Sunday, May 11, 2008

Kuasa Cinta

Assalamualaikum

Hari ini jiwa saya benar-benar tersentuh. Orang di sekeliling saya mungkin sedang panas di bawa isu Tan Ean Huang atau nama islamnya dahulu Siti Fatimah. Saya yakin setiap orang yang memberikan pendapat, mempunyai hujah masing-masing dan berhak untuk menyatakannya mengikut kefahaman mereka sendiri. Saya rasa tidak perlu kita bermusuh kerana isu itu. Cukup sekadar kita saling menghormati satu sama lain dan berazam untuk cuba membaiki keadaan umat islam lain yang masih terkontang-kanting dibawa arus hidup tidak menentu ini.

Cinta Manusia

Seperti yang saya katakan di awal tadi, jiwa saya benar-benar tersentuh pada hari ini. Ketika melayari laman web, saya terjumpa satu website yang menceritakan perihal cinta seorang manusia kepada manusia lain. Rasanya ini kali pertama dalam blog ini saya menulis perihal cinta manusia. Laman web itu menunjukan betapa manusia mampu melakukan perkara luar biasa hanya kerana Cinta. Sungguh hebat kuasa Cinta. Mungkin ada yang mula mengeluarkan tanda tanya apakah saya sudah mula menukar objektif penulisan dalam blog ini? Tidak sama sekali. Bagi mengakhiri segala kemusykilan anda, saya ingin mengajak kalian untuk menonton sebuah klip pendek yang akan menceritakan apa maksud saya yang sebenarnya.



Kisah ini hampir sahaja membuatkan saya menangis. Dan saya pasti tidak salah seandainya saya biarkan sahaja air mata ini bercucuran. Saya benar-benar rasa kerdil di hadapan Allah kali ini. Benar-benar rasa betapa kecil cinta saya kepadaNya jika hendak dibandingkan cinta si bapa kepada anaknya dalam video tadi. Dalam suatu temu ramah, Rick Hoyts (si anak) sangat menghargai pengorbanan bapanya itu sehingga tidak tahu bagaimana harus dibalas segalanya. Katanya, "apa yang saya mahu lakukan untuk membalas kasih murni ayah ialah dengan menolak ayah pula di atas kerusi roda yang saya duduki ini".

Saya dan Islam Bagaimana?

Saya masih belum bergelar bapa. Namun, saya benar-benar merasakan apa yang telah ditunjukkan oleh Dick Hoyts boleh menjadi teladan buat kawan-kawan yang sudah, akan dan bakal bergelar bapa. Apa yang lebih releven dengan hidup saya buat masa ini ialah apakah cinta saya pada Islam sedalam cinta Dick dan Rick Hoyts?

Sanggupkah saya mengorbankan segalanya demi Allah dan Islam? Sanggupkah lautan saya renangi? Sanggupkah jalan-jalan berliku saya tempuhi? Sanggupkah segala cemuhan saya endahkan? Sanggupkah bukit dan gunung saya daki? Sanggupkah rehat saya korbankan, masa saya belanjakan dan tenaga saya habiskan demi Islam? Semua itu tampak terlalu jauh kerana tabiat tidur selepas subuh pun masih sukar dibuang.

Azam Saya

Allah berfirman di dalam surah ali Imran ayat 31;

31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Mengamalkan islam sebenar itu adalah bukti hakiki pengorbanan seorang muslim yang benar-benar cintakan Allah dan agamanya. Itu telah menjadi bukti buat Rasulullah dan para sahabat yang bukan sahaja meredahi panas debu padang pasir, malah mempertaruh nyawa hanya kerana cinta mereka pada Allah dan Rasul. Tiada yang lain.

Saya dan anda bagaimana? Masih tidak terlewat untuk kita mengembalikan cinta Allah yang telah sekian lama kita rasakan. Allah tidak pinta kita bina untukNya gunung-gunung yang hebat. Allah tidak pinta kita persembahkan padaNya harta berkoyan. Allah tidak pinta kita menjaga makan dan minumNya malahan Allah pula yang tidak pernah alpa menjaga makan dan minum kita.

Apa yang kita harus lakukan sangat mudah. Kita hanya perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Itu sahaja. Islam sepertimana Rasulullah dan para sahabat memahaminya. Islam yang di dalamnya memerlukan anda mengorbankan harta, masa, tenaga malahan nyawa. Seandainya Dick Hoyts sanggup meredah laut bergelora, jalan berbukit dan berliku serta berpanas dan berhujan hanya kerana mahukan anaknya terus bahagia, kenapa tidak kita melakukan itu semua demi Pencipta yang sudah sekian lama cintakan saya dan anda semua?


Tepuklah dada, tanyalah iman.

Ke arah membina generasi pemuda muslim alaf baru.

2 comments:

Anonymous said...

Cinta itu tidak pernah meminta, tetapi MEMBERI dengan SEPENUH RELA.

Relakah kita memberikan segala-galanya demi Allah? Sanggup menolak segala kepentingan yang ada demi cinta yang sejati. Mereka inilah golongan yang benar-benar beruntung. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang benar-benar beruntung. Amin.

rough_U_deen said...

Terkenang balik mase buat International Baccalaureate (IB) dulu, sbb dlm setahun gak buat external CAS (Creative, Action, S______) kat Pusat Spastik kat PJ, berkenalan dgn kanak2 cerebral palsy~~ Yup, kerana mulianya agama, Allah sanggup melihat kekasihnya diuji. Dan kerana cinta kepada agama, baginda sanggup diuji. Wallahu'alam.

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB