Bagaimana kalau semua manusia hanya takutkan Ilahi? Mungkin tiada manusia yang diperhamba dunia dan sesama sendiri.
Bagaimana kalau dunia ini dipenuhi manusia yang saling mengasihi? Mungkin tiada kesempatan untuk saling iri, dengki dan membenci.
Bagaimana kalau semua lelaki menjaga pandangan? Mungkin para wanita tiada teringin pakai baju yang mendedah-dedahkan...
Bagaimana kalau semua wanita berpakaian sopan? Mungkin akan berkuranglah kadar rogol, zina dan bayi-bayi dipembuangan.
Bagaimana kalau semua anak muda datang memenuhi masjid? Mungkin tiada timbul masalah mat peet dan mat rempit.
Bagaimana kalau semua anak muda datang solat berjemaah? Mungkin masa depan agama, negara dan bangsa kita kian mencerah.
Bagaimana kalau semua anak muda mengimpikan syurga? Mungkin generasi seterusnya juga bakal punya cita-cita yang sama.
Mustahilkah semua yang disebut tadi terjadi? Saya yakin dengan izinNya, semua itu pasti. Namun itulah mimpi. Mimpi seorang pemimpi yang impiannya menggunung tinggi. Yang akan hanya terhapus oleh sifat putus asa dirinya sendiri.
Di mana perginya hasil tulisan saya? Blog ini seakan-akan sudah keruh dimamah masa dek kerana penulisnya yang sangat malas menabur luahan buah fikiran dan hati. Saya seakan-akan hilang segala ilham untuk menulis. Doakan agar timbul kembali kesedaran dalam diri saya untuk kembali menabur jasa melalui medium ini.
Oh ya, saya ingin mengucapkan ribuan jika tidak jutaan terima kasih buat semua sahabat yang meraikan kedatangan saya ke New Zealand sempena menghadiri majlis konvokasi. Saya amat gembira kerana diberi peluang bertemu muka-muka baru yang menyemarakkan semangat kaum muda di sana. Kaum muda yang saya yakin bakal menjadi paksi kepada kebenaran yang tegas menolak segala kebathilan.
Kalaulah manusia hanya dinilai pada jasadnya sahaja, maka kita mungkin boleh dibeli dengan beberapa ratus ringgit sahaja. Apa tidaknya, kita masing-masing terdiri daripada unsur-unsur biasa yang terdapat di atas bumi. Kita bukan diciptakan daripada berlian mahupun emas. Malah, sebahagian besar tubuh kita ini hanya terdiri daripada unsur air sahaja.
Maka, apa yang menyebabkan kita ini lebih berharga daripada emas dan permata adalah kemampuan kita melakukan sesuatu. Lebih besar jasa kita kepada manusia dan alam sejagat, maka lebih mahallah harga kita.
Harta yang paling bernilai adalah harta yang hanya mampu dimiliki oleh segolongan manusia yang benar-benar berada sahaja. Sebaliknya, barangan yang murahan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dan kalau dibuang-buang pun tiada siapa yang peduli.
Manusia yang bernilai adalah mereka yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa dengan apa-apa sekalipun. Contoh sudah jelas ditunjukkan pada kita melalui teladan hidup Rasulullah dan para sahabat.
Mereka yang dengan mudah dibeli oleh wang, wanita (atau lelaki) mahupun pangkat seumpama barangan murah yang dijual dengan diskaun 70% pula. Barangan ini dibeli sekadar untuk menghabiskan wang syiling yang memberatkan poket.
Apakah anda manusia bak permata berharga lebih mahal daripada bumi dan segala isinya atau semurah pakaian di kedai bundle yang boleh dijual pada harga 3 helai untuk RM10?
Suka untuk saya berkongsi sebuah kisah pendek daripada novel yang baru saya selesaikan pagi tadi. Sebuah kisah yang moga-moga dapat menaikkan semangat dan memimpin rohani kita untuk menjadi manusia lebih cemerlang.
Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor singa betina yang bakal melahirkan anaknya di sebuah kawasan lapang, di dalam hutan. Selepas melahirkan anak, singa betina itu jatuh sakit dan langsung mati. Maka terbiarlah anak singa yang baru lahir itu sendirian.
Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa ekor kambing ke kawasan lapang itu. Kasihan melihat anak singa itu, mereka berbincang dan membuat keputusan yang luar biasa. Mereka sepakat membawa anak singa itu pulang untuk hidup bersama mereka.
Banyak kambing yang terkejut dangan kehadiran anak singa itu. Namun, hari berganti hari dan mereka semakin selesa hidup dengan anak singa tersebut. Maka hari-hari anak singa itu dihabiskan dengan gaya hidup keluarga barunya, iaitu komuniti kambing.
Anak singa kini sudah dewasa. Singa itu melakukan apa yang kambing-kambing lain lakukan dan makan apa yang kambing lain makan. Sehinggakan, suara singa itu juga sudah seakan-akan seekor kambing. Ia tidak bisa meng'aum' lagi bahkan hanya mampu meng'embeek'. Sifat dan jatidiri seekor kambing sudah sebati dalam dirinya. Ia bukan singa lagi.
Mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, seekor serigala datang menyerang kawanan kambing itu. Semua kambing lari mencari pelindungan. Mereka meletakkan semua harapan kepada anak singa yang telah dewasa itu untuk melindungi mereka. Namun, anak singa itu pula yang lebih hebat takutnya. Dia bahkan lari berlindung di belakang kambing induk yang menjadi ketua kawanan itu.
Kambing induk itu seraya berkata, "Bukankah kau seekor singa? Engkaulah yang sepatutnya melindungi kami daripada serigala itu". Anak singa itu tidak faham dan menegaskan bahawa dia juga seekor kambing sepertimana sahabat-sahabat yang lain.
Serigala semakin mengganas. Seekor demi seekor kambing yang menjadi mangsanya. Kambing induk menjadi terlalu berang lalu cuba menyelamatkan kambing-kambing yang diserang. Malangnya, kambing induk juga tidak cukup upaya menentang serigala yang sungguh licik dan ganas itu.
Anak singa itu rasa sungguh marah apabila kambing induk yang sudah ia anggap bagai ibu sendiri itu diperlakukan sehingga tiada upaya untuk berdiri. Ia terus maju bagi mempertahankan kambing induk. Alangkah terkejutnya sang serigala melihat bagaimana boleh wujud seekor singa di tengah-tengah kawanan kambing.
Apabila siap menyerang maka singa itu pun menyergah.. "Embeek.. Embeek.." Sekali lagi serigala itu terkejut besar. Ia yang pada mulanya berasa sangat takut, kini faham. Singa itu bukanlah seekor singa lagi. Ia sudah mengalami transformasi menjadi seekor kambing yang pengecut. Kini anak singa itu pula yang menjadi habuan serigala.
Sedang asyik mengganyang si anak singa, tiba-tiba kedengaran suatu suara yang menggenturkan jiwa. "AÙUMMM.." seekor singa yang sebenar pula datang. Niat asalnya juga mahu mencari mangsa di kalangan kawanan kambing itu. Tetapi ia dikejutkan dengan kehadiran seekor singa lain yang sedang dikerjakan teruk oleh sang serigala. Serigala tersebut kini benar-benar takut lalu lari jauh ke dalam hutan.
Anak singa itu takut melihat singa yang baru hadir itu lalu lari bersama-sama kambing yang lain. Singa itu tidak jadi mengejar kambing tetapi terus cuba mengejar untuk mendapatkan anak singa yang sudahpun dewasa itu.
Anak singa itu kepenatan dan berjaya ditangkap singa yang mengejarnya. Berkata anak singa, "ampunkan aku wahai singa. Kau jangan makan aku". Singa itu menjawab. "aku tak akan makan kau. Kau juga singa seperti aku." Anak singa itu kehairanan. Dia berkata, "tapi, aku seekor kambing. Bukan singa macam engkau!"
Singa itu lalu membawa anak singa ke sebuah sungai. Di sana dia menunjukkan bahawa mereka berdua sama-sama singa. Anak singa itu sungguh takjub melihat keadaannya yang sebenar. Maka berkatalah sang singa, "kau sudah terlalu lama duduk dalam kawanan kambing menyebabkan peribadimu sebagai seekor singa sirna. Mulai hari ini, akan aku kembalikan diri mu yang sebenar. Kau akan ku kembalikan menjadi raja rimba yang digeruni oleh semua haiwan lain."
Anak singa pada awalnya sukar menerima hakikat itu. Namun, kebenaran tetap kebenaran. Ia harus menempuh suatu proses transformasi yang sangat menyakitkan sebelum ia boleh kembali ke rimba sebagai sang raja yang dihormati serta digeruni sesiapa sahaja yang melihat.
Pengajaran kepada kisah ini, anda sendirilah yang tentukan. Saya mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi hasil dapatan masing-masing.
Semenjak masuk kerja ni, saya selalu menghitung-hitung hari. Bila agaknya boleh saya luangkan masa untuk pulang ke kampung. Maklumlah, rumah jauh di Seremban. Kenderaan sendiri pun belum ada. Tapi itu semua xpatut jadi alasan untuk tidak menjenguk ibu yang selalu bertanya, "Abang bila nak balik rumah ni? Balik sekejap pon takpe la."
Rasa segan pun selalu menjenguk. Hampir setiap hari ibu akan telefon saya bertanyakan khabar dan hal-hal kerja. Biarpun dengan hanya menggunakan celcom prepaid yang ibu saya beli beberapa bulan lepas. Walhal, saya pakai celcom postpaid. Dalam erti kata lain, lebih elok kalau saya sahaja yang telefon ibu. Mungkin ini menunjukkan betapa kasih ibu itu jauh lebih dalam daripada kasih anak kepadanya.
Untuk seorang jurutera, kasih sayang itu sesuatu yg agak objektif. Anda beri 1 maka 1 lah yang anda akan dapat kembali. Tapi itu bukan kesnya dengan kasih seorang ibu. Biarpun hanya 0.5 yang saya berikan, namun itu sudah cukup untuk ibu saya memberikan 50 bahagian daripada kasih sayangnya.
Ibu yang dahulu sering meleteri saya atas kenakalan di zaman kanak-kanak, kini lebih selesa menjadikan saya tempat meluah perasaan. Cuma saya.. saya rasa saya belum cukup pandai menghargai ibu. Kadang-kadang timbul rasa jengkel bila ibu sering menceritakan masalah yang saya tidak faham dan tidak dapat menyumbang apa-apa ke arah menyelesaikannya. Tapi saya yakin, ibu tidak expect saya untuk berikan padanya apa2 penyelesaian. Ibu cuma mahu saya dengar. Oh, mulia sungguh hati seorang ibu.
Saya masih ingat ayat yang pernah ibu lontarkan pada saya satu ketika dulu dan cukup membuat saya tersentuh sehingga sekarang,
"Biar macam mana teruk, bodoh pun korang.. Korang masih lagi anak-anak ibu. Takde siapa yang boleh jauhkan ibu daripada seorang pun anak-anak yang ada"
Biar jauh di mata, ibu terus dekat di telinga (sebab senang telefon) dan di hati.
Akhirnya, tergerak juga hati saya untuk kembali mengisi ruang maya ini. Maafkan kelalaian saya yang membiarkan ruang ini tidak dikemas kini lebih sebulan lamanya.
Hari ini, mari baca serba sedikit pengalaman saya yang baru masuk hari ketiga ke alam pekerjaan.
Saya bekerja dengan salah sebuah syarikat petroliam. Sebelum memulakan pekerjaan, semua pekerja baru dikehendaki menghadiri kursus induksi selama dua minggu. Seperti biasa, mmg terlalu byk yang saya perolehi. Baik dan juga buruk. Mari kita cerita tentang yang baik-baik sahaja. Yang buruk-buruk, biarlah saya simpan sebagai sempadan.
Sahabat pembaca, Di sepanjang kursus, para peserta diterapkan dengan pelbagai nilai yang digariskan oleh syarikat bagi membolehkan ia membina para pemimpin yang bakal memacu cita-citanya menjadi syarikat petroliam terbaik di dunia. Antaranya ialah, hidup ini perlu kepada perubahan. Kita tidak akan ke mana-mana seandainya kita tidak berani mencabar diri sendiri untuk menggapai sesuatu yg lebih tinggi. Berani mengambil risiko juga penting dalam meningkatkan potensi diri sendiri. Seandainya kita terus berasa selesa dengan keadaan kita sekarang, percayalah, kita sememangnya berada dalam keadaan yg sangat rugi.
Harapnya, perkongsian pendek tadi menjadi langkah mula untuk saya kembali memberi perkongsian-perkongsian dhaif kepada anda semua.
p/s: mari terus mendoakan kesejahteraan Ummat Muhammad di seantero dunia.
Hari ini, sudah lebih seminggu saudara-saudara kita di Palestin dibedil dan dianiaya seteruk-teruknya. Sikap pemimpin dan tentera Zionis yang sungguh bongkak dan menjengkelkan meyebabkan penduduk dunia menjadi kian marah, kian menyampah. Sungguh, mereka ini manusia tidak sedar diri. Manusia yang tidak kenal dek untung. Manusia "selfish" yang hanya Allah lah selayaknya menjadi penghukum mereka.
Benar, tiada sistem keadilan di dunia yang mampu menghukum iblis-iblis sombong dan pengecut ini. Biar neraka Allah yang menghitung setiap zarah kezaliman mereka yang menyakiti saudara-saudara saya setiap saat sedari tahun 1948 lagi.
Ingin saya kongsikan fakta yg disampaikan oleh Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang menganggotai Palestine Center of Excellence (PACE).
Fakta 1: Gaza sudah berada dalam serangan dan sekatan Israel semenjak 18 bulan yang lepas.
Fakta 2: Tiada makanan, ubat-ubatan dan bermacam keperluan lain yang dibenarkan masuk ke Gaza. Penduduk-penduduk Gaza kini kelaparan dan hak-hak kemanusiaan mereka sering dinafikan.
Fakta 3: Kerajaan Hamas bersetuju untuk patuh kepada gencatan senjata selama 6 bulan dengan Israel yang berakhir pada 19 Disember lepas.
Fakta 4: Gencatan senjata tersebut telah dibatalkan Israel dengan alasan pejuang Hamas telah menembak roket buatan mereka ke dalam Israel. Inilah hasil penipuan yang dibuat oleh Israel melalui kuasa media yang berada di tangan mereka.
Fakta 5: Kebenarannya, pejuang Hamas menembak roket sebagai balasan kepada beberapa pencerobohan yang dilakukan oleh tentera penakluk Israel (IOF) ke dalam wilayah Gaza yang telah menyebabkan kematian beberapa pegawai keselamatan Palestin dan anak-anak kecil.
Fakta 6: Kenyataan Israel yang mengatakan serangan mereka berbentuk pertahanan adalah penipuan semata-mata. Israel telah merancang serangan ini semenjak bulan June 2008. Mereka dengan liciknya mengembil kesempatan pada waktu-waktu tenang gencatan senjata untuk merancang serangan ini.
Wallahua'lam. Sememangnya kita mengharapkan Allah akan membantu mereka. Namun, melalui siapa? Adakah kita bakal menjadi sebahagian daripada sistem pertolongan yang akan diturunkan Allah itu?