Saturday, June 16, 2007

Hebatkah Manusia Revisited...

Assalamualaikum..

Sahabat sekalian, sebagai salah seorang dari ribuan juta manusia yang masih diberi kesempatan menghirup udara segar pemberian Yang Maha Pengasih ini, membuat saya rasa terpanggil untuk menyambung hasil tulisan mengenai seni ciptaan manusia. Sepertimana yang saya sebut dalam entry yang lepas, kehidupan manusia ini mudah hanya kerana dimudahkan oleh Penciptanya. Sistem tubuh manusia yang sungguh kompleks ini, tidak salah jika saya katakan, mustahil ada seorang manusia pun yang mampu mengawalnya dengan sempurna menggunakan akal mereka yang sedar. Oleh itu, maka layakkah manusia berasa bongkak sekiranya mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya walaupun tubuh mereka sendiri. Wallahua'lam.

Jika sebelum ini, saya banyak menyentuh mengenai apa yang ada dalam tubuh manusia, kali ini, dengan izinNya saya akan menceritakan barang sedikit berkenaan bagaimana tubuh kita berinteraksi dengan alam sekeliling.

Sahabat sekalian, orang kata, untuk mempelajari suatu ilmu dengan lebih berkesan, tidak cukup dengan sekadar kita membaca sahaja. Pembacaan jika disusuli dengan amalan atau perbuatan, akan membuahkan suatu dapatan yang lebih berkesan. Untuk itu, saya ingin mengajak kalian bersama-sama saya berhenti seketika daripada melakukan apa sahaja yang kalian sedang lakukan. Tarik nafas dalam-dalam, dan cuba hargai setiap sedutan udara yang anda ambil itu. Lontarkan pula pandangan anda pada tubuh yang diselaputi kulit. Betapa cantik ciptaan kulit itu yang bertujuan bukan sekadar menutupi organ2 yang sungguh kompleks di dalamnya, malahan mengandungi jutaan reseptor dan bulu roma yang punyai tugas masing-masing. Dongakkan pula pandangan, buka tirai kamar, dan hayatilah pemandangan di luar sana. Apakah setiap perkara yang wujud di sekeliling kita itu, tiada gunanya? Atau sebenarnya, setiap zarah...(ya, saya maksudkan zarah yang kecil tu...) wujud di alam sekeliling ini semata-mata untuk berbakti kepada manusia?
Ingin saya bawa anda, sama-sama menyingkap dengan penuh penghayatan suatu kalimah yang diturunkan oleh Allah, dalam kitabNya; surah al-Baqarah:30

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

Seterusnya, firman Allah dalam surah an-Naml:62

"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi"

Berdasarkan pada 2 kalimah di atas, saya pasti kini, atau mungkin lama sebelum ini kalian pembaca sedar akan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Menjadi khalifah bermakna menjadi ketua atau pemimpin di muka bumi. Menjadi khalifah tidak semestinya anda perlu menjadi seorang yang mampu menguasai segala-galanya. Berdasarkan pembacaan saya yang tidak seberapa, khalifah juga bermaksud seseorang yang memakmurkan sesuatu. Maka ini lebih tepat dan bersesuaian dengan kita semua yang sudah semestinya dalam pelbagai sudut dan segi, mampu menyumbangkan sesuatu untuk kemakmuran dunia. Namun, entry kali ini tidak bermaksud menyentuh mengenai peranan atau methodologi ke arah memakmurkan dunia. Saya lebih suka untuk membawa diri saya dan kalian pembaca sekalian menumpukan fikiran kita ke arah mengenali kejadian jasad dan roh yang mengalir subur di dalamnya.

Kembali kepada firman Yang Maha Pengasih dalam surah an-Naml di atas, membawa suatu peringatan yang sungguh penting untuk kita sama-sama hayati. Sepertimana yang telah dibincangkan, sesungguhnya kemudahan yang kita kecapi dalam kehidupan hanya diperolehi atas rahmatNya yang mahu memudahkan kehidupan kita. Janganlah kita menyempitkan definisi "menghilangkan kesusahan" dalam ayat di atas hanya pada situasi kita dihindarkan daripada musibah. Renungkanlah, setiap saat pada kehidupan kita ini sebenarnya telah dimudahkan olehNya. Sesungguhnya, saya benar-benar tidak mampu memberikan gambaran yang terbaik berkenaan bagaimana pemurahnya Tuhan yang menciptakan ini.

Sahabat sekalian, alam atau suasana di mana kita hidup kini telah diciptakan khas buat saya dan anda semua. Kajilah pada setiap sudut kejadian di dunia ini, pasti anda akan mendapati bahawasanya kita diletakkan dalam dunia yang mempunyai suhu, kandungan udara, tekanan, air, cahaya dan lain-lain sumber yang sangat sesuai untuk manusia serta makhluk dunia lain yang sama-sama hidup di dalamnya.

Jika sebentar tadi anda telah menghayati hirupan udara dengan penuh syukur, apakah anda sedar bahawa sebenarnya kita hidup dalam lautan udara? Namun lautan ini tidak melemaskan malahan tanpanya, kita akan lemas. Rasanya, kalian tidak memerlukan pada fakta dari mana-mana sumber untuk menyedari yang manusia tidak mampu hidup walau untuk beberapa minit tanpa udara ini. Itulah hakikatnya. Tapi, kita sering terlupa akan besarnya nikmat ini, kerana sering taking it for granted. Cuba tutup hidung dan mulut anda untuk beberapa minit, dan saya pasti dengan cara ini, kita dapat meletakkan nilai kelebihan udara itu pada tempat yang lebih tinggi.

Udara yang padanya terdapat komposisi pelbagai jenis gas berlainan ini punyai banyak lagi tujuan lain ia diciptakan. Antara lain, lautan udara ini memberikan tekanan pada tubuh kita untuk tujuan keseimbangan. Keseimbangan di sini bermaksud imbangan tekanan cecair dalam badan. Anda semua pasti pernah pada suatu ketika mempelajari subjek sains yang menghuraikan bagaimana keadaan cecair berubah apabila tekanan udara berubah. Tekanan yang turun atau naik, boleh mengubah suhu dan isipadu cecair yang padanya dikenakan perubahan tekanan tersebut. Tekanan yang tidak sesuai pada tubuh boleh menyebabkan saluran darah yang terdapat di segenap tubuh anda pecah terburai....

Melontarkan pandangan di luar sana, pasti anda sedar akan langit yang diciptakan berlapis-lapis. Setiap lapisan memainkan peranan masing-masing dalam membantu manusia hidup di dunia ini. Pada setiap lapisan, kelajuan udara yang bergerak di dalamnya juga berlainan. Pergerakan udara di mana kita berada di dalamnya ini amatlah tenang. Berada sedikit di atas, kelajuan udaranya jauh lebih deras berbanding pada permukaan bumi. Seandainya lapisan ini tidak disusun sekemasnya, anda sendiri boleh membayangkan bagaimana kucar-kacir keadaannya. Berdasarkan fakta-fakta sahih, udara yang bertiup 5 batu di atas paras laut boleh mencapai kelajuan 200 batu sejam. Ribut, angin taufan, typhoon dan sebagainya yang diklasifikasikan manusia sebagai bencana alam yang dahsyat pada hakikatnya hanya mencapai kelajuan 75 batu sejam. Sahabat pembaca sekalian, tiada manusia atau apa jenis kehidupan sekalipun yang mampu hidup apabila ditiup oleh udara selaju 200 batu sejam itu walaupun untuk satu tempoh yang singkat.


Sedikit peringatan ini semoga dapat menyedarkan kita, betapa lemahnya manusia. Setiap saat pada kehidupan ini perlu kita syukuri dan gunakan sebaiknya. Terlalu banyak kelebihan yang telah diberikan kepada kita, dengan tujuan kita dapat hidup di atas muka bumi ini, dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta.

Keadaan kita ini tidak ubah seperti seorang pekerja dengan majikannya. Bagi membolehkan seorang pekerja melaksanakan tugasan dengan baik, majikan akan menyediakan pekerjanya itu dengan pelbagai kemudahan. Gaji yang lumayan, kereta, insurans, perlindungan kesihatan, bonus dan sebagainya. Dengan tersedianya semua kemudahan tadi, sudah tentu majikan mahukan pekerjanya mencapai yang terbaik. Pekerja yang baik, sudah pasti akan menyumbangkan segala keringat, kemahiran dan kebijaksanaan yang ada bagi memenuhi prestasi kerja yang telah ditetapkan oleh majikannya. Majikan pula sudah pasti bertambah sayangnya pada majikan ini dan terus mengurniakannya dengan bermacam lagi kemudahan.

Sekarang, bayangkan pula seorang pekerja lain yang malas, sombong, kurang bijak dan berlagak lebih besar daripada majikannya sendiri. Kerja-kerja yang diberi tidak pernah diselesaikan, sering pula melakukan perkara yang tidak disukai oleh majikannya, namun masih menggunakan dan mahukan lebih banyak daripada segala insentif yang sudahpun dikecapi. Lebih teruk lagi, pekerja ini tidak mengiktiraf pula majikan ini. Malangnya si majikan, sering diumpat, difitnah dan dihina pula. Jika anda menjadi majikan kepada pekerja ini, apa agaknya yang akan anda lakukan padanya?

Fikirkanlah sahabat sekalian. Fenomena rekaan tadi hanya berhubung seorang pekerja dan majikannya. Apa sangatlah nilai kelebihan yang diberikan oleh majikan itu jika hendak dibandingkan apa yang telah dikurniakan Pencipta setiap diri kita ini. Namun, masihkah kita mahu berasa bongkak dan tidak mahu melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya? Setiap kelebihan itu, datang hanyalah daripadaNya. Mulakanlah hidup kita selepas ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. Bagi mengakhiri tulisan kali ini, saya sisipkan suatu video yang cukup memberi makna pada diri ini. Semoga ia turut memberi manfaat pada anda semua...




p/s: saya mengalu-alukan anda berkongsi semua hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini kepada sahabat-sahabat lain seandainya anda mendapati ia baik untuk semua. Saya hanyalah manusia kerdil yang masih merangkak namun berkeinginan menyambung perjuangan mereka yang terdahulu...



[ ... ]

Saturday, June 9, 2007

Manusia yang "HEBAT"

Assalamualaikum. Alhamdulillah, dengan berkat keizinanNya, dapat saya curahkan sekali lagi apa yang tersirat jauh di dalam hati ini kepada khalayak pembaca sekalian. Jika entry-entry sebelum ini saya lebih suka menyeru rakan-rakan pembaca ke arah memikirkan masalah umat sejagat, namun pada kali ini izinkan saya membawa anda bersama-sama menyelami ke dalam diri kita yang kerdil ini. Dalam membentuk diri yang mempunyai peribadi tinggi, kita perlu terlebih dahulu kenal dengan diri sendiri. Tahu apakah bidang kuasa kita terhadap diri kita sendiri.



Apakah anda benar-benar mengenali diri anda? Sejauh mana anda mengetahui selok-belok diri anda? Apakah kita benar-benar mengawal segala sistem dalam badan kita sehingga kita dapat menjalani kehidupan sepertimana yang kita jalani kini? Sebenarnya, pernahkah anda fikirkan semua soalan yang saya persoalkan tadi???


Menjadi manusia itu sendiri merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai harganya. Tidak perlu saya perjelaskan bagaimana proses kejadian manusia kerana saya pasti ada antara khalayak pembaca yang jauh lebih arif daripada saya sendiri. Maklumlah, saya hanya menuntut pelajaran berkaitan kejuruteraan mekanikal. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah hakikat yang sering kita lupakan sebagai seorang manusia, secara sedar atau pun tidak...







Gambar yang tertera di atas adalah rajah yang sangat ringkas berkenaan anatomi manusia. Anda semua pastinya sedar bahawasanya kita adalah suatu makhluk yang sangat kompleks. Itulah sebabnya ramai manusia yang rasa bongkak dengan diri mereka sendiri menyedari hakikat bahawa mereka berpotensi untuk melakukan pelbagai perkara. Lebih melampau bila ada antara manusia yang mahu menindas dan manguasai manusia lain hanya atas alasan mereka lebih istimewa berbanding orang lain.



Masalah yang saya sebut di atas banyak berlaku pada era pemerintahan Adolf Hitler yang mengagung-agungkan idea nazisme nya. Bahkan, Inggeris yang menganjurkan program lawatan sambil menjajah ke negara kita tidak lama dahulu turut memakai idea yang sama, iaitu atas kelebihan yang mereka ada, mereka perlu menguasai manusia lain. Namun, itu bukanlah isi asal entry pada kali ini. Pada kali ini, saya ingin membawa anda sama-sama menyedari hakikat "LEMAHNYA" kita sebagai manusia ini.



Sahabat sekalian, potensi manusia sememangnya besar. Sudah ada manusia yang sampai ke bulan. Ada pula yang berjaya menghantar alat pemantau ke planet lain. Di sebalik segala kehebatan yang kita nampak dengan mata kasar ini, manusia sebenarnya sangat lemah hinggakan apa yang berada di dalam tubuh sendiri pun tidak mampu manusia mengawalnya.


Apabila kita bernafas, mampukah kita sendiri mengarahkan pergerakan udara itu ke dalam paru-paru? Adakah kita sendiri yang menentukan pergerakan setiap injap dan pam yang ada di dalam jantung supaya memenuhi keperluan oksigen tubuh kita dalam keadaan yang berbeza-beza? Jantung kita yang bergerak tanpa henti, 24/7 ini, akan mampukah kita kawalkan ketika sedang tidur lena di tengah malam?




Apabila kita makan, mampukah kita sendiri mengarahkan tubuh kita untuk menukarkan makanan yang dimakan kepada zat-zat yang kita perlukan? Atau paling kurang pun, mampukah kita mengarahkan makanan yang kita makan ke perut? Kita sendirikah yang mengawal jumlah pengeluaran segala macam rembesan bagi membolehkan pencernaan makanan berlaku?







Apabila kita mendengar, adakah kita berkuasa mengubah frekuensi bunyi yang diterima oleh telinga? Sekiranya kita tidak berjaya mendengar, mampukah kita meningkatkan sensitiviti tulang tukul, rakap dan andas supaya kita mendengar? Pernahkah kita mengambil berat ketika menyeimbangkan kedudukan tubuh kita, bagaimana percaturan yang dibuat oleh apparatus vestibular dan rakan-rakan organ lain?







Apabila kita melihat, sejauh mana sebenarnya kita sendiri berupaya mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata menerusi lapisan kornea itu? Apakah kita mampu mengawal kemasukan cahaya dan bagaimana mata berfungsi dalam membentuk objek 3-dimensi? Mampukah kita sendiri menentukan bila kita perlu melihat sesuatu dalam 3-dimensi atau 2-dimensi?







Sahabat sekalian, persoalan-persoalan yang saya kemukakan tadi hanyalah sebahagian kecil daripada hakikat kompleksnya sistem tubuh manusia ini. Saya bukan mahu anda mencari jawapan bagaimana setiap proses berlaku. Saya hanya berniat memimpin kalian bersama-sama dengan saya menyedari bahawa kita hanyalah insan yang lemah.



Tubuh kita dicipta olehNya dalam keadaan semua organ mampu bekerja secara automatik dan mampu pula berinteraksi dengan baik sesama "mereka". Cubalah anda bayangkan mata yang tidak mahu bekerjasama dengan otak. Anda mungkin dapat melihat tetapi tidak dapat menilai sesuatu situasi. Bayangkan pula telinga yang tidak mahu berinteraksi dengan mulut. Anda mungkin boleh mendengar, namun ucap balas anda mungkin tiada kaitan dengan apa yang anda baru sahaja perdengarkan. Bayangkan pula kaki yang tidak mahu bekerjasama dengan anggota tubuh yang lain. Tak tahulah ke mana agaknya tubuh ini akan diarahkan. Segala interaksi ini dilakukan melalui akal manusia yang sangat sempurna ciptaanNya. Tetapi segala interaksi yang saya sebutkan tadi adalah interaksi yang kita lakukan melalui akal yang sedar. Percaya atau tidak, terdapat ribuan lagi interaksi yang berlaku sesama anggota tubuh yang dilakukan tanpa kita sendiri menyedarinya. Sebagai contoh, interaksi paru-paru dan jantung, perut dan sistem usus, telinga dan mulut, tangan dan saluran darah, dan banyak lagi.



Sahabat sekalian, andaikan kita terpaksa mengawal semua organ melalui akal yang sedar ini, agaknya mampukah kita hidup sepertimana hari ini? Setiap hari kita dibebani masalah pelajaran, projek yang tidak pernah putus-putus, assignment yang bersusun, masalah nasi tidak cukup di rumah,masalah isteri yang dimarahi di pejabat (khas buat seorang sahabat..hehehe), masalah dengan cleaner dan macam-macam lagi. Itu semua sebenarnya perkara-perkara yang sangat mudah untuk diselesaikan oleh akal anda. Namun, kita masih terus merungut dengan kehidupan yang kita hadapi sekarang. Kononnya apa yang kita ada masih lagi tidak cukup untuk disyukuri.



Sahabat sekalian, mudahnya kehidupan kita pada hari ini hanya kerana dipermudahkan oleh Pencipta. Tetapi, kita semua perlu ingat bahawa setiap kelebihan yang dikurniakan ini, perlu dibayar dengan suatu harga. Harga di mana ramai manusia cuba mencari apakah nilainya? Bagaimana perlu ia dibayar? Kebanyakan manusia kini gagal menemui jawapannya. Lebih ramai lagi yang langsung tidak mempedulikan apakah setiap kelebihan yang dikecapi itu ada harganya. Bagaimana pula dengan anda? Malanglah kita sekiranya kita adalah mereka yang langsung tidak peduli apakah nilainya kelebihan ini. Paling kurang, jadilah kita mereka yang cuba mencari jalan bagaimana membayar harga setiap kelebihan. Tidak saya nafikan, jawapannya bukanlah semudah ABC.......



Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan.



p/s: maafkan segala kesilapan penggunaan istilah di dalam entry kali ini. saya minta anda rujuk sumber yang lebih sahih untuk maklumat yang lebih tepat.





Powered by ScribeFire.

[ ... ]

Wednesday, May 30, 2007

Menantikan dunia untuk berubah



"Waiting On The World To Change"

Me and all my friends

We're all misunderstood

They say we stand for nothing and

There's no way we ever could


Now we see everything that's going wrong

With the world and those who lead it

We just feel like we don't have the means

To rise above and beat it


So we keep waiting

Waiting on the world to change

We keep on waiting

Waiting on the world to change


It's hard to beat the system

When we're standing at a distance

So we keep waiting

Waiting on the world to change


Now if we had the power

To bring our neighbors home from war

They would have never missed a Christmas

No more ribbons on their door

And when you trust your television

What you get is what you got

Cause when they own the information, oh

They can bend it all they want


That's why we're waiting

Waiting on the world to change

We keep on waiting

Waiting on the world to change


It's not that we don't care,

We just know that the fight ain't fair

So we keep on waiting

Waiting on the world to change


And we're still waiting

Waiting on the world to change

We keep on waiting waiting on the world to change

One day our generation

Is gonna rule the population

So we keep on waiting

Waiting on the world to change


We keep on waiting

Waiting on the world to change


Saya diperkenalkan kepada lagu di atas oleh seorang sahabat yang pernah suatu ketika sama-sama berjuang di Auckland ini. Namun, kini beliau sudahpun menamatkan pelajaran dan sudahpun memasuki alam perkerjaan. Katanya, ada sesuatu yang istimewa pada lagu ini.


Tajuknya sahaja sudah cukup membuatkan saya tertarik untuk meneliti bait2 lagu ini dengan lebih lanjut. Mengapa perlu menanti dunia berubah? Apa yang tak kena dengan dunia sekarang? Bukankah kita hidup di zaman moden.. Ada komputer canggih, ada kenderaan mewah dan pelbagai mesin serta sistem ciptaan manusia lain yang membantu kita menjalani kehidupan seharian.


Masalah dunia kini bukanlah masalah teknologi.Tetapi, ada kemungkinan teknologilah yang menyebabkan masalah dunia berlaku. Saya bukanlah seorang pengikut taliban yang langsung tidak mahu menerima teknologi, bahkan saya bersyukur dengan teknologi yang kita sama-sama kecapi kini (kalau saya benci teknologi, masakan saya kini menulis di laman blog??). Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, terlalu banyak penderitaan manusia yang dapat kita lihat hanya kerana mahukan sebahagian manusia lain hidup lebih selesa.


Kita usah pergi jauh, lihat sahaja pada rakyat di negara jiran, Indonesia. Masalah yang berlaku di Indonesia bukan sekadar masalah pendatang haram semata-mata. Kita pasti rasa marah bile memikirkan fenomena pendatang asing ini. Namun, pernahkah ada antara kita bertanya, "kenapa agaknya diorang ni sanggup ambil pelbagai risiko untuk datang ke Malaysia?". Sahabat sekalian, bukan niat di hati mahu membela golongan pendatang asing. Namun, perlu kita tahu, bukan suka-suka mereka masuk ke negara kita secara haram. Ini semua tidak akan dilakukan melainkan apa yang mereka nampak ialah berada di Malaysia membolehkan mereka lari dari penderitaan yang sedang dihadapi kini.


Bagi membolehkan rakan-rakan memahami serba-sedikit mengenai masalah ekonomi dan kemelaratan hidup rakyat Indoesia, sila lihat klip video yang saya ambil dari laman video kegemaran ramai, Youtube…

Di atas hanya salah satu daripada 7 siri dokumentari pendek berkisar krisis ekonomi di indonesia. Untuk menonton sambungan siri ini, sila klik di sini.


Sahabat sekalian, memerhatikan masalah di indonesia, sebenarnya mengajar kita sesuatu. Maka benarlah, dunia ini perlu berubah ke arah yang lebih baik. Sistem yang ada kini terlalu banyak kesalahan dan kelemahannya. Manusia pernah pada suatu masa dahulu diperintah oleh suatu sistem yang sangat cantik. Sistem yang menjaga hak-hak manusia di samping tidak menghalang kemajuan dunia. Sistem yang datang daripada Pencipta manusia sendiri.


Sepertimana lagu di atas, kita tidak boleh hanya menanti. Dunia dan sistem yang ada kini tidak akan berubah tanpa ada mereka yang sedar, mahukan perubahan ke arah yang lebih baik. Sekali lagi ingin saya tegaskan, sahabat sekalian mampu berbuat sesuatu. Janganlah biarkan diri kita tertipu dengan kemewahan yang kita kecapi kini. Kita perlu berbuat sesuatu.


Cukuplah dahulu buat masa ini. Sama-samalah kita perhatikan apa yang berlaku di dunia. Janganlah hanya risaukan apa yang berlaku pada diri sendiri. Anda pilihlah sama ada mahu melihat dunia dari mata burung atau sekadar melihatnya dari dalam tempurung.

Sekian,

Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan..




[ ... ]

Wednesday, May 16, 2007

Apa Kata Anda?

Assalamualaikum..

Rasanya sudah terlalu lama blog ini terbiar tanpa dijenguk oleh pemiliknya. Pada minggu-minggu menghampiri berakhirnya semester ini, memang tidak dapat dinafikan, bebanan kerja semakin berat, pelbagai ujian (literally ujian ok!) turut melanda. Namun, kudrat kerdil ini masih tidak mahu mengalah, tidak mahu terus terleka dan membiarkan sahabat-sahabat sekeliling terleka.



Elok sekiranya entry saya pada kali ini membuka sedikit ruang penglibatan kepada rakan-rakan dalam memberikan pendapat berkenaan beberapa perkara yang sudah acap kali mengganggu benak hati dan fikiran ini.



"Guru Penjana Modal Insan Gemilang" Saya kira, cogan kata ini cukup menarik sekiranya dinilai pada sudut struktur perkataanya. Namun, sejauh mana kita memahami cogan kata ini? Saya suka untuk melihat cogan kata itu diaplikasikan kepada saya sendiri dan anda semua, sahabat pembaca sekalian. Perlukah kita menerima title guru sebelum kita boleh menjana modal insan gemilang, dalam erti kata lain sebelum kita layak mendidik insan lain??



Saya pasti anda semua sedia maklum berkenaan kebejatan sosial di kalangan belia yang sedang berleluasa di negara tercinta. Ini bukan perkara baru sahabat sekalian. Saya pasti, sekurang-kurangnya ada sekali dalam peperiksaan kertas Bahasa Melayu penulisan, anda akan mendapati soalan yang mahukan pendapat anda bagaimana kita boleh mencegah segala gejala yang tidak sihat ini. Antara jawapan popular ialah kurangnya kesedaran dan didikan agama. Saya pasti, itu juga yang akan anda utarakan sekiranya ditanya bagaimana menyelesaikan masalah kebejatan sosial itu.



Baiklah, mari kita sama-sama fokuskan kepada masalah kurangnya didikan agama. Masalah didikan selalunya sinonim kepada para guru dan juga ibu bapa. Namun, ibu bapa dan guru bukanlah insan yang paling banyak menghabiskan masa bersama2 para belia tadi. Kalau bukan ibu bapa, mahupun guru...siapa??



  • Para belia lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan.
  • Didikan paling efektif berlaku hanya dengan mengikuti perkembangan orang yang dididik dengan lebih rapat.
Berdasarkan kepada 2 faktor yang saya bekalkan di atas beserta berdozen-dozen lagi hujah lain, maka tidak salah sekiranya saya mengatakan para belia sendirilah yang paling layak membanteras masalah kebejatan sosial itu. Namun, ramai antara kita yang lebih rela melepaskan diri sendiri dan bila ditanya, "Kenapa la ko tak tegur kawan ko tu??", selalunya alasan yang dikemukakan ialah "Aku tak layak nak tegur die tu.. aku pon xbetul lg.."



Sama-samalah kita ambil iktibar daripada hadis Rasulullah:

"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat"

Di dalam Al-Quran, surah al-Asr pula, Allah berfirman:

"Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat

menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi

kesabaran."


Dan akhirnya, saya ingin anda sama-sama berkongsi pendapat anda berkenaan perkara yang telah saya lontarkan di atas..





Apa Kata Anda?

Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan..





Powered by ScribeFire.

[ ... ]

Wednesday, May 9, 2007

The Hidden History

Assalamualaikum,
bertemu kita sekali lagi...
Entry saya pada kali ini adalah khas untuk rakan2 yang berada di sekitar Auckland Central.
sila amati poster di bawah:

InsyaAllah, seminar ini berkisar tentang jatuh bangunnya umat islam sedari zaman Rasulullah sehingga kepada zaman di mana kita berada sekarang.

Mengenali sejarah anda adalah antara jejak langkah awal yang perlu kita ambil untuk mengembalikan kegemilangan umat yang kian lalai ini.

Semoga sama-sama kita manfaatkan
[ ... ]

Sunday, May 6, 2007

Belia Cergas Auckland (BECA)

Pada tanggal 4may yang lalu, atas kesedaran beberapa orang pemuda yang mahu menyatukan tenaga belia mahasiswa Malaysia yang terdapat di bumi Auckland ini, maka terbentuklah BECA atau Belia Cergas Auckland. Namun entry saya pada kali ini bukanlah berkisar kepada sejarah penubuhan BECA, mahupun bagaimana ia berfungsi. Fokus saya pada kali ini ialah pada belia itu sendiri.


Sepertimana yang hadirin pembaca semua maklum, belia merupakan golongan emas, bukan kerana sudah lanjut usia tetapi kerana nilai mereka yang amat tinggi buat satu-satu masyarakat. Belia merujuk kepada mereka yang masih muda. Ada yang mendifinisikan belia sebagai mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Apa pun jua definisi belia, yang saya fahami ialah, belia merupakan suatu golongan masyarakat yang mampu melakukan sesuatu yangBESAR. Ini dapat dicapai HANYA… hanya sekiranya golongan belia tadi mempunyai kualiti-kualiti hidup serta pemikiran yang luar biasa.


Bangsa Islam-Melayu telah mula dijajah sedari kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Apakah dengan menyambut kemerdekaan setiap 31 ogos, menunjukkan kita sudah merdeka?? Kalau dahulu fizikal kita dijajah, kini fikiran kita pula menjadi mangsa.


Orang Melayu selalu kata,"Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang negara." Cuba kita sama-sama renungkan kembali, maksud sebenar kalimah penuh erti ini.. Izinkan saya mengeluarkan satu persoalan. Sejauh mana pemuda dan pemudi Islam-Melayu ini mampu menyahut cabaran di atas? Realitinya, pemuda kita semakin larut dibuai arus kemodenan dan tiada masa walau untuk mengambil tahu tentang agama, bangsa dan negara. Inikan pula hendak dijadikan harapan!! Pemudi pula sudah terlalu dibaratkan sehingga rasanya lebih elok mereka berdiri sebagai tiang negara barat!! Belia yang semakin larut ini bagaikan mencari kebinasaan diri sendiri yang seterusnya membawa kepada kebinasaan masyarakat dan negara.Tidak sedarkah para belia skalian bahawasanya anda adalah pembawa panji, serta pejuang di barisan hadapan dalam pertempuran mengembalikan maruah kita yang sudah dicemarkan sejak sekian lama.


Teringat saya pada kata-kata seorang penyair berbangsa arab yang mahsyur bernama Iqbal,

"Setiap masalah itu, berpunca daripada lemahnya cita-cita kamu"


Masalah belia umat islam secara keseluruhan, dalam negara Malaysia khususnya bukan sekadar pada mereka yang sudah jelas menjadi sampah masyarakat. Saya bimbang belia yang mempunyai lulusan universiti turut menyumbang kepada lebih besarnya masalah ini. Mengapa saya katakan sedemikian rupa..?? Kerana kebanyakan mereka hanya tahu memenuhi perut-perut sendiri sahaja. Tidak sedarkah kita bahawasanya, anak-anak kecil sahaja yang selayaknya meletakkan cita-cita mereka dengan memenuhi kehendak sendiri. Belia perlu membawa cita-cita yang jauh lebih besar dari mengingini rumah besar, kereta besar dan apa sahaja yang besar yang mampu anda sendiri fikirkan. Ke mana sangatlah hendak kita usung segala yang diperolehi itu. Cita-cita kita perlu diletakkan pada sesuatu yang kejayaannya berterusan walaupun setelah ketiadaan jasad yang membalut roh ini di dunia.


Apakah kejayaan berterusan yang saya maksudkan sebentar tadi? Kejayaan itu hanyalah bila kita berjaya kembali menggemilangkan umat islam yang berbangsa melayu ini. Sedarlah wahai pembaca yang rata-ratanya sahabat saya, kita sudah jauh ketinggalan.


Saya tidak sanggup melihat anak bangsa malas lagi.


Saya tidak sanggup melihat anak bangsa gagal lagi.


Saya tidak sanggup melihat anak bangsa dijajah lagi.


Namun, bukanlah suatu tugas mudah untuk mengubah masyarakat ini. Tetapi, kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu mengubahnya??


Firman Allah

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka yang mengubah nasib mereka sendiri".


Believe me, it has to start somewhere...

Renungkanlah sebuah puisi karangan sean covey yang telah saya ubah suaikan ke dalam bahasa kebangsaan kita:

Pernah pada suatu ketika,

Aku bercita-cita mengubah dunia ini,

Namun, itu terlalu sukar untuk aku capaikan..


Lalu, aku berhajat pula ingin mengubah negara ini,

Namun setelah masa berlalu,

Aku rasakan itu terlalu berat bagiku..


Lalu, aku berhajat pula ingin mengubah masyarakat ini,

Namun kemampuanku semakin terbatas,

Aku rasakan tidak mampu untuk melakukannya..


Lalu, aku berhajat pula ingin mengubah ahli keluarga ku,

Namun, sudah tiada siapa yang mahu mendengar kata-kataku lagi,

Aku semakin lemah dan tidak berdaya melakukannya..


Akhirnya, tatkala setiap sendi sudah makin lemah,

Dan jasad ini kian tidak bermaya,

Mata ini hampir sahaja aku lelapkan buat selama-lamanya,

Barulah aku sedar bahawasanya aku perlu mengubah diriku sendiri.

Dengan mengubah diri sendiri,

Aku dapat menjadi suri teladan kepada ahli keluargaku,

Seterusnya ahli keluargaku dapat menyumbang dan mengubah masyarakat sekeliling,

Lalu, masyarakat tadi membentuk negara yang sering aku idamkan,

Kemudiannya, negara ini akan menjadi pengaruh kepada negara-negara lain,

Dan akhirnya membentuk sebuah dunia sepertimana yang aku idam-idamkan.


Sahabat sekalian, semuanya bermula dari diri anda sendiri. Bangunlah dari tidur yang panjang.

[ ... ]

Saturday, May 5, 2007

Identiti

Mencari identiti diri sendiri merupakan suatu tugas yg amat sukar. Percaya atau tidak, hidup kita seharian banyak dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Kita amat takut bila menjadi seorang yang ganjil berbanding manusia lain disekeliling kita. Bukankah telah dijadikan setiap manusia itu unik. lihatlah pada cap jari masing-masing. Biarpun adik-beradik kembar mempunyai cap jari yang berbeza. oleh itu,kita berhak memupuk identiti masing-masing.

Seperti yang telah saya jelaskan di awal tadi, benar hidup kita dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal, mengapa tidak kita berfikir dan berusaha sediikiiittt sahaja untuk mencari identiti yang lebih baik. Bukan sekadar melihat orang lain. Lebih menyedihkan bila orang yang kita lihat dan sanjungi ialah mereka yang tidak kita ketahui sumbangannya, melainkan menjadikan orang lain leka dengan pelbagai hiburan yg disampaikan.

Menjadi seorang pelajar merangkap duta kecil Islam, Malaysia dan bangsa Melayu di New Zealand ini bukanlah tugas mudah sahabat sekalian. Janganlah sesekali kita mendabik dada dengan kelebihan yang kita ada ini. Semuanya hanyalah pinjaman dr Pencipta yang Maha Pemurah. Bukanlah hanya ijazah yang perlu kita kejarkan, bahkan gunakanlah peluang berada di tempat asing ini untuk mencari kualiti hidup. Mencari identiti seorang muslim dan melayu yang sebenar.

Sahabat sekalian, marilah sama-sama mencari suatu erti yang lebih baik untuk kehidupan ini. Renungilah petikan sajak karya Usman Awang:

Usman Awang

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Perbaikilah identiti anda sebagai seorang Islam dan melayu. "Jadilah bangsa yang bijaksana"
[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB