Thursday, August 7, 2008

Antara Lidah dan Hati

Minggu ini merupakan minggu sambutan penghayatan islam untuk universiti-universiti di sekitar New Zealand. Banyak aktiviti yang dijalankan dan saya pasti semua yang disediakan sudah pasti menjanjikan manfaat buat semua. Lama sudah rasanya saya tidak menulis. Ampun dan maaf sekiranya entry kali ini tidak menepati kehendak pembaca.

Mutiara al-Quran

frames

Al-Quran merupakan suatu mukjizat yang terlalu berharga bagi seorang muslim. Acap kali ulama' menyatakan bahawa ia bukan sekadar buku teori yang menjadi bacaan dan hafalan mereka yang mahu kekal beriman. Tetapi itulah book of ethics and good conduct untuk seorang muslim. Malahan ia lebih dari itu. Dan lebih ajaib lagi, pengajaran di dalam al-Quran bukanlah untuk mereka yang mengambilnya secara sambil lewa. Hanya orang yang benar-benar bersungguh dan ikhlas dalam mencari mutiara nasihat akan menemuinya dalam al-Quran. Kita akan dapati dua manusia yang membaca satu ayat yang sama namun memperoleh dua hasil yang jauh berbeza.

Dewasa ini, pendidikan al-Quran tampak kurang mendapat perhatian golongan muda. Malang sungguh mereka. Inilah kelompok manusia yang sanggup membiarkan hati kosong, lompong dan berongga diisi angin nafsu dan bisikan syaitan. Alangkah sedih. Hati ini perlu dipelihara dari masa ke semasa bagi membolehkan ia terus taat pada Tuhannya.

Kisah Luqman al-Hakim

Di Auckland, saya ada seorang sahabat karib. Namanya Luqman Hakim. Namun saya tidak bermaksud bercerita mengenainya dalam entry ini. Luqman al-Hakim yang saya maksudkan dalam subtopik di atas ialah seorang hamba yang bijaksana dari Habsyah. Hamba yang bukan calang-calang hamba. Biarpun bibirnya tebal dan kulitnya hitam, hamba inilah yang dimuliakan oleh Allah dalam al-Quran dengan mendedikasikan satu surah di atas namanya (rujuk al-Quran, surah 31). SubhanAllah.

Ketika menyelak-nyelak tafsir ibnu-Kathir, saya terjumpa satu kisah yang cantik tentang Luqman bersama tuannya untuk saya kongsikan dengan semua.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, daripada Khalid AR-Raba'i berkata.

"Luqman merupakan seorang hamba dari Habsyah. Dia juga seorang tukang kayu. Pada suatu hari, tuan kepada Luqman menyuruhnya menyembelih seekor kambing. Kemudian, dia meminta Luqman bawakan untuknya 2 bahagian terbaik daripada sembelihan itu. Maka, Luqman pun bawakan kepadanya hati dan lidah. Hari berlalu dan sehinggalah tiba pada satu masa, tuan itu sekali lagi meminta Luqman menyembelih seekor kambing. Kali ini, tuan itu meminta Luqman bawakan padanya 2 bahagian terburuk daripada sembelihan itu. Maka Luqman pun bawakan kepadanya hati dan lidah. Tuan kepada Luqman berasa hairan lalu bertanya,"Bila dulu aku minta kau bawakan 2 bahagian terbaik, hati dan lidah kau serahkan kepadaku. Kini, bila aku minta kau berikan 2 bahagian terburuk, hati dan lidah juga yang kau hulurkan?" lalu jawab Luqman,"Tuan, tiadalah 2 bahagian yang lebih baik daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini baik. Dan, tiada pula 2 bahagian yang lebih buruk daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini buruk.""

Benarlah kata-kata Luqman. Hanya kerana baiknya hati dan lidahlah, sekumpulan manusia boleh disatukan dan dididik menjadi sehebat para sahabat. Tidak dilupakan, angkara hati dan lidah jugalah umat islam terus merasakan azab duniawi sama ada dalam keadaan sedar (seperti kesengsaraan yang dialami ummat di Palestin, Afghanistan, Pakistan, Algeria dan lain-lain) atau dalam tidak sedar (muslim yang terlalai dengan kesenangan dunia seperti di Malaysia, Arab Saudi, UAE dan lain-lain). Lebih berat lagi, hati dan lidah juga bakal bertanggung jawab membawa manusia ke syurga atau ke neraka. Kita diberi kelebihan memilih. Maka pilihlah yang sewajarnya. Pilihan berada di tangan anda..

1 comments:

Imran Razali said...

Lama btul nta x update.. hehe

Lidah juga sebenarnya dan sepatutnya mencerminkan apa yang ada di hati seseorang. Kata-kata seseorang merupakan 'projektor' hati seseorang.

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta'ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (33:70-71)

Taqwa turut dikaitkan dengan kata-kata yang benar yang turut melambangkan hati yang tulus ikhlas. Sememangnya kedua-dua anggota ini berkait rapat.

Wallahu'alam

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB