Manusia dan unsur-unsurnya
Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya diberi peluang menikmati ramadhan kali ini. Setiap kali ramadhan, Allah mengurniakan pada saya suatu kurniaan yang mahal harganya. Allah curahkan buat hamba ini perasaan ingin merenung kembali hakikat hidup yang serba kompleks, serba celaru.
Hidup manusia yang semakin pantas disibukkan oleh urusan-urusan material membuatkan kita mengabaikan tanggungjawab pada ruh. Kita seakan-akan melupakan elemen kita yang satu itu. Sekadar peringatan buat semua, secara kasar manusia punyai 4 elemen yang membentuknya:
- Tubuh fizikal
- Ruh
- Akal
- Hati
Selama ini, hanya tubuh fizikal dan akal yang mendapat perhatian kita. Segala kudrat kita curahkan demi memastikan kedua-dua elemen ini sempurna perkembangannya. Tetapi, bagaimana pula dengan ruh dan hati? Sedangkan ruh dan hatilah yang memberi maksud kepada kehidupan manusia di dunia. Tanpa keduanya, manusia seolah-olah hidup tanpa tujuan, mati tiada penilaian. Maka terus-menerus manusia rakus mengejar apa yang ada di dunia kerna beranggapan bahawa hidup sekadar terbatas pada 60 - 70 tahun usia dan kemudiannya diakhiri noktah tanpa sambungan.
Sekiranya manusia gagal merenung akan perihal ini, saya bimbang semakin ramai yang akan menjauhi Tuhannya. Semakin ramai pula yang tertekan hidupnya. Maka tidak hairanlah, semakin tidak bahagia hayat ini jadinya. Hidup manusia hanya akan bahagia bila ia dijalani kena dengan tujuannya.
Secara umum, untuk yang muslim atau bukan sekalipun, hidup tanpa penghayatan ruhiyah boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam kekosongan yang berpanjangan. Mahatma Gandhi contohnya, pernah mengakui bahawa hampir-hampir sahaja beliau gila tatkala sibuk melengkapkan agenda memerdekakan India jika tiada agama yang menyokong unsur ruhiy miliknya.
Program Pengisian Rohani
Umat Islam, umat bertuah. Bukan sahaja menerima janji-janji Allah untuk kebahagian akhirat, malahan turut menerima kebahagiaan dunia. Islam sungguh mementingkan penyucian ruh sepertimana firman Allah dalam surah at-Taubah: 108
Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.
Program pengisian rohani disusun dengan cantik oleh Allah. Program sedemikian mengambil tempat secara harian, mingguan dan tahunan.
Harian, umat Islam difardhukan solat 5 waktu bagi membolehkan jiwa-jiwa manusia dibersihkan setelah mengharungi hidup yang terkandung pelbagai kekotoran.
Mingguan pula, Allah menghadiahkan solat Jumaat buat kita. Di dalamnya terhimpun pelbagai amalan fardhu dan sunat. Sekiranya manusia ikhlas menghayati satu demi satu amalan tersebut, sudah pasti ruhnya semakin mendekati Tuhan.
Tahunan pula, Allah mengurniakan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Segala kebaikan terkumpul di sini. Hadirnya bulan ini seumpama suatu peluang yang besar diberikan pada manusia. Secara ringkas, antara kebaikan yang telah Allah janjikan buat mereka yang ikhlas mengharungi Ramadhan ialah:
- Keampunan Allah untuk segala dosa yang lalu.
- Membebaskan manusia dari api neraka.
- Doa termakbul.
- Kurniaan berupa "surprise" yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.
- Malam lailatul-Qadr
- Mendapat keredhaan Allah.
Saya pasti, anda biasa dengan kelebihan2 ramadhan yang telah saya senaraikan. Tetapi sejauh mana kita mengambil serius akan kewujudannya? Mereka yang tidak yakin akan janji Allah seumpama mereka yang sangsi dengan kekuasaan Allah. Inilah penyakit utama umat Islam alaf baru, iaitu bila akidahnya sudah tidak sesuci yang Allah inginkan. Mari menuju salimul 'aqidah (kesejahteraan akidah) di ramadhan kali ini.
Wallahua'lam
0 comments: