Saturday, June 9, 2007

Manusia yang "HEBAT"

Assalamualaikum. Alhamdulillah, dengan berkat keizinanNya, dapat saya curahkan sekali lagi apa yang tersirat jauh di dalam hati ini kepada khalayak pembaca sekalian. Jika entry-entry sebelum ini saya lebih suka menyeru rakan-rakan pembaca ke arah memikirkan masalah umat sejagat, namun pada kali ini izinkan saya membawa anda bersama-sama menyelami ke dalam diri kita yang kerdil ini. Dalam membentuk diri yang mempunyai peribadi tinggi, kita perlu terlebih dahulu kenal dengan diri sendiri. Tahu apakah bidang kuasa kita terhadap diri kita sendiri.



Apakah anda benar-benar mengenali diri anda? Sejauh mana anda mengetahui selok-belok diri anda? Apakah kita benar-benar mengawal segala sistem dalam badan kita sehingga kita dapat menjalani kehidupan sepertimana yang kita jalani kini? Sebenarnya, pernahkah anda fikirkan semua soalan yang saya persoalkan tadi???


Menjadi manusia itu sendiri merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai harganya. Tidak perlu saya perjelaskan bagaimana proses kejadian manusia kerana saya pasti ada antara khalayak pembaca yang jauh lebih arif daripada saya sendiri. Maklumlah, saya hanya menuntut pelajaran berkaitan kejuruteraan mekanikal. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah hakikat yang sering kita lupakan sebagai seorang manusia, secara sedar atau pun tidak...







Gambar yang tertera di atas adalah rajah yang sangat ringkas berkenaan anatomi manusia. Anda semua pastinya sedar bahawasanya kita adalah suatu makhluk yang sangat kompleks. Itulah sebabnya ramai manusia yang rasa bongkak dengan diri mereka sendiri menyedari hakikat bahawa mereka berpotensi untuk melakukan pelbagai perkara. Lebih melampau bila ada antara manusia yang mahu menindas dan manguasai manusia lain hanya atas alasan mereka lebih istimewa berbanding orang lain.



Masalah yang saya sebut di atas banyak berlaku pada era pemerintahan Adolf Hitler yang mengagung-agungkan idea nazisme nya. Bahkan, Inggeris yang menganjurkan program lawatan sambil menjajah ke negara kita tidak lama dahulu turut memakai idea yang sama, iaitu atas kelebihan yang mereka ada, mereka perlu menguasai manusia lain. Namun, itu bukanlah isi asal entry pada kali ini. Pada kali ini, saya ingin membawa anda sama-sama menyedari hakikat "LEMAHNYA" kita sebagai manusia ini.



Sahabat sekalian, potensi manusia sememangnya besar. Sudah ada manusia yang sampai ke bulan. Ada pula yang berjaya menghantar alat pemantau ke planet lain. Di sebalik segala kehebatan yang kita nampak dengan mata kasar ini, manusia sebenarnya sangat lemah hinggakan apa yang berada di dalam tubuh sendiri pun tidak mampu manusia mengawalnya.


Apabila kita bernafas, mampukah kita sendiri mengarahkan pergerakan udara itu ke dalam paru-paru? Adakah kita sendiri yang menentukan pergerakan setiap injap dan pam yang ada di dalam jantung supaya memenuhi keperluan oksigen tubuh kita dalam keadaan yang berbeza-beza? Jantung kita yang bergerak tanpa henti, 24/7 ini, akan mampukah kita kawalkan ketika sedang tidur lena di tengah malam?




Apabila kita makan, mampukah kita sendiri mengarahkan tubuh kita untuk menukarkan makanan yang dimakan kepada zat-zat yang kita perlukan? Atau paling kurang pun, mampukah kita mengarahkan makanan yang kita makan ke perut? Kita sendirikah yang mengawal jumlah pengeluaran segala macam rembesan bagi membolehkan pencernaan makanan berlaku?







Apabila kita mendengar, adakah kita berkuasa mengubah frekuensi bunyi yang diterima oleh telinga? Sekiranya kita tidak berjaya mendengar, mampukah kita meningkatkan sensitiviti tulang tukul, rakap dan andas supaya kita mendengar? Pernahkah kita mengambil berat ketika menyeimbangkan kedudukan tubuh kita, bagaimana percaturan yang dibuat oleh apparatus vestibular dan rakan-rakan organ lain?







Apabila kita melihat, sejauh mana sebenarnya kita sendiri berupaya mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata menerusi lapisan kornea itu? Apakah kita mampu mengawal kemasukan cahaya dan bagaimana mata berfungsi dalam membentuk objek 3-dimensi? Mampukah kita sendiri menentukan bila kita perlu melihat sesuatu dalam 3-dimensi atau 2-dimensi?







Sahabat sekalian, persoalan-persoalan yang saya kemukakan tadi hanyalah sebahagian kecil daripada hakikat kompleksnya sistem tubuh manusia ini. Saya bukan mahu anda mencari jawapan bagaimana setiap proses berlaku. Saya hanya berniat memimpin kalian bersama-sama dengan saya menyedari bahawa kita hanyalah insan yang lemah.



Tubuh kita dicipta olehNya dalam keadaan semua organ mampu bekerja secara automatik dan mampu pula berinteraksi dengan baik sesama "mereka". Cubalah anda bayangkan mata yang tidak mahu bekerjasama dengan otak. Anda mungkin dapat melihat tetapi tidak dapat menilai sesuatu situasi. Bayangkan pula telinga yang tidak mahu berinteraksi dengan mulut. Anda mungkin boleh mendengar, namun ucap balas anda mungkin tiada kaitan dengan apa yang anda baru sahaja perdengarkan. Bayangkan pula kaki yang tidak mahu bekerjasama dengan anggota tubuh yang lain. Tak tahulah ke mana agaknya tubuh ini akan diarahkan. Segala interaksi ini dilakukan melalui akal manusia yang sangat sempurna ciptaanNya. Tetapi segala interaksi yang saya sebutkan tadi adalah interaksi yang kita lakukan melalui akal yang sedar. Percaya atau tidak, terdapat ribuan lagi interaksi yang berlaku sesama anggota tubuh yang dilakukan tanpa kita sendiri menyedarinya. Sebagai contoh, interaksi paru-paru dan jantung, perut dan sistem usus, telinga dan mulut, tangan dan saluran darah, dan banyak lagi.



Sahabat sekalian, andaikan kita terpaksa mengawal semua organ melalui akal yang sedar ini, agaknya mampukah kita hidup sepertimana hari ini? Setiap hari kita dibebani masalah pelajaran, projek yang tidak pernah putus-putus, assignment yang bersusun, masalah nasi tidak cukup di rumah,masalah isteri yang dimarahi di pejabat (khas buat seorang sahabat..hehehe), masalah dengan cleaner dan macam-macam lagi. Itu semua sebenarnya perkara-perkara yang sangat mudah untuk diselesaikan oleh akal anda. Namun, kita masih terus merungut dengan kehidupan yang kita hadapi sekarang. Kononnya apa yang kita ada masih lagi tidak cukup untuk disyukuri.



Sahabat sekalian, mudahnya kehidupan kita pada hari ini hanya kerana dipermudahkan oleh Pencipta. Tetapi, kita semua perlu ingat bahawa setiap kelebihan yang dikurniakan ini, perlu dibayar dengan suatu harga. Harga di mana ramai manusia cuba mencari apakah nilainya? Bagaimana perlu ia dibayar? Kebanyakan manusia kini gagal menemui jawapannya. Lebih ramai lagi yang langsung tidak mempedulikan apakah setiap kelebihan yang dikecapi itu ada harganya. Bagaimana pula dengan anda? Malanglah kita sekiranya kita adalah mereka yang langsung tidak peduli apakah nilainya kelebihan ini. Paling kurang, jadilah kita mereka yang cuba mencari jalan bagaimana membayar harga setiap kelebihan. Tidak saya nafikan, jawapannya bukanlah semudah ABC.......



Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan.



p/s: maafkan segala kesilapan penggunaan istilah di dalam entry kali ini. saya minta anda rujuk sumber yang lebih sahih untuk maklumat yang lebih tepat.





Powered by ScribeFire.

7 comments:

Unknown said...

fuoh, hampir2 aku lupe ko wat engineering, bukan medic..mantap..sape nye isteri kene marah kat pejabat??

Gua said...

hebat la akak
banggo den ado org nogri den amni ado eh...idup akak..

Nabihah Sallih said...

hebat kah manusia?
yezza. sangat hebat! sebab manusia satu2 nye makhluk Allah yang mempunyai akal utk berfikir.

Dengan kehadiran akal itu, manusia kena optimumkan penggunaannya utk membezakan yang haq dan batil.

Tapi, sehebat mana manusia pun, mereka tetap faqer kepada Allah.

Firman Allah, 35:15
Wahai manusia, kamu fakir (berkehendak) kepada Allah Maha kaya lagi Maha Terpuji.

Apa2 pun: Kekadang utk fikir masalah umat sejagat, kena reflek diri sendiri juga sebagai permulaan. Baguslah entri kali ini~mambawa manusia ke pucuk pangkal dan akar umbi kehidupan insani.

afifi said...

sebenarnya dlm tubuh manusia pun ada kejuruteraan mekanikal jg..hehe.tp of course la yg tu sukar utk difahami.malah byk lg perkara yg berkaitan dgn manusia ni yg masih belum dibongkar.contohnya fungsi appendiks.ramai doktor barat beranggapan appendiks ni tiada fungsi.kalo di buang dr kecil pun xpe.tp rsnya pasti ada hikmah kewujudan appendiks tu.cuma mgkn kita masih xtau atau ketidakmampuan akal kita utk berfikir akan fungsi appendik tersebut.sedangkan batu kecil tepi jalan pun ada fungsinya,inikan pula apendik yg dalam badan kita ni.

zurina said...

menarik2...
i like reading this entry..
byk pk~
thanks~

Anonymous said...

alhamdullilah kita bentar lagi puasa .. semangat ya u/ smua orang islam nan beriman di dunia ini . AMIEN .
sbagai makhluk allah yg beriman kita harus wajib kudu puasa .

daftar standard gaji indonesia terbaru said...

artikel yang bagus. salam sukses

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB