Showing posts with label Rohani. Show all posts
Showing posts with label Rohani. Show all posts

Thursday, September 2, 2010

Taraweh

Hari ini, seorang Arab dijemput menjadi Imam Taraweh di Masjid Paka tempat di mana saya biasa solat fardhu.

"Fadhlan minallahi wan ni'mah" tidak kedengaran usai 2 rakaat pertama solat Taraweh. Orang di sekeliling saya kebingungan bila imam terus bangkit untuk menyudahkan 2 rakaat yang seterusnya. Saya sendiri berasa kekok.

Semasa di New Zealand, itu fenomena biasa. Bila diselidiki, memang tidak dijumpai nas yang kuat membicarakan perihal berselawat bagi mengisi sela masa antara 2 solat taraweh. Ia merupakan inisiatif orang Malaysia mungkin untuk menyempurnakan sunnah berehat sebentar antara 2 solat dengan diisi alunan zikir serta selawat kepada junjungan mulia Muhammad S.A.W.

Salahkah berbuat demikian? Wallahua'lam..

[ ... ]

Tuesday, April 6, 2010

Comfortable

Why do some people work hard from one day to another?
Why do people venture into big businesses?
What are we expecting when buying a decent building to be owned as our home?

If we think deeply about it, the different guessing that we have is actually rooted from a single reason. So that we can live more comfortably.

Once we have the experience of living in a very comfortable condition, most of us will rather fight than letting that "feeling" go. Hence, you will always find people who are already rich, will work their way to become richer.

I have no problem with this. In fact, if being rich can bring us closer to Allah, some scholars said we should not let it go.

There are some cases where people are willing to let go of all their wealth because they just experienced their spiritual awakening and straight away thought that becoming less rich is more favourable by The Almighty (the act of becoming a Zuhud person). This is not particularly true.

Ibn Taimiyah once said, Zuhud is the act of letting go things that does not bring us any benefit in the hereafter. While those that benefit us, should be sustained as much as possible. Experience tells us that usually, these things are not in our favor. For example, we can be a billionaire. No problem. But, those wealth that we have should not be kept for our usage only. It should be spent for the benefit of others and more holy if this is done in the name of Allah and Islam.

Hence, it is our call now. As human, we are not who we think we are, but we are who we choose to be. If we choose to live a life of comfort, we could probably die as a mediocre homosapien that does not contribute to the betterment of this world. However, if we choose to live a life of sincere contribution, the reward that is waiting for us is tremendous.

Let us have more understanding and faith about the unseen future so that we will not suffer then.

Qul Aamantu billah, thum mastaqim..


[ ... ]

Saturday, August 8, 2009

Fitrah yang payah


Raihan - Kita Hamba - Raihan

Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri. (ar-Ra'd:11)


No man can sincerely try to help another without helping himself (Ralph Waldo Emerson)


Menghadapi perubahan fasa hidup merupakan sesuatu yang agak menyakitkan. Semasa kanak-kanak, kita tidak perlu fikir dan mungkin tidak faham pun apa itu tanggung jawab. Bahkan kita terbebas dari sebarang dosa. Namun didikan yang kita terima pada waktu itu sangat penting untuk menentukan keadaan kita bila telah dewasa.


Bila masuk sahaja usia akil baligh, maka kita tidak boleh bersikap sepertimana seorang kanak-kanak yang innocent lagi. Pada waktu ini, kita akan terdedah kepada 1001 macam pilihan yang sama ada akan membawa kita ke daerah penuh kebahagiaan atau ke lembah penuh kemusnahan.


Sekiranya betul cara kita dididik semasa kecil, maka mudahlah kita mencari jalan bahagia. Namun mudah juga untuk tergelincir daripadanya. Sebaliknya pula yang berlaku kepada mereka yang menerima didikan salah atau sesat semasa kecil. Jalan bahagia yang saya maksudkan ialah jalan fitrah Tauhid kepada Allah.


APA YANG PAYAH?

Bila menyebut fitrah, kita membayangkan sesuatu yang mudah kita terima. Sebagai contoh, fitrah manusia adalah perlu makan dan minum untuk terus hidup. Maka, manusia tidak perlu buat kajian hingga ke tahap PHD untuk membuktikan hal ini. Sejak lahir lagi kita sudah tahu. Contoh lain, bila berinteraksi, kita suka bila berhadapan dengan seorang yang manis wajahnya, murah dengan senyuman dan sopan tutur katanya. Itu fitrah manusia yang suka pada kelembutan. Biarlah dia seorang general perang sekalipun.


Namun ada satu fitrah yang sukar kita faham dan sukar kita ikut. Di alam pekerjaan, pekerja baru atau orang-orang bawahan hormat pada bos masing-masing kerana pangkatnya yang lebih tinggi. Hormat juga kerana pengetahuan dan keperibadian mereka yang lebih baik. Ini juga fitrah manusia. Dia akan patuh kepada kuasa yang berada di atasnya selagi mana kuasa itu masih layak dihormati dan diberi taat setia.


Di kala manusia berebut-rebut menunjukkan taat setia kepada raja, perdana menteri, CEO, ketua-ketua jabatan, pengurus-pengurus ataupun para penyelia, mereka terlupa untuk tunduk setia secara total kepada Tuhan mereka.


Tuntutan tunduk patuh kepada Allah adalah satu fitrah, namun pada saya ia sangat sukar dicapai. Mereka yang tidak percaya terus akan kewujudan Tuhan sudah tentu menolak mentah-mentah idea ini. Mereka sanggup menghamba diri kepada nafsu, manusia serta sains daripada meletakkan daya usaha ke arah mencari kebenaran Pencipta. Oleh itu, saya suka untuk kita kecilkan skop perbincangan kepada fenomena yang berlaku di kalangan umat Islam sahaja. (Payah sikit nak bincang dari sudut orang atheist atau agnostic ni. Ego depa tinggi sangat!)


Umat Islam percaya akan kewujudan Allah. Namun keyakinan dan pemahaman mereka terhadap konsep ketuhanan ini tidak cukup konkrit. Ramai orang Islam yang hanya bersangka-sangka sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk syurga kerana sudah percaya kepada Allah. Mereka sangka dosa-dosa pula akan terampun sejurus melakukan solat biar tidak beserta khusyuk pun. Kepercayaan yang tidak kuat inilah yang sedikit-sedikit menarik kita daripada ketaatan dan mendekatkan kita dengan maksiat.


TUNDUK PATUH SEPENUHNYA

Memang sukar untuk mencapai tahap ini dalam keadaan kita yang tidak mampu melihat Allah dan tidak duduk bersama-sama Rasulullah. Beriman atas perasaan dan ikut-ikut oranglah yang membuat umat Islam losers dari zaman kejatuhan Islam sampai sekarang. Kita perlu menghambakan diri sepenuhnya hanya kepada Allah untuk mencapai fitrah yang payah namun paling penting ini.


Sukar untuk kita menghambakan diri selagi kita tidak merasa diri kita kecil. Susah untuk tunduk selagi kita tidak sedar yang kita lemah. Susah untuk patuh selagi kita tidak tahu yang kita memerlukan. Semua kesedaran ini hanya akan wujud bila kita ada ilmu. Ilmu yang kita boleh perolehi tanpa perlu ke university. Ilmu yang boleh diperoleh bila merenung alam, membaca al-Quran dan al-Sunnah (dalam keadaan beriman penuh kepada kebenaranNya), bersama mereka yang soleh, membaca hasil tulisan mereka yang terbukti imannya dan lain-lain.


Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang mencipta manusia dari segumpal darah (al-'Alaq: 1-2)


Namun bila benar-benar sudah menerima fitrah keTauhidan Allah ini, maka segala masalah kita akan selesai dengan mudah. Sukar. Memang sangat sukar untuk mencapainya.


Saya masih berusaha ke arahnya. Anda bila lagi?

[ ... ]

Sunday, July 20, 2008

Mati, menghidupkan hati

Memang benar, begitu sukarnya menempuhi cabaran mendidik hati. Suatu konklusi yang lahir atas usaha saya mencuba untuk terus menyucikan segala yang terkandung di dalam hati kecil lagi hina ini. Mengapa penting untuk saya memastikan hati ini suci?

Saranan ini lahir daripada hadis Rasulullah dan beberapa insiden yang telah berlaku sepanjang hidup saya di New Zealand.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda."Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati"

Jika para sahabat masih igt, saya pernah menulis mengenai hati sebelum ini. Sila klik di sini untuk ke artikel tersebut. Dalam entry kali ini, saya berhasrat membawa anda semua dalam suatu perjalanan sukar yang diikuti mereka yang membenarkan Allah sebagai pencipta dengan sungguh-sungguhnya.

Ingatlah Mati, Akan Tunduklah Hati

Saya pasti anda faham pernyataan di atas. Mati bukanlah suatu dongengan orang terdahulu. Setiap kita yakin akan hadirnya mati pada masa yang telah ditetapkan. Tiada satu pun kuasa di dunia yang dapat mengelak daripadanya.

Mengingati mati membolehkan kita insaf akan segala perbuatan kita di dunia. Janganlah kita angankan hidup yang masih panjang kerana esok atau lusa malaikat maut mungkin bakal singgah di hadapan pintu. Singgah menjemput anda kembali bersamanya menemui Allah.

Wahai jiwa-jiwa yang masih hidup, ingatlah mati! Yakinilah hakikat ini. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Seluruh dunia dan segala isinya tidak dapat mengembalikan manusia yang sudah ditakdirkan kembali. Seandainya getaran mula wujud dalam diri, itu merupakan petanda baik bahawa hati anda sudah bersedia untuk dididik agar dekat ia dengan Tuan Empunya diri kita.

Pernah pada satu ketika, para sahabat bertanya kepada Uthman.

"Wahai Utsman, mengapa bila diceritakan kepada kamu tentang hari akhirat, syurga atau neraka, seolah-olah tiada kesan kepada dirimu? Namun, bila kamu mendengar tentang perihal kubur dan siksaannya, kamu akan menangis kenisafan?"

Lalu Uthman R.A menjawab

"Alam kubur merupakan permulaan kepada hari akhirat. Jika baik alam kuburmu, maka apa yang menanti di akhirat akan menjadi lebih baik. Jika buruk alam kuburmu, maka apa yang menanti akhirat adalah jauh lebih buruk"

Mari kita tonton sebuah video yang menggambarkan perihal mati. Semoga kita sama-sama dapat menginsafi akan hakikat ini. (SAYA BENAR2 BERHARAP ANDA MENONTONNYA). Seandainya tontonan video ini diiringi oleh tangisan, maka itu lebih baik.

Sahabat sekalian,

Sekarang mungkin kita menangis menginsafi diri. Namun, selama mana hati-hati kita akan kekal insaf dan beriman? Mungkin ia bertahan selama satu kerdipan mata sahaja. Menjadi tanggung jawab kita kini memastikan ia terus segar dalam iman. Memastikan kita terus istiqamah.

Ingatlah mati sentiasa. Mengingatinya sahaja sudah cukup menjamin orang yang berakal terdorong untuk memperbaiki rupa paras dan ketinggian diri daripada perbuatan murahan a.k.a MAKSIAT. Keyakinan terhadap kematian merupakan hakikat yang pasti membawa manusia berputus asa daripada melakukan perkara jahat. Bahkan ia akan menolak hati manusia agar segera mencapai semua kebaikan selagi mampu.

wallahua'lam

[ ... ]

Saturday, March 15, 2008

_ _ _ _

Assalamualaikum

Kadang-kadang saya rasa terleka dengan apa yang saya lalui seharian. Apa yang kita hadapi setiap hari sepatutnya mendekatkan kita kepada suatu kejayaan hakiki. Namun pada hakikatnya, saya sendiri masih mencari-cari di manakah kejayaan hakiki itu dapat saya temui. Segalanya kabur, berterabur dan tidak dapat saya susun untuk menjadi sesuatu yang konkrit. Manusia memerlukan

Sahabat sekalian,

Suka untuk saya bercerita tentang salah satu organ manusia, yang kompleks penciptaannya, istimewa fungsinya dan penting peranannya untuk kita. Tidak disangkal kepentingannya hingga disebut dalam salah satu hadis Rasulullah yang berbunyi:

"Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ia adalah _ _ _ _"


Saya pasti anda tahu apakah huruf-huruf yang perlu diisikan dalam setiap tempat kosong itu. _ _ _ _ pada saya bukan sekadar seketul daging. Antara lain, organ inilah yang bertanggung jawab membawa manusia terus kepada hidayah Allah atau menyeret manusia ke lembah kehinaan. Berbeza dengan mulut, _ _ _ _ dapat mempengaruhi seluruh anggota lain untuk bertindak mengikut prinsip yang telah ditanam, atau sekadar "follow the flow".

Pada zahirnya, manusia semuanya kelihatan sama. Setiap insan yang cukup sifatnya (ada 2 kaki, 2 mata, 1 hidung,1 mulut, 2 tangan dan seterusnya) boleh mempunyai perwatakan berbeza-beza kerana apa yang tertanam di dalam _ _ _ _.

Seandainya perbuatan kita sehari-hari dipandu oleh _ _ _ _ yang dikelolai nafsu, maka hasilnya ialah perwatakan dan perlakuan yang kurang manis. Andainya pula _ _ _ _ dikelolai iman yang terhasil daripada tunduknya akal kepada wahyu, maka akan terhasil suatu peribadi terpuji daripada manusia tersebut. Umat islam secara umumnya, tidak boleh membiarkan diri ditakluk _ _ _ _ yang bergelumang nafsu kerana sudah jelas wahyu disampaikan oleh Allah melalui pesuruhNya dan kini sudah pula dimashafkan untuk menjadi pengajaran dan pedoman hidup. Sudah terang amaran yang diberikan oleh Allah.

"dan yang menyampaikan wahyu. Untuk menolak alasan atau memberi peringatan. Sungguh, apa yang dijanjikan kepadamu pasti terjadi." al-Mursalat:5-7
Sahabat sekalian,
Ada manusia yang hidup selesa, senang-lenang. Ada pula yang terpaksa mengharungi pelbagai penderitaan. Tiada lain yang boleh disalahkan melainkan manusia-manusia yang pada _ _ _ _ nya menghidap pelbagai "penyakit". Penyakit hasad, dengki, mementingkan diri sendiri, ego, hipokrit dan sebagainya.

Organ yang cuba maksudkan itu ialah H A T I ..

Sungguh, hanya Dialah yang mengetahui.

Sebelum mengakhiri, ingin saya berkongsi suatu video. Semoga ia bermanfaat untuk semua.



InsyaAllah, saya akan kembali bercerita tentang _ _ _ _ seandainya masih diizinkan.

[ ... ]

Saturday, September 8, 2007

Welcome my special guest...




assalamualaikum..

Sambil membaca entry saya pada kali ini, marilah kita sama-sama mendengarkan lagu Ramadhan dalam bahasa arab. Saya minta mana-mana sahabat yang dapat terjemahan kepada lagu ini untuk berkongsi dengan saya dan seterusnya akan saya kongsikan dengan semua sahabat pembaca.



Hari ini, 26 shaaban 1428 menandakan semakin hampirnya kita dengan ramadhan, bulan penuh barakah, penuh rahmat, kaya dengan kebaikan, miskin dengan kejahatan, tersangat istimewa dan sebagainya. Ia juga merupakan suatu bulan yang punyai satu hari yang bersamaan dengan seribu bulan. Ramadhan merupakan hari di mana umat islam seluruhnya diwajibkan berpuasa pada siang hari dan di malamnya pula Allah kurniakan pelbagai peluang beribadah seperti solat tarawih dan qiamullail. Bulan yang mana terikatnya syaitan-syaitan durjana.

Saya pasti kenyataan-kenyataan di atas tidak asing lagi kepada sahabat pembaca sekalian. Itulah yang kita dengar setiap kali berkunjungnya Ramadhan setiap tahun. Namun, seramai mana antara kita yang mengambil apa yang ada di sebalik setiap kelebihan yang telah Allah kurniakan itu?

Cuba bayangkan satu situasi. Ketika kecil ataupun pada usia remaja, ramai antara kita akan diupah oleh ibu dan ayah untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti membersihkan halaman, membasuh kereta, mengecat rumah dan sebagainya. Tujuan mereka mengupah, bukanlah atas sebab menambahkan perbelanjaan kita. Namun, tujuan asal mereka adalah bagi melatih anak-anak mereka melakukan kerja-kerja itu. Latihan itu kemudiannya akan membentuk karakter positif seperti bersungguh-sungguh dan sabar. Mungkin ada yang diupah atas sebab-sebab lain. Tetapi pada saya, mengupah atas tujuan selain dari melatih anak-anak, akan sekadar menyiapkan kerja-kerja itu tanpa ada kesan pada anak itu sendiri. Bahkan, mungkin negatif pula sikapnya pabila diminta melakukan tugasan.

Sahabat sekalian,
Kelebihan-kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita pada bulan Ramadhan ini, bukan sekadar untuk menambahkan simpanan pahala buat bekalan kita di suatu hari yang dahsyat kelak. Namun, tidak kurang pentingnya juga, Allah mahu melatih kita menjadi individu yang punyai karakter-karektor seorang muslim sejati. Seorang muslim sejati bukanlah mereka yang hanya duduk di masjid, banyak membaca Quran dan sebagainya. Muslim bererti seorang yang tunduk patuh pada ajaran Allah iaitu Islam. Pada tahap ini, saya harap rakan-rakan sudah mengerti bahawa islam itu lebih daripada aktiviti ritual semata-mata.

Manusia ini terdiri daripada 2 unsur asas iaitu jasad atau fizikal dan roh. Kebanyakan manusia hanya memenuhi tuntutan fizikal mereka tanpa menghiraukan apa yang berlaku pada roh itu. Roh itu dibiarkan kosong sehingga dibiar mati walau pada zahirnya, manusia ini masih hidup. Sedikit pembacaan, telah membawa saya kepada beberapa konklusi tentang kehidupan manusia yang akan saya ceritakan sebentar lagi.

Sahabat sekalian,
Saya sering bertanya kepada sebahagian sahabat, apakah perbezaan antara Karekter dan Personaliti seorang manusia. Antara jawapan-jawapan mereka ialah:
  1. Sama sahaja
  2. Karakter ialah sifat manusia, personaliti ialah perbuatan.
  3. Karakter menunjukkan akhlak, personaliti ialah apa yang timbul drpd akhlak itu.
  4. dan sebagainya
Namun mengikut kefahaman saya sendiri, secara mudahnya "character is what you are while personality is what you do and say." Konklusi ini lahir daripada buku The 7 habits of highly effective people tulisan Stephen R Covey yang saya sedang berusaha untuk menghabiskannya =) . Karakter adalah akhlak atau peribadi anda manakala personaliti adalah perkara-perkara seperti kemahiran berkomunikasi, ketrampilan, gaya pemakaian dan sebagainya. Stephen turut menyatakan kejayaan sebenar hanya akan lahir dengan mempunyai karakter berkualiti, bukan personaliti. Personaliti itu boleh dibuat-buat manakala karakter perlu kepada latihan dalaman, kesedaran rohani. Dalam erti kata lain, bagi membentuk karakter, kita perlu kepada pengisian rohani.

Perkara ini tidak bercanggah sama sekali dengan apa yang disarankan oleh Islam. Islam sangat-sangat melarang sifat hipokrit dan cakap tak serupa bikin. Firman Allah dalam surah As-Saff ayat 2 & 3.

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Dapat kita lihat bahawa, betapa Islam menekankan kita mengamalkan apa yang kita perkatakan. Membentuk seorang manusia berjaya, akan hanya lahir daripada dalaman yang mantap. Luaran tidak membawa apa-apa harga tanpa dalaman yang cantik.

Bersyukurlah sahabat sekalian dengan Ramadhan yang Allah kurniakan. Yang Maha Pengasih memberi kita peluang membentuk akhlak dan iman secara intensif bagi membolehkan kita mencapai kejayaan yang sebenarnya pada bulan ini. Kelemahan umat Islam secara keseluruhannya akan dapat dicapai apabila masing-masing punyai karakter sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mengambil peluang ketika Ramadhan ini untuk melatih dan mengisi rohani agar dipenuhi cahaya iman dan islam. Cahaya iman dan islam ini yang akan seterusnya membentuk individu sehebat para sahabat dan tabi'en yang telah membuktikan pada Pencipta kita bahawa hidup mereka adalah sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-An'am: 162

162. Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Ramadhan kali ini akan membentuk individu-individu yang membolehkan Islam kembali menguasai alam sejagat sejagat sepertimana gemilangnya ia pada zaman Rasulullah sehinggalah sebelum kejatuhan khilafah yang terakhir.

Welcome my special guest. Welcome Ramadhan...

wassalam


[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB