Ujian... Perjalanan Hidup
Aku yg masih diperjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar dipersimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian,rimba dan lautan
Mencari sesuatu yg abadi
Aku yg masih diperhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata dunia
Mengejar siang dan malam,surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian
Dimana berakhirnya perjalanan ku ini
Esok dan lusa bukan milikku oh tuhanku
Lindungilah hamba mu yg hina ini
Aku setia hanya padamu oh tuhanku
Aku setia hanya padamu
Aku setia hanya padamu
_______________________________
Di kala musim peperiksaan ini, saya tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan selamat berjuang dan semoga berjaya buat rakan-rakan di seluruh pelusuk dunia yang sedang mendudukinya di pusat pengajian masing-masing. Di Auckland, bahangnya mula dirasakan semenjak semalam lagi.
Memasuki tempoh peperiksaan membuat saya rasa seolah-olah sedang memasuki suatu dimensi atau alam yang sungguh asing daripada biasa. Tidak seperti hari-hari lain, semua orang seolah-olah menjadikan buku dan nota kawan paling akrab mereka. Akan dibawa kemana-mana, walau ke tandas sekalipun. Masa yang digunakan, kalau tidak untuk menelaah, maka setiap saat yang berlalu dianggap sia-sia belaka. Tetapi, saya berharap kepada kalian yang sudah membaca sehingga ke perenggan ini, untuk meluangkan barang 10-20 minit masa anda membaca apa yang cuba saya sampaikan. Semoga bermanfaat buat semua
Para pembaca budiman,
Peperiksaan merupakan suatu lumrah. Suatu sistem yang diperkenalkan bagi menilai dan mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut tahap kemampuan masing-masing. Ia dilihat sebagai sistem terbaik untuk mencari bakat, intelektual, dan kebolehan manusia yang terpendam. Namun, kelemahannya yang jelas ialah peperiksaan menilai manusia pada keputusan akhir. Keputusan yang dipengaruhi 1001 faktor. Tidak kira berapa keras sekalipun anda berusaha, keputusan peperiksaan anda pasti terganggu jika berlaku perkara-perkara berikut:
- Tidak sihat pada hari peperiksaan.
- Tertidur kerana terlalu mengantuk dan penat mengulang kaji.
- Semua pen anda kehabisan dakwat.
- Bunyi-bunyi bising di luar dewan peperiksaan yang tidak dapat dielakkan.
- Tertinggal kalkulator dan pengawas peperiksaan anda pula tiada "kalkulator kecemasan".
- dan sebagainya
Dan jelas, faktor-faktor tadi tidak boleh menjadi alasan untuk anda kemukakan pada pemeriksa bahawa anda dapat melakukan lebih baik sekiranya tidak terjadi perkara-perkara yang tidak diingini. Usaha anda tidak sedikitpun diambil kira. Tiada siapa yang menilai berapa lama seseorang itu membaca buku lalu memberikan markah tambahan bagi setiap jam yang diluangkan.
Sahabat pembaca,
Bukan saya bermaksud mengeluarkan hujah-hujah untuk cuba memansuhkan sistem peperiksaan ini. Namun ia membawa saya kepada analisa tentang kehidupan kita pula. Mungkin ada antara anda yang mual membaca saya menulis tentang kehidupan. Tidak puaskah saya bercerita tentangnya? Apa lagi yang tidak cukup dengan hidup ini? Kehidupan saya sudah sangat idealkah sehingga mahu menasihati orang lain?
Jawapan untuk segala persoalan tadi ialah tidak sama sekali. Saya bercerita tentang kehidupan kerana saya sayangkan anda semua. Saya mahu kita sama-sama berjaya. Kehidupan adalah suatu hikmah yang perlu kita terokai. Ia tidak direka untuk manusia hidup dengan gaya stereotaip. Kehidupan itu sendiri suatu ujian. Suatu peperiksaan yang mahu atau tidak, setiap kita harus menempuhinya. Namun siapakah yang menguji kita? Apakah keputusan yang perlu anda dan saya perolehi untuk menjamin kita berjaya with flying colours? Tiada formula khas yang dapat dikeluarkan manusia untuk menentukan seseorang berjaya dalam hidup. Apa yang saya maksudkan ialah, tiada siapa dapat menjamin kehidupan anda cukup indah bila...
- Anda menjadi orang terkaya di dunia
- Anda punyai isteri paling cantik atau suami paling kacak di dunia
- Anda merupakan selebriti terkemuka masa kini
- Anda punyai anak-anak yang cantik dan sayangkan anda
- dan banyak lagi
Itulah yang menjadi perhatian sosial bila menyebut tentang berjayanya si fulan atau si fulan dalam hidup masing-masing. Berani saya katakan di sini, mana-mana jiwa yang telah perolehi setiap perkara yang saya senaraikan di atas ini, masih tidak menemui kejayaan hakiki suatu ujian bernama kehidupan. Kejayaan dalam kehidupan hanya ditentukan oleh penciptaNya sahaja. Sama seperti dalam peperiksaan, tiada siapa yang layak mengeluarkan skema jawapan dan memberi autoriti kepada pemeriksa-pemeriksa memberi markah kepada skrip-skrip jawapan yang telah dihasilkan oleh pelajar melainkan pensyarah atau guru atau badan yang mengeluarkan soalan peperiksaan tersebut. Mereka yang menghadapi peperiksaan sudah tentu lebih tidak layak lagi.
Sepertimana dalam lagu yang saya sertakan dalam entry ini, kehidupan itu suatu yang perlu dicari. Cara manusia menempuhnya berlainan antara satu sama lain. Kita sering mendengar ungkapan "melihat dunia dari mata burung atau dari dalam tempurung". Hasil daripada pembacaan yang terbatas, beberapa penulis terkenal seperti 'Aaidh ibn Abdullah al Qarni, Stephen R Covey dan Dr. Phil menegaskan bahawa kebanyakan insan hidup di dunia atas dasar tindak balas. Kehidupan yang mana suatu tindakan hanya diambil apabila terjadinya sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita akan mengulangkaji hanya bila tahu adanya peperiksaan. Kita ke hospital, hanya bila sudah jatuh sakit. Itu hanya elemen-elemen kecil yang membentuk suatu kehidupan yang luas. Bahkan, tidak keterlaluan andai saya mengatakan, kita seolah-olah tidak hidup sekiranya tiada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyebabkan kita bertindak. Kehidupan inilah yang kita kenali sebagai hidup tanpa arah tuju. Hidup hanya untuk makan, minum dan tidur sahaja. Hidup tanpa ada tujuan untuk hidup. Tiada misi, tiada visi. Nasib baik masih ada visa, pasport atau kad pengenalan.
Sahabat sekalian,
Andai kita masih terus seperti itu, maka tidak ke manalah kehidupan kita dapat ditujukan. Jadilah anda pelajar sebijak mana pun, jadilah anda ahli sukan sehandal mana pun, jadilah anda pemimpin sekaliber mana pun, jadilah anda pengurus seterurus mana pun atau jadilah anda sesiapa sahaja sekalipun... Seandainya hidup anda hanyalah hasil daripada tindak balas anda terhadap rantaian perisitiwa yang berlaku dalam hidup, maka anda masih memandang dunia dari dalam tempurung. Mungkin masih boleh mengecapi kekayaan, masih boleh kecapi kemahsyuran tetapi adakah itu layak kita kenali sebagai kejayaan?
Maka, kita sepatutnya keluar daripada kepompong kehidupan yang sempit ini kepada suatu pengertian yang lebih luas. Kehidupan yang anda rancangkan untuk diri sendiri. Kehidupan bermisi, bervisi, berwawasan dan bermatlamat. Namun,perlu diingat misi yang kita letak dalam hidup juga penting dalam menentukannya berguna atau tidak.
Design your life forward from your very inside. Do not just have a life that reacts upon circumstances.
Letakkan misi anda untuk berjaya sepertimana yang telah ditetapkan oleh Tuhan pemilik kehidupan ini. Hanya Dia yang akan menentukan sama ada daripada kehidupan kita, mendapat A+ yang membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurgaNya atau sekadar mengakhiri kehidupan dengan keputusan D-, yang hanya melayakkan kita ke nerakaNya. Istimewanya Allah ialah, kejayaan kita dalam peperiksaan hidup ditentukan pada usaha dan niat. Bukan pada hasilnya dalam kehidupan itu sendiri. Bukan senang untuk hidup. Tetapi janganlah sampai kita tertipu dengan kehidupan.
Menjadi seorang muslim, hidup anda tidak cukup sekadar atas tikar sejadah sahaja. Tidak lengkap kehidupan anda hanya setelah melunaskan kelima-lima tuntutan rukun Islam. Tidak menjamin anda syurga andai hidup anda hanya untuk dihabiskan di masjid. Seorang muslim perlu punyai matlamat yang lebih besar daripada itu semua.
Tulisan saya ini tidak cukup untuk memandu anda semua ke arah mencapai erti hidup sebenar. Oleh itu, saya mencadangkan anda memperbanyakkan membaca al-Quran dan membaca 2 buah buku yang alhamdulillah, dapat mengubah paradigma saya sendiri pada kehidupan. Buku-buku tersebut adalah:
- Don't Be Sad oleh 'Aaidh ibn Abdullah al-Qarni
- 7 habits of highly effective people oleh Stephen R Covey.
Impian saya, moga akan lahir suatu hari nanti satu generasi sehebat generasi para sahabat. Generasi yang sentiasa menasihati kearah kebaikan dan melarang kejahatan. Generasi yang punyai wawasan lebih jauh daripada jaraknya bumi ke matahari. Saya yakin, kita boleh. Namun, pada Pemilik jiwa ini jugalah terletak segala keputusan, segala ketentuan.
Wallahua'lam
"Ke arah melahirkan pemuda-pemudi sehebat generasi para sahabat"