Showing posts with label Ucapan. Show all posts
Showing posts with label Ucapan. Show all posts

Saturday, September 11, 2010

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua teman dan saudara yang mengenali.

Semoga Ramadhan yang lalu berjaya mendidik kita menjadi insan yang lebih berguna untuk agama, bangsa dan tanah air.

Saya juga ingin memohon maaf kepada semua seandainya ada sebarang kesilapan yang terlanjur saya lakukan.

Kullu 'aam wa antum bikhair..

[ ... ]

Thursday, March 4, 2010

Adat

Terlalu banyak perkara yang kita lakukan tanpa ada sebab yang konkrit. Sebagai seorang Islam yang diajar untuk mempersoalkan banyak perkara, saya sukar menerima bila kita terpaksa melakukan sesuatu hanya kerana orang dahulu biasa mengamalkannya.

Adat.

Pernah saya dimarahi oleh ibu, ayah, datuk dan nenek kerana terlalu banyak mempersoalkan adat Melayu semasa majlis pertunangan saya. Saya pelik kenapa...
  1. Kenapa perlu sediakan jumlah2 hantaran tertentu untuk dihantar ke rumah perempuan? Si perempuan perlu membalas dengan jumlah tertentu pula. Contohnya, kalau lelaki hantar 7 dulang, perempuan perlu balas 9 atau lebih. Jumlahnya mesti berangka ganjil.
  2. Kenapa tepak sireh atau sireh junjung seakan2 wajib ada dalam salah satu dulang hantaran itu?
  3. Kenapa cincin bertunang perlu berbatu? Cincin merisik pula berbelah rotan? (Ini mungkin lebih kepada tanda, bukan adat)
  4. Dan lain-lain
Ada lagi beberapa perkara, namun terlalu sensitif untuk saya sebutkan di sini. Mungkin ada sahabat lain yang mahu berkongsi pendapat.

Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan peranan adat dalam membentuk kita menjadi seorang yang tertib, saling menghormati dan hidup teratur. Cuma, kalau kita terus mengamalkan adat-adat yang tidak relevan dengan masa, saya bimbang bangsa ini akan terus ketinggalan.

Kita perlu berubah. Akal fikiran perlu menjadi paksi kepada tindakan sekiranya tiada nas qath'ie (kuat) yang mensabitkan untuk kita melakukan atau meninggalkan sesuatu.

Tidak lupa, ingin saya ucapkan syukur atas majlis pertunangan yang sudah. Alhamdulillah, dikurniakan tunang solehah dan keluarganya yang sangat baik.



Ayah saya (berbaju belang) sedang berbincang dengan ayah tunang saya. Nama tunang dirahsiakan..hehe



[ ... ]

Saturday, December 12, 2009

Besarnya Ujian

Semoga Allah tabahkan hatimu..


Tiada apa yang dapat saya sumbangkan untuk membantu Teh Afifah selain sekalung doa buat beliau dan arwah suami. Belajar di dalam Universiti yang sama membuat saya turut merasa hebat tamparan ujian yang dialami Teh. Berat mata memandang, berkali ganda lebih terbeban bahu yang memikul.

Saya sempat mengenali Teh ketika beliau memasuki tahun 1 pengajian di UoA manakala saya sudah memasuki tahun ke-3 ketika itu. Walau hanya pernah sekali atau dua bersua muka, dan hampir tidak pernah bertukar tutur kata, saya yakin beliau seorang yang sangat solehah. Seorang yang dekat dengan agamaNya. Ini mungkin satu cara Allah mahu hambaNya ini mendekati Rab yang telah mentakdirkan segalanya.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksi saya jika berada di tempatnya.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" -2:286
Mungkin ini juga caranya Tuhan mengampunkan segala kesalahanmu dan menganugerahkan pahala seluas langit dan bumi buat mu.

Maka benarlah, ajal dan maut itu boleh datang pada bila-bila masa. Benarlah kita akan mati juga akhirnya. Semoga Allah turut membenarkan janjiNya untuk menempatkan mereka yang mati dalam keadaan soleh atau solehah di dalam Syurga yang Maha indah.

Saya berharap peristiwa ini bakal menjadi pedoman buat kita semua.

Marilah berdoa semoga ruh Mohd Ariff dicucuri rahmat Illahi. Buat Teh, tabahkanlah hati, kuatkanlah semangat. Kita yang hidup ini juga bakal kembali akhirnya. Cuma mungkin masanya belum tiba.

Wallahul musta'an.
[ ... ]

Tuesday, September 29, 2009

Selamat Hari Raya

Tidak terlambat sekiranya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua.

Gembira rasanya bila dapat beraya buat pertama kalinya di Malaysia setelah 4 tahun mengembara di tanah asing. Chewah.. Seronoknya saya sehingga sebulan meninggalkan blog ini begitu sahaja. hehe.

Apa pun, hari raya kali ini memberi makna yg mendalam buat saya. Saya semakin faham akan erti kemenangan di hari raya walaupun belum dapat mengecapinya.

Saya juga sedar betapa jauh sudah saya tinggalkan zaman kanak-kanak saya. Zaman di kala saya sendiri yg mengepalai adik-adik lain mengumpul duit raya daripada sanak-saudara dan jiran tetangga. Kini, saya pula menjadi mangsa adik-adik dan sepupu-sepapat.
Huhu...
Oh, itu bukan rungutan malahan ucapan syukur kerna diberi peluang bersedekah di hari yang mulia. [ikhlaslah wahai Azmir :D]

Satu fenomena yang menarik ketika beraya di kampung ialah bila melihat betapa berbeza cara membuat persiapan hari raya 10 tahun dahulu berbanding sekarang (applicable untuk kanak-kanak sahaja).

Seingat saya, dulu saya lebih suka bermain di luar. Lebih seronok lagi bila abah (kami adik beradik panggil datuk kami, abah) sengaja membeli daun ketupat dengan banyak. Dia tahu, saya dan adik saya suka belajar menganyam ketupat. Beli banyak sebab abah tahu memang banyak juga yang kami rosakkan.. Tangan bengkok..hehe

Saya juga gemar belajar bagaimana ketupat, rendang, kuah kacang dan dodol dimasak. Cumanya, sampai sekarang ibu dan makcik-makcik saya hanya berani minta saya untuk rebus ketupat sahaja. Bimbang agaknya kalau rendang itu jadi popcorn bila dikerjakan oleh saya. Tapi, saya ni bukanlah jahil sangat bila masuk bab-bab memasak ni. Masa di New Zealand dulu, sebut sahaja masakan apa yang tidak boleh saya masak. Semuanya possible lebih-lebih lagi dengan bantuan Baba's, Adabi dan Ajinomoto. Hehe

Kini, hari raya cukup berbeza. Adik-adik dan sepupu-sepupu saya yang masih kecil tiada seorang pun yang berminat untuk main di luar. Apa tah lagi bila disuruh menganyam ketupat. Semuanya sibuk mengadap laptop, PS2, PSP dan Rubik's Cube. Mungkin lain kali, aktiviti anyaman ketupat ini dapat kita lakukan dalam bentuk penyelesaian puzzle sepertimana menyelesaikan Rubik's Cube. Ada sesiapa yang ingin menyumbang idea?

Buat akhirnya, Hari Raya kali ini sangat bermakna kerana dalam hari raya pertama sahaja, kunjungan saya ke tandas adalah lebih kerap daripada jumlah rumah yang kami sekeluarga ziarahi. Terkejut agaknya perut ni bile terkena rendang yang podeh-podeh belako (translation: pedas-pedas belaka).

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan daripada semua yang mengenali diri saya. Semoga kita menjadi manusia yang lebih baik setiap tahun.

Kullu 'aam wa antum bikhair


[ ... ]

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan yang ke Sekian Kali

Alhamdulillah, dipertemukan kita dengan Ramadhan lagi.

Bulan ini menyajikan terlalu banyak peluang untuk kita menjadi lebih baik. Berbekalkan cita-cita dan pelan tindakan yang strategik, insyaAllah itu boleh dicapai.

Tahun ini, saya berazam untuk menempuh 30 hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan. Pabila berakhirnya bulan penuh barakah ini, saya berharap dapat mencapai 3 perkara.
  1. Iman ameeq (iman yang mendalam)
  2. Takwin dakik (pembentukan yang teliti)
  3. Amal mutawasil (amalan berterusan)
Berbekalkan 3 perkara ini jugalah, saya berharap Allah akan mengeluarkan saya daripada kekeliruan hidup yang saya sedang hadapi sekarang.
[ ... ]

Thursday, February 28, 2008

Selamat Kembali

assalamualaikum

Saya sekadar ingin mengucapkan selamat kembali kepada sahabat2 yang sudah semakin ramai pulang ke auckland. Saya turut bersyukur kerana diizinkan Allah sampai dengan selamat ke sini. Terlalu banyak yang ingin dibicarakan namun terlalu sedikit peluang yang saya ada untuk menyuarakan segalanya. Maaf seandainya tulisan saya kali ini tidak membawa kepada apa-apa objektif kerana saya masih sibuk dengan pelbagai urusan sebelum kembali ke universiti.

Para pembaca,
Doakanlah yang terbaik untuk semua.
Saya akan kembali menulis secepat mungkin.

wallahua'lam
[ ... ]

Saturday, November 17, 2007

percutian suatu kerehatan atau ...




assalamualaikum.

Sekadar pemberitahuan, insyaAllah saya akan pulang bercuti ke Malaysia pada hari ini sehingga ke penghujung bulan februari. Tidak sabar melihat apa yang telah berlaku pada tanah air. Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada negara minggu ini dan minggu lepas membuat saya tertanya-tanya apakah sudah ada langkah perubahan ke arah yang lebih baik dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Saya pulang dengan 1001 harapan. Mahu melihat keadaan yang lebih baik. Jika masih di takuk lama atau masih tiada apa-apa perubahan signifikan yang berlaku, maka saya sendiri perlu sedar bahawasanya ada suatu tugas yang besar perlu dilaksanakan segera oleh saya dan anda semua.

Kepada sahabat-sahabat yang berada di Malaysia, semoga kita bertemu di sana.

Kepada sahabat-sahabat yang masih tinggal di NZ, jagalah diri anda baik-baik. Doakanlah untuk kejayaan kita bersama.

Perdengarkan sebuah ceramah ringkas yang disampaikan oleh seorang imam yang mahsyur di US. Semoga anda semua dapat mengambil sesuatu daripadanya..

wassalam...
[ ... ]

Thursday, October 11, 2007

Aidilfitri kali ini...

assalamualaikum.

Ramadhan sudah mula mengucapkan selamat tinggal buat sekian kalinya. Ini juga menunjukkan betapa usia kita berlalu begitu pantas sepantas ramadhan meninggalkan kita. Ada yang berjaya memanfaatkannya namun ramai antara kita yang gagal berbuat demikian. Ini terbukti dengan hadis nabi yang bermaksud:

"Berapa ramai yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasa tersebut melainkan lapar dan dahaga."

Ucapan syukur tidak terhingga saya ucapkan kerana masih diberi peluang melalui ramadhan tahun ini. Berjaya atau tidak, saya serahkan segalanya pada Allah untuk menentukan.

Kebelakangan ini, saya sering diingatkan tentang perkara-perkara indah yang berlaku sewaktu melalui zaman-zaman "muda" dahulu. Ada masanya saya berasa sedih, gembira, sayu, bangga, hina dan pelbagai perasaan yang sukar untuk digambarkan. Namun, terdapat buruk dan baiknya mengenang perkara yang sudah berlalu ini. Apa yang penting ialah apa yang sedang kita semua lalui kini. Untuk itu, post kali ini saya tujukan khas buat ibu dan ayah, sanak saudara serta semua teman yang sama-sama mengharungi susah dan senang hidup sedari sekolah rendah (S K Kampung Gelam, S K Kubang Ikan dan S K Kuala Pilah), sekolah menengah (Sek Men Agama Persekutuan, Labu), kolej persediaan (KMB) dan kini di menara gading (University of Auckland).

Buat ayah dan ibu, di kesempatan ini abang (nama panggilan di rumah..hehehe) ingin menyusun 10 jari memohon maaf seikhlas hati atas segala salah dan silap. Halalkanlah makan minum anak mu yang jauh di perantaun ini. Perasaan sedih itu sentiasa ada namun abg sembunyikan dengan kegirangan yang ditunjukkan kawan-kawan lain bila menyambut hari raya. Jasa ibu dan ayah tidak pernah akan abg terbayar. Hanya pada Allah abg doakan kesudahan yang baik. Kadang-kadang rasa terkilan bila tak dapat berada di sisi ibu dan ayah ketika sedang menghadapi krisis hidup. Rasa tak adil pada diri abg yang membiarkan ibu, ayah dan adik-adik susah di rumah tapi abg di sini bersenang-lenang. Maafkan abang ibu. Maafkan abang ayah.

Buat abah(nama panggilan utk datuk saya), nenek, mak lang, pak lang, acik,pakcik, pakndak, makndak, uda, pak uda, ucu, mak usu, ateh,pak teh, pak long, mak long dan adik-adik sepupu, abang merindukan saat-saat beraya di Port Dickson (keluarga sebelah ibu saya). Abang rindukan suasana pagi raya bila bersalaman dan masing menitiskan air mata ikhlas tanda memohon kemaafan jauh dari dalam lubuk hati. Rindukan suasana hari "membantai". Rindukan sentuhan sambal kuah kacang nenek, dan rebusan ketupat abah. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan yang selama ni terlanjur abang lakukan. Halalkan makan dan minum selama mana abang hidup ni.

Buat mak ngah dan pak ngah sekeluarga, pak long dan mak long sekeluarga serta pak lang dan mak lang sekeluarga (keluarga sebelah ayah), azmir minta maaf andai ada salah dan silap. Doakanlah kejayaan saya di sini.

Buat sahabat-sahabat budiman, maafkan segala salah dan silap. Andai terkasar kata, terlanjur bicara. Tak pernah bermaksud di hati melukai sesiapa.Kepada teman-teman sebaya, perjalanan ini sudah jauh kita tempuh. Sudah tiba masa memungut mutiara berharga menghiasi iman dan peribadi kita. Biar kita kecil pada pandangan manusia tapi, besar kedudukan disisiNya. Kepada adik2, dunia yang anda lihat, tak selalunya indah. Pengalaman yang pahit hadir utk anda pelajari sesuatu. Jangan diperdaya nafsu, jangan ditipu akal dan jangan biar hatimu lemah.

Hidupnya insan menabur bakti, matinya insan meninggalkan kesan di segenap penjuru bumi.


Buat akhirnya, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB