Singa atau Kambing?
Suka untuk saya berkongsi sebuah kisah pendek daripada novel yang baru saya selesaikan pagi tadi. Sebuah kisah yang moga-moga dapat menaikkan semangat dan memimpin rohani kita untuk menjadi manusia lebih cemerlang.
Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor singa betina yang bakal melahirkan anaknya di sebuah kawasan lapang, di dalam hutan. Selepas melahirkan anak, singa betina itu jatuh sakit dan langsung mati. Maka terbiarlah anak singa yang baru lahir itu sendirian.
Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa ekor kambing ke kawasan lapang itu. Kasihan melihat anak singa itu, mereka berbincang dan membuat keputusan yang luar biasa. Mereka sepakat membawa anak singa itu pulang untuk hidup bersama mereka.
Banyak kambing yang terkejut dangan kehadiran anak singa itu. Namun, hari berganti hari dan mereka semakin selesa hidup dengan anak singa tersebut. Maka hari-hari anak singa itu dihabiskan dengan gaya hidup keluarga barunya, iaitu komuniti kambing.
Anak singa kini sudah dewasa. Singa itu melakukan apa yang kambing-kambing lain lakukan dan makan apa yang kambing lain makan. Sehinggakan, suara singa itu juga sudah seakan-akan seekor kambing. Ia tidak bisa meng'aum' lagi bahkan hanya mampu meng'embeek'. Sifat dan jatidiri seekor kambing sudah sebati dalam dirinya. Ia bukan singa lagi.
Mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, seekor serigala datang menyerang kawanan kambing itu. Semua kambing lari mencari pelindungan. Mereka meletakkan semua harapan kepada anak singa yang telah dewasa itu untuk melindungi mereka. Namun, anak singa itu pula yang lebih hebat takutnya. Dia bahkan lari berlindung di belakang kambing induk yang menjadi ketua kawanan itu.
Kambing induk itu seraya berkata, "Bukankah kau seekor singa? Engkaulah yang sepatutnya melindungi kami daripada serigala itu". Anak singa itu tidak faham dan menegaskan bahawa dia juga seekor kambing sepertimana sahabat-sahabat yang lain.
Serigala semakin mengganas. Seekor demi seekor kambing yang menjadi mangsanya. Kambing induk menjadi terlalu berang lalu cuba menyelamatkan kambing-kambing yang diserang. Malangnya, kambing induk juga tidak cukup upaya menentang serigala yang sungguh licik dan ganas itu.
Anak singa itu rasa sungguh marah apabila kambing induk yang sudah ia anggap bagai ibu sendiri itu diperlakukan sehingga tiada upaya untuk berdiri. Ia terus maju bagi mempertahankan kambing induk. Alangkah terkejutnya sang serigala melihat bagaimana boleh wujud seekor singa di tengah-tengah kawanan kambing.
Apabila siap menyerang maka singa itu pun menyergah.. "Embeek.. Embeek.." Sekali lagi serigala itu terkejut besar. Ia yang pada mulanya berasa sangat takut, kini faham. Singa itu bukanlah seekor singa lagi. Ia sudah mengalami transformasi menjadi seekor kambing yang pengecut. Kini anak singa itu pula yang menjadi habuan serigala.
Sedang asyik mengganyang si anak singa, tiba-tiba kedengaran suatu suara yang menggenturkan jiwa. "AÙUMMM.." seekor singa yang sebenar pula datang. Niat asalnya juga mahu mencari mangsa di kalangan kawanan kambing itu. Tetapi ia dikejutkan dengan kehadiran seekor singa lain yang sedang dikerjakan teruk oleh sang serigala. Serigala tersebut kini benar-benar takut lalu lari jauh ke dalam hutan.
Anak singa itu takut melihat singa yang baru hadir itu lalu lari bersama-sama kambing yang lain. Singa itu tidak jadi mengejar kambing tetapi terus cuba mengejar untuk mendapatkan anak singa yang sudahpun dewasa itu.
Anak singa itu kepenatan dan berjaya ditangkap singa yang mengejarnya. Berkata anak singa, "ampunkan aku wahai singa. Kau jangan makan aku". Singa itu menjawab. "aku tak akan makan kau. Kau juga singa seperti aku." Anak singa itu kehairanan. Dia berkata, "tapi, aku seekor kambing. Bukan singa macam engkau!"
Singa itu lalu membawa anak singa ke sebuah sungai. Di sana dia menunjukkan bahawa mereka berdua sama-sama singa. Anak singa itu sungguh takjub melihat keadaannya yang sebenar. Maka berkatalah sang singa, "kau sudah terlalu lama duduk dalam kawanan kambing menyebabkan peribadimu sebagai seekor singa sirna. Mulai hari ini, akan aku kembalikan diri mu yang sebenar. Kau akan ku kembalikan menjadi raja rimba yang digeruni oleh semua haiwan lain."
Anak singa pada awalnya sukar menerima hakikat itu. Namun, kebenaran tetap kebenaran. Ia harus menempuh suatu proses transformasi yang sangat menyakitkan sebelum ia boleh kembali ke rimba sebagai sang raja yang dihormati serta digeruni sesiapa sahaja yang melihat.
Pengajaran kepada kisah ini, anda sendirilah yang tentukan. Saya mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi hasil dapatan masing-masing.