Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Thursday, May 28, 2009

Bagaimana kalau

Bagaimana kalau semua manusia hanya takutkan Ilahi?
Mungkin tiada manusia yang diperhamba dunia dan sesama sendiri.

Bagaimana kalau dunia ini dipenuhi manusia yang saling mengasihi?
Mungkin tiada kesempatan untuk saling iri, dengki dan membenci.

Bagaimana kalau semua lelaki menjaga pandangan?
Mungkin para wanita tiada teringin pakai baju yang mendedah-dedahkan...

Bagaimana kalau semua wanita berpakaian sopan?
Mungkin akan berkuranglah kadar rogol, zina dan bayi-bayi dipembuangan.

Bagaimana kalau semua anak muda datang memenuhi masjid?
Mungkin tiada timbul masalah mat peet dan mat rempit.

Bagaimana kalau semua anak muda datang solat berjemaah?
Mungkin masa depan agama, negara dan bangsa kita kian mencerah.

Bagaimana kalau semua anak muda mengimpikan syurga?
Mungkin generasi seterusnya juga bakal punya cita-cita yang sama.

Mustahilkah semua yang disebut tadi terjadi?
Saya yakin dengan izinNya, semua itu pasti.
Namun itulah mimpi.
Mimpi seorang pemimpi yang impiannya menggunung tinggi.
Yang akan hanya terhapus oleh sifat putus asa dirinya sendiri.
[ ... ]

Wednesday, April 30, 2008

Inikah hidup? ya, inilah hidup..


Persoalan demi persoalan
Tidak pernah putus bermain di benak hati dan fikiran
Inikah kehidupan?
Benar, inilah kehidupan!

Ku sangkakan hidup kian bahagia bila usia tua semakin menghampiri
Ku sangkakan hidup makin mudah bila tamat zaman persekolahan
Ku sangkakan tiada lagi tekanan bila masuk alam pekerjaan
Namun, jangkaan ku meleset sama sekali
Tekanan, ranjau dan duri seolah-olah semakin memenuhi ruang hidup
Makin sukar ujian, makin derita minda dan badan

Waktu berlalu, masa tidak mahu tunggu
Manusia yang lalai mencari kesenangan
Dibiar alpa
Mereka seolah-olah lupa hakikat kehidupan, lupa segala tujuan
Hidup hanya mahu puas, kenyang dan lena
Bak haiwan ternakan, yang hidup sekadar makan untuk memberi makan.

Aku bagaimana?
Mahukah aku menjadi seperti mereka
Yang menjadikan dunia bak syurga
Tidak!
Aku tidak mahu itu!
Pesanan nabi masih segar dalam fikiran
Dunia bagaikan penjara
Bagi mu'min yang sentiasa ingatkan Tuhannya

Hidupku
Biarlah dunia sekadar di tangan
Untuk aku beramal dan berjuang di dalamnya
Menegak kalimah agung
Kerana aku bimbang hari itu
Bimbang hari di mana aku perlu menjadi saksi
Kepada manusia seantero dunia
Yang rata-rata ingkar pada Engkau Ya Allah

Pada Engkau
Aku memohon, mengharap
Dijauhkan daripada segala resah
Semoga aku tidak akan undur walau selangkah
Dalam perjalanan menujuMu

Bantulah aku...

[ ... ]

Wednesday, April 9, 2008

Serangkap puisi, sepotong nasihat (1)


Manusia
Sifat manusia bermacam-macam
Walau fizikalnya hampir seragam
Orang tua pernah berkata
Hati lain-lain walaupun rambutnya sama hitam
Ada yang marahnya cepat, bertenangnya pun cepat
Ada pula yang marahnya boleh ditahan, tapi lambat pula baru boleh ditenangkan
Rasulullah pernah berkata
Yang paling buruk antara manusia
Bila marahnya cepat, namun lewat waktu baru boleh diredakan
Yang paling baik pula antara manusia
Bila marahnya boleh ditahan, dengan segera pula kembali kewarasan
Maka mulialah manusia, bila marahnya tewas pada kebijaksanaan

[ ... ]

Sunday, September 30, 2007

Janganlah kau berasa lemah!!


Wahai kawan,
Entah kenapa
Hari-hari kurasakan ada sahaja yang tak kena
Hari-hari kurasakan diri makin lemah
Hilang tanpa tujuan,
Ku perlu tunjuk arah

Mengapa bila diriku susah
Tiada siapa yang datang menyelamat
Walau diriku kian sesat?

Wahai sahabat budiman,
Janganlah kau berasa lemah
Sedang insan di sekelilingmu memerlukan kekuatan itu

Janganlah diharap pada keluargamu di hujung sana
Kerana mereka juga selalu resah

Jangan kerap mengharap walau pada rakan-rakan sebaya
Mereka juga insan biasa

Tetapi berharaplah pada dirimu sendiri
Kerana sesungguhnya
Dalam diri kerdil ini, terdapat suatu potensi
Yang mampu mengubah seluruh kebejatan yg kau benci

Namun perlu kau yakin dan tahu
Bahawa bukan mudah untuk mencapai semua itu

Dirimu sendiri perlu sentiasa kau perbaiki
Dan pohonlah bantuan Illahi
Kerana hanya Dia yang mengerti
Diri mu dan segala maksud hati

Masanya sudah tiba
Allah tidak akan mengubah dirimu
Dirimu perlu kau ubah sendiri

Berubahlah wahai kawan
Kerna pada dirimu sendiri
Ada jalan penyelesaian...
[ ... ]

Thursday, September 27, 2007

Nasihat Buat Diri Yang Leka...



Wahai Diri,
Lahirmu kerna satu tujuan
Hidupmu bukan sekadar mengecap kenikmatan
Kemanisan dunia tidakkan berkekalan
Jangan sampai kau sesat di hujung jalan.

Wahai diri,
Hari-harimu berlalu tanpa kau sedari
Bulan dan tahun silih berganti
Ramadhan, Syawal... Muharam... Ramadhan kembali
Kehidupan semakin menjauhi
Kematian pula datang mendekati

Wahai diri,
Alam dan makhluk sukar mengasihani mu
Masa turut terus meninggalkan mu
Manusia tidak akan selamanya bersama mu
Yang pasti, hanya Tuhan bisa sentiasa menemanimu

Wahai diri,
Mengapa wujud takbur dan berbangga
Sedang kau hanya satu lagi ciptaan-Nya
Yang tiada upaya
Lemah tidak bermaya

Wahai diri,
Mengapa kau masih ingkar
Berani suruhan dan larangan-Nya kau langgar
Kau nahi yang makruf, kau amar yang mungkar
Sungguh berani kuasa-Nya kau cabar
Mujur Tuhanmu Maha bersabar

Wahai diri,
Mengapa kau biar dirimu terleka
Yakinlah kau akan satu perkara
Setiap amal pasti akan dibalas-Nya
Maka kembalilah ke jalan yang sepatutnya

Wahai diri,
Buanglah ego dan sombong mu
Mintalah keampunan dari Tuhan mu
Andai selamat yang kau mahu
Di hari yang dahsyat dan tidak menentu

Wahai Tuhan, terimalah ampunanku...
[ ... ]

Thursday, July 26, 2007

Pantun Nasihat

Assalamualaikum


Alhamdulillah, selamat bertemu kembali saya ucapkan kepada sahabat pembaca sekalian.


Menjadi seorang penulis blog, menyedarkan saya tentang pelbagai perkara. Antaranya ialah bagaimana menulis mengikut kehendak pembaca yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia. Namun saya pasti akan satu perkara, kebanyakan kita memilih untuk membaca entry yang tidak terlalu panjang namun mencapai maksud.


Bagi meneruskan penulisan, suka untuk saya membawa rakan-rakan kembali menghayati bait-bait indah pantun nasihat.


Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati


Pantun ini mengemukakan dua pengajaran penting untuk kita sama-sama renungkan.

  1. Sifat merendah diri
  2. Menjaga hubungan baik sesama manusia

Tampak mudah, namun sejauh manakah kita mengamalkannya? Merendah diri merupakan suatu sifat mulia yang sepatutnya setiap manusia miliki. Manusia merupakan salah satu daripada jutaan makhluk Tuhan. Makhluk Tuhan meliputi segala yang wujud di alam semesta ini, baik sebesar-besar galaksi, mahupun sekecil-kecil semut. Namun yang menghairankan, manusialah antara makhluk Tuhan yang paling angkuh.

Renungilah firman Allah dalam surah Luqman : 18


18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.



Seterusnya ialah kepentingan menjaga hubungan baik sesama manusia. Sukar untuk kita sama-sama bayangkan keadaan kita pabila dibiarkan keseorangan dalam suatu tempat yang tiada manusia lain tinggal di dalamnya. Sudah sunnahNya menentukan kita perlu hidup saling bantu-membantu. Jangan sesekali rasa bakhil untuk berkorban sedikit bagi kesenangan orang lain. Sebaik-baik bantuan untuk sahabat lain pula ialah dengan memberikan peringatan agar kita sama-sama hidup dalam keadaan terpandu. Bukan sekadar hidup untuk menghabiskan saki-baki usia yang dikurniakan kepada kita.


Sebagai penutup, renungi pula petikan pantun yang seterusnya:


Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga


Semoga sedikit peringatan ini untuk kita sama-sama amalkan.


Ke arah menjana pemikiran belia kritis, tindakan berkesan


[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB