Saturday, September 8, 2007

Welcome my special guest...




assalamualaikum..

Sambil membaca entry saya pada kali ini, marilah kita sama-sama mendengarkan lagu Ramadhan dalam bahasa arab. Saya minta mana-mana sahabat yang dapat terjemahan kepada lagu ini untuk berkongsi dengan saya dan seterusnya akan saya kongsikan dengan semua sahabat pembaca.



Hari ini, 26 shaaban 1428 menandakan semakin hampirnya kita dengan ramadhan, bulan penuh barakah, penuh rahmat, kaya dengan kebaikan, miskin dengan kejahatan, tersangat istimewa dan sebagainya. Ia juga merupakan suatu bulan yang punyai satu hari yang bersamaan dengan seribu bulan. Ramadhan merupakan hari di mana umat islam seluruhnya diwajibkan berpuasa pada siang hari dan di malamnya pula Allah kurniakan pelbagai peluang beribadah seperti solat tarawih dan qiamullail. Bulan yang mana terikatnya syaitan-syaitan durjana.

Saya pasti kenyataan-kenyataan di atas tidak asing lagi kepada sahabat pembaca sekalian. Itulah yang kita dengar setiap kali berkunjungnya Ramadhan setiap tahun. Namun, seramai mana antara kita yang mengambil apa yang ada di sebalik setiap kelebihan yang telah Allah kurniakan itu?

Cuba bayangkan satu situasi. Ketika kecil ataupun pada usia remaja, ramai antara kita akan diupah oleh ibu dan ayah untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti membersihkan halaman, membasuh kereta, mengecat rumah dan sebagainya. Tujuan mereka mengupah, bukanlah atas sebab menambahkan perbelanjaan kita. Namun, tujuan asal mereka adalah bagi melatih anak-anak mereka melakukan kerja-kerja itu. Latihan itu kemudiannya akan membentuk karakter positif seperti bersungguh-sungguh dan sabar. Mungkin ada yang diupah atas sebab-sebab lain. Tetapi pada saya, mengupah atas tujuan selain dari melatih anak-anak, akan sekadar menyiapkan kerja-kerja itu tanpa ada kesan pada anak itu sendiri. Bahkan, mungkin negatif pula sikapnya pabila diminta melakukan tugasan.

Sahabat sekalian,
Kelebihan-kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita pada bulan Ramadhan ini, bukan sekadar untuk menambahkan simpanan pahala buat bekalan kita di suatu hari yang dahsyat kelak. Namun, tidak kurang pentingnya juga, Allah mahu melatih kita menjadi individu yang punyai karakter-karektor seorang muslim sejati. Seorang muslim sejati bukanlah mereka yang hanya duduk di masjid, banyak membaca Quran dan sebagainya. Muslim bererti seorang yang tunduk patuh pada ajaran Allah iaitu Islam. Pada tahap ini, saya harap rakan-rakan sudah mengerti bahawa islam itu lebih daripada aktiviti ritual semata-mata.

Manusia ini terdiri daripada 2 unsur asas iaitu jasad atau fizikal dan roh. Kebanyakan manusia hanya memenuhi tuntutan fizikal mereka tanpa menghiraukan apa yang berlaku pada roh itu. Roh itu dibiarkan kosong sehingga dibiar mati walau pada zahirnya, manusia ini masih hidup. Sedikit pembacaan, telah membawa saya kepada beberapa konklusi tentang kehidupan manusia yang akan saya ceritakan sebentar lagi.

Sahabat sekalian,
Saya sering bertanya kepada sebahagian sahabat, apakah perbezaan antara Karekter dan Personaliti seorang manusia. Antara jawapan-jawapan mereka ialah:
  1. Sama sahaja
  2. Karakter ialah sifat manusia, personaliti ialah perbuatan.
  3. Karakter menunjukkan akhlak, personaliti ialah apa yang timbul drpd akhlak itu.
  4. dan sebagainya
Namun mengikut kefahaman saya sendiri, secara mudahnya "character is what you are while personality is what you do and say." Konklusi ini lahir daripada buku The 7 habits of highly effective people tulisan Stephen R Covey yang saya sedang berusaha untuk menghabiskannya =) . Karakter adalah akhlak atau peribadi anda manakala personaliti adalah perkara-perkara seperti kemahiran berkomunikasi, ketrampilan, gaya pemakaian dan sebagainya. Stephen turut menyatakan kejayaan sebenar hanya akan lahir dengan mempunyai karakter berkualiti, bukan personaliti. Personaliti itu boleh dibuat-buat manakala karakter perlu kepada latihan dalaman, kesedaran rohani. Dalam erti kata lain, bagi membentuk karakter, kita perlu kepada pengisian rohani.

Perkara ini tidak bercanggah sama sekali dengan apa yang disarankan oleh Islam. Islam sangat-sangat melarang sifat hipokrit dan cakap tak serupa bikin. Firman Allah dalam surah As-Saff ayat 2 & 3.

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Dapat kita lihat bahawa, betapa Islam menekankan kita mengamalkan apa yang kita perkatakan. Membentuk seorang manusia berjaya, akan hanya lahir daripada dalaman yang mantap. Luaran tidak membawa apa-apa harga tanpa dalaman yang cantik.

Bersyukurlah sahabat sekalian dengan Ramadhan yang Allah kurniakan. Yang Maha Pengasih memberi kita peluang membentuk akhlak dan iman secara intensif bagi membolehkan kita mencapai kejayaan yang sebenarnya pada bulan ini. Kelemahan umat Islam secara keseluruhannya akan dapat dicapai apabila masing-masing punyai karakter sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mengambil peluang ketika Ramadhan ini untuk melatih dan mengisi rohani agar dipenuhi cahaya iman dan islam. Cahaya iman dan islam ini yang akan seterusnya membentuk individu sehebat para sahabat dan tabi'en yang telah membuktikan pada Pencipta kita bahawa hidup mereka adalah sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-An'am: 162

162. Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Ramadhan kali ini akan membentuk individu-individu yang membolehkan Islam kembali menguasai alam sejagat sejagat sepertimana gemilangnya ia pada zaman Rasulullah sehinggalah sebelum kejatuhan khilafah yang terakhir.

Welcome my special guest. Welcome Ramadhan...

wassalam


3 comments:

azri fickry said...

selamat pose bro...hidup flat 14.=p

Gua said...

selamat pose bro...hidup smaplabu.=p

-ikan

azmir.nadzar said...

yeah..selamat menyambut ramadhan.
puasa.. jangan x puasa tau!!

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB