Dangkal
Sudah berhabuk, bersarang lelabah nampaknya laman blog ini.Kebelakangan ini, saya banyak berfikir. Saya merantau ke sana ke mari demi menyebarkan dakwah Islam dan menyeru manusia agar mencari erti hidup. Pada masa yang sama, saya sendiri merasa buntu melihatkan hidup saya yang tampaknya tidaklah terlalu bererti.
Sepertimana manusia lain, saya mahu berjaya. Saya baca pelbagai buku motivasi. Banyak nasihat berguna yang boleh saya amalkan. Namun satu pun tidak dapat saya praktikkan.
Suka saya mulakan dengan saranan daripada buku-buku tersebut yang menyatakan, untuk berjaya seseorang perlu ada matlamat. Tidak cukup sekadar mengangankannya, anda malahan perlu menulisnya dan letakkan ia ditempat yang mudah dilihat.
Hmm, matlamat.
Matlamat bertulis..
MAtlamaaat...
Sebagai jalan mudah, tuliskan saja matlamat hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah. Namun apakah anda boleh mengukur andai kiranya matlamat itu berjaya anda capai? Jika ya, bagaimana anda ukur? Kongsikan dengan saya jika boleh..
Saya buntu. Dunia terumbang-ambing, neraca akhirat pun tidaklah terlalu cemerlang. Mungkin punca kebuntuan ini kerana dangkalnya pengetahuan saya tentang banyak perkara.
Dangkal pengetahuan agama. Kenal Allah? Sedikit sekali.
Dangkal pengetahuan am. Apa yang berlaku dalam Malaysia pun tidak saya fahami.
Dangkal pengetahuan tentang kerja. Bagaikan hanya melakukan rutin harian.
Dangkal pengetahuan erti hidup. Majoritinya, hidup seakan-akan hanya untuk makan, tidur dan bersenang-senang sahaja.
Ada tokoh yang mengatakan, mimpi hanya boleh dicapai jika kita mempunyainya.
Apakah mimpi saya? Saya sendiri tidak pasti.
Semoga Allah menunjukkan jalan yang benar buat saya menjadi insan yang lebih cemerlang. Biar berduri, saya rela. Doakan saya tabah.
Ya Allah, aku pohon padamu satu mimpi!
3 comments:
kdg2 merasakan yg sama..entry kali ini buat ana berfikir jauh juga...jzkk!
Pada saat kita berhenti berfikir, hidup kita waktu tu seolah2 tiada bernilai...
alhamdulillah...kalau masih mampu berfikir dan muhasabah, maknanya nadi iman masih kuat berdenyut. derasnya bergantung pada respond kefahaman/ilmu/kehendak hidup....cintaNya masih bertasbih.