Saturday, August 11, 2007

Bong Karim, Merdeka dan...



assalamualaikum..

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

-Hamka-


Saya kira, tajuk di atas tidak perlu saya huraikan lagi dengan lebih lanjut. Pernah sekali saya dihampiri oleh seorang rakan lalu berkata, " aku bosan betul. Time dekat2 merdeka ni, sume orang buh status YM, 'betulkah kita sudah merdeka', 'kita sebenarnya masih dijajah' dan macam-macam lagi la. Kalau macam tu, sampai bila kita betul2 merdeka ?" Pada satu sudut, mungkin benar apa yang dikatakan itu. Kebanyakan kita - termasuk saya sendiri - sering mempersoalkan kemerdekaan kita. Mempersoalkan itu mudah. Namun, apa yang kita lakukan bagi menjawab persoalan itu yang lebih penting dan lebih sukar dilaksanakan. Setuju?

Tanggal 31 Ogos merupakan suatu detik gemilang yang patut dibanggakan oleh warga Malaysia secara keseluruhannya. Namun sangat sidikit di kalangan kita yang berminat unutk mengetahui bagaimana susah-payah mereka yang terdahulu berjuang demi kemerdekaan ini. Nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan lain2 lagi sudah pastinya dikenali semua. Tanggal 31 Ogos itu bagaikan sambutan hari lahir yang kedua bagi kebanyakan kita. Tetapi, tahukah kita kemerdekaan yang dikecapi hari ini, hasil daripada pelbagai proses perjuangan, kebangkitan yang tidak terlepas daripada dihiasi penyeksaan, tekanan, sabotaj dan sebagainya. Ia bukan suatu proses yang mudah seperti mudahnya kita menganjurkan sambutan hari Merdeka di sekolah-sekolah atau universiti masing-masing.

Hari ini, ingin saya ceritakan sedikit berkenaan seorang tokoh kemerdekaan yang masih lagi hidup, namun tidak berapa dikenali ramai. Jauh tidak popularnya tokoh ini jika mahu dibandingkan dengan Mawi, Rosyam Nor dan Siti. Tokoh ini tidak pernah pula mendapat "Anugerah Tokoh Kemerdekaan paling Popular." Maafkan saya kiranya ayat saya berbau sindiran-sindiran tajam. Tujuan saya tidak lain memberi tamparan hebat kepada jiwa rakan-rakan dan jiwa saya juga.

Bong Karim atau nama sebenarnya Karim Bakar, merupakan seorang tokoh kemerdekaan yang kini berusia 84 tahun. Si pejuang tua ini suatu masa dahulu pernah mengharungi umur-umur semuda kita. Sedari bangku sekolah rendah lagi, beliau sangat benci tanah airnya dijajah oleh British. Semangat untuk membebaskan negara itu sudah mekar walaupun pada usia kita semua leka dengan Doraemon dan Power Rangers.

Pemikiran dan semangat beliau banyak dipengaruhi pejuang kemerdekaan terdahulu daripadanya seperti Dol Said, Mat Kilau, Dato' Bahaman dan lain-lain lagi. Semangat ini tidak dibiarkan terpendam sahaja. Tidak juga sekadar diluahkan melalui kata-kata kosong. Lalu, Bong Karim menyertai sebuah parti yang pada British berhaluan kiri, berfahaman sosialis dan ada pula yang menganggap parti itu parti pengganas dan membawa idea-idea komunis. Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan salah satu parti di bawah naungan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ahlinya terdiri daripada golongan pemuda pada masa itu. Bong Karim tidak terkecuali daripada menjadi salah seorang pemimpin kuat dalam API.

API yang ditubuhkan pada tahun 1946 menjadi nadi kepada Bong Karim untuk bergerak. Beliau yang kini sudah tidak mampu berjalan sempurna pernah menjadi salah seorang Melayu yang digeruni Mat Salleh-Mat Salleh yang kononnya hebat itu. API yang agak aggresif-sesuai dengan ahlinya yang terdiri di kalangan pemuda- dikhuatiri dapat memberi nama buruk pada PKMM (tertubuh pada tahun 1941). Lalu PKMM mengambil langkah selamat dengan menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan API.

Bong Karim tidak pernah terlepas daripada dilabel sebagai pengganas. Beliau dikenali British kerana begitu aktif dengan kegiatan melatih pemuda-pemuda API bagi menyediakan mereka dengan kemahiran-kemahiran bertempur secara guerilla. Pernah pada suatu masa, beliau melatih 1000 orang pemuda berusia dalam lingkungan 15-18 tahun dalam latihan ketenteraan di Melaka.

Namun sahabat sekalian, kita perlu lihat apa yang dilakukan itu bukanlah atas dasar melakukan keganasan. Itu merupakan langkah persediaan yang diambil sekiranya perjuangan melalui perbincangan damai dan mata pena tidak memberi apa-apa kesan. Langkah yang di ambil itu, saya kira sangat bijak kerana memang itulah lumrahnya. Janganlah kita dahului apa-apa urusan dengan keganasan. Itu tidak akan menyelesaikan masalah.

API mengalami zaman kejatuhannya apabila ada antara ahlinya dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Akhirnya, British punyai 1001 alasan pada masa itu untuk memenjarakan semua pemimpin kuat API dan ini termasuk Bong Karim sendiri.

Bong Karim pernah dipenjarakan di pelbagai pusat tahanan dan pernah juga dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas sebab dikaitkan dengan PKM. Namun, berkat solat dan doanya, diberi keizinan oleh Allah untuk terus hidup sehingga hari ini kerana hukuman gantung itu dibatalkan.

Sekitar 50-an, beliau pernah betugas dengan British sebagai penterjemah. Pernah juga beliau ditawarkan modal untuk membuka perniagaannya sendiri. Namun, Bong Karim yang tidak tamak pada harta, tidak pula kempunan pada kemewahan tidak mahu menerima tawaran yang baginya sangat memalukan itu. Tidak sanggup beliau jualkan semangat membebaskan negara dengan harga yang sangat murah. Firman Allah dalam surah an-Nahl:95

95. Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang murah, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.


Tidak lama kemudian, beliau kembali dipenjarakan dan dibebaskan buat ke sekian kalinya pada tahun 1952. Beliau juga kurang berpuas hati dengan kemerdekaan yang dikecapi atas beberapa sebab. Antaranya, biarpun kita diisytihar merdeka, dalam banyak perkara lain, kita masih terikat dengan British. Yang paling ketara ialah sistem perundangan yang tidak melambangkan 100% kita bebas dari genggaman British. Beliau juga agak terkilan dengan pertukaran nama Malaysia daripada nama asalnya iaitu Tanah Melayu semasa pengisytiharan pada tahun 1963. Pertukaran nama itu seolah-oleh hilangnya ketuanan Melayu pada tanah air sendiri.

Sahabat sekalian, mungkin tidak perlu saya huraikan berkenaan kisah pejuang kemerdekaan ini. Semoga kita sama-sama cuba mengambil sesuatu daripada biografi pendek tokoh yang "kurang terkenal" ini.

Sebelum mengakhiri, mari sama-sama menghayati iklan kemerdekaan terbaru dr PETRONAS


Rujukan untuk entry kali ini diambil dari http://web5.bernama.com/events/merdeka50/news.php?id=245499

wassalam

Ke arah menjana pemikiran belia kritis, pelaksanaan berkesan.

10 comments:

lok7 said...

Saya cucu pada insan Bong Karim ni. Beliau masih hidup dan kalau saudara nak tau dengan lebih lanjut sila email saya.

Nabihah Sallih said...

Salam Alaykum

Wah. Tak penah dgr la pulak cerita pasal En. Karim Bakar ni~ Menarik2

Jumpa juga akhirnya iklan merdeka petronas kat sini. Thanks for sharing

Salam Kebebasan~

Anonymous said...

lok7, anak sapa yer?

N. Azmir said...

encik lok7, mungkin ada baiknya anda memperkenalkan diri...

Anonymous said...

Saya anak En.Faisal Karim iaitu anak bongsu kepada En.Karim Bakar(Atok saya).Boleh saya tahu bagaimana encik boleh mendapat maklumat atok saya dan siapa lok7 tu?Ini alamat atok saya :
KM.40,Kg. Sungai Buloh,
78000 Alor Gajah,Melaka.

N. Azmir said...

oh..
saya sebenarnya ambil daripada internet maklumat2 yangsy tuliskan tu. cuma sy olah sikit je..
Smpaikan salam saya pada datuk anda. Semoga semangatnya turun pula pada anak-anak dan cucunya insyaAllah

nadiah said...

karl ni abg haikal eh??
saye ni cucu bong karim.. saye ni ank kpd en.faisal karim...lok7 ni sape ek??

Din. Izad said...

salam. saya Rohaizad atau dikenali dgn nama Din adalah cucu sulung Bong Karim. Datuk saya telah meninggal dunia pada 9 Dec 12 kerana sakit kanser hati. Memang jasa beliau terlalu besar untuk dikenang. Datuk saya ikhlas dlm memperjuangankan kemerdekaan Malaya. Sehingga akhir hayatnya, pengorbanan masih mekar dan anak cucunya akan meneruskannya. Semuga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan org yang menerima syufaat.

N. Azmir said...

Insyaallah. Ameen

Black KM said...

As slm..
Saya cucu kepada beliau.. Hairul
Terima kasih kepada penulis untuk menyiarkan tentang kisah beliau sewaktu Tanah Melayu dijajah. Segala jasa Tuan amatlah saya hargai untuk apa yg Tuan lakukan.

Al- Fatihah untuk Atok saya yang telah kembali ke rahmatullah..

Post a Comment

 

©2009 Makna Hidup | by TNB