Sunday, April 5, 2009

Berapa Nilai Kita?

Kalaulah manusia hanya dinilai pada jasadnya sahaja, maka kita mungkin boleh dibeli dengan beberapa ratus ringgit sahaja. Apa tidaknya, kita masing-masing terdiri daripada unsur-unsur biasa yang terdapat di atas bumi. Kita bukan diciptakan daripada berlian mahupun emas. Malah, sebahagian besar tubuh kita ini hanya terdiri daripada unsur air sahaja.


Maka, apa yang menyebabkan kita ini lebih berharga daripada emas dan permata adalah kemampuan kita melakukan sesuatu. Lebih besar jasa kita kepada manusia dan alam sejagat, maka lebih mahallah harga kita.


Harta yang paling bernilai adalah harta yang hanya mampu dimiliki oleh segolongan manusia yang benar-benar berada sahaja. Sebaliknya, barangan yang murahan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dan kalau dibuang-buang pun tiada siapa yang peduli.


Manusia yang bernilai adalah mereka yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa dengan apa-apa sekalipun. Contoh sudah jelas ditunjukkan pada kita melalui teladan hidup Rasulullah dan para sahabat.


Mereka yang dengan mudah dibeli oleh wang, wanita (atau lelaki) mahupun pangkat seumpama barangan murah yang dijual dengan diskaun 70% pula. Barangan ini dibeli sekadar untuk menghabiskan wang syiling yang memberatkan poket.


Apakah anda manusia bak permata berharga lebih mahal daripada bumi dan segala isinya atau semurah pakaian di kedai bundle yang boleh dijual pada harga 3 helai untuk RM10?


Pilihlah kerana keputusan berada di tangan anda



[ ... ]

Monday, March 9, 2009

Singa atau Kambing?

Sahabat pembaca,

Suka untuk saya berkongsi sebuah kisah pendek daripada novel yang baru saya selesaikan pagi tadi. Sebuah kisah yang moga-moga dapat menaikkan semangat dan memimpin rohani kita untuk menjadi manusia lebih cemerlang.


Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor singa betina yang bakal melahirkan anaknya di sebuah kawasan lapang, di dalam hutan. Selepas melahirkan anak, singa betina itu jatuh sakit dan langsung mati. Maka terbiarlah anak singa yang baru lahir itu sendirian.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa ekor kambing ke kawasan lapang itu. Kasihan melihat anak singa itu, mereka berbincang dan membuat keputusan yang luar biasa. Mereka sepakat membawa anak singa itu pulang untuk hidup bersama mereka.


Banyak kambing yang terkejut dangan kehadiran anak singa itu. Namun, hari berganti hari dan mereka semakin selesa hidup dengan anak singa tersebut. Maka hari-hari anak singa itu dihabiskan dengan gaya hidup keluarga barunya, iaitu komuniti kambing.


Anak singa kini sudah dewasa. Singa itu melakukan apa yang kambing-kambing lain lakukan dan makan apa yang kambing lain makan. Sehinggakan, suara singa itu juga sudah seakan-akan seekor kambing. Ia tidak bisa meng'aum' lagi bahkan hanya mampu meng'embeek'. Sifat dan jatidiri seekor kambing sudah sebati dalam dirinya. Ia bukan singa lagi.


Mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, seekor serigala datang menyerang kawanan kambing itu. Semua kambing lari mencari pelindungan. Mereka meletakkan semua harapan kepada anak singa yang telah dewasa itu untuk melindungi mereka. Namun, anak singa itu pula yang lebih hebat takutnya. Dia bahkan lari berlindung di belakang kambing induk yang menjadi ketua kawanan itu.


Kambing induk itu seraya berkata, "Bukankah kau seekor singa? Engkaulah yang sepatutnya melindungi kami daripada serigala itu". Anak singa itu tidak faham dan menegaskan bahawa dia juga seekor kambing sepertimana sahabat-sahabat yang lain.


Serigala semakin mengganas. Seekor demi seekor kambing yang menjadi mangsanya. Kambing induk menjadi terlalu berang lalu cuba menyelamatkan kambing-kambing yang diserang. Malangnya, kambing induk juga tidak cukup upaya menentang serigala yang sungguh licik dan ganas itu.


Anak singa itu rasa sungguh marah apabila kambing induk yang sudah ia anggap bagai ibu sendiri itu diperlakukan sehingga tiada upaya untuk berdiri. Ia terus maju bagi mempertahankan kambing induk. Alangkah terkejutnya sang serigala melihat bagaimana boleh wujud seekor singa di tengah-tengah kawanan kambing.


Apabila siap menyerang maka singa itu pun menyergah.. "Embeek.. Embeek.." Sekali lagi serigala itu terkejut besar. Ia yang pada mulanya berasa sangat takut, kini faham. Singa itu bukanlah seekor singa lagi. Ia sudah mengalami transformasi menjadi seekor kambing yang pengecut. Kini anak singa itu pula yang menjadi habuan serigala.


Sedang asyik mengganyang si anak singa, tiba-tiba kedengaran suatu suara yang menggenturkan jiwa. "AÙUMMM.." seekor singa yang sebenar pula datang. Niat asalnya juga mahu mencari mangsa di kalangan kawanan kambing itu. Tetapi ia dikejutkan dengan kehadiran seekor singa lain yang sedang dikerjakan teruk oleh sang serigala. Serigala tersebut kini benar-benar takut lalu lari jauh ke dalam hutan.


Anak singa itu takut melihat singa yang baru hadir itu lalu lari bersama-sama kambing yang lain. Singa itu tidak jadi mengejar kambing tetapi terus cuba mengejar untuk mendapatkan anak singa yang sudahpun dewasa itu.


Anak singa itu kepenatan dan berjaya ditangkap singa yang mengejarnya. Berkata anak singa, "ampunkan aku wahai singa. Kau jangan makan aku". Singa itu menjawab. "aku tak akan makan kau. Kau juga singa seperti aku." Anak singa itu kehairanan. Dia berkata, "tapi, aku seekor kambing. Bukan singa macam engkau!"

Singa itu lalu membawa anak singa ke sebuah sungai. Di sana dia menunjukkan bahawa mereka berdua sama-sama singa. Anak singa itu sungguh takjub melihat keadaannya yang sebenar. Maka berkatalah sang singa, "kau sudah terlalu lama duduk dalam kawanan kambing menyebabkan peribadimu sebagai seekor singa sirna. Mulai hari ini, akan aku kembalikan diri mu yang sebenar. Kau akan ku kembalikan menjadi raja rimba yang digeruni oleh semua haiwan lain."


Anak singa pada awalnya sukar menerima hakikat itu. Namun, kebenaran tetap kebenaran. Ia harus menempuh suatu proses transformasi yang sangat menyakitkan sebelum ia boleh kembali ke rimba sebagai sang raja yang dihormati serta digeruni sesiapa sahaja yang melihat.


Pengajaran kepada kisah ini, anda sendirilah yang tentukan. Saya mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi hasil dapatan masing-masing.

[ ... ]

Wednesday, March 4, 2009

Bonda di kejauhan

Semenjak masuk kerja ni, saya selalu menghitung-hitung hari. Bila agaknya boleh saya luangkan masa untuk pulang ke kampung. Maklumlah, rumah jauh di Seremban. Kenderaan sendiri pun belum ada. Tapi itu semua xpatut jadi alasan untuk tidak menjenguk ibu yang selalu bertanya, "Abang bila nak balik rumah ni? Balik sekejap pon takpe la."

Rasa segan pun selalu menjenguk. Hampir setiap hari ibu akan telefon saya bertanyakan khabar dan hal-hal kerja. Biarpun dengan hanya menggunakan celcom prepaid yang ibu saya beli beberapa bulan lepas. Walhal, saya pakai celcom postpaid. Dalam erti kata lain, lebih elok kalau saya sahaja yang telefon ibu. Mungkin ini menunjukkan betapa kasih ibu itu jauh lebih dalam daripada kasih anak kepadanya.

Untuk seorang jurutera, kasih sayang itu sesuatu yg agak objektif. Anda beri 1 maka 1 lah yang anda akan dapat kembali. Tapi itu bukan kesnya dengan kasih seorang ibu. Biarpun hanya 0.5 yang saya berikan, namun itu sudah cukup untuk ibu saya memberikan 50 bahagian daripada kasih sayangnya.

Ibu yang dahulu sering meleteri saya atas kenakalan di zaman kanak-kanak, kini lebih selesa menjadikan saya tempat meluah perasaan. Cuma saya.. saya rasa saya belum cukup pandai menghargai ibu. Kadang-kadang timbul rasa jengkel bila ibu sering menceritakan masalah yang saya tidak faham dan tidak dapat menyumbang apa-apa ke arah menyelesaikannya. Tapi saya yakin, ibu tidak expect saya untuk berikan padanya apa2 penyelesaian. Ibu cuma mahu saya dengar. Oh, mulia sungguh hati seorang ibu.

Saya masih ingat ayat yang pernah ibu lontarkan pada saya satu ketika dulu dan cukup membuat saya tersentuh sehingga sekarang,
"Biar macam mana teruk, bodoh pun korang.. Korang masih lagi anak-anak ibu. Takde siapa yang boleh jauhkan ibu daripada seorang pun anak-anak yang ada"
Biar jauh di mata, ibu terus dekat di telinga (sebab senang telefon) dan di hati.


[ ... ]

Tuesday, February 24, 2009

Alam pekerjaan

Assalamualaikum

Akhirnya, tergerak juga hati saya untuk kembali mengisi ruang maya ini. Maafkan kelalaian saya yang membiarkan ruang ini tidak dikemas kini lebih sebulan lamanya.

Hari ini, mari baca serba sedikit pengalaman saya yang baru masuk hari ketiga ke alam pekerjaan.

Saya bekerja dengan salah sebuah syarikat petroliam. Sebelum memulakan pekerjaan, semua pekerja baru dikehendaki menghadiri kursus induksi selama dua minggu. Seperti biasa, mmg terlalu byk yang saya perolehi. Baik dan juga buruk. Mari kita cerita tentang yang baik-baik sahaja. Yang buruk-buruk, biarlah saya simpan sebagai sempadan.

Sahabat pembaca,
Di sepanjang kursus, para peserta diterapkan dengan pelbagai nilai yang digariskan oleh syarikat bagi membolehkan ia membina para pemimpin yang bakal memacu cita-citanya menjadi syarikat petroliam terbaik di dunia. Antaranya ialah, hidup ini perlu kepada perubahan. Kita tidak akan ke mana-mana seandainya kita tidak berani mencabar diri sendiri untuk menggapai sesuatu yg lebih tinggi. Berani mengambil risiko juga penting dalam meningkatkan potensi diri sendiri. Seandainya kita terus berasa selesa dengan keadaan kita sekarang, percayalah, kita sememangnya berada dalam keadaan yg sangat rugi.

Harapnya, perkongsian pendek tadi menjadi langkah mula untuk saya kembali memberi perkongsian-perkongsian dhaif kepada anda semua.

p/s: mari terus mendoakan kesejahteraan Ummat Muhammad di seantero dunia.
[ ... ]

Thursday, January 8, 2009

Aduh, sakit sekali

Hari ini, sudah lebih seminggu saudara-saudara kita di Palestin dibedil dan dianiaya seteruk-teruknya. Sikap pemimpin dan tentera Zionis yang sungguh bongkak dan menjengkelkan meyebabkan penduduk dunia menjadi kian marah, kian menyampah. Sungguh, mereka ini manusia tidak sedar diri. Manusia yang tidak kenal dek untung. Manusia "selfish" yang hanya Allah lah selayaknya menjadi penghukum mereka.

Benar, tiada sistem keadilan di dunia yang mampu menghukum iblis-iblis sombong dan pengecut ini. Biar neraka Allah yang menghitung setiap zarah kezaliman mereka yang menyakiti saudara-saudara saya setiap saat sedari tahun 1948 lagi.

Ingin saya kongsikan fakta yg disampaikan oleh Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang menganggotai Palestine Center of Excellence (PACE).

Fakta 1: Gaza sudah berada dalam serangan dan sekatan Israel semenjak 18 bulan yang lepas.

Fakta 2: Tiada makanan, ubat-ubatan dan bermacam keperluan lain yang dibenarkan masuk ke Gaza. Penduduk-penduduk Gaza kini kelaparan dan hak-hak kemanusiaan mereka sering dinafikan.

Fakta 3: Kerajaan Hamas bersetuju untuk patuh kepada gencatan senjata selama 6 bulan dengan Israel yang berakhir pada 19 Disember lepas.

Fakta 4: Gencatan senjata tersebut telah dibatalkan Israel dengan alasan pejuang Hamas telah menembak roket buatan mereka ke dalam Israel. Inilah hasil penipuan yang dibuat oleh Israel melalui kuasa media yang berada di tangan mereka.

Fakta 5: Kebenarannya, pejuang Hamas menembak roket sebagai balasan kepada beberapa pencerobohan yang dilakukan oleh tentera penakluk Israel (IOF) ke dalam wilayah Gaza yang telah menyebabkan kematian beberapa pegawai keselamatan Palestin dan anak-anak kecil.

Fakta 6: Kenyataan Israel yang mengatakan serangan mereka berbentuk pertahanan adalah penipuan semata-mata. Israel telah merancang serangan ini semenjak bulan June 2008. Mereka dengan liciknya mengembil kesempatan pada waktu-waktu tenang gencatan senjata untuk merancang serangan ini.

Wallahua'lam. Sememangnya kita mengharapkan Allah akan membantu mereka. Namun, melalui siapa? Adakah kita bakal menjadi sebahagian daripada sistem pertolongan yang akan diturunkan Allah itu?

[ ... ]

Friday, December 26, 2008

Kahwin

Tahniah buat para sahabat yang telah dan bakal menamatkan zaman bujang masing-masing. Semoga Allah berkati hidup kalian. Bercerita tentang perkahwinan, kita sering dijolokkan dengan pelbagai cerita. Baik yang positif mahupun yang negatif. Antara isu yang paling hangat ialah berkenaan jumlah mas kahwin.

Ia boleh jadi serendah RM 10,000.

APA? SERENDAH RM10,000? Berpoluh sey..

Bila zaman makin maju, anak muda pula semakin berpelajaran serta peristiwa kemunduran ekonomi menyebabkan mas kahwin naik sejajar dengan naiknya harga beras di pasaran dan terus naik berlawanan dengan turunnya harga minyak di stesen-stesen Petronas berdekatan.<--boleh tahan panjang ayat ni.Hehe.

Isu ini dah selalu dikupas orang, tapi kita seolah-olah tidak akan pernah jumpa jalan penyelesaiannya. Kaum lelaki di luar sana yang masih bujang dan perihatin, tolonglah cari solution skali haa..

Itu baru masalah sebelum menjelang perkahwinan. Belum masuk masalah-masalah bila sudah diijab-kabulkan. Saya masih bujang, tetapi mendengar cerita-cerita orang menyebabkan saya takut nak menghadapinya. Tapi masih ada keinginan yang tinggi untuk menamatkan zaman bujang ni. Hehe. (syy, jangan beritahu ibu saya. Janji ok?)

Apa-apa pun, perkahwinan adalah satu proses di mana manusia akan memasuki satu alam yang baru. Alam yang menguji "kejantanan" seorang lelaki dalam menjadi ketua keluarga. Dan alam yang menguji naluri selaku seorang isteri dan ibu buat si perempuan.

Sebagai seorang bujang, saya melihat proses itu sebagai satu transisi dalam mematangkan manusia. Satu fitrah yang disusun cantik oleh Tuhan. Rugilah mereka yang gagal mendalami maksud perkahwinan.

Ramai manusia gagal menghayati makna perkahwinan dan cinta. Sampai bila agaknya kita ingin melihat perkahwinan dan cinta pada sudut nafsu. Cinta kerana pasangan cantik atau kacak. Berkahwin untuk mengelak maksiat. Ayuh manusia berakal, kita halusi maksud ikatan yang dihalalkan Islam ini dengan makna yang lebih besar. Iaitu dengan makna mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan yang akan mengembalikan setiap kita kepadaNya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." an-Nuur: 26

Wallahua'lam

p/s: ucapan tahniah saya buat rakan-rakan satu fikrah, satu sekolah, satu tadika dan satu taman yang bakal menamatkan zaman bujang masing-masing tidak lama lagi.

[ ... ]

Saturday, December 6, 2008

Kata-kata akhir

Jangan Diucap Selamat Tinggal - Shades

Assalamualaikum

InsyaAllah, saya akan pulang ke tanah air esok tepat jam 2:05 petang. Ini mungkin kali yang akhir saya melontarkan kalimah dari hati di bumi Auckland ini. Andai masih diberi kesempatan, saya akan terus menulis bila di Malaysia nanti.

Terlalu banyak kenangan. Terlalu banyak pengalaman. Saya bersyukur atas kesempatan yang Allah berikan. Saya redha atas ujian yang Dia timpakan. Namun, apakah saya bersedia untuk menempuh kehidupan baru bila pulang nanti? Saya takut. Saya tidak pasti.

Buat sahabat-sahabat di Auckland yang mengenali, saya harap anda maafkan segala kesalahan saya. Saya juga manusia. Manusia sentiasa melakukan kesalahan dan selalu tersilap langkah. Maka saya turut tidak terlepas dalam melakukan perkara yang sama. Setiap kata yang terlanjur, setiap perbuatan yang terlampau, setiap hasad yang terpancar, harap dimaafkan. Maafkanlah.. Maafkanlah..

Saya sangat menghargai persahabatan kita di sini. Bukan sahaja ketika kita seronok bersama, malah ketika konflik melanda. Pada ketika itu persahabatan kita diuji dan saya rasa lebih matang dalam menangani masalah bila berhadapan dengan keadaan sedemikian. Saya rasa diri diperbaiki.

Buat kawan-kawan yang telah berjaya menamatkan program Ijazah di Universiti of Auckland ini, saya berdoa agar Allah mudahkan urusan kita di alam pekerjaan nanti. Alam itu tidaklah mudah. Malah mungkin lebih payah daripada apa yang kita hadapi di sini. Jangan lupa, kita manusia belaka. Bukan mesin pencetak wang. Wang ringgit tidak pernah cukup seandainya kita terus mengejar. Kita hidup untuk berkasih. Berkasih dengan Tuhan, berkasih dengan keluarga, sesama manusia dan alam yang selalu membantu selalu memerhati.

Buat mereka yang masih belum tamat perjuangannya, teruskanlah sehingga kejayaan memanggil anda pergi.

Buat akhirnya, saya sertakan beberapa gambar yang memberi pelbagai kenangan.


1st year: lawatan bersama-sama rakan satu batch dan abg senior.

2nd year: Trip ke Cape Reinga

2nd year: Majlis Hari Jadi saya

Final year: Pasca Solat Raya Di Mt Street Prayer Room

Final Year: Majlis Perpisahan bersama "adik-adik"

Andai ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB