Tuesday, August 21, 2007

Mari fikirkan

assalamualaikum.

Hari ini, 21/8/2007 telah dinobatkan sebagai hari al-Quds sedunia. Saya pasti ramai yang maklum tentang masjid al-Quds. Hari al-Quds sering diwar-warkan oleh ayatollah Khomeini, pemimpin syiah di Iran. Namun janganlah kita ambil pegangan akidahnya kerana itu ternyata sekali salah dalam islam yang suci ini. Namun, ambillah semangat kecintaan pada tanah Palestin yang ditunjukkan dan ketegasan untuk menghapuskan kuasa Zionis.



Hari ini, saya ingin kita sama-sama renungkan satu isu yang menjadi perbualan hangat di kalangan penduduk melayu di Malaysia. Di kala bahang hangat sambutan kemerdekaan semakin terasa, pelbagai isu besar pula timbul. Isu2 yang timbul kebelakangan ini, tidak boleh diambil enteng kerana ini akan menyebabkan perpecahan dikalangan rakyat yang sudah dikenali dengan kesepaduannya. Saya pasti semua cukup maklum tentang video berbau racism seperti yang diterbitkan oleh Namewee dan beberapa laman web dan blog lain yang rata-ratanya membenci sikap Melayu. Lebih tidak enak pabila sering dikaitkan kelemahan melayu itu dengan Islam. Kasihan mereka ini, tidak faham dan tidak tahu membezakan antara Islam yang sungguh cantik dengan muslim yang tidak berapa cantik perangai dan pendiriannya.

Ingin saya tegaskan di sini sahabat sekalian, Melayu itu tidak lemah disebabkan Islam. Malahan bangsa ini pernah menjadi suatu bangsa yang bergerak maju seiring majunya kerajaan besar Islam iaitu kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun, saya sendiri masih cuba mencari-cari fakta-fakta berkenaan hubungan Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan Islam Turki UThmaniyyah. Saya minta rakan-rakan yang punyai sumber kepada fakta ini, untuk bersama-sama berkongsi dengan saya.



Sahabat sekalian,

Melayu itu bukanlah selamanya bangsa yang "layu". Kita pernah menjadi suatu bangsa yang gah di bumi. Gah dengan Islam dan gah dengan ketuanan Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam. Namun kini, banyak yang telah merosakkan status itu. Melayu kini sinonim dengan MALAS, DUIT KOPI, WARONG MAPLE dan macam-macam lagi. Fikirkan, sahabat. Janganlah leka dengan keselesaan yang kita kecapi kini. Kita perlu buat sesuatu! Sesuatu itu bukanlah mengembalikan cemuhan mereka yang membawa panji racism dengan kata-kata yang lebih kasar lagi. Namun, perjuangan perlu kita mulakan dengan membaiki keadaan orang melayu sendiri. Bawalah Islam yang sebenar. Nescaya anda akan dihormati. Saidina Umar pernah berkata,

"Mulianya kita (bangsa arab) hanya kerana Islam"

Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Bagi mengakhiri entry kali ini, mari hayati suatu sajak yang dituliskan oleh Dr. Mahathir Mohamad berkenaan perjuangan kita yang masih belum selesai. Seterusnya, saya selitkan video bertemakan sajak itu. Terima kasih saya ucapkan kepada seorang sahabat dari
Christchurch kerna berkongsi video dan sajak ini di blognya.


Perjuangan yang Belum Selesai.

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina


Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan


Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan


Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita


Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemrdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya


Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri


Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara


Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga


Selain menjadi ulama dan
ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal
erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai
melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar


Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati


Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya


Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa


Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya


Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996




[ ... ]

Saturday, August 11, 2007

Bong Karim, Merdeka dan...



assalamualaikum..

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

-Hamka-


Saya kira, tajuk di atas tidak perlu saya huraikan lagi dengan lebih lanjut. Pernah sekali saya dihampiri oleh seorang rakan lalu berkata, " aku bosan betul. Time dekat2 merdeka ni, sume orang buh status YM, 'betulkah kita sudah merdeka', 'kita sebenarnya masih dijajah' dan macam-macam lagi la. Kalau macam tu, sampai bila kita betul2 merdeka ?" Pada satu sudut, mungkin benar apa yang dikatakan itu. Kebanyakan kita - termasuk saya sendiri - sering mempersoalkan kemerdekaan kita. Mempersoalkan itu mudah. Namun, apa yang kita lakukan bagi menjawab persoalan itu yang lebih penting dan lebih sukar dilaksanakan. Setuju?

Tanggal 31 Ogos merupakan suatu detik gemilang yang patut dibanggakan oleh warga Malaysia secara keseluruhannya. Namun sangat sidikit di kalangan kita yang berminat unutk mengetahui bagaimana susah-payah mereka yang terdahulu berjuang demi kemerdekaan ini. Nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan lain2 lagi sudah pastinya dikenali semua. Tanggal 31 Ogos itu bagaikan sambutan hari lahir yang kedua bagi kebanyakan kita. Tetapi, tahukah kita kemerdekaan yang dikecapi hari ini, hasil daripada pelbagai proses perjuangan, kebangkitan yang tidak terlepas daripada dihiasi penyeksaan, tekanan, sabotaj dan sebagainya. Ia bukan suatu proses yang mudah seperti mudahnya kita menganjurkan sambutan hari Merdeka di sekolah-sekolah atau universiti masing-masing.

Hari ini, ingin saya ceritakan sedikit berkenaan seorang tokoh kemerdekaan yang masih lagi hidup, namun tidak berapa dikenali ramai. Jauh tidak popularnya tokoh ini jika mahu dibandingkan dengan Mawi, Rosyam Nor dan Siti. Tokoh ini tidak pernah pula mendapat "Anugerah Tokoh Kemerdekaan paling Popular." Maafkan saya kiranya ayat saya berbau sindiran-sindiran tajam. Tujuan saya tidak lain memberi tamparan hebat kepada jiwa rakan-rakan dan jiwa saya juga.

Bong Karim atau nama sebenarnya Karim Bakar, merupakan seorang tokoh kemerdekaan yang kini berusia 84 tahun. Si pejuang tua ini suatu masa dahulu pernah mengharungi umur-umur semuda kita. Sedari bangku sekolah rendah lagi, beliau sangat benci tanah airnya dijajah oleh British. Semangat untuk membebaskan negara itu sudah mekar walaupun pada usia kita semua leka dengan Doraemon dan Power Rangers.

Pemikiran dan semangat beliau banyak dipengaruhi pejuang kemerdekaan terdahulu daripadanya seperti Dol Said, Mat Kilau, Dato' Bahaman dan lain-lain lagi. Semangat ini tidak dibiarkan terpendam sahaja. Tidak juga sekadar diluahkan melalui kata-kata kosong. Lalu, Bong Karim menyertai sebuah parti yang pada British berhaluan kiri, berfahaman sosialis dan ada pula yang menganggap parti itu parti pengganas dan membawa idea-idea komunis. Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan salah satu parti di bawah naungan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ahlinya terdiri daripada golongan pemuda pada masa itu. Bong Karim tidak terkecuali daripada menjadi salah seorang pemimpin kuat dalam API.

API yang ditubuhkan pada tahun 1946 menjadi nadi kepada Bong Karim untuk bergerak. Beliau yang kini sudah tidak mampu berjalan sempurna pernah menjadi salah seorang Melayu yang digeruni Mat Salleh-Mat Salleh yang kononnya hebat itu. API yang agak aggresif-sesuai dengan ahlinya yang terdiri di kalangan pemuda- dikhuatiri dapat memberi nama buruk pada PKMM (tertubuh pada tahun 1941). Lalu PKMM mengambil langkah selamat dengan menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan API.

Bong Karim tidak pernah terlepas daripada dilabel sebagai pengganas. Beliau dikenali British kerana begitu aktif dengan kegiatan melatih pemuda-pemuda API bagi menyediakan mereka dengan kemahiran-kemahiran bertempur secara guerilla. Pernah pada suatu masa, beliau melatih 1000 orang pemuda berusia dalam lingkungan 15-18 tahun dalam latihan ketenteraan di Melaka.

Namun sahabat sekalian, kita perlu lihat apa yang dilakukan itu bukanlah atas dasar melakukan keganasan. Itu merupakan langkah persediaan yang diambil sekiranya perjuangan melalui perbincangan damai dan mata pena tidak memberi apa-apa kesan. Langkah yang di ambil itu, saya kira sangat bijak kerana memang itulah lumrahnya. Janganlah kita dahului apa-apa urusan dengan keganasan. Itu tidak akan menyelesaikan masalah.

API mengalami zaman kejatuhannya apabila ada antara ahlinya dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Akhirnya, British punyai 1001 alasan pada masa itu untuk memenjarakan semua pemimpin kuat API dan ini termasuk Bong Karim sendiri.

Bong Karim pernah dipenjarakan di pelbagai pusat tahanan dan pernah juga dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas sebab dikaitkan dengan PKM. Namun, berkat solat dan doanya, diberi keizinan oleh Allah untuk terus hidup sehingga hari ini kerana hukuman gantung itu dibatalkan.

Sekitar 50-an, beliau pernah betugas dengan British sebagai penterjemah. Pernah juga beliau ditawarkan modal untuk membuka perniagaannya sendiri. Namun, Bong Karim yang tidak tamak pada harta, tidak pula kempunan pada kemewahan tidak mahu menerima tawaran yang baginya sangat memalukan itu. Tidak sanggup beliau jualkan semangat membebaskan negara dengan harga yang sangat murah. Firman Allah dalam surah an-Nahl:95

95. Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang murah, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.


Tidak lama kemudian, beliau kembali dipenjarakan dan dibebaskan buat ke sekian kalinya pada tahun 1952. Beliau juga kurang berpuas hati dengan kemerdekaan yang dikecapi atas beberapa sebab. Antaranya, biarpun kita diisytihar merdeka, dalam banyak perkara lain, kita masih terikat dengan British. Yang paling ketara ialah sistem perundangan yang tidak melambangkan 100% kita bebas dari genggaman British. Beliau juga agak terkilan dengan pertukaran nama Malaysia daripada nama asalnya iaitu Tanah Melayu semasa pengisytiharan pada tahun 1963. Pertukaran nama itu seolah-oleh hilangnya ketuanan Melayu pada tanah air sendiri.

Sahabat sekalian, mungkin tidak perlu saya huraikan berkenaan kisah pejuang kemerdekaan ini. Semoga kita sama-sama cuba mengambil sesuatu daripada biografi pendek tokoh yang "kurang terkenal" ini.

Sebelum mengakhiri, mari sama-sama menghayati iklan kemerdekaan terbaru dr PETRONAS


Rujukan untuk entry kali ini diambil dari http://web5.bernama.com/events/merdeka50/news.php?id=245499

wassalam

Ke arah menjana pemikiran belia kritis, pelaksanaan berkesan.
[ ... ]
 

©2009 Makna Hidup | by TNB