malang sekali, pedagang arab itu berpaling tadah. Dia menjualkan Salman kepada seorang Yahudi semasa mereka singgah di Wadi Qura'.

Di Wadi Qura', Salman berkhidmat sebagai hamba kepada orang Yahudi ini sehinggalah pada suatu hari, tuannya didatangi sepupunya yang berasal dari Bani Qurayzhah. Yahudi Bani Qurayzhah ini berminat untuk membeli Salman lalu dibelinya dan dibawa pulang ke tempat di mana Bani Qurayzhah tinggal. Tidak lain lagi iaitu Madinah. Bila tiba di Madinah, Salman seolah-olah tahu yang di situlah tempatnya beliau akan bertemu dengan Rasul tersebut kerana sememangnya Madinah ialah kawasan di mana terdapat banyak pohon kurma dan ia diapit oleh 2 lembah berbatu.

Mencari-cari Rasulullah

Salman terus berkhidmat dengan orang Yahudi Bani Qurayzhah itu sehingga hampir terlupa tujuan asalnya mahu ke Madinah. Sehinggalah pada suatu hari, beliau terdengar satu berita tentang Muhammad yang mahu berhijrah ke Madinah dan sangat-sangat dinantikan oleh kaum Arab di Madinah itu. Mendengar berita itu, Salman bergegas mendapatkan orang yang menyampaikan cerita itu untuk memastikan apa yang didengarinya. Orang tersebut memberitahu beliau yang Muhammad berada di Quba', berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Tuan Salman berasa sangat marah ditumbuk dan dikurungnya Salman.

Salman tidak berputus asa. Pada malam harinya, beliau membungkus sedikit makanan dan dibawanya ke Quba secara sembunyi. Di Quba', die bertemu dengan Muhammad dan diberikan makanan yang dibawanya tadi sebagai sedekah. Muhammad mengambilnya lalu memberikan kepada para sahabat beginda. Salman gembira kerana itu merupakan antara tanda yang dikhabarkan paderi di Ammuriah kepada beliau.

Keesokan harinya, Salman membawakan makanan lagi kepada Muhammad namun kali ini diberikannya sebagai hadiah. Muhammad mengambilnya dan turut memanggil para sahabat lain untuk turut menjamu selera. Satu lagi tanda dikesan Salman.

Selang beberapa hari selepas itu, Muhammad sudah tiba di Madinah dan perlu menghadiri satu majlis pengebumian. Di majlis tersebut, Salman bertekad untuk mencari satu lagi tanda sepertimana yang dikhabarkan paderi kepadanya. Ketika Muhammad sedang duduk, Salman berlegar-legar di belakang baginda seolah-olah mencari sesuatu. Muhammad yang sedar akan hal ini seolah-olah faham apa yang dikehendaki Salman. Lalu, baginda longgarkan sedikit pakaian dan ditunjukkan tanda kenabian yang terdpat di belakang bahunya. Terbukti, insan bernama Muhammad ini benar-benar Rasulullah. Alangkah gembira Salman melihat tanda tersebut lalu memeluk Rasulullah sambil menangis. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian sujud pula kepada Rasulullah. Rasulullah melarangnya berbuat demikian dan menegaskan hanya Allah sahaja Tuhan yang berhak mendapat sujud manusia ciptaannya.

Semenjak hari itu, Salman menyerahkan segala jiwa dan raga untuk Allah dan rasulnya. Tiada yang lebih menggembirakan hidupnya melainkan peristiwa ini yang melengkapkan pencarian beliau kepada kebenaran hakiki. Bertemunya beliau dengan Islam bermakna bertemunya beliau dengan segala jawapan kepada persoalan yang ada padanya sebagai seorang manusia.

Wallahua'lam

[ ... ]

Saturday, September 13, 2008

Cari Kebenaran

Sebagai manusia, menjadi fitrah kita mempersoalkan segala yang terjadi di dunia dan apa yang akan berlaku selepasnya. Mereka yang bijak pandai lebih dalam lagi persoalannya tentang hal ini. Dalam erti kata lain, manusia yang waras akalnya akan sentiasa berusaha mencari KEBENARAN.

Sahabat sekalian,

Hanya mereka yang jelas matlamat hidupnya SAHAJA akan sentiasa berusaha mencari kebenaran. Kebenaran ada banyak jenis. Seorang saintis contohnya, akan berusaha membuktikan teori yang diciptanya benar melalui eksperimen. Seorang pengurus kewangan akan memastikan saluran duit keluar masuk syarikat sepertimana yang direkod di dalam akaun syarikat itu benar belaka.

Sebagai manusia, apakah kita juga punya matlamat yang mahukan suatu kebenaran? Mari kita ikuti kisah seorang sahabat yang sanggup menempuh segala jerih, perih, payah dan susah semata-mata mahukan apa yang benar untuk keseluruhan hidupnya.

Kisah Salman al-Farisi

Salman merupakan salah seorang sahabat yang tidak berasal dari Jazirah Arab. Beliau berasal dari Asfahan (Iran sekarang). Pada suatu hari, Ibn Abbas R.A datang berjumpa Salman R.A lalu bertanyakan tentang kisah hidupnya yang membawa beliau ke Madinah.

Salman R.A berasal dari sebuah kampung bernama Gee dan ayahnya merupakan antara ketua yang tersohor di situ. Beliau dan sekelian penduduk kampung menganut agama Majusi dan Tuhan mereka adalah api. Beliau terpaksa bersakit-sakit untuk dianugerahkan darjat yang tinggi dalam agama tersebut. Salman komited dengan pegangan ini sehingga beliau dilantik sebagai penjaga api. Tugasnya ialah mengelakkan daripada api itu padam.

Ayah Salman mempunyai satu perniagaan. Dia juga seorang bapa yang "terlebih" kasihkan anaknya Salman. Menurut Salman, ayahnya tidak akan benarkan beliau keluar dari rumah, menjaganya lebih rapi daripada mana-mana anak dara lain. Tetapi, pada suatu hari, ayah Salman terpaksa menyiapkan sebuah binaan dan terpaksa meminta Salman mewakilinya menyelesaikan urusan perniagaan di luar bandar. Sebelum berangkat, ayah Salman tidak lupa untuk berpesan supaya anaknya pulang segera sejurus selesai urusan perniagaan itu.

Dalam perjalanan menuju ke tempat berniaga, Salman melalui sebuah gereja. Dia yang sememangnya tidak pernah jemu untuk mengetahui hakikat sebenar kehidupan lalu masuk ke dalam gereja tersebut dan mendengar ajaran paderi tentang agama kristian. Beliau juga sempat berbincang lebih dalam dengan paderi itu dan bertanya dari mana asalnya agama ini supaya beliau boleh lebih mendalaminya. Agama kristian datangnya daripada Sham (kawasan sekitar Palestin, Syria,Lubnan dan Jordan sekarang).

Salman terus khayal dalam kekhusyukan terlupa untuk menguruskan perniagaan ayahnya sehinggalah matahari terbenam. Ayahnya bimbangkan Salman lalu menghantar seseorang untuk pergi mencarinya. Bila dibawa pulang, Salman mengkhabarkan perihal agama kristian pada ayahnya dan mengatakan bahawa ia lebih baik daripada agama majusi. Ayahnya pula terus mempertahankan bahawa agama nenek moyang mereka (majusi) adalah yang lebih benar. Salman tidak bersetuju dan ini menyebabkan ayah Salman sangat risaukan keadaan anaknya. Atas kerisauan ini, ayah Salman bertindak menggari kaki Salman dan dikurungkan di dalam bilik. Sebelum dikurungkan, Salman sempat berpesan kepada seseorang supaya memberitahunya jika ada pedagang dari Shams yang datang ke Asfahan.

Seperti yang dinanti-nantikan, satu hari terdapat sekumpulan pedagang dari Sham yang datang berdagang di Asfahan. Salman berjaya meloloskan diri dari kurungan lalu mengikut pedagang-pedagang tadi pulang ke Sham. Setibanya di Sham, Salman menuntut dengan ketua paderi di situ. Maka bermulalah kisah hidup baru Salman dalam pengembaraannya mencari kebenaran.

InsyaAllah, saya akan sambung kisah ini dalam entry yang akan datang...

[ ... ]

Saturday, September 6, 2008

Manusia dan unsur-unsurnya

Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya diberi peluang menikmati ramadhan kali ini. Setiap kali ramadhan, Allah mengurniakan pada saya suatu kurniaan yang mahal harganya. Allah curahkan buat hamba ini perasaan ingin merenung kembali hakikat hidup yang serba kompleks, serba celaru.

Hidup manusia yang semakin pantas disibukkan oleh urusan-urusan material membuatkan kita mengabaikan tanggungjawab pada ruh. Kita seakan-akan melupakan elemen kita yang satu itu. Sekadar peringatan buat semua, secara kasar manusia punyai 4 elemen yang membentuknya:

  1. Tubuh fizikal
  2. Ruh
  3. Akal
  4. Hati

Selama ini, hanya tubuh fizikal dan akal yang mendapat perhatian kita. Segala kudrat kita curahkan demi memastikan kedua-dua elemen ini sempurna perkembangannya. Tetapi, bagaimana pula dengan ruh dan hati? Sedangkan ruh dan hatilah yang memberi maksud kepada kehidupan manusia di dunia. Tanpa keduanya, manusia seolah-olah hidup tanpa tujuan, mati tiada penilaian. Maka terus-menerus manusia rakus mengejar apa yang ada di dunia kerna beranggapan bahawa hidup sekadar terbatas pada 60 - 70 tahun usia dan kemudiannya diakhiri noktah tanpa sambungan.

Sekiranya manusia gagal merenung akan perihal ini, saya bimbang semakin ramai yang akan menjauhi Tuhannya. Semakin ramai pula yang tertekan hidupnya. Maka tidak hairanlah, semakin tidak bahagia hayat ini jadinya. Hidup manusia hanya akan bahagia bila ia dijalani kena dengan tujuannya.

Secara umum, untuk yang muslim atau bukan sekalipun, hidup tanpa penghayatan ruhiyah boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam kekosongan yang berpanjangan. Mahatma Gandhi contohnya, pernah mengakui bahawa hampir-hampir sahaja beliau gila tatkala sibuk melengkapkan agenda memerdekakan India jika tiada agama yang menyokong unsur ruhiy miliknya.

Program Pengisian Rohani

Umat Islam, umat bertuah. Bukan sahaja menerima janji-janji Allah untuk kebahagian akhirat, malahan turut menerima kebahagiaan dunia. Islam sungguh mementingkan penyucian ruh sepertimana firman Allah dalam surah at-Taubah: 108

Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Program pengisian rohani disusun dengan cantik oleh Allah. Program sedemikian mengambil tempat secara harian, mingguan dan tahunan.

Harian, umat Islam difardhukan solat 5 waktu bagi membolehkan jiwa-jiwa manusia dibersihkan setelah mengharungi hidup yang terkandung pelbagai kekotoran.

Mingguan pula, Allah menghadiahkan solat Jumaat buat kita. Di dalamnya terhimpun pelbagai amalan fardhu dan sunat. Sekiranya manusia ikhlas menghayati satu demi satu amalan tersebut, sudah pasti ruhnya semakin mendekati Tuhan.

Tahunan pula, Allah mengurniakan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Segala kebaikan terkumpul di sini. Hadirnya bulan ini seumpama suatu peluang yang besar diberikan pada manusia. Secara ringkas, antara kebaikan yang telah Allah janjikan buat mereka yang ikhlas mengharungi Ramadhan ialah:

  1. Keampunan Allah untuk segala dosa yang lalu.
  2. Membebaskan manusia dari api neraka.
  3. Doa termakbul.
  4. Kurniaan berupa "surprise" yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.
  5. Malam lailatul-Qadr
  6. Mendapat keredhaan Allah.

Saya pasti, anda biasa dengan kelebihan2 ramadhan yang telah saya senaraikan. Tetapi sejauh mana kita mengambil serius akan kewujudannya? Mereka yang tidak yakin akan janji Allah seumpama mereka yang sangsi dengan kekuasaan Allah. Inilah penyakit utama umat Islam alaf baru, iaitu bila akidahnya sudah tidak sesuci yang Allah inginkan. Mari menuju salimul 'aqidah (kesejahteraan akidah) di ramadhan kali ini.

Wallahua'lam

[ ... ]

Sunday, August 17, 2008

Jangan Manja

Geli-geleman sebahagian kita bila mendengar ada mana-mana lelaki dewasa yang bersifat "manja". Salahkah bersikap manja? Sebahagian manusia merasakan sikap ini hanya rasional kepada kanak-kanak sahaja. Saya juga berpendapat demikian. Sebagai anak lelaki paling tua dalam keluarga, saya sendiri rasa kurang selesa dengan sikap ini. Namun, saya tidak nafikan, sifat ini turut membawa kesan positif kepada kita.

Ada yang mungkin mahu pertahankan bahawa sikap manja kadang-kadang perlu bagi mewujudkan rasa kasih dalam institusi keluarga. Benar, tetapi ada batasnya. Ada batasnya bagi seorang ibu yang memanjakan anaknya. Ada batasnya bagi seorang suami yang memanjakan isterinya. Lebih tinggi batasnya bagi individu yang memanjakan dirinya sendiri!

Jangan manjakan diri sendiri

Mereka yang cenderung untuk memanjakan diri sendiri adalah mereka yang lemah. Tiada pengecualian dalam hal ini. Bagaimana keadaannya seseorang itu memanjakan diri sendiri?

  1. Malas
  2. Takut kesusahan. Hanya inginkan kesenangan.
  3. Tidak mahu berubah ke arah lebih baik. Selesa dengan apa yang ada sekarang.
  4. Perlu sentiasa rasa cukup dan puas.
  5. Bila menilai, untuk kitalah bahagian yang lebih besar.

Perhatian! Pandanglah setiap satu perkara yang disenaraikan di atas melalui lensa akhirat, kecuali untuk perkara 4 dan 5. Kedua-dua perkara itu saya merujuk secara langsung kepada worldly possessions. InsyaAllah, saya akan perincikan perkara 4 secara ringkas dalam entry ini.

Perlu sentiasa rasa cukup dan puas (makan)

Menjadi fitrah, apabila makan kita mahu kenyang. Apabila minum, biar hingga hilang hausnya. Apabila tidur, biar cukup 8 jam sehari. Tiada yang haramnya dengan makan, minum dan tidur sehingga puas. Tetapi, akibat terlalu "mencukupkan" ini, menyebabkan kita menjadi lemah. Inilah salah satu sindrom manusia yang memanjakan diri sendiri.

Sejarah telah membuktikan, manusia yang cemerlang di atas muka bumi ini ialah mereka yang kurang makan, minum dan tidurnya. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah mengatakan bahawa

"Bejana (bekas) yang paling buruk pernah diisi oleh seorang anak adam ialah perutnya!" [at-Tirmidzi]

Siapakah anak adam? Kitalah tu!!

Di dalam kitab al-Muqaddimah, Ibn Khaldun telah mengelaskan dunia ini kepada 7 bahagian yang berbeza. Di antara ketujuh-tujuh bahagian itu, ada zon yang subur tanah serta keadaan sekelilingnya, ada zon yang kering dan panas secara ekstrim, dan ada pula yang sangat sejuk.

Menurut Ibn Khaldun, mereka yang tinggal di kawasan yang subur serta terdapat banyak sumber makanan, cenderung untuk menjadi orang yang gemuk dan kurang cerdas. Golongan ini juga agak malas kerana mereka tidak perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan. Oleh sebab tidak perlu banyak berusaha, mereka lebih banyak tidur dan suka dengan hidup yang selesa. Golongan ini lemah fizikal dan mental. Seandainya diuji oleh Allah dengan kemarau atau putus bekalan makanan, mereka dijangka hanya mampu berikhtiar utk terus hidup bagi suatu jangka masa yang pendek. Inilah mereka yang banyak memanjakan diri sendiri.

Mereka yang tinggal di kawasan yang kurang subur pula mempunyai sumber makanan yang terhad. Ada antara mereka yang hanya hidup dengan susu dan sayuran. Mereka juga biasa berada dalam keadaan kelaparan dan perlu berusaha keras untuk mendapatkan makanan yang sekadar cukup untuk hidup. Golongan ini dikatakan boleh bertahan dengan lebih lama sekiranya diuji dengan kelaparan. Ibn Khaldun menyatakan bahawa mereka ini lebih sihat tubuh dan lebih bijak akal fikiran. Inilah mereka yang TIDAK memanjakan diri.

Kesimpulannya, manusia yang tidak bertindak memanjakan diri pada sudut mencukupkan makanannya adalah lebih sihat dan bijak. Buat akhirnya, mari kita renungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab R.A

"Jalanlah berkaki ayam"

Kata-kata di atas bermaksud menyeru manusia supaya sekali-sekala kita perlu bersedia untuk hidup dalam keadaan yang tidak selesa. Semoga ada permata berharga yang dapat saya hadiahkan melalui hasil tulisan ini.

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB