Cari Kebenaran
Sebagai manusia, menjadi fitrah kita mempersoalkan segala yang terjadi di dunia dan apa yang akan berlaku selepasnya. Mereka yang bijak pandai lebih dalam lagi persoalannya tentang hal ini. Dalam erti kata lain, manusia yang waras akalnya akan sentiasa berusaha mencari KEBENARAN.
Sahabat sekalian,
Hanya mereka yang jelas matlamat hidupnya SAHAJA akan sentiasa berusaha mencari kebenaran. Kebenaran ada banyak jenis. Seorang saintis contohnya, akan berusaha membuktikan teori yang diciptanya benar melalui eksperimen. Seorang pengurus kewangan akan memastikan saluran duit keluar masuk syarikat sepertimana yang direkod di dalam akaun syarikat itu benar belaka.
Sebagai manusia, apakah kita juga punya matlamat yang mahukan suatu kebenaran? Mari kita ikuti kisah seorang sahabat yang sanggup menempuh segala jerih, perih, payah dan susah semata-mata mahukan apa yang benar untuk keseluruhan hidupnya.
Kisah Salman al-Farisi
Salman merupakan salah seorang sahabat yang tidak berasal dari Jazirah Arab. Beliau berasal dari Asfahan (Iran sekarang). Pada suatu hari, Ibn Abbas R.A datang berjumpa Salman R.A lalu bertanyakan tentang kisah hidupnya yang membawa beliau ke Madinah.
Salman R.A berasal dari sebuah kampung bernama Gee dan ayahnya merupakan antara ketua yang tersohor di situ. Beliau dan sekelian penduduk kampung menganut agama Majusi dan Tuhan mereka adalah api. Beliau terpaksa bersakit-sakit untuk dianugerahkan darjat yang tinggi dalam agama tersebut. Salman komited dengan pegangan ini sehingga beliau dilantik sebagai penjaga api. Tugasnya ialah mengelakkan daripada api itu padam.
Ayah Salman mempunyai satu perniagaan. Dia juga seorang bapa yang "terlebih" kasihkan anaknya Salman. Menurut Salman, ayahnya tidak akan benarkan beliau keluar dari rumah, menjaganya lebih rapi daripada mana-mana anak dara lain. Tetapi, pada suatu hari, ayah Salman terpaksa menyiapkan sebuah binaan dan terpaksa meminta Salman mewakilinya menyelesaikan urusan perniagaan di luar bandar. Sebelum berangkat, ayah Salman tidak lupa untuk berpesan supaya anaknya pulang segera sejurus selesai urusan perniagaan itu.
Dalam perjalanan menuju ke tempat berniaga, Salman melalui sebuah gereja. Dia yang sememangnya tidak pernah jemu untuk mengetahui hakikat sebenar kehidupan lalu masuk ke dalam gereja tersebut dan mendengar ajaran paderi tentang agama kristian. Beliau juga sempat berbincang lebih dalam dengan paderi itu dan bertanya dari mana asalnya agama ini supaya beliau boleh lebih mendalaminya. Agama kristian datangnya daripada Sham (kawasan sekitar Palestin, Syria,Lubnan dan Jordan sekarang).
Salman terus khayal dalam kekhusyukan terlupa untuk menguruskan perniagaan ayahnya sehinggalah matahari terbenam. Ayahnya bimbangkan Salman lalu menghantar seseorang untuk pergi mencarinya. Bila dibawa pulang, Salman mengkhabarkan perihal agama kristian pada ayahnya dan mengatakan bahawa ia lebih baik daripada agama majusi. Ayahnya pula terus mempertahankan bahawa agama nenek moyang mereka (majusi) adalah yang lebih benar. Salman tidak bersetuju dan ini menyebabkan ayah Salman sangat risaukan keadaan anaknya. Atas kerisauan ini, ayah Salman bertindak menggari kaki Salman dan dikurungkan di dalam bilik. Sebelum dikurungkan, Salman sempat berpesan kepada seseorang supaya memberitahunya jika ada pedagang dari Shams yang datang ke Asfahan.
Seperti yang dinanti-nantikan, satu hari terdapat sekumpulan pedagang dari Sham yang datang berdagang di Asfahan. Salman berjaya meloloskan diri dari kurungan lalu mengikut pedagang-pedagang tadi pulang ke Sham. Setibanya di Sham, Salman menuntut dengan ketua paderi di situ. Maka bermulalah kisah hidup baru Salman dalam pengembaraannya mencari kebenaran.
InsyaAllah, saya akan sambung kisah ini dalam entry yang akan datang...
0 comments: