Friday, September 14, 2007

Kesedaran Ramadhan 1

Assalamualaikum

Sambil membacakan entry kali ini, saya hidangkan anda semua sebuah lagi koleksi lagu ramadhan yang saya ada. Semoga merancakkan lagi usaha kita dalam mengejar limpahan rahmat Tuhan di bulan penuh keberkatan ini.



Hari ini, maka bermulalah hari pertama puasa bagi rakan-rakan di seluruh New Zealand. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita panjatkan syukur buat yang ke sekian kalinya kerana masih ditemukan dengan Ramadhan. Adakah kita benar-benar bersedia menyambut kedatangan bulan kemuliaan ini?

Sahabat sekalian,
Bagi kebanyakan kita, Ramadhan ini sekadar satu bulan di mana makan dan minum tidak dibenarkan pada siang hari manakala kita akan bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih pada malamnya pula. Saya ingin rakan-rakan mengambil sedikit masa ini untuk kembali merenungkan, adakah itu sahaja tujuan Allah mengurniakan kita dengan Ramadhan?

Setiap kali berjalan ke universiti, saya sering terfikir, apakah benar saya tergolong di kalangan orang yang beruntung? Apa lagi yang saya inginkan? Makan, pakai, tidur semuanya cukup. Masih tidak beruntungkah? Untuk menunjukkan betapa beruntungnya kita, mari tonton sebuah klip pendek.



Sahabat sekalian,
Janganlah kita terkeliru dengan perkataan beruntung itu sendiri. Perlu kita sama-sama ingat bahawasanya Allah itu Maha Adil. Bukanlah kanak-kanak di Afrika, Palestin, Indonesia mahupun di mana-mana sahaja meminta untuk hidup susah. Bahkan, jika mahu dibandingkan usaha mereka untuk hidup, jauh lebih tinggi berbanding kita sendiri. Tinggalnya mereka dalam khemah-khemah, keperluan asas yang terpaksa dicatu dan kesihatan yang tidak menentu antara ujian mereka hanya untuk meneruskan kehidupan. Pada mereka, dunia ini tidak lebih dari suatu tempat mereka mengharung kepayahan hanya untuk meneruskan nyawa yang dikandung badan.

Kita pula lain ceritanya. Kita mengeluh bila baju yang dipakai kotor terkena minyak makanan. Mengeluh bila sedikit terlewat menerima biasiswa. Mengeluh bila makanan yang kita terima, kurang sedikit daripada orang lain. Mengeluh bila makanan yang ada di NZ tidak sesedap apa yang ada di Malaysia. Alangkah remehnya perkara yang kita keluhkan.

Adanya Ramadhan membolehkan kita sama-sama merasakan kesusahan sahabat-sahabat lain itu. Jika benar kita menghayati ramadhan, saya pasti kita dapat membentuk suatu peribadi yang mulia.

Pernahkah kita memikirkan, apa hikmahnya Allah menjadikan perbezaan taraf hidup manusia sejagat? Pernahkah kita fikir, mengapa agaknya kita dibiarkan hidup senang, manakala ada orang lain di suatu tempah beribu batu dari sini yang sedang menderita?

Sahabat sekalian,
Cuba bayangkan satu situasi.
Pada suatu hari, seorang rakan anda menerima sebuah panggilan telefon daripada salah jurujual terkemuka tanah air. Mari ikuti perbualan mereka:

penjual : Assalamualaikum. Selamat pagi encik.

sahabat : Waalaikumussalam. selamat pagi kembali. Encik cari siapa?

penjual : oh, saya sebenarnya dari sebuah syarikat kenderaan terkemuka, Proton.

sahabat : Proton?!!? Ada apa-apa yang tidak kena dengan saya ke encik? Saya tak pernah kutuk2 proton encik.

penjual : Encik jangan bimbang. Proton yang kini sudah melancarkan kereta terbarunya sedang mengadakan promosi hebat. Dan encik adalah salah seorang yang bertuah untuk menerima tawaran promosi ini.

sahabat : iyeke? (dengan muka berseri-seri dan senyum lebar sehingga mencecah telinga)

penjual : dengan promosi ini, encik boleh membeli sebuah kereta proton Perdana dengan harga RM 100 sahaja!

tiba-tiba talian terputus....

sahabat : hello.. hello.. encik..encik..

sahabat terus meletak telefon...

sahabat : aduh, melepas peluang aku nak dapat kereta tu dengan harga yang gilerr punya murah

Bayangkan anda berada di tempat sahabat anda itu. Adakah anda akan mempercayai tawaran sehebat itu? Jika tawaran itu memang benar-benar ada, adakah anda pasti anda akan dibiarkan untuk membeli kereta itu dengan harga yang murah gilerr tanpa perlu melakukan apa-apa selepas itu?

Sahabat sekalian,
Fikirkanlah, apakah kesenangan yang kita nikmati ini diberikan dengan tanpa ada apa-apa tujuan? Sekali lagi ingin saya ingatkan, Allah itu Maha Adil. Pasti ada hikmahnya manusia diciptakan dalam keadaan sebahagiannya senang, sebahagiannya lagi susah. Saya berharap para pembaca sekalian fikirkanlah apa mesej yang cuba saya sampaikan dalam entry kali ini.

Salah dan silap harap dimaafi. Bersamalah kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Ke arah memanfaatkan Ramadhan dengan lebik baik...

1 comments:

Lutfi Belwael said...

salam. video tu mmg best.
il post it up on my blog.

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB