Saturday, May 24, 2008

Untuk Apa Study kita?

Assalamualaikum

Saya ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk meluahkan segala kebingungan yang menguasai diri pada masa sekarang. Saya merasakan seolah-olah hidup tidak menentu. Masa bagaikan tiada kenal erti kasihan pada hamba Allah yang lemah dari segala sudut ini.

Sahabat sekalian,

jamAkhir-akhir ini saya rasakan benar-benar terbeban dengan tanggungjawab akademik yang terpaksa dilaksanakan. Semua projek dan assignment seperti mendesak-desak supaya disiapkan secepat dan sebaik mungkin. Namun saya rasa tidak mampu. Siapalah saya. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk saya terus hanyut dalam dunia akademik penuh pancaroba ini.

Mungkinkah ini suatu percaturan yang dirancang dengan cukup cantik oleh Allah? ProgramNya bagi menyediakan saya sebelum melalui pelbagai onak yang durinya jauh lebih tajam pada masa akan datang? Saya tidak tahu? mungkin juga.. Wallahua'lam. Mungkin artikel hasil tulisan seorang ustaz yang disegani ini dapat memberi anda lebih pemahaman tentang hakikat hidup penuh ujian. Klik di sini.

Dalam kesibukan ini, saya luangkan juga masa untuk muhasabah segala aktiviti sepanjang minggu. Ternyata, apa yang saya jalani minggu ini sedikit tersasar daripada garisan lurus itu. Garisan lurus yang bernama Islam. Orang boleh kata, study juga sebahagian daripada Islam. Tetapi saya melihat pernyataan itu dari suatu sudut yang berbeza.

glasses

Bagaimana study untuk Islam? Mudah sahaja untuk kita mengetahui apakah benar study, hobi atau apa sahaja yang kita lakukan kini kita niatkan kerana Allah. Jawab soalan berikut untuk menilai apa matlamat sebenar study kita. Ambillah sedikit masa untuk merenung jawapan yang datangnya jujur dari diri anda.

Apakah harapan anda setelah tamat belajar?

Jawapan yang biasa diterima untuk soalan tersebut ialah mahu mendapat pekerjaan yang berprestij supaya akhirnya boleh membalas jasa ibu dan ayah. Mereka yang mahu menambah saham akhirat pula turut meletakkan janji untuk menyedekahkan sebahagian harta kepada manusia-manusia faqir dan memerlukan.

Apakah itu semua cukup membuktikan bahawa study kita adalah kerana Allah? Masih jauh wahai sahabat, masih jauh. Pada pandangan saya, jawapan tadi tidak lebih daripada hanya meletakkan pembelajaran kerana Allah dan Islam sebagai matlamat kedua atau mungkin lebih rendah daripada itu.

Jadi, bagaimana sebenarnya matlamat study kerana Allah?

Saya tinggalkan persoalan itu untuk anda fikirkan dahulu.

Wallahua'lam

[ ... ]

Wednesday, May 14, 2008

Air yang Terapung

Air tidak syak lagi merupakan suatu sumber yang amat diperlukan manusia setiap hari. Namun setakat mana kita mensyukuri nikmat itu?

___________________________________________________________________________

Saudaraku! Jadilah orang yang memerhatikan awan
bagaimana pada waktu petang ia berterbangan

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat
adakah kau bersyukur kepada Tuhan akan nikmat

DSCN0871Lalu matahari menguasai laut
untuk dibangkitkan wap air daripadanya

Diangkat airnya ke atas
melepasi bukit bukau yang tinggi

Dan diliputinya udara sejuk
bagi memberhentikan kenaikannya ke langit

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas
maka kita tidak mendapat walau setitis hujan

Dia menghalau tiupan angin dalam keadaan bertaburan
hujan turun selepas awan diperah

kai1scn-6Tidak ada bukit bukau yang dapat menghalang
jika Dia mahu, hujan pasti akan turun walau dimana

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya
dengan takdirNya,ia terus bergerak

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus
menusia pasti akan ditimpa kebinasaan

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan
apakah yang mampu manusia lakukan andai air batu sebesar bukit dijatuhkan?

rangiscn03Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita dalam bentuk titisan
sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah
supaya tidak menjadi penghalang segala makhluk

Tetapi bukan terlalu dalam ia diserap
memadai disimpan dalam bekas besar pada suatu lapisan

Di dalam bekas daripada batu-batuan
ia disimpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran
pentadbiran orang yang tidak mempunyai fikiran?
daripada berhala tuli atau tabiat semulajadi yang taatkan Tuhan?

Atau sebenarnya tiada keraguan, semuanya menjadi saksi
bahawa penjaganya adalah Allah, Tuhan yang Ahad

Berapa kalikah orang Islam ditimpa kemarau
lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

doakuMereka meminta daripada Tuhan jalan penyelesaian
lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka menemui jalan

Adakah kudrat alam atau berhala yang memakbulkan?
atau Yang Maha Mendengar, pelepas segala bala seksaan



-Hasil Pena Abdul Rahman Qadhi-

[ ... ]

Sunday, May 11, 2008

Kuasa Cinta

Assalamualaikum

Hari ini jiwa saya benar-benar tersentuh. Orang di sekeliling saya mungkin sedang panas di bawa isu Tan Ean Huang atau nama islamnya dahulu Siti Fatimah. Saya yakin setiap orang yang memberikan pendapat, mempunyai hujah masing-masing dan berhak untuk menyatakannya mengikut kefahaman mereka sendiri. Saya rasa tidak perlu kita bermusuh kerana isu itu. Cukup sekadar kita saling menghormati satu sama lain dan berazam untuk cuba membaiki keadaan umat islam lain yang masih terkontang-kanting dibawa arus hidup tidak menentu ini.

Cinta Manusia

Seperti yang saya katakan di awal tadi, jiwa saya benar-benar tersentuh pada hari ini. Ketika melayari laman web, saya terjumpa satu website yang menceritakan perihal cinta seorang manusia kepada manusia lain. Rasanya ini kali pertama dalam blog ini saya menulis perihal cinta manusia. Laman web itu menunjukan betapa manusia mampu melakukan perkara luar biasa hanya kerana Cinta. Sungguh hebat kuasa Cinta. Mungkin ada yang mula mengeluarkan tanda tanya apakah saya sudah mula menukar objektif penulisan dalam blog ini? Tidak sama sekali. Bagi mengakhiri segala kemusykilan anda, saya ingin mengajak kalian untuk menonton sebuah klip pendek yang akan menceritakan apa maksud saya yang sebenarnya.



Kisah ini hampir sahaja membuatkan saya menangis. Dan saya pasti tidak salah seandainya saya biarkan sahaja air mata ini bercucuran. Saya benar-benar rasa kerdil di hadapan Allah kali ini. Benar-benar rasa betapa kecil cinta saya kepadaNya jika hendak dibandingkan cinta si bapa kepada anaknya dalam video tadi. Dalam suatu temu ramah, Rick Hoyts (si anak) sangat menghargai pengorbanan bapanya itu sehingga tidak tahu bagaimana harus dibalas segalanya. Katanya, "apa yang saya mahu lakukan untuk membalas kasih murni ayah ialah dengan menolak ayah pula di atas kerusi roda yang saya duduki ini".

Saya dan Islam Bagaimana?

Saya masih belum bergelar bapa. Namun, saya benar-benar merasakan apa yang telah ditunjukkan oleh Dick Hoyts boleh menjadi teladan buat kawan-kawan yang sudah, akan dan bakal bergelar bapa. Apa yang lebih releven dengan hidup saya buat masa ini ialah apakah cinta saya pada Islam sedalam cinta Dick dan Rick Hoyts?

Sanggupkah saya mengorbankan segalanya demi Allah dan Islam? Sanggupkah lautan saya renangi? Sanggupkah jalan-jalan berliku saya tempuhi? Sanggupkah segala cemuhan saya endahkan? Sanggupkah bukit dan gunung saya daki? Sanggupkah rehat saya korbankan, masa saya belanjakan dan tenaga saya habiskan demi Islam? Semua itu tampak terlalu jauh kerana tabiat tidur selepas subuh pun masih sukar dibuang.

Azam Saya

Allah berfirman di dalam surah ali Imran ayat 31;

31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Mengamalkan islam sebenar itu adalah bukti hakiki pengorbanan seorang muslim yang benar-benar cintakan Allah dan agamanya. Itu telah menjadi bukti buat Rasulullah dan para sahabat yang bukan sahaja meredahi panas debu padang pasir, malah mempertaruh nyawa hanya kerana cinta mereka pada Allah dan Rasul. Tiada yang lain.

Saya dan anda bagaimana? Masih tidak terlewat untuk kita mengembalikan cinta Allah yang telah sekian lama kita rasakan. Allah tidak pinta kita bina untukNya gunung-gunung yang hebat. Allah tidak pinta kita persembahkan padaNya harta berkoyan. Allah tidak pinta kita menjaga makan dan minumNya malahan Allah pula yang tidak pernah alpa menjaga makan dan minum kita.

Apa yang kita harus lakukan sangat mudah. Kita hanya perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Itu sahaja. Islam sepertimana Rasulullah dan para sahabat memahaminya. Islam yang di dalamnya memerlukan anda mengorbankan harta, masa, tenaga malahan nyawa. Seandainya Dick Hoyts sanggup meredah laut bergelora, jalan berbukit dan berliku serta berpanas dan berhujan hanya kerana mahukan anaknya terus bahagia, kenapa tidak kita melakukan itu semua demi Pencipta yang sudah sekian lama cintakan saya dan anda semua?


Tepuklah dada, tanyalah iman.

Ke arah membina generasi pemuda muslim alaf baru.
[ ... ]

Saturday, May 3, 2008

5 sifat

Asslamualaikum



Semalam merupakan suatu hari penuh ujian buat saya. Entah mengapa sedari pagi semalam saya benar-benar merasakan diri sedang diperhatikan dan dinilai oleh Allah sehinggalah ke pagi hari ini. Kegagalan demi kegagalan saya dapat rasakan. Terus mencampakkan rasa gerun dan bimbang. Semoga Allah mengurniakan peluang pada saya hari ini untuk membetulkan segala kesilapan semalam.

Bila sahaja saya melakukan kesilapan, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran ialah, " aku memang la tak biasa buat benda ni sebab aku melayu, diorg tu mat salleh..," Pada saya itu merupakan antara kesilapan terbesar saya selaku seorang yang menganjurkan ke arah mencari perbaikan dalam hidup manusia sejagat. Perkara ini timbul hanyalah kerana beberapa insiden kecil semalam. Saya akan ceritakan di sini secara ringkas..

Cerita Semalam

Insiden 1
Semalam saya menyertai suatu field trip untuk salah satu projek di universiti. Semasa mendengar penerangan yang diberikan, pihak syarikat turut mengagihkan beberapa sampel bahan untuk peserta-peserta lihat. Saya merupakan orang terakhir memegang sampel itu lalu meletakkannya di atas salah sebuah kerusi kosong. Bila tamat, saya bertindak pergi dan membiarkan sahaja sampel itu di atas kerusi tadi. Alangkah malu rasanya apabila salah seorang mat salleh sekelas dengan saya yang mengambil sampel yang terbiar itu untuk dikembalikan kepada pihak syarikat yang memberikan penerangan tadi.

Insiden 2
Dalam sesi berikutnya, berdekatan saya terdapat beg kepunyaan seorang lagi rakan sekelas berbangsa cina. Kebetulan dia perlu menjawab panggilan telefon semasa penerangan sedang diberikan. Setelah pulang, dia duduk sedikit berjauhan dan sayalah orang yang paling hampir dengan begnya itu. Setelah selesai penerangan, sekali lagi saya berasa malu kerana dia memberi isyarat seolah-olah meminta bantuan saya mengambilkan begnya itu namun fikiran saya sedikit terganggu dan mengendahkan sahaja lagak isyaratnya.


Kesilapan Saya

Walaupun kedua-dua insiden itu hanyalah perkara kecil pada pandangan kebanyakan manusia lain, tetapi tidak pada saya. Ia menunjukkan betapa "selfish"nya saya dan membuktikan bahawa saya masih tidak punyai cukup peribadi selaku seorang yang mahukan manusia semuanya kembali kepada agama Allah.

Saya akui, kedua-dua insiden itu memang berpunca daripada kelemahan diri sendiri. Masih tidak cukup professional dalam perlakuan, masih tidak cukup teguh dalam pendirian. Masih bersikap endah tak endah dalam banyak perkara dan tidak terlintas untuk melatih diri menjadi seorang yang lebih proaktif dalam semua situasi. Dan pantas pula saya menyalahkan bangsa Melayu sebagai justifikasi kepada tindakan saya.

Teringat saya kepada salah satu slot latihan dalam kumpulan yang pernah dianjurkan oleh rakan-rakan di sini yang mana menekankan kepada 5 sifat penting yang sukar didapati dalam diri seorang pelajar muslim di luar negara. 5 sifat tersebut ialah
  1. Berani menyatakan kebenaran
  2. Tidak mementingkan diri sendiri
  3. Bijak mengagihkan masa
  4. Sukar marah dan cepat bertenang
  5. Tidak berbohong walau sekadar satu gurauan
Ternyata 2 sifat pertama masih belum saya kuasai sepenuhnya. Baki selebihnya juga saya rasakan masih belum tertanam dalam diri sebagai suatu akhlak kebiasaan. Nampaknya saya perlu berusaha lebih untuk membaiki diri sendiri agar matlamat hidup saya tercapai. InsyaAllah kita akan cuba kupas kepentingan 5 sifat ini dalam diri seorang pelajar muslim dalam entry yang berikutnya.

Wallahua'lam

[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB