Sunday, September 23, 2007

Kesedaran Ramadhan 2



Assalamualaikum

Saya sertakan sedikit habuan telinga sambil membaca luahan rasa saya di bawah:



Ramadhan kali ini banyak mengubah paradigma saya terhadap ibadah puasa. Sebelum ini, saya sekadar berasa seronok pabila melalui ibadah puasa kerana kemeriahan yang dikecapi ketika berbuka dan solat tarawih. Ditambah pula dengan suasana membeli-belah juadah berbuka serta membuat persiapan menjelangnya hari raya.

Di New Zealand, saya tidak dapat merasakan keseronokan tadi. Suasananya tidak semeriah. Namun, di sinilah saya mengenali dan menghargai ibadah puasa itu sendiri. Ibadah yang secara tidak langsung membawa kita kepada pengukuhan tali persaudaraan. Suatu hubungan yang tidak terselindung di sebaliknya sebarang hasrat buruk. Yang juga dikenali sebagai ukhuwwah.

Namun, ukhuwwah yang dibina itu tidaklah seberapa andai ukhuwwah pada zaman Rasulullah yang menjadi kayu ukuran. Hubungan yang terjalin antara mereka sangatlah erat hinggakan kepentingan sendiri dapat ditolak demi menjaga sahabatnya.

Ini membawa saya kepada satu kisah yang mahsyur. Dalam suatu peperangan, salah seorang sahabat Rasulullah yang sedang terlantar tenat di medan, meminta-minta air untuk diminum. Seorang yang mendengar panggilan itu membawa sedikit air untuknya. Pada ketika perang, segala bekalan terbatas. Ini termasuklah bekalan air walaupun ia sangat-sangat diperlukan. Sebentar kemudian, terdengar pula seorang lagi sahabat mengerang kesakitan dan meminta-minta air. Sahabat yang pertama tadi, pabila mendengarkan panggilan sahabatnya yang sangat-sangat memerlukan air itu, menyuruh si pembawa air untuk pergi kepada sahabat yang kedua tadi. Lalu si pembawa air menuruti kehendak sahabat pertama. Seketika kemudian, terdengar pula seorang lagi sahabat yang sedang terlantar tenat, mengerang kesakitan dan meminta air. Sahabat kedua ini, apabila mendengarkan kesakitan yang ditanggung sahabat ketiga itu, meminta si pembawa air membawakan air tadi kepada sahabat ketiga itu. Alangkah sedih apabila sahabat yang membawa air itu mendapati sahabat ketiga syahid terlebih dahulu sebelum sempat air yang dibawanya singgah di bibir sahabatnya yang merana sakit. Si pembawa air berpaling pula pada sahabat pertama. Lalu dia mengatur langkah pantas supaya sempat air yang dibawa itu diminum oleh sahabat pertama bagi mengurangkan sedikit kesakitan sejak awal tadi. Namun, sahabat pertama juga syahid sebelum sempat minum walau seteguk. Sahabat kedua tadi turut pergi menemui Allah sebelum sempat minum air yang diminta.

Kisah ini menunjukkan betapa para sahabat berpegang kepada hadis Rasulullah yang bermaksud,

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a, Nabi SAW bersabda, "Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri"


Dan menunjukkan betapa dalamnya mereka memahami firman Allah dalam surah al-Hujurat yang bermaksud:

10. Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.


Persaudaraan yang dibina atas dasar akidah. Tidak meletakkan apa-apa syarat keduniaan padanya. Persaudaraan inilah yang seterusnya memberi kekuatan kepada masyarakat untuk bekerjasama dan terus maju dalam arus zaman masing-masing. Hassan al-Banna pernah mengatakan bahawa kekuatan umat islam terletak pada tiga perkara:
  1. Iman
  2. Ukhuwwah
  3. material (harta, senjata, teknologi dll.)
Perhatikanlah bahawa dua kekuatan pertama adalah iman dan juga ukhuwwah. Kemajuan teknologi diletakkan pada tangga yang bawah sekali antara yang tiga. Tapi perlu diingat, iman dan ukhuwwah yang menyebabkan kekuatan sesuatu masyarakat bukanlah sembarangan iman dan ukhuwwah. Iman yang terbina menyebabkan mereka berfikir dan bertindak di luar kotak logik duniawi. Ukhuwwah yang terjalin sekukuh cerita yang saya persembahkan sebentar tadi. Mampukah kita mencapai itu semua?


Sahabat pembaca sekalian.
Sejarah telah membuktikan banyak perkara. Ketamadunan Rom dan Parsi yang terkenal dengan kekuatan tentera serta kemewahan telah dijatuhkan oleh umat Islam yang sentiasa fakir dan dha'if terhadap dunia. Sejarah juga membuktikan bagaimana Islam pula sebagai suatu tamadun dibinasakan ketika para pemimpinnya berlumba-lumba mengejar kemewahan. Oleh itu, saya benar-benar skeptik apabila para pemimpin mana-mana masyarakat mahupun negara cuba membawa panji kemajuan kepada rakyat dengan mencanang-canangkan slogan kemewahan. Mewah tidak semestinya = maju. Negara maju ditentukan oleh sikap dan kualiti pada karakter setiap masyarakat. Bukan terletak kepada jumlah lrt, airbus 380, pesawat pejuang F-16 dan bangunan tertinggi yang mampu kita bina.

Khalifah Umar abd Aziz adalah salah seorang khalifah pada zaman empayar Bani Umayyah yang telahpun melunaskan janji Rasulullah. Pernah pada suatu masa Rasulullah telah berjanji pada seorang sahabat ('Adi bin Hatim) tentang tiga perkara. Salah satunya ialah menjanjikan bahawa Islam akan menjadi mewah, dengan harta yang melimpah-ruah sehinggakan tiada siapa yang layak menerima zakat lagi. Namun kehidupan Khalifah itu sendiri sangat zuhud. Padanya, harta hanya akan melalaikan sehingga beliau sanggup untuk meninggalkan isterinya sendiri seandainya kehidupan mewah yang ingin dikecapi isterinya. Allah pasti akan memberikan kemenangan kepada masyarakat yang tidak punyai "wahn" dalam diri.

Sahabat sekalian.
Tentu sukar bukan untuk membawa kemajuan seandainya kita perlu mengubah karakter setiap manusia? Bersempena Ramadhan ini kita sebenarnya dapat memulakan usaha ke arah itu. Ramadhan mengajar kita konsep pengorbanan yg suci. Pengorbanan yang tiada tersirat padanya seekor udang pun disebalik setiap helaian mi. Itulah yang saya dapati di sini. Dan setelah berhari-hari memikirkan, mungkin itulah formula yang membawa kepada kemajuan agama dan bangsa. Kemajuan yang dibawa oleh para pemuda yang tidak pernah takut dengan pengorbanan. Yang meletakkan kepentingan diri di belakang sekali selepas segala keperluan agama dan masyarakat dipenuhi. Yang bersedia hidup susah untuk orang lain. Yang hanya mahu memberi dan tidak mengharap untuk menerima selain dari Tuhannya.



Formula pengorbanan itu jugalah yang diguna pakai kebanyakan tokoh-tokoh hebat yag tidak mengenal islam pun untuk maju ke hadapan. Ambil contoh Isaac Newton yang terkenal dengan pelbagai teori kejuruteraannya. Saya pasti bukan kesenangan hidup yang membawa beliau kepada penemuan pelbagai "ground breaking research" pada zamannya. Bahkan, pelbagai jerih-perih harus ditempuh hanya untuk beroleh suatu hukum sains yang kita sama-sama aplikasikan pada hari ini. Antara hukum Newton yang terkenal ialah daya berkadar terus dengan perubahan momentum suatu jisim atau lebih dikenali sebagai F=ma.



Tokoh islam telah membuktikan perkara ini sedari zaman Rasulullah lagi. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah, seorang tokoh optik yang terkenal telah dilahirkan. Beliau ialah ibn-Haitham. Pada masa beliau sedang asyik dengan kajian, beliau telah dihukum bunuh oleh pemerintah pada masa itu atas sebab-sebab tertentu. Hinggakan ibn-Haitham terpaksa berlakon sebagai seorang yang kurang waras hanya untuk meneruskan kehidupan dan kajiannya agar dapat dimanfaatkan oleh umat islam dan manusia secara amnya. Ini membuktikan betapa beliau berusaha keras bukan untuk manfaat diri sendiri sahaja malahan untuk kesejahteraan ummah. Saya yakin, bukan kemasyhuran dan harta yang berkoyan yang menjadi matlamatnya membuat kajian. Beliau terkenal dengan hasil kajiannya tentang pembedahan katarak serta pembuktian bahawa cahaya bergerak lurus.

Sahabat sekalian,
Kita boleh memulakan perubahan dengan kembali membetulkan pandangan kita terhadap dunia ini. Kita perlu sama-sama mengenal pasti bahawasanya kita tidak boleh hidup goyang kaki. Berusahalah dengan apa cara sekalipun untuk sama-sama mencapai matlamat memajukan ummah dan anak bangsa.

Ramadhan adalah masa yang paling sajak untuk kita melahirkan sifat pengorbanan. Mari kita mulakan dengan mengorbankan sedikit daripada harta yang ada untuk memberi orang makan ketika berbuka. Janganlah diharap dengan apa yang diberi, kita akan menerima dengan lebih banyak. Harapkanlah balasan hanya dari Yang Maha Pemurah. Marilah kita korbankan sedikit tenaga buat membantu manusia yang memerlukan. Paling kurang, alihkanlah apa-apa sahaja yang menghalangi laluan jalan orang lain. Mulakanlah dari sini. Saya pasti, kita semua dapat menuju ke suatu matlamat yang lebih besar iaitu ke arah membangunkan ummat islam di Malaysia menjadi suatu masyarakat yang mampu mengatasi mereka di Amerika, Jepun dan Eropah. Sejarah telah membuktikan, islam mampu menawan dunia suatu masa dahulu. Mengapa tidak sejarah ini kita ulangkan kembali?

Semoga Ramadhan kali ini melahirkan lebih ramai pemuda yang berkesedaran...

1 comments:

zurina said...

subhanallah~
sy sgt suke music the last of the mohicans ni...
sgt sesuai dgn entry kali ni..

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB