Bukan susah kalau nak susah. Duduk je, tak payah susah-susah.
Bukan senang nak senang. Kalau duduk je, memang takkan senang.
Kisah Ibrahim Adham
Ibrahim Adham merupakan seorang raja di zaman kemuncak pemerintahan Islam. Baginda hidup mewah di istananya.
Pada suatu hari, sedang baginda enak lena di atas katilnya yang empuk, beginda terdengar bunyi bising di atas siling istananya. Lalu baginda bertanya dengan berang,
"Siapa gerangan kamu yang membuat bising di atas siling istanaku?"
Lalu jawab manusia di atas siling itu,
"Aku seorang pengembala kambing. Aku sedang mencari kambingku yang hilang di atas istana mu ini,"
Ibrahim Adham berasa sungguh pelik dan dengan wajah yang semakin bengis, baginda berkata,
"Pelik sungguh, bagaimana boleh kamu cari kambing mu di atas siling istanaku? Langsung tidak masuk akal!"
Maka jawab si pegembala kambing,
"Begitulah juga dirimu wahai Ibrahim. Bagaimana kamu boleh menemui keredhaan Allah dengan hanya duduk bersenang-lenang di istanamu?Langsung tidak masuk akal!"
Ibrahim Adham lalu tersentak dan baginda sedar perbualannya tadi adalah suatu mimpi yang memberi suatu makna cukup mendalam.
Memang takkan pernah terjadi, orang mendapat kesenangan tanpa perlu bersusah payah pada awalnya. Sedang kehidupan duniawi memerlukan kita memerah segala usaha dan tenaga untuk mencapai keselesaan hidup. Takkan lah harga syurga lebih murah dari itu?
Saya ada dua persoalan yang saling berkait untuk para pembaca.
1. Berapa ramai di kalangan kita yang mahu menjadi manusia lebih baik atau yang terbaik?
2. Dalam ramai-ramai itu pula, berapa orang yang berjaya mencapainya?
Secara peribadi, saya sendiri mahu menjadi manusia yang lebih baik. Jujurnya saya juga masih belum berjaya mencapainya. Mungkin pernah saya jadi lebih baik, tapi ia tidak kekal lama.
Mungkin ada pembaca yang masih ingat janji saya untuk perturunkan mimpi-mimpi yang terbaik untuk saya jadikan arah tuju dan capai. Saya rasa, menjadi yang terbaik adalah kuncinya. Menjadi muslim terbaik, anak terbaik, pekerja terbaik, melayu terbaik dan segalanya yang baik-baik. Itu gambaran kasar sahaja. Wajah konkrit mimpi ini, belum dapat saya bayangkan lagi.
Setiap mimpi ini, dari jauh nampaknya sangat sukar dicapai. Tapi semuanya adalah "capai-able" seandainya bertepatan dengan ikhtiar kita. Kalau usaha kita main-main, hasilnya mimpi kita akan jadi permainan semata. Andai serius dan sistematik perancangan kita, maka sudah pasti Allah akan menyebelahi kita dalam menzahirkan mimpi itu. Setuju?
Jadi bagi memulakan jalan "menuju puncak" ini, mari kita praktikkan satu perkara iaitu...
Beristiqamahlah meningkatkan diri dengan kadar yang sedikit
Walau sebesar mana pun suatu kerja itu, pasti akan jadi lebih mudah seandainya dipecahkan kepada komponen yang kecil. Buktinya:
a. KLCC dibina secara berdikit-dikit hingga akhirnya tegak tinggi berdiri.
b. Dato' Lee Chong Wei tidak jadi hebat dalam badminton secara tiba-tiba. Malah, dia berusaha setiap hari untuk jadi hebat.
c. PETRONAS tidak terus bermula besar. Ia malah pernah diperkecilkan oleh gergasi minyak lain. Hari ini, gergasi-gergasi minyak itu pula yang semakin takut dengan kelibat jaguh lincah ini.
d. Muhammad al-Fatih dilatih menjadi raja terhebat semenjak berusia sangat kecil. Baginda asalnya seorang anak yang sangat nakal dan pernah disebat oleh guru baginda. Sultan ini dilentur sedikit demi sedikit agar berjaya dibentuk mengikut acuan sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai "Raja yang terbaik dan mempunyai tentera terbaik untuk membebaskan kota Contsantinople".
Kesimpulannya, MIMPI BIAR BESAR, USAHA BIAR SEDIKIT TETAPI BERTERUSAN.
Seorang yang optimis sering juga dikenali sebagai manusia yang kuat bermimpi. Sifat relistik lah yang menjadi musuh ketat si optimis ini. Namun, saya tidak bermaksud menyebelahi mana-mana. Malahan kedua sifat ini tidak sempurna jika hanya wujud sendirian.
Sifat optimis yang keterlaluan akan menyebabkan seseorang kuat berangan-angan. Ini akhirnya tidak membawa kepada apa-apa hasil kerana dia sendiri tahu bahawa semua yang diimpikannya sekadar duduk in his dreams.
Sifat realistik yang keterlaluan juga menjadi punca kepada pelbagai masalah. Orang seumpama ini tidak menaruh harapan pada kejayaan dan hanya nampak titik kelemahan sahaja atas sesuatu perkara. Hasilnya, dia akan terus bersifat rendah diri dan redha menjadi manusia yang tewas sampai bila-bila!
Jadi, bagaimana untuk mengimbangkan kedua-dua sifat ini? Perlu kepada pecahan 50% optimistik dan selebihnya realistik kah?
Secara peribadi, saya berpendapat peratusan keperluan kedua-dua sifat ini akan berubah mengikut keadaan dan masa. Sementara masih muda ini, biarlah sifat optimistik yang menjadi majoriti. Bukan apa, pada usia mudalah kita punya cukup tenaga untuk meraih impian-impian yang tinggi menggunung tetapi achievable mengikut keupayaan masing-masing.
Kalau ditanya pada saya, saya sendiri sukar menentukan apakah bentuk impian yang boleh dicapai oleh tulang 4 kerat ini. Sehingga ke hari ini saya masih mencari-cari, apakah agaknya mimpi yang selayaknya saya ada? Teori-teori banyak tertulis dalam buku-buku motivasi. Tetapi bila masuk bab mengaplikasikan teori, saya sendiri tumbang tewas.
Bila sudah dapat formulanya nanti, akan saya kongsikan dengan semua insyaAllah.
Bagaimana kalau semua manusia hanya takutkan Ilahi? Mungkin tiada manusia yang diperhamba dunia dan sesama sendiri.
Bagaimana kalau dunia ini dipenuhi manusia yang saling mengasihi? Mungkin tiada kesempatan untuk saling iri, dengki dan membenci.
Bagaimana kalau semua lelaki menjaga pandangan? Mungkin para wanita tiada teringin pakai baju yang mendedah-dedahkan...
Bagaimana kalau semua wanita berpakaian sopan? Mungkin akan berkuranglah kadar rogol, zina dan bayi-bayi dipembuangan.
Bagaimana kalau semua anak muda datang memenuhi masjid? Mungkin tiada timbul masalah mat peet dan mat rempit.
Bagaimana kalau semua anak muda datang solat berjemaah? Mungkin masa depan agama, negara dan bangsa kita kian mencerah.
Bagaimana kalau semua anak muda mengimpikan syurga? Mungkin generasi seterusnya juga bakal punya cita-cita yang sama.
Mustahilkah semua yang disebut tadi terjadi? Saya yakin dengan izinNya, semua itu pasti. Namun itulah mimpi. Mimpi seorang pemimpi yang impiannya menggunung tinggi. Yang akan hanya terhapus oleh sifat putus asa dirinya sendiri.
Di mana perginya hasil tulisan saya? Blog ini seakan-akan sudah keruh dimamah masa dek kerana penulisnya yang sangat malas menabur luahan buah fikiran dan hati. Saya seakan-akan hilang segala ilham untuk menulis. Doakan agar timbul kembali kesedaran dalam diri saya untuk kembali menabur jasa melalui medium ini.
Oh ya, saya ingin mengucapkan ribuan jika tidak jutaan terima kasih buat semua sahabat yang meraikan kedatangan saya ke New Zealand sempena menghadiri majlis konvokasi. Saya amat gembira kerana diberi peluang bertemu muka-muka baru yang menyemarakkan semangat kaum muda di sana. Kaum muda yang saya yakin bakal menjadi paksi kepada kebenaran yang tegas menolak segala kebathilan.
Kalaulah manusia hanya dinilai pada jasadnya sahaja, maka kita mungkin boleh dibeli dengan beberapa ratus ringgit sahaja. Apa tidaknya, kita masing-masing terdiri daripada unsur-unsur biasa yang terdapat di atas bumi. Kita bukan diciptakan daripada berlian mahupun emas. Malah, sebahagian besar tubuh kita ini hanya terdiri daripada unsur air sahaja.
Maka, apa yang menyebabkan kita ini lebih berharga daripada emas dan permata adalah kemampuan kita melakukan sesuatu. Lebih besar jasa kita kepada manusia dan alam sejagat, maka lebih mahallah harga kita.
Harta yang paling bernilai adalah harta yang hanya mampu dimiliki oleh segolongan manusia yang benar-benar berada sahaja. Sebaliknya, barangan yang murahan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dan kalau dibuang-buang pun tiada siapa yang peduli.
Manusia yang bernilai adalah mereka yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa dengan apa-apa sekalipun. Contoh sudah jelas ditunjukkan pada kita melalui teladan hidup Rasulullah dan para sahabat.
Mereka yang dengan mudah dibeli oleh wang, wanita (atau lelaki) mahupun pangkat seumpama barangan murah yang dijual dengan diskaun 70% pula. Barangan ini dibeli sekadar untuk menghabiskan wang syiling yang memberatkan poket.
Apakah anda manusia bak permata berharga lebih mahal daripada bumi dan segala isinya atau semurah pakaian di kedai bundle yang boleh dijual pada harga 3 helai untuk RM10?
Suka untuk saya berkongsi sebuah kisah pendek daripada novel yang baru saya selesaikan pagi tadi. Sebuah kisah yang moga-moga dapat menaikkan semangat dan memimpin rohani kita untuk menjadi manusia lebih cemerlang.
Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor singa betina yang bakal melahirkan anaknya di sebuah kawasan lapang, di dalam hutan. Selepas melahirkan anak, singa betina itu jatuh sakit dan langsung mati. Maka terbiarlah anak singa yang baru lahir itu sendirian.
Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa ekor kambing ke kawasan lapang itu. Kasihan melihat anak singa itu, mereka berbincang dan membuat keputusan yang luar biasa. Mereka sepakat membawa anak singa itu pulang untuk hidup bersama mereka.
Banyak kambing yang terkejut dangan kehadiran anak singa itu. Namun, hari berganti hari dan mereka semakin selesa hidup dengan anak singa tersebut. Maka hari-hari anak singa itu dihabiskan dengan gaya hidup keluarga barunya, iaitu komuniti kambing.
Anak singa kini sudah dewasa. Singa itu melakukan apa yang kambing-kambing lain lakukan dan makan apa yang kambing lain makan. Sehinggakan, suara singa itu juga sudah seakan-akan seekor kambing. Ia tidak bisa meng'aum' lagi bahkan hanya mampu meng'embeek'. Sifat dan jatidiri seekor kambing sudah sebati dalam dirinya. Ia bukan singa lagi.
Mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, seekor serigala datang menyerang kawanan kambing itu. Semua kambing lari mencari pelindungan. Mereka meletakkan semua harapan kepada anak singa yang telah dewasa itu untuk melindungi mereka. Namun, anak singa itu pula yang lebih hebat takutnya. Dia bahkan lari berlindung di belakang kambing induk yang menjadi ketua kawanan itu.
Kambing induk itu seraya berkata, "Bukankah kau seekor singa? Engkaulah yang sepatutnya melindungi kami daripada serigala itu". Anak singa itu tidak faham dan menegaskan bahawa dia juga seekor kambing sepertimana sahabat-sahabat yang lain.
Serigala semakin mengganas. Seekor demi seekor kambing yang menjadi mangsanya. Kambing induk menjadi terlalu berang lalu cuba menyelamatkan kambing-kambing yang diserang. Malangnya, kambing induk juga tidak cukup upaya menentang serigala yang sungguh licik dan ganas itu.
Anak singa itu rasa sungguh marah apabila kambing induk yang sudah ia anggap bagai ibu sendiri itu diperlakukan sehingga tiada upaya untuk berdiri. Ia terus maju bagi mempertahankan kambing induk. Alangkah terkejutnya sang serigala melihat bagaimana boleh wujud seekor singa di tengah-tengah kawanan kambing.
Apabila siap menyerang maka singa itu pun menyergah.. "Embeek.. Embeek.." Sekali lagi serigala itu terkejut besar. Ia yang pada mulanya berasa sangat takut, kini faham. Singa itu bukanlah seekor singa lagi. Ia sudah mengalami transformasi menjadi seekor kambing yang pengecut. Kini anak singa itu pula yang menjadi habuan serigala.
Sedang asyik mengganyang si anak singa, tiba-tiba kedengaran suatu suara yang menggenturkan jiwa. "AÙUMMM.." seekor singa yang sebenar pula datang. Niat asalnya juga mahu mencari mangsa di kalangan kawanan kambing itu. Tetapi ia dikejutkan dengan kehadiran seekor singa lain yang sedang dikerjakan teruk oleh sang serigala. Serigala tersebut kini benar-benar takut lalu lari jauh ke dalam hutan.
Anak singa itu takut melihat singa yang baru hadir itu lalu lari bersama-sama kambing yang lain. Singa itu tidak jadi mengejar kambing tetapi terus cuba mengejar untuk mendapatkan anak singa yang sudahpun dewasa itu.
Anak singa itu kepenatan dan berjaya ditangkap singa yang mengejarnya. Berkata anak singa, "ampunkan aku wahai singa. Kau jangan makan aku". Singa itu menjawab. "aku tak akan makan kau. Kau juga singa seperti aku." Anak singa itu kehairanan. Dia berkata, "tapi, aku seekor kambing. Bukan singa macam engkau!"
Singa itu lalu membawa anak singa ke sebuah sungai. Di sana dia menunjukkan bahawa mereka berdua sama-sama singa. Anak singa itu sungguh takjub melihat keadaannya yang sebenar. Maka berkatalah sang singa, "kau sudah terlalu lama duduk dalam kawanan kambing menyebabkan peribadimu sebagai seekor singa sirna. Mulai hari ini, akan aku kembalikan diri mu yang sebenar. Kau akan ku kembalikan menjadi raja rimba yang digeruni oleh semua haiwan lain."
Anak singa pada awalnya sukar menerima hakikat itu. Namun, kebenaran tetap kebenaran. Ia harus menempuh suatu proses transformasi yang sangat menyakitkan sebelum ia boleh kembali ke rimba sebagai sang raja yang dihormati serta digeruni sesiapa sahaja yang melihat.
Pengajaran kepada kisah ini, anda sendirilah yang tentukan. Saya mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi hasil dapatan masing-masing.