Saturday, June 16, 2007

Hebatkah Manusia Revisited...

Assalamualaikum..

Sahabat sekalian, sebagai salah seorang dari ribuan juta manusia yang masih diberi kesempatan menghirup udara segar pemberian Yang Maha Pengasih ini, membuat saya rasa terpanggil untuk menyambung hasil tulisan mengenai seni ciptaan manusia. Sepertimana yang saya sebut dalam entry yang lepas, kehidupan manusia ini mudah hanya kerana dimudahkan oleh Penciptanya. Sistem tubuh manusia yang sungguh kompleks ini, tidak salah jika saya katakan, mustahil ada seorang manusia pun yang mampu mengawalnya dengan sempurna menggunakan akal mereka yang sedar. Oleh itu, maka layakkah manusia berasa bongkak sekiranya mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya walaupun tubuh mereka sendiri. Wallahua'lam.

Jika sebelum ini, saya banyak menyentuh mengenai apa yang ada dalam tubuh manusia, kali ini, dengan izinNya saya akan menceritakan barang sedikit berkenaan bagaimana tubuh kita berinteraksi dengan alam sekeliling.

Sahabat sekalian, orang kata, untuk mempelajari suatu ilmu dengan lebih berkesan, tidak cukup dengan sekadar kita membaca sahaja. Pembacaan jika disusuli dengan amalan atau perbuatan, akan membuahkan suatu dapatan yang lebih berkesan. Untuk itu, saya ingin mengajak kalian bersama-sama saya berhenti seketika daripada melakukan apa sahaja yang kalian sedang lakukan. Tarik nafas dalam-dalam, dan cuba hargai setiap sedutan udara yang anda ambil itu. Lontarkan pula pandangan anda pada tubuh yang diselaputi kulit. Betapa cantik ciptaan kulit itu yang bertujuan bukan sekadar menutupi organ2 yang sungguh kompleks di dalamnya, malahan mengandungi jutaan reseptor dan bulu roma yang punyai tugas masing-masing. Dongakkan pula pandangan, buka tirai kamar, dan hayatilah pemandangan di luar sana. Apakah setiap perkara yang wujud di sekeliling kita itu, tiada gunanya? Atau sebenarnya, setiap zarah...(ya, saya maksudkan zarah yang kecil tu...) wujud di alam sekeliling ini semata-mata untuk berbakti kepada manusia?
Ingin saya bawa anda, sama-sama menyingkap dengan penuh penghayatan suatu kalimah yang diturunkan oleh Allah, dalam kitabNya; surah al-Baqarah:30

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

Seterusnya, firman Allah dalam surah an-Naml:62

"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi"

Berdasarkan pada 2 kalimah di atas, saya pasti kini, atau mungkin lama sebelum ini kalian pembaca sedar akan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Menjadi khalifah bermakna menjadi ketua atau pemimpin di muka bumi. Menjadi khalifah tidak semestinya anda perlu menjadi seorang yang mampu menguasai segala-galanya. Berdasarkan pembacaan saya yang tidak seberapa, khalifah juga bermaksud seseorang yang memakmurkan sesuatu. Maka ini lebih tepat dan bersesuaian dengan kita semua yang sudah semestinya dalam pelbagai sudut dan segi, mampu menyumbangkan sesuatu untuk kemakmuran dunia. Namun, entry kali ini tidak bermaksud menyentuh mengenai peranan atau methodologi ke arah memakmurkan dunia. Saya lebih suka untuk membawa diri saya dan kalian pembaca sekalian menumpukan fikiran kita ke arah mengenali kejadian jasad dan roh yang mengalir subur di dalamnya.

Kembali kepada firman Yang Maha Pengasih dalam surah an-Naml di atas, membawa suatu peringatan yang sungguh penting untuk kita sama-sama hayati. Sepertimana yang telah dibincangkan, sesungguhnya kemudahan yang kita kecapi dalam kehidupan hanya diperolehi atas rahmatNya yang mahu memudahkan kehidupan kita. Janganlah kita menyempitkan definisi "menghilangkan kesusahan" dalam ayat di atas hanya pada situasi kita dihindarkan daripada musibah. Renungkanlah, setiap saat pada kehidupan kita ini sebenarnya telah dimudahkan olehNya. Sesungguhnya, saya benar-benar tidak mampu memberikan gambaran yang terbaik berkenaan bagaimana pemurahnya Tuhan yang menciptakan ini.

Sahabat sekalian, alam atau suasana di mana kita hidup kini telah diciptakan khas buat saya dan anda semua. Kajilah pada setiap sudut kejadian di dunia ini, pasti anda akan mendapati bahawasanya kita diletakkan dalam dunia yang mempunyai suhu, kandungan udara, tekanan, air, cahaya dan lain-lain sumber yang sangat sesuai untuk manusia serta makhluk dunia lain yang sama-sama hidup di dalamnya.

Jika sebentar tadi anda telah menghayati hirupan udara dengan penuh syukur, apakah anda sedar bahawa sebenarnya kita hidup dalam lautan udara? Namun lautan ini tidak melemaskan malahan tanpanya, kita akan lemas. Rasanya, kalian tidak memerlukan pada fakta dari mana-mana sumber untuk menyedari yang manusia tidak mampu hidup walau untuk beberapa minit tanpa udara ini. Itulah hakikatnya. Tapi, kita sering terlupa akan besarnya nikmat ini, kerana sering taking it for granted. Cuba tutup hidung dan mulut anda untuk beberapa minit, dan saya pasti dengan cara ini, kita dapat meletakkan nilai kelebihan udara itu pada tempat yang lebih tinggi.

Udara yang padanya terdapat komposisi pelbagai jenis gas berlainan ini punyai banyak lagi tujuan lain ia diciptakan. Antara lain, lautan udara ini memberikan tekanan pada tubuh kita untuk tujuan keseimbangan. Keseimbangan di sini bermaksud imbangan tekanan cecair dalam badan. Anda semua pasti pernah pada suatu ketika mempelajari subjek sains yang menghuraikan bagaimana keadaan cecair berubah apabila tekanan udara berubah. Tekanan yang turun atau naik, boleh mengubah suhu dan isipadu cecair yang padanya dikenakan perubahan tekanan tersebut. Tekanan yang tidak sesuai pada tubuh boleh menyebabkan saluran darah yang terdapat di segenap tubuh anda pecah terburai....

Melontarkan pandangan di luar sana, pasti anda sedar akan langit yang diciptakan berlapis-lapis. Setiap lapisan memainkan peranan masing-masing dalam membantu manusia hidup di dunia ini. Pada setiap lapisan, kelajuan udara yang bergerak di dalamnya juga berlainan. Pergerakan udara di mana kita berada di dalamnya ini amatlah tenang. Berada sedikit di atas, kelajuan udaranya jauh lebih deras berbanding pada permukaan bumi. Seandainya lapisan ini tidak disusun sekemasnya, anda sendiri boleh membayangkan bagaimana kucar-kacir keadaannya. Berdasarkan fakta-fakta sahih, udara yang bertiup 5 batu di atas paras laut boleh mencapai kelajuan 200 batu sejam. Ribut, angin taufan, typhoon dan sebagainya yang diklasifikasikan manusia sebagai bencana alam yang dahsyat pada hakikatnya hanya mencapai kelajuan 75 batu sejam. Sahabat pembaca sekalian, tiada manusia atau apa jenis kehidupan sekalipun yang mampu hidup apabila ditiup oleh udara selaju 200 batu sejam itu walaupun untuk satu tempoh yang singkat.


Sedikit peringatan ini semoga dapat menyedarkan kita, betapa lemahnya manusia. Setiap saat pada kehidupan ini perlu kita syukuri dan gunakan sebaiknya. Terlalu banyak kelebihan yang telah diberikan kepada kita, dengan tujuan kita dapat hidup di atas muka bumi ini, dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta.

Keadaan kita ini tidak ubah seperti seorang pekerja dengan majikannya. Bagi membolehkan seorang pekerja melaksanakan tugasan dengan baik, majikan akan menyediakan pekerjanya itu dengan pelbagai kemudahan. Gaji yang lumayan, kereta, insurans, perlindungan kesihatan, bonus dan sebagainya. Dengan tersedianya semua kemudahan tadi, sudah tentu majikan mahukan pekerjanya mencapai yang terbaik. Pekerja yang baik, sudah pasti akan menyumbangkan segala keringat, kemahiran dan kebijaksanaan yang ada bagi memenuhi prestasi kerja yang telah ditetapkan oleh majikannya. Majikan pula sudah pasti bertambah sayangnya pada majikan ini dan terus mengurniakannya dengan bermacam lagi kemudahan.

Sekarang, bayangkan pula seorang pekerja lain yang malas, sombong, kurang bijak dan berlagak lebih besar daripada majikannya sendiri. Kerja-kerja yang diberi tidak pernah diselesaikan, sering pula melakukan perkara yang tidak disukai oleh majikannya, namun masih menggunakan dan mahukan lebih banyak daripada segala insentif yang sudahpun dikecapi. Lebih teruk lagi, pekerja ini tidak mengiktiraf pula majikan ini. Malangnya si majikan, sering diumpat, difitnah dan dihina pula. Jika anda menjadi majikan kepada pekerja ini, apa agaknya yang akan anda lakukan padanya?

Fikirkanlah sahabat sekalian. Fenomena rekaan tadi hanya berhubung seorang pekerja dan majikannya. Apa sangatlah nilai kelebihan yang diberikan oleh majikan itu jika hendak dibandingkan apa yang telah dikurniakan Pencipta setiap diri kita ini. Namun, masihkah kita mahu berasa bongkak dan tidak mahu melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya? Setiap kelebihan itu, datang hanyalah daripadaNya. Mulakanlah hidup kita selepas ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. Bagi mengakhiri tulisan kali ini, saya sisipkan suatu video yang cukup memberi makna pada diri ini. Semoga ia turut memberi manfaat pada anda semua...




p/s: saya mengalu-alukan anda berkongsi semua hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini kepada sahabat-sahabat lain seandainya anda mendapati ia baik untuk semua. Saya hanyalah manusia kerdil yang masih merangkak namun berkeinginan menyambung perjuangan mereka yang terdahulu...



2 comments:

Unknown said...

Surah:44.Ad-Dukhan.38.

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

NQ: And We created not the heavens and the earth, and all that is between them, for mere play,

So it very much verifies that eveything that was created in this world has its own purpose... from the smallest thing like particles and atoms to the biggest thing like maybe galaxy and so forth..

Nice piece of writing!

Wassalam

rough_U_deen said...

IAllah...
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim:ayat 7)

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB